Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Rabu, 30 April 2014

Telaga Nabi Muhammad S.A.W



Allah Ta’ala menyediakan sebuah telaga khas kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang terletak di padang Mahsyar pada hari kebangkitan semula nanti. 

Ada perbezaan pendapat di antara para ulama tentang bila dan di mana manusia akan mendatangi telaga Nabi SAW. itu. Imam Al Ghazali dan Al Qurthubi berpendapat telaga itu berada di padang Mahsyar sebelum menyeberangi sirat. Manakala Imam Bukhari rahimahullah berpendapat telaga Nabi SAW. itu berada selepas melintasi sirat. Wallahu a’lam.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.” (HR at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 2443)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Dialirkan pada telagaku itu dua saluran air yang (bersumber) dari (sungai al-Kautsar) di Syurga…” (HR. Muslim, no. 4255) 

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan, “Pada suatu hari, ketika Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam berada di tengah-tengah kami, tiba-tiba baginda mengantuk sekejap. Kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya, “Apa yang membuat Tuan tersenyum, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Baru saja diturunkan kepadaku sebuah surah.” Lalu Beliau membaca: (maksudnya),  Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kautsar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Katsar: 1-3). Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata: “Apakah kalian tahu apakah Al-Kautsar itu?” Kami (para sahabat) menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Al-Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabb-ku ‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat. Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.” (HR Muslim, no. 400).


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Telagaku (panjang dan lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kesturi, cawannya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang minum darinya, dia tidak akan haus untuk selamanya.” (HR Bukhari, no. 6093 dan Muslim, no. 4294).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya telagaku itu lebih panjang dari jarak antara Aylah (sebuah kota di teluk ‘Aqobah, Yordania) dan ‘Adan (kota Yaman). Seeungguhnya air telagaku itu lebih putih dari salji, lebih manis dari madu dicampur susu, serta bejana-bejananya lebih banyak dari bintang-bintang. Aku sungguh akan menjaganya dari orang lain (selain umatku), sebagaimana seseorang menjaga telaganya dari unta orang lain.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah pada hari itu baginda mengenali kami?” Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya. Kalian punya tanda yang tidak dimiliki oleh umat lain. Kalian datang kepadaku dengan dahi dan kaki bercahaya putih kerana wuduk.” (HR Muslim, no. 364)

Tetapi ada sebahagian umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang akan diusir ketika ingin mendatangi telaga itu.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, niscaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalangi dari menemui diriku.” (HR Bukhari, no. 6528 dan Muslim, no. 4243)

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku berkata: “Mereka termasuk umatku!” Namun muncul jawaban: “Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalmu.” Aku pun berkata: “Pergi dari sini, Pergi dari sini, bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.” (HR Bukhari, no. 6097)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya selepasku nanti akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Sesiapa pergi kepada mereka lalu membenarkan penipuan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi telagaku”. (HR Ahmad, Nasai dan Tirmidzi)

Ahad, 27 April 2014

Agama Tidak Akan Kuat Dengan Harta



Rasulullah saw. bersabda . " Orang yang mengganggap agama boleh menjadi kuat dengan harta adalah musuh-musuh Allah." ibarat menarik pesawat terbang dengan kaldai, bukan dengan mesin. Para sahabat Nabi SAW adalah orang-orang yang miskin harta, tetapi mereka memiliki amalan agama yang sempurna.
Ketika harta hasil ghanimah datang berlimpah pada zaman khalifah Umar r.a. ia berkata " seandainya benda-benda ini mendatangkan manafaat ( kebaikan ), sudah tentu datangnya pada zaman Rasulullah SAW. masih hidup ." bahkan Umar r.a. bersedih melihat keadaan ini, sehingga sahabat yang lain bertanya , " Wahai Amirul  Mukminin, mengapa engkau menangis?" ..Umar r.a menjawab , " Apabila kebendaan datang pada suatu kaum, maka akan muncul banyak fitnah pada kaum itu dan tidak akan selamat dari fitnah itu ."

Orang yang punya keyakinan untuk memperbaiki kehidupan  dengan mengumpulkan harta benda adalah yang mempunyai keyakinan yang rosak. Orang yg beriman perlu mengorbankan harta benda untuk mendapatkan iman. Orang yang beriman yakin bahawa kejayaan hanya dengan menyempurnakan perintah Allah SWT. Bukan menyempurnakan usaha pertaniaan, perdagangan, dan sebagainya. 

Di dunia ini memerlukan hanya orang beriman , bukan orang yang disebut pakar ini dan pakar itu. Permasalahan umat semakin teruk dan bertambah banyak, sebanding dengan banyaknya pakar yang lahir pada hari ini.

Ketika ini walaupun undang-undang diganti dengan hukum yang paling baik sekali pun, tetapi apabila yang melaksanakan hukum tersebut tidak beriman maka kehidupan akan menjadi rosak, Kerosakan terjadi bukan kerana tidak adanya kebendaan, teknologi atau harta. Dibandingkan zaman sahabat r.a. seratus kali lipat perbezaannya. Kerosakan terjadi kerana umat islam sekarang mempunyai iman yang lemah dan mengamal agama sangat berkurangan.

Untuk tersebarnya hidayah tidak memerlukan harta, jawatan, dan fasilitas lainnya , Ada orang yang memahami agama untuk kepentingan dunia, lalu ia mengira untuk mengamalkan agama harus menjadi orang kaya, sehingga siang malam sibuk mengumpulkan harta. Mereka berdalil dengan hadis " Tangan yg diatas lebih baik daripada tangan yang dibawah " padahal maksud "tangan yang  diatas" sebenarnya adalah memberi (menyebarkan) iman kepada manusia agar mereka tidak berharap dan tidak meminta kepada makhluk, tetapi meminta dan berharaplah hanya kepada Allah SWT. Banyak orang kaya tapi tangannya ingin dibawah, sebab iman yang lemah, sebaliknya walaupun orang miskin tapi beriman maka tangannya selalu diatas ingin memberi.

Seorang budak bekerja dikebun tuannya berbekal dengan sepotong roti, ketika ada anjing yang kelaparan maka rotinya diberikan kepada anjing itu. walaupun ia sendiri memerlukannya.
Sabda Rasulullah SAW. " Awal kebaikan (terishlah) ummat ini kerana yakin  yang shahih) dan zuhud (tidak tamak kepada dunia) dan awal kehancuran ummat ini adalah kerana bakhil dan panjang angan-angan." (HR. Baihaki- Syua'bul Iman)


Rasulullah SAW. berwasiat kepada para sahabat , " Wahai sahabatku, apabila saat ini kalian mengurangi waktu kalian untuk agama Allah sepersepuluh saja, niscaya nushratullah (pertolongan Allah) tidak akan turun, kalian harus mengamalkan agama secara keseluruhan, Tetapi ummatku pada akhir zaman nanti, jika mereka rela meluangkan waktunya sepersepuluh saja untuk agama Allah, maka nushratullah akan segera turun." (HR. at Tirmizdi).

Wallah Huallam...

MASALAH MUNTAH/JELUAK BAYI



Soalan; 
Saya ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki, muntah yg sedikit adalah najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dlm sembahyang. Soalan saya, adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam bab2 najis yg dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai bayi kecil yg sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki adalah selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yg dimaksudkan itu ya ustaz? Mohon pencerahan dan terima kasih byk2 atas bantuan ustaz.

Jawapan;

Muntah adalah najis mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah makanan yang melalui proses pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi. Kerana itu, pakaian yang terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika solat. Namun, para ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit. Menurut mazhab Hanafi; kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1 dirham (iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil, Imam Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya; “Anak kecil yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika muntah itu memenuhi mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi satu dirham, ditegah mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”. Dari fatwa ini kita dapat memahami bahawa, muntah anak kecil jika kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu dirham), dimaafkan dan harus memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan solat.

Menurut mazhab Syafiie; ukuran banyak atau sedikit najis itu bergantung kepada pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika najis yang mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan orang sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut mazhab Hanbali; ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan hati sendiri. Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya telah melampaui had, maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai begitu, ia masih dikira sedikit dan dimaafkan.

Menurut mazhab Syafiie juga; najis turut dimaafkan jika sukar dielakkan, walaupun najis itu banyak. Contohnya; darah pijat, kutu dan nyamuk, darah dari bisul, jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya. Khusus tentang muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan; jika seseorang itu menghadapi kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah), dimaafkan muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu banyak. 

Menurut mazhab Maliki, muntah hanya dikira najis jika keluarnya dalam keadaan telah berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak lagi rupa makanan). Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah najis. Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi; semua jenis muntah adalah najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa makanan atau tidak lagi berupa makanan.

Segelintir ulamak (antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan; muntah keseluruhannya tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang menegaskannya sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci (kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah suci selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).

Kesimpulannya, muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis menurut jumhur ulamak. Namun ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar dielakkan. Merujuk kepada soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu dimaafkan selama ia sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka wajiblah dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti anak terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada menyebutkan; al-masyaqqah tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil kemudahan).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2.      Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3.      Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4.      Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah     al-‘Awayisah, 1/59.

MASALAH MAKMUM KETINGGALAN FATIHAH (Soal Jawab)



Soalan; 
salam tuan,
 saya ade beberapa soalan untuk pencerahan: 

2. solat berjemaah -  individu merupakan jemaah masbuk, katakan individu mengikut imam pada rakaat ke-2 dan tidak dpt menghabiskan bacaan al-fatihah, individu tersebut tidak perlu menghabiskan bacaan tersebut dan perlu rukuk mengikut imam, yang saya ingin dapat kepastian adalah pada rakaat ke-3, sekiranya makmum tersebut masih tidak dpt menghabiskan surah al-fatihah dan imam telah rukuk, perlukah makmum tersebut menghabiskan bacaannya kemudian rukuk mengikut imam ttp jika makmum tidak sempat rukuk bersama imam adakah rakaat tersebut dikira @ masih perlu dilakukan sama seperti rakaat ke-2?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu 'ala Rasulillah.

1. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh imam.

2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah kita kerana baki fatihah kita itu ditanggung oleh imam.

3. Jika kita (muwafiq) mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam apa keadaan sekalipun kita menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam telah rukuk, kita wajib menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk bersama imam. Jika ada keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran kepada kita hingga tiga rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari sujud kedua).[1] Jika kita sempat sujud sebelum imam bangkit dari sujud keduanya, kita masih dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam.  Jika tidak sempat, kita dikira telah luput rakaat tersebut bersama imam, maka tidak perlu lagi kita rukuk, akan tetapi terus duduk tahiyyat bersama imam (jika dia duduk tahiyyat) atau tunggu sahaja imam naik ke rakaat berikutnya (jika tidak ada tahiyyat oleh imam) dan mengikuti imam hingga selesai solatnya, apabila imam memberi salam, kita bangun menambah rakaat yang ketinggalan dari imam tadi.

Itu adalah mengikut mazhab Syafiie yang berpandangan; makmum wajib membaca al-Fatihah ketika solat berjamaah (sebagaimana imam wajib membacanya) kecuali dalam kes makmum masbuq (iaitu kes 1 dan 2 di atas) di mana bacaan al-Fatihahnya ditanggung oleh imamnya bagi dua kes tersebut. Menurut mazhab-mazhab lain ( Hanafi, Maliki dan Hanbali); ketika solat berjamaah, makmum tidak wajib membaca al-Fatihah (hanya disunatkan sahaja). Telah memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam menanggung bacaan al-Fatihah untuknya, jadi tidak wajib lagi atasnya. Maka menurut pandangan kedua ini, dalam apa keadaan sekalipun, apabila imam rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama imamnya. Tidak perlu makmum menghabiskan bacaan al-Fatihah (sama ada ia mengikuti imam dari awal atau ketika imam telah rukuk atau hampir rukuk) kerana telah ditampung oleh bacaan imamnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52 (perkataan; “Qira-ah”).
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable