Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Khamis, 29 November 2012

NASIHAT IMAM GHAZALI (MAU'IZAHATUL MUKMININ)

 
 
Berikut adalah antara nasihat Imam Ghazali dalam kitab 'Mau'izahatul Mukminin':


1. "Jangan merasa puas hati bila mendengar pujian orang di hadapanmu, atau pun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis terhadapmu, sebab yang demikian itu belum tentu timbul dari hakikat batinnya."


2. "Jangan sekali-kali mengadukan segala hal-ehwalmu yang berupa kesusahan dan sebagainya kepada orang lain, sebab dikhuatiri bahawa Allah SWT akan murka lalu diserahkan semua urusan itu kepada orang itu."


3. "Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di belakangmu sebagaimana yang anda kenal kepadanya di masa berdepan denganmu. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak betul."


4. "Jangan menentang orang lain sehingga terjadi permusuhan di antara kamu bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agama yang dilakukan oleh orang itu, maka ketika itulah boleh anda menentang usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya."


5. "Jangan menilai seseorang menurut keadaan dunianya lalu anda memuliakannya, sebab dunia itu kecil sekali disisi Allah SWT. Jangan sampai anda menjual agamamu untuk mendapatkan benda-benda keduniaan sehingga anda dipandang kecil di mata orang yang memberinya. Mungkin suatu masa kelak anda tidak akan diberi lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga diri di matanya."


6. "Jika anda mendengar bahawa orang itu pernah mencelamu atau membuat sesuatu keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baik anda serahkan perkara itu kepada Allah SWT serta anda berlindung dengan Allah SWT daripada bahaya-bahayanya. Ingatlah, jangan cuba memikirkan sesuatu rancang balas terhadap perbuatannya itu, sebab yang demikian itu akan lebih membahayakan diri anda."


7. "Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapapun sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati, kerana bersikap demikian akan membinasakan anda. Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin sekali orang itu lebih baik nasibnya dari anda di belakang hari. Sekalipun orang itu pada lahirnya fasik dan jahat, tidak mustahil pula nasib yang semacam itu akan menimpa dirimu sendiri, sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam keadaan fasik dan jahat, sedangkan ia mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan soleh."

KISAH KHALIFAH ADIL UMAR ALKHATTAB MEMBUKA KOTA AL QUDS



Peperangan Yarmouk adalah pertempuran yang berlaku antara tentera Islam dan tentera Rom Byzantine di Jordan. Ketika itu, 41’000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 battalion Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri.

 Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang penguasaan umat Islam terhadap Baitul Maqdis terbuka luas. Rom ingin menamatkan penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al Quds. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang protagonis uskup yang mempertahan Jerusalem, enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam dengan pertumpahan darah.

Sophronius memberikan syarat supaya Khalifah Islam iaitu Umar ibn al Khattab sendiri yang hadir menemui penduduk Iliya’ (Iliya’, nama Jerusalem ketika itu) dengan jaminan keselamatan.
 
Pada sangkaan Sophronius, umat Islam akan menolak syarat tersebut dan melakukan penjarahan terhadap Kota al Quds sebagaimana empayar-empayar yang pernah wujud sebelum Islam seperti Parsi dan Rom. Ternyata jangkaan mereka silap.
 
Abu Ubaidah bin Jarrah yang ketika itu sudah mengepung Jerusalem, dengan sikap toleransi memenuhi permintaan Sophronius dan rakyat Iliya’. Beliau menerima syarat tersebut dan menjemput Khalifah Umar al Khattab menuju ke Kota Jerusalem.
 
Sebelum Khalifah Umar berangkat menuju ke Jerusalem, Umar telah bermusyawarah bersama Para Sahabatnya tentang permintaan Sophronius. Uthman ibn Affan radhiAllahu anhu mencegah Khalifah Umar dari menuruti kehendak uskup tersebut, tetapi Saidina Ali memberikan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Umar; Iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’ kerana Jerusalem juga merupakan salah satu bandar suci bagi kepercayaan umat Islam selain Yahudi dan Nasrani.
 
Di sinilah hikayat kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan Khalifah Umar al Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda salallahualaihi wasalam sebagaimana sabdanya yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya".
 
Khalifah Umar al Khattab tidak pergi ke Baitul Maqdis dengan ketumbukan tentera, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya menaiki seekor unta, dan ditemani oleh seorang P.A (personal assistant) / khadamnya sahaja. Perjalanan Umar dan khadamnya dari Madinah ke Kota al Quds, hanya cukup berbekalkan air, roti dan kurma.
 
Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya pula akan berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya yang naik unta, Umar pula yang akan berjalan memandu pedati untanya. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga sampai ke Kota al Quds.
 
Sebelum sampai ke Kota al Quds, Umar telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Abu Ubaidah bin Jarrah merupakan salah seorang Sahabat Nabi yang termasuk dalam senarai 10 orang yang dijanjikan syurga. Turut bersama Abu Ubaidah ketika itu ialah Khalid bin al Walid.
 
Apabila tentera-tentera Islam menyedari kedatangan Umar al Khattab, mereka menyambutnya dengan penuh penghormatan. Ketika itu Umar yang memimpin pedati unta yang dinaiki oleh khadamnya. Berkali-kali khadamnya meminta agar Umar berada di atas unta sebelum sampai ke perkhemahan tentera, tetapi hal itu ditolak oleh Umar kerana kerendahan hati dan ketinggian budinya.
Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar sudah berceloreng dengan debu-debu tanah dan luka kerana perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke pintu Kota al Quds.
“Wahai Amiral Mukminin, jika kamu memerintah agar kami memapah dan memandu perjalananmu nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai Khalifah”
 
Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu Ubaidah, salah seorang panglima Islam yang menewaskan tentera-tentera Rom Byzantine itu dengan wajah yang sangat murka atas apa yang diucapnya. Lalu terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepada Abu Ubaidah,"Demi Allah. Jika bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran buat umat ini! Sesungguhnya kita semua ini adalah hina lalu kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah".
 
Saidina Umar menolak cadangan Abu Ubaidah dan tidak memanjangkan dialog bersamanya. Umar bersama khadamnya terus berlalu pergi meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya.
Mereka masih bergilir-gilir menaiki unta sambil menghabiskan bacaan surah Yassin. Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus kekal menaiki unta, sementara dia yang akan memegang pedati unta yang dinaiki Umar. Tetapi Umar tegas melarang dan mengarahkan pembantunya agar terus mengikut tempoh gantian yang ditetapkan. Kebetulan, apabila jarak mereka berdua hampir tiba ke gerbang Kota al Quds, waktu itu giliran Umar memegang tali pedati unta tersebut.
 
Kerumunan tentera-tentera Rom dan rakyat al Quds beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah peradaban dunia. Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi Umar sebagai khalifah, pemimpin terunggul yang berjaya menundukkan keangkuhan Rom, datang dengan baju kasar yang kurang kualitinya, lusuh dan berdebu, manakala kedua-dua kakinya berlumpur.
Umar berhenti apabila menjejaki gerbang Dimashq, salah satu pintu masuk ke Jerusalem. Kemudian terus berjalan meninggalkan unta dan khadamnya di situ, dengan penuh kehambaan kepada Allah Taala wajahnya bersemarak sinar keizzahan Islam.
 
Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat ketibaan Umar radhiAllahu anhu. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi dan namanya. Mereka terpedaya dengan sangkaan-sangkaan buruk mengenai Umar, sebaliknya Khalifah Umar hanya ditemani oleh seorang khadam setibanya di Jerusalem. Lebih mengharukan, mereka melihat Khalifah Umar yang menarik tali pedati yang ditunggang khadamnya. Mereka merasakan perbezaan yang jelas antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini.
 
Seluruh rakyat Iliya’ dan pembesar-pembesar di Jerusalem memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras.
"Alangkah malangnya kamu semua! Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Allah".
 
Patriarch Sophronius bersama uskup-uskup lain memakai pakaian yang mewah-mewah bergemerlapan, sedangkan orang yang ingin diberikan penghormatan hanya memakai pakaian seperti rakyat biasa. Sophronius malu melihat penampilah Khalifah sungguh sederhana, dalam hatinya berkata,”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.
 
Saat Sophronius teruja dan menitiskan air mata melihat kesederhanaan Umar, dia termanggu apabila teringat tanda-tanda pemilik sebenar Kota al Quds sebagaimana yang disebut di dalam Injil. Sophronius mara bertemu Umar sambil di tangannya memegang kunci Kota al Quds. Kemudian Sophronius berkata kepada Umar.
“Sesungguhnya orang yang akan aku serahkan kunci kota al Quds, seterusnya menguasai Baitul Maqdis memiliki tiga tanda. Petanda-petanda tersebut jelas disebutkan di dalam kitab Injil kami.
“Pertama, orang itu akan berjalan manakala khadamnya menunggang kenderaan miliknya. Kedua, orang itu datang dalam keadaan kedua-dua kakinya diselaputi debu-debu tanah (lumpur). Ketiga, orang itu datang dalam keadaan bajunya penuh dengan tampalan.
 
Setelah Sophronius melihat tanda-tanda tersebut ada pada Khalifah Umar al Khattab, kemudian dia meminta izin kepada Umar untuk mengira berapakah tampalan yang ada pada baju yang dipakainya. Ada 17 jahitan yang menampal pada baju Umar, dengan perasaan penuh debaran dan ta’ajub Sophronius berkata,"Inilah tanda yang ketiga, ya Tuhan. Tidak diberikan kunci-kunci Kota al Quds ini kecuali kepada seorang pemimpin yang memiliki tiga tanda keagungan di mana tanda-tanda inilah yang paling unggul dalam lembaran sejarah dan tidak ternilai harganya (seperti yang disebut di dalam Injil), (1) Khadamnya yang menunggang kenderaan. (2) Calitan debu-debu tanah. dan (3) Tampalan pada baju".
 
Menurut Sophronius, tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan yang diperintah oleh Umar adalah kerajaan yang akan relevan sepanjang zaman, tidak akan musnah ditelan peredaran. Kemudian dia menambah lagi,"Aku tidak sedih (memberikan kunci kepada Umar) kerana kalian masuk ke kota ini sebagai orang yang memiliki kriteria tersebut (dalam Injil kami sebagai pembuka Kota Jerusalem), (aku tidak gelisah) kamu menakluki perbendaharaan dunia ini sedang kami dalam kawalan kalian.  Kamu tentu menguasai kota ini selamanya dengan aqidah Islam, pentadbiran Islam dan juga akhlak Islam".
 
Khalifah Umar menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan keamanan penganut Kristian yang akan tetap tinggal di Jerusalem (penduduk Iliya’).
 
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang; inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Dan mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'".
 
"Menjadi kewajipan ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalngan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Dan sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'".

"Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka".

Inilah sebahagian dari jaminan hak dan keselamatan umat Islam kepada rakyat Iliya’. Rakyat Iliya’ diwajibkan membayar jizyah, manakala yang telah memeluk Islam wajib membayar zakat. Kota al Quds kemudiannya menjadi tanggungjawab umat Islam dan rakyat Iliya’ untuk memeliharanya daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Perjanjian antara penganut Kristian dan masyarakat Islam ini dinamakan sebagai ‘Wathiqah Umariyyah’ (The Umariyyah Covenant).
 
Setelah selesai upacara menandatangani perjanjian perdamaian, Khalifah Umar berangkat menuju ke Baitul Maqdis, salah satu tempat yang menjadi wasiat Baginda salallahualaihi wasalam kepada umat Islam agar menziarahinya. Sehinggalah tiba waktu solat, Sophronius mempelawa Saidina Umar melaksanakannya di Holy Sepulchure / Gereja al Qiamah (tempat maqam suci Jesus yang didakwa oleh penganut Kristian). Tetapi ajakan itu ditolak kerana Umar khuatir perbuatan tersebut akan menjadi hujjah generasi Islam selepasnya untuk mengubah gereja menjadi masjid.
 
Saidina Umar kemudian meninjau sekitar kawasan Gereja al Qiamah dan berjalan sepanjang 500 meter menuju ke selatan, lalu beliau melakukan solat di tempat perhentiannya. Kawasan tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh Yahudi dalam pada 21 Ogos 1969.
 
Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan menunaikan qiyam dan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis. Lalu salah seorang bertanya kepada
Umar,”Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”
“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringat Baginda salallahualaihi wasalam pernah bersabda…
MAKSUDNYA : "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada diri kalian semua sebagaimana yang diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kamu semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan (kerana kelalaian terhadap dunia)".
 
Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata.
 

Isnin, 5 November 2012

Azab Dan Bala Dari Allah s.w.t

Rasulullah saw bersabda bermaksud: 
“Apabila Allah menurunkan azab keatas dunia untuk satu-satu kaum, maka azab itu akan menimpa ke atas mereka yang berada sama dalam masyarakat kaum itu, kemudian apabila mereka dibangkitkan di akhirat nanti maka kedudukan mereka adalah mengikut taraf keimanan serta amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini”. (Hadis Riwayat: Al Bukhari).

Hadis di atas bermaksud apabila Allah mahu menurunkan bala atau bencana ke atas satu-satu kaum di dunia ini kerana ada di kalangan kaum itu melakukan kejahatan atau maksiat, maka azab yang diturunkan itu menimpa ke atas kaum yang beriman dan juga kepada mereka yang kufur. 

Tetapi apabila mereka berada di hari Akhirat nanti, mereka akan ditempatkan ditempat yang sesuai dengan kedudukan mereka mengikut keimanan dan amal kebajikan yang mereka lakukan di dunia ini.

Allah yang Maha Berkuasa, melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya tanpa mengira sesiapa. Allah melakukan itu dengan kehendak dan kekuasaan-Nya. Dialah yang menjadikan segala-galanya dan Dialah yang menjadikan siang dan malam, panas, sejuk, ribut dan sebagainya. Di samping itu, Allah menurunkan rahmat dan Dia juga menurunkan bala kepada mereka yang dikehendakiNya.

Sesungguhnya, Allah itu bersifat pemurah kepada sekalian makhluk termasuk jin dan manusia, sama ada makhluk itu beriman kepada-Nya atau makhluk itu kufur kepada-Nya. Allah memberi banyak nikmat kepada hamba-Nya di dunia ini sama ada nikmat yang mereka rasakan itu telah diusahakan ataupun tidak. Akan tetapi pada hari Akhirat nanti Allah tidak akan memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang kufur, sebaliknya memberikan nikmat kepada mereka yang beriman saja.

Namun begitu Allah menurunkan nikmat atau bala secara khusus kepada hamba-Nya di dunia ini disebabkan kezaliman mereka atau kerana keingkaran mereka. Di samping itu, Allah telah menurunkan bala atau bencana secara umum ke atas satu-satu kaum disebabkan ada dalam masyarakat kaum itu melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.

Dengan demikian, apabila Allah murka kepada sebahagian daripada kaum itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka, maka Ia menurunkan bala dan bencana ke atas kaum itu secara umum tanpa memilih sama ada mereka itu terdiri dari dari orang kafir atau pun dari mereka yang beriman.

Sungguhpun begitu, setiap mereka yang beriman telah dijanjikan dengan nikmat syurga manakala bagi mereka yang kafir telah dijanjikan dengan balasan neraka di akhirat kelak.

Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW sungguh bernasib baik kerana Allah tidak memberi hukuman yang sewajarnya kepada hamba-Nya yang melakukan maksiat di dunia ini sekalipun seseorang itu telah melakukan dosa yang besar.

Balasan yang diberi kepada mereka di dunia ini hanya kecil saja. Ia boleh dianggap sebagai pengajaran serta menjadi teladan kepada mereka yang hidup di dunia ini supaya insaf dan berhenti daripada melakukan sebarang kemungkaran.

Sebaliknya balasan yang wajar diberikan kepada mereka yang bersalah itu adalah di akhirat kelak sekiranya mereka mati belum sempat untuk bertaubat.

Dengan demikian, kita sebagai umat Muhammad patut bersyukur kepada Allah kerana Ia telah memberikan taufik hidayah kepada kita di mana kita dapat beriman kepada-Nya serta berpegang dengan agama-Nya.
  
Pada masa dulu, sebelum adanya syariat Nabi Muhammad SAW seperti berlakunya ke atas nabi terdahulu seperti nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan lain-lain yang mana pada zaman itu, jika ada mereka yang tidak beriman atau mereka yang melakukan perbuatan mungkar dan apabila mereka diberi amaran supaya mematuhi suruhan dari Allah tetapi mereka masih 

lagi enggan, Allah menurunkan ke atas mereka dengan azab yang sungguh dahsyat bagi membinasakan kaum itu.

Bala atau bencana yang diturunkan itu bermacam-macam rupa seperti yang berlaku ke atau kaum Nabi Nuh yang berupa banjir yang sangat besar.
  
Hal sama juga berlaku kepada umat Nabi Musa yang mana kaum Firaun tenggelam dalam sungai Nil. Bala yang menimpa Nabi Lut pula berlaku dimana bumi mereka diterbalikkan.


Wassalam.

Ahad, 4 November 2012

HADAPI UJIAN DENGAN JIWA YANG TENANG.

 
 
Setiap manusia pasti pernah menghadapi ujian atau masalah hidup dan ia dibebankan kepada mereka dalam bentuk yang berbeza mengikut kemampuan individu itu sendiri. Ada manusia diuji dengan kemiskinan melampau sehingga terpaksa berlapar beberapa hari, kehilangan orang dikasihi dan ada diuji dengan bala bencana seperti gempa bumi dan sebagainya.

Semua bentuk ujian ini telah dinyatakan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: 
“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Sesungguhnya kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.  Surah al-Qamar, Ayat 49 Setiap ujian atau masalah hidup yang ditimpakan kepada kita mengikut tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT kerana Dia tidak akan membebankan masalah yang melangkaui kemampuan manusia itu untuk menghadapinya.

Seorang mukmin seharusnya menghadapi setiap ujian dengan jiwa tenang dan bersangka baik, begitu juga jika melihat ujian berlaku ke atas orang lain. Setiap ummah kena bersangka baik, sabar hadapi dugaan Ibnu Khathir dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir menyatakan, Allah SWT pasti akan menguji setiap jiwa yang beriman melalui harta dimilikinya, dirinya sendiri, anak serta isterinya. Namun, setiap daripada mereka diuji mengikut kadar agama, jika agamanya kuat, maka bertambahlah ujian kepadanya.

Dengan bertambahnya ujian kepada mereka, bukan bererti Allah SWT sengaja membebankan dan menjadikan mereka lemah dengan ujian itu tetapi ia adalah batu aras menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapa tidak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
“Adakah manusia itu patut dibiarkan begitu saja berkata ‘kami telah beriman’. Maka dengan ujian itu, nyatalah apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyatalah pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah
Al-Ankabut, ayat 2-3)
Oleh itu, sebagai seorang mukmin, kita seharusnya menghadapi setiap ujian dengan jiwa tenang dan menguruskannya secara baik. Langkah pertama perlu diambil ketika ditimpa ujian ialah bersikap reda dan bersangka baik dengan Allah kerana Dialah yang menentukan takdir terjadi kepada kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
“Sesungguhnya kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.” (Surah al-Qamar, ayat 49)
Begitu juga apabila kita melihat ujian berlaku ke atas orang lain, kita seharusnya bersangka baik dan tidak menyatakan perkara yang buruk kepada mereka kerana perbuatan itu ditegah oleh Islam.

Tambahan lagi, ujian yang diterima mereka adalah ketetapan khusus untuk mereka dan mungkin jika kita ditimpa ujian sedemikian rupa, kita tidak mampu menghadapinya.

Selain itu, seorang mukmin yang baik mengamalkan sifat sabar kerana sabar mampu menghasilkan kebaikan dan mencegah daripada melakukan perkara di luar norma ditetapkan Islam.

Ali bin Abi Talib berkata: 
“Ingatlah! Sesungguhnya sabar itu sebahagian daripada iman seperti kedudukan kepala daripada tubuh badan. Apabila kepala dipotong, rosaklah tubuh badan.
Kita boleh mengambil iktibar daripada kisah hidup Nabi Ayyub yang diuji dengan kehilangan anak disayangi, harta benda hangus terbakar serta penyakit ganjil yang berterusan. Namun, beliau tetap sabar dan terus melakukan ibadat kepada Allah SWT.

Ketika ditanya syaitan laknatullah mengapa beliau masih beribadat kepada Allah SWT walaupun setelah diuji dengan pelbagai ujian, beliau lantas menjawab: 
“Hai Iblis terkutuk, Alhamdulillah! Dia telah memberi dan mengambilnya pula dari saya. Semua harta dan anak adalah fitnah untuk lelaki dan wanita, maka Dia mengambilnya dari saya, sehingga saya dapat bersabar lagi tenang untuk beribadah kepada Tuhan saya.
Melalui kisah ini, dapat kita merenung bagaimana Nabi Ayyub menghadapi pelbagai ujian dengan sabar dan reda, serta hanya mengeluh di dalam doa beliau saja seperti yang termaktub dalam surah Al-Anbiya’, ayat 83: 
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa kepayahan, dan engkaulah yang Maha Mengasihani.”

Imam Nawawi menyatakan, seseorang itu boleh mengeluh apabila ditimpa ujian, selagi mana dia tidak marah dan menyalahkan takdir yang diterimanya.

Islam juga tidak mengatakan salah jika seorang mukmin itu menangisi atas perkara buruk yang berlaku kepadanya. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan At-Tarmizi yang menceritakan ketika anak perempuan Baginda meninggal dunia di pangkuan Baginda sehingga Ummu Aiman yang berada di situ menangis, lantas ditanya oleh Baginda mengapa dia menangis di hadapan Baginda, lalu dijawab oleh Ummu Aiman, Baginda juga pernah menangis.

Baginda SAW lalu bersabda: 
“Aku tidak bermaksud menangis, tapi sebagai bentuk kasih sayang. Sesungguhnya orang beriman itu selalu merasa tenang dalam setiap keadaan. Ketika melihat seseorang meninggal dunia, ia tetap memuji Allah.”
Syukur juga antara sikap yang perlu ada ketika dilanda ujian iaitu dengan cara berterima kasih kepada Allah SWT kerana masih lagi mengurniakan kita nikmat tidak ternilai serta tidak menarik kembali nikmat paling besar diberikan iaitu iman dan takwa.

Kita mampu menghadapi apapun ujian yang datang jika tahu serta mampu mengurus jiwa dengan baik dan ini akan menjadikan setiap ujian menghasilkan kebaikan, bukannya menjadikan kita bertambah lemah atau berputus asa.

Khamis, 1 November 2012

Mulakan hari dengan senyuman




Mulakan hari kita dengan senyuman. Kita senyum bukan kerana semua perkara berada dalam keadaan baik. Sebaliknya kita senyum sebab dek senyum kita, InsyaAllah semuanya akan menjadi baik. Kerja2 kita akan jadi lebih mudah, orang-orang di sekeliling kita juga akan ikut merasa senang bila tengok kita senyum.
Kita senyum lagi... bukan kerana kita bahagia disebabkan hari ini indah. Sebaliknya kita senyum dan hati merasa bahagia sebab dari senyum kitalah maka hari ini akan ikut jadi lebih indah.
Berbahagialah kita jika dapat membantu orang lain tak kira walau dalam sekecil-kecil perkara. Dikatakan kebahagiaan ibarat tanaman, akan kering dan layu jika tak disiram. Kebahagiaan mesti disiram tiap hari dengan cara membantu sesama kita melalui tindakan memberi. Latih diri untuk memberi bukan sekadar tunggu untuk menerima.

Rasulullah SAW bersabda,
"Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramal makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

"Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah." (HR Tirmidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi).

Jangan Takut Hilang Rezeki



Jangan takut hilang rezeki.  Tiada perkara yang berlaku di luar pengetahuan Allah.  Semua yang terjadi berada dalam pengawasan-Nya. Hati kita akan tenang dengan keimanan terhadap Allah Taala. Maka bila Allah uji dengan ujian, hati akan tenang bila sedar semua kejadian datang dari Allah. Ujian kesenangan mahupun kesusahan adalah untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita.  Maka bersabar bila ditimpa musibah. Perancangan Allah lebih baik dari apa yang kita fikirkan. Sudah pasti ada hikmah yang terkandung. 

Ingat apa yang sering kita baca dalam doa Iftitah yang menyebut... Sesungguhnya solatku, Ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah tuhan sekelian alam. Semua perlakuan dan perbuatan kita hanya kerana Allah semata-mata.  Untuk nak tambah keimanan dalam hati maka hendaklah kita tambah amalan ketaatan kepada Allah.  Kalau seseorang menambah amalan soleh, perbaiki akhlak, perbaiki silaturrahim, maka Allah akan tambah iman dalam hatinya. 

Sebaliknya jika buat maksiat, Allah akan letakkan satu titik hitam dalam hati.  Lagi banyak buat yang tak baik, lagi banyak titik hitam.  Maka hendaklah sering berzikir dan berdoa, hendaklah selalu baca quran, sentiasa jaga solat di awal waktu untuk solat yang Allah fardhukan buat kita dan hendaklah usaha untuk melakukan solat-solat sunat.  Solat merupakan amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Solat sunat terbahagi kepada dua iaitu solat sunat Rawatib dan sebahagian lagi ialah solat-solat sunat yang lain seperti solat Dhuha, Witir, solat malam dan sebagainya.
 
Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan-amalan sunat termasuk solat-solat sunat. 

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku telah mengizinkan agar dia diperangi. Tidak ada amal yang paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya – HR Bukhari

Iman akan bertambah jika melakukan ketaatan, sebaliknya ia akan berkurang jika kurang melakukan ketaatan.  Cuba lihat hubungan kita dengan Allah, renungkan pula bagaimana hubungan kita dengan manusia.  Sesungguhnya hubungan kita dengan manusia adalah hasil dari hubungan kita dengan Allah.  Kalau hubungan dengan Allah baik, maka hubungan dengan sesama manusia pun InsyaAllah akan tiada masalah.

Hendaklah kita konsisten melakukan amalan ketaatan.  Istiqamah melakukannya, hendaklah lurus di jalan Allah Taala.  Di sana ada perintah Allah yang perlu di-ikut.  Di sana ada perkara yang dilarang yang perlu dijauhi.  Hendaklah ikut, jangan tengok kanan, jangan tengok kiri.  Jangan ada yang mampu mempengaruhi kita untuk tidak ikut perintah Allah.  Istiqamah beramal ialah terus ikut jalan Allah dan tidak ikut jalan lain yang menyeleweng.Kita berterusan melakukan semua yang diperintah kerana Allah suka jika kita buat sesuatu yang konsisten.  Ada tabiat manusia yang suka buat sesuatu sekejap saja, lepas tu berhenti tak buat lagi.  Contoh semasa bulan Ramadhan, kita rajin beramal, rajin baca quran tapi malangnya habis Ramadhan kita berhenti.  Alangkah ruginya kita. Maka cubalah untuk konsisten dalam beramal. Allah lebih suka amalan kita kecil/sedikit tapi berterusan dari yang banyak tapi terputus.


Orang yang berterusan dengan Allah Taala, hatinya akan tetap dengan Allah.  Contoh: Setiap hari dia mesti baca quran.  Bagaimana sibuk sekalipun, dia tetap ada masa baca quran.  Sepatutnya seseorang mukmin itu, dia ada hubungannya setiap hari dengan kitab Allah Taala.  Allah akan tambah aset kita iaitu pahala bilamana kita membaca al-quran.  Kedudukan kita InsyaAllah akan berada di tahap tinggi jika kita baca quran.  Lagi banyak kita baca quran, lagi tinggi kedudukan kita di akhirat.  Begitu jugalah dengan berzikir kepada Allah.  Nanti di hari akhirat, manusia akan menyesal kerana semasa hidup di dunia tidak di-isinya masa dengan berzikir kepada Allah.  Banyak masa terbuang sia-sia, habis masa hanya kepada perkara lara..nauzubillah.


Antara hasil taat pada Allah, maka InsyaAllah akan lahirlah taat yang berikutnya.  Tanda Allah terima amalan ketaatan kita ialah apabila kita dapat lakukan ketaatan yang berikutnya.  InsyaAllah Allah akan tambahkan takwa dalam diri kita...Maka banyakkanlah bekalan kita sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah 197 yang bermaksud:

Bertaqwalah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-KU hai orang-orang yang berakal.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable