Wanita Pertama Syahid Di Jalan Allah
Tahukah anda siapa yang menjadi wanita pertama yang mati syahid? Pejuang Islam yang sering mendapat penghargaan, sering dipuji kerana keberaniannya untuk menegakkan agama yang suci dan dijanjikan syurga untuknya.
Dia adalah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar dan isteri kepada Yasir yang menerima ajaran Islam paling awal dalam sejarah Islam. Sumayyah merupakan 7 orang yang pertama sekali menyatakan keislamannya di Mekah selain daripada Abu Bakar, Bilal, Khabbab dan Shuhaib.
Rasullullah S.A.W yang menyaksikan penyeksaan terhadap keluarga wanita ini tidak mampu berbuat apa-apa dan menadahkan tangan ke langit dan berseru “Bersabarlah keluarga Yasir kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah syurga”.
Wanita yang terseksa itu mendengar kata-kata Rasulullah menjadi bertambah kuat dan mulutnya terkumat-kamit mengulangi “Aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah dan aku bersaksi bahawa janjimu adalah benar”. Di bawah terik cahaya panas, wanita dan keluarganya ini diikat pada bongkah batu yang panas di tengah-tengah padang pasir, kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak. Penderitaan yang dialami dirasakan ringan serta merta apabila mendengar kata-kata kekasih Allah itu. Subhanallah!! Begitu kuat wanita ini menanggung kesakitan dan iman yang kuat menjadikan dia pejuang wanita yang agung.
Namun, dalam masa yang sama, kesakitan mereka menjadi bahan gelak ketawa Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya. Penderitaan keluarga ini menjadikan Abu Jahal semakin bongkak sehingga dia berkata “Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang di bawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di Kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” ujar Abu Jahal sambil mengacah keluarga ini menggunakan tali sebat.
Tidak cukup dengan itu, taburan pasir yang panas di taburkan ke tubuh tua Sumayyah dan diletakkan bongkah batu. Penderitaannya ini bukan diselangi oleh rintihan atau ratapan, namun bibirnya itu dibasahi dengan perkataan “ahad..ahad”. Berulangkali Sumayyah mengulang dan menyatakan tetap berpegang teguh kepada keimanannya walaupun seribu kali diseksa. Subhanallah! Sungguh kuat semangat ibu tua ini!
Keteguhan hati yang dimiliki oleh Ammar, Yassir dan Sumayyah ini mengundang kemarahan kepada Abu Jahal lalu dipakaikan kepada mereka baju besi supaya bahang matahari lebih menyeksa mereka.
“Kita lihat berapa lamu kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan ini,” Abu Jahal menyatakan kebencian kepada mereka
“Tiada Tuhan melainkan Allah,” Sumayyah dan suaminya terus berzikir menyatakan keimanan mereka yang tidak berbelah bagi. Demi mendengar kalimah suci tersebut, Abu Jahal mengarahkan pengikutnya meletakkan batu besar ke atas badan Yasir sehingga menyebabkan keadaan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Namun hatinya tetap utuh dengan meyebut nama Allah sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir.
Isteri mana yang sanggup melihat suaminya meninggal diseksa. Hancur hati Sumayyah melihat kematian suami tercinta namun dia tetap redha kerana dia tahu suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.
Bukan setakat itu sahaja seksaan yang dikenakan, Abu Jahal sekali lagi memberi amaran kepada Sumayyah. Dia menyuruh Sumayyah menerima sahaja tawaran untuk kembali ke agama asal jika tidak mahu diseksa dengan teruk. Ternyata, Abu Jahal yakin dengan menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad S.A.W kepada ajaran menyembah berhala.
“Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu, Tiada Tuhan melainkan Allah!,” Hati Sumayyah menjadi semakin kuat untuk menahan segala ancaman yang datang. Mendengarkan kata-kata Sumayyah, Abu Jahal merasa tercabar, lantas dia mengambil tombak dari tangannnya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.
“Allahhu Akbar!” hembusan nafas terakhir Sumayyah diselangi dengan kalimat suci itu. Akhirnya Sumayyah meninggal dunia dengan disaksikan oleh anaknya Ammar dengan pandangan yang pilu.
Maha Suci Allah, Sumayyah menjadi wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam. Kematian Sumayyah menjadi sejarah yang terpenting dalam pengembangan agama Islam.Sehingga ke nafas terakhir, bibir Sumayyah masih lagi dibasahi dengan nama Allah.
Begitu agungnya nilai perjuangan seorang wanita yang bergelar Sumayyah! Bila kita renungkan kembali, ternyata orang pertama sekali memeluk Islam dan menyatakan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah ialah Khadijah dan orang yang pertama sekali mati syahid ialah wanita yang bernama Sumayyah!. Begitu sekali mulianya wanita di sisi Allah S.W.T.
Ulasan
Catat Ulasan