Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Isnin, 25 April 2016

WAJAH SEKULARISME DI SEBALIK FAKTA DAN PERSEPSI




Laungan dan peringatan tentang penjajahan minda bukanlah suatu perkara baru. Anehnya kita dapati ada ketika golongan yang memberi peringatan itu sendiri masih tenggelam dalam jajahan minda, jauh sekali untuk memberi formula yang boleh diikuti sebagai langkah keluar dari agenda sekularisasi Barat.

 Ramai yang sekadar menjelaskan makna sekular, yakni pemisahan agama dari kehidupan dan pertentangannya dengan ajaran Islam yang syumul tetapi kegagalan mereka dalam memahami sejarah, strategi dan dogma Barat menyebabkan umat Islam hanya mengetahui penjajahan minda dari sudut tampak atau hedonisme sahaja.

Manakala proses pembaratan yang tampil dengan pelbagai jenama baru dianggap suatu pencerahan hingga ada yang mengagungkan ideologi falsafah Barat sebagai wacana Islamik. Kegagalan memahami musuh jelas menjadi punca kekeliruan umat Islam berterusan meraba mencari identitinya sendiri. Istilah secularism pertama kali digunakan oleh George Holyoake pada 1851 yang memberi gambaran umum terhadap pemikiran bebas yang telah bermula jauh lebih awal. Terdapat beberapa prinsip utama dalam sekularisme, antaranya ialah :

 i) Prinsip pewujudan negara tanpa agama.

 ii) Mereka yang dipertanggungjawab dalam sistem pentadbiran dan perundangan Negara hendaklah melaksana urus tadbir tanpa pengaruh kepercayaan/ kehendak agama.

Sekularisme pada asalnya merujuk kepada pemisahan di antara gereja Katolik dengan kenegaraan. Ini menandakan lunturnya keyakinan masyarakat Eropah terhadap agama khususnya Kristian Katolik kerana menyedari agama Kristian tidak membawa kepada kemajuan. Maka tidak hairanlah bilamana zaman kekuasaan gereja digelar „Dark Ages‟. Kerana itu, proses sekularisasi turut diangkat oleh Barat sebagai gerakan modenisasi.

Berdasarkan catatan sejarah, penentangan terhadap kekuasaan gereja Katolik lahir apabila Martin Luther, seorang teolog Jerman memaku '95 Theses' di pintu Castle Church, Wittenberg pada 31 Oktober 1517. Sejak itu, gerakan pemisahan berteras ideologi humanisme-liberalisme mendapat tempat dikalangan tokoh pemikir Barat seperti Rene Descartes, John Locke, Emmanuel Kant, Auguste Comte dan Nietzsche. Malahan, John Locke turut diiktiraf sebagai „The Father of Liberalism‟.

 Ideologi falsafah ini mewarnai era Enlightenment/ Zaman Pencerahan Barat yang memberi penekanan supaya manusia hidup bebas dari tradisi dan kepercayaan . Bermulalah saat di mana Barat mengagungkan akal fikiran, teori falsafah beserta ketakjuban sains secara keterlaluan hingga mencetuskan marxisme dan absolutism.

Serangan Pemikiran Di Malaysia.

Isu-isu pemikiran mula diperbincangkan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Kebelakangan ini, kita turut dapati pelbagai wacana ilmiah dianjur bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang Islam dan bahaya ideologi asing. Serangan pemikiran seperti liberalisme, feminisme dan Human Rights (Hak Asasi Manusia) amat hangat diperdebatkan.

Tidak dapat dinafikan, peresapan ideologi secular-humanism ini ke dalam masyarakat Islam berpunca dari mainan pihak tertentu yang ghairah mengejar reputasi dan kedudukan dengan membuat tuduhan palsu ke atas negara contohnya „Malaysia Negara sekular‟, manakala Perlembagaan Persekutuan pula dituduh tidak Islamik.

Bagi menjawab tuduhan-tuduhan di atas, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah) Jabatan Peguam Negara Malaysia, Tuan Haji Mahamad Naser bin Disa mengambil langkah proaktif dengan membentangkan kertas kerja berkaitan salahtanggapan masyarakat ke atas kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, perkataan sekular tidak pernah wujud dalam Perlembagaan, perkataan yang termaktub ialah Islam dengan penegasan Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan yang menyebut „Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan‟.

Malaysia ibarat sebuah tubuh manusia yang beragama Islam dan berakidah tauhid. Malah, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan dipertanggungjawab mengurus tadbir hal-hal berkaitan Islam, dan menjaga kepentingan umatnya di negara ini.

Sebagaimana penulis catatkan di awal makalah, ramai yang tidak memahami sejarah, strategi dan dogma Barat. Akibat ketidakfahaman tersebut, wujud golongan yang menobat diri pejuang Islam dengan rela hati berhubungan akrab, mengikuti telunjuk puak liberalis.

Maka tidak mencengangkan ketika pihak gereja di Negara ini memohon penggunaan Kalimah ALLAH bagi menggantikan perkataan „God‟ di dalam Bible, ada sebilangan individu bersongkok, berkopiah dan berserban dengan penuh semangat berhujah menyokong serta menyetujuinya. Ternyata yang putih di kepala belum tentu putih dalam kefahaman ilmu. Akhirnya, mereka yang selama ini galak menuduh Malaysia sebagai sekular sendiri hanyut menuruti arus liberal berombak kristianisasi.

Demikian juga hal yang sama berlaku apabila Agensi Penguatkuasaan Agama Islam melakukan pemeriksaan ke atas sebuah pusat komuniti di Petaling Jaya pada awal Ramadhan 1431H kerana menerima maklumat berkaitan usaha murtad dijalankan di kawasan terbabit.

Malangnya, segelintir ahli masyarakat mahupun organisasi yang mengaku diri pejuang Islam telah menghentam keras agensi agama tersebut dan secara tidak langsung seolah meredhai gerakan pemurtadan atas nama kebebasan beragama. Sekali lagi, soal akidah diperalat-dagangkan demi mencapai kemasyhuran.

Dalam kes-kes menyentuh sensitiviti agama, seperti penggunaan kalimah ALLAH dan pemurtadan, pihak gereja telah menjadikan Human Rights iaitu salah satu falsafah humanisme sebagai alasan bagi mengabsah perbuatan mereka. Ternyata di sini wujud hubungan bersifat simbiosis di antara gerakan sekularisme dan proses kristianisasi di mana ia saling membantu antara satu sama lain. Harus kita fahami, kes kalimah ALLAH dan gerakan murtad merupakan strategi terancang untuk menghakis kedudukan serta keistimewaan Islam di Malaysia.

Ini kerana sekiranya kekentalan akidah luntur di hati umat, sudah pasti kedaulatan Islam yang termaktub pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan turut tergugat.

Andai kata keistimewaan ini hilang, maka cita-cita mereka mendirikan sebuah negara berciri sekular dapat dibentuk.

Penulis ingin mengajak pembaca melihat Perkara 11(1) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan :-

Perkara 11 (1) - Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

Perkara 11(4) - Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama dikalangan orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Peruntukan ini bertujuan menjamin kedaulatan Islam dan menjaga akidah umatnya dari sebarang penyelewengan dan dakyah agama lain. Selain itu, terdapat juga undang-undang yang dinamakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Seksyen 9(1) memperuntukkan kesalahan menggunakan istilah yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual Enakmen (termasuklah “ALLAH”, “Illahi”, “Rasul”, “Iman”, “Solat”, “Wali”, “Fatwa”, “Nabi”, “Sheikh”).

Seksyen 9(2) pula memperuntukkan kesalahan menggunakan perbahasaan yang disenaraikan dalam Bahagian II Jadual (termasuklah “Subhanallah”, “Alhamdulillah”, “Allahu Akbar”,…). Jika sabit kesalahan – denda tidak melebihi RM1,000. Seksyen 11 memperuntukkan bahawa semua kesalahan adalah kesalahan boleh tangkap.

Pewujudan enakmen undang-undang di atas merupakan sebahagian usaha mencegah berlakunya penyelewengan agama serta pemurtadan ummah. Perkara 11(1) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan jika ditimbang dengan ilmu dan iman, pasti kita sedar ianya selari dengan ajaran Islam, berasaskan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad solallahu „alayhi wassallam yakni Islam mengakui kebebasan beragama oleh orang bukan Islam kerana tiada paksaan dalam memeluk agama Islam.

ALLAH subhanahu wa ta‟ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 256, maksudnya :
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimanapun ajaran Islam tidak membenarkan seseorang muslim untuk murtad kerana murtad bersamaan mensyirikkan ALLAH dan dosa syirik tidak akan diampuni kecuali melalui taubat nasuha serta kembali mentauhidkan ALLAH Yang Maha Esa.

Islam memandang berat terhadap kesalahan murtad sehingga ia tersenarai dalam undang-undang jenayah Islam yang dikenakan hukuman bunuh. Di Malaysia, sekalipun undang-undang hudud belum dilaksanakan, namun peruntukan-peruntukan yang penulis catat di atas membuktikan sistem perundangan negara telah mengambil langkah cegah sebelum parah dengan cara menghalangi usaha pemurtadan dari berlaku. Ia wajar dijadikan landasan oleh segenap kita mempertahan kedaulatan Islam di Malaysia.

Kesimpulan.

Vokal sumbang menghentam kredibiliti Agensi Agama Islam menghalang tindakan kristianisasi tidak ubah seperti suara Martin Luther menerjah gereja Katolik pada 1517 yang merencanakan permulaan liberalisme. Usah kita sedikit pun terpengaruh dengan sikap memprotes autoriti agama sebagaimana perlakuan Barat, kerana apa yang terjadi di sana membuktikan dogma kristian sebagai agama yang terseleweng daripada kebenaran.

Berbeza dengan pihak berautoriti Islam di Malaysia yang dari semasa ke semasa sentiasa konsisten mempertahankan Islam sebagai agama yang tanzil. Lantas institusi Islam di negara ini wajar disokong dan dibantu.

Meneliti Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Maksudnya di sini, Islam diberi kedudukan, dijunjung dan dijulang tinggi di negara ini.

Hal ini adalah bertepatan dengan hadis baginda Rasulullah solallahu „alayhi wassallam riwayat al-Bukhari yang bermaksud : Daripada `A‟idz bin Amr al-Muzani, daripada Nabi solallahu ‘alayhi wassallam, bersabda “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

Kini kita berhadapan dengan sekelompok umat Islam Malaysia yang menentang sekular tetapi tidak dapat menjawab persoalan „apa itu sekular?‟. Asbab itulah kita melihat ramai insan yang berteriak “Sekular! Sekular!”, tetapi menjadi penyokong malahan pendukung kuat gerakan liberalisme.

Walhal kemunculan sekularisme berakar dari falsafah liberalisme. Semua ini kerana umat Islam tidak mengenali musuh secara menyeluruh. Natijahnya, mereka keliru membezakan kawan dan lawan, musuh dalam selimut; lantas mudah ditikam gunting dalam lipatan dan diperdaya sang musang berbulu ayam.

Bagi menghadapi fenomena yang kian meruncing ini, proses islamisasi perlu digerakkan dalam bentuk yang lebih teratur khasnya wacana ilmiah menerusi sistem pendidikan di semua peringkat. Kefahaman tentang akidah ahli sunnah wal jamaah mesti diperkukuh dan pengajian kitab-kitab turath khususnya seperti al-Ibanah dan Syarah al-Hikam perlu dipergiat.

 Institusi agama boleh mengambil langkah mewujudkan kelas-kelas talaqqi kitab dengan memberi ruang pada ulama/ pemikir Islam berwibawa dan bertauliah sebagai tenaga pengajar.
Selain pengajian Sifat 20 serta pemahaman berkaitan kesesatan aliran syiah, qadariyah, muktazilah dan mujassimah, penerapan ilmu usuluddin kepada masyarakat awam juga mesti meliputi kefahaman dan pendedahan terhadap bahaya idealisme Barat seperti liberalisme, humanisme, absolutisme, spiritualisme, pasca modernisme dan human rights movement. Penulisan ilmiah bagi menjawab kekeliruan tersebut harus diperhebat.

Penutup.

Sudah tiba masa kita membina umat berbudaya ilmu, bertunjang kemantapan akidah, sahsiah dan jati diri yang tulen. Demi menjayakannya, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan menyerah secara bulat-bulat kepada pihak berkuasa sahaja, sebaliknya hendaklah bersama-sama menjadi penggerak kepada usaha tersebut.

 Ingatlah bahawa tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi diamanahkan oleh ALLAH kepada setiap diri makhluk bergelar manusia. Muslim jualah yang layak menggalas amanah besar ini.

Pembangunan fizikal yang dipenuhi hutan batu dan teknologi tiada bermakna jika ketamadunan itu wujud tanpa „ad-din‟. Adapun, tidak mungkin dapat dinamakan sebuah peradaban andai tidak berisikan ilmu, adab dan akhlak. Wallahu‟alam.

Mengenal Hakikat Islam Liberal




Pada hari ini, ketika suatu wacana baru dilemparkan telah menjadi kebiasaan seorang pemikir akan melihat momentum keperluan semasa dan keberhasilannya bukan saja ditentukan oleh faktor dalaman tetapi juga faktor luaran dan tidak terkecuali political correctness di mata kuasa besar dunia. Wacana modernisme di Indonesia khususnya dan di dunia Islam umumnya adalah salah satunya, ia telah memanfaatkan momentum merebaknya wabak sekularisasi dunia dan meluasnya neocolonialisme kuasa besar. Wacana yang menentang arus sekularisasi dan liberalisasi secara tabi'inya akan terpinggirkan dan dianggap ketinggalan zaman.

Namun, seseorang yang berfikir dengan cerdas akan mengerti bahawa kebenaran tidak ditentukan oleh kekuasaan, ia harus tumbuh dari kesedaran diri dan hati nurani yang suci. Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya tentang hakikat sebenar Islam Liberal. Ramai yang bingung ketika melihat wajah Islam Liberal, ada yang melihat ia sebagai pembawa obor pembaharuan malah tidak sedikit yang menganggap golongan ini jujur dan ikhlas memperjuangkan kebaikan bagi masyarakat Islam. Ketika menyemak apa yang mereka suarakan timbul persoalan apakah benar mereka ini golongan pembaharu Islam (reformis)? Apakah mereka memiliki autoriti keilmuan untuk memberi pandangan tentang hakikat ajaran Islam? Di sinilah inti persoalannya.

Suatu persepsi telah dibina untuk mengaburi mata masyarakat awam, mereka mendapat liputan di media massa, dengan menggunakan bahasa akademik, orang yang tidak mengerti akan mudah tertipu dan menyangka mereka adalah golongan bijak pandai yang layak untuk berijtihad. Sememangnya ada di antara mereka berkelulusan tinggi dalam bidang pengajian Islam. Kita ambil dua orang tokoh Islam Liberal sebagai contoh iaitu Irshad Manji dan Amina Wadud.

Kedua-duanya mengejutkan dunia Islam, apabila yang pertama menghalalkan homoseksual dan yang kedua menjadi imam dan khatib solat Jumaat. Irshad Manji, tidak memiliki ijazah dalam bidang agama, pekerjaannya selama lebih dua puluh tahun adalah bidang kewartawanan. Namun begitu Irshad mengaku sebagai seorang reformis atau mujaddid Islam.

Tentunya Irshad banyak membaca tentang Islam, dan belajar sendiri melalui kuliah umum, seminar dan pergaulan dengan beberapa intelektual, namun persoalan yang timbul adalah bagaimana kita dapat memastikan bahawa kefahamannya terhadap Islam adalah benar, khususnya apabila tiada pernah menimba ilmu Islam di sebuah institusi pengajian Islam atau dari ilmuwan Islam yang berwibawa. Tidak seperti Irshad Manji, beberapa aktivis Islam Liberal memiliki ijazah yang cukup tinggi dalam bidang agama, Amina Wadud, contoh kedua, memiliki ijazah Ph.D dari universiti Michigan dalam pengajian Islam dan pernah menuntut ilmu di Mesir.

 Kerana itu Amina dan beberapa tokoh liberal sepertinya dapat membaca dan merujuk karya-karya turath berhujah dengan baik dengan menggunakan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Bahkan dengan rasa penuh yakin dan bangga, dengan segulung ijazah yang dimilikinya dari universiti di Barat itu ia merasa mampu untuk mentafsir semula al-Qur'an mengikut perspektif feminisme dan menuduh para ulama’ mufassirin selama ini sebagai pembenci perempuan atau misogynists dan bias dalam pentafsiran mereka.

Hakikatnya berkelulusan dalam bidang agama tidak menjadikan seseorang itu berilmu agama. Ijazah boleh diperoleh di mana saja dan kini semakin banyak institusi yang menawarkan pengajian Islam. Namun demikian perlu disedari bahawa ketika ijazah semakin mudah diperolehi, ilmu semakin sulit dicari, walaupun teknologi telah mempermudah penyampaian maklumat justeru teknologi maklumat seringkali menyebabkan ramai orang semakin bingung kerana tidak tahu bagaimana menilai dan menyaring maklumat yang diterima. Bahkan ada yang tertipu dalam menganggap dirinya berilmu hanya dengan bersandarkan maklumat yang diterimanya itu.

 Kesulitan mencari ilmu yang benar berhubungkait dengan hakikat bahawa ulama', yang benar-benar ‘alim, di akhir zaman ini semakin sedikit, semakin sulit dicari, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadith, “qalilun ulama'uhu kathirun khutaba'uhu” (sedikit ulamanya, ramai penceramahnya), dan ini adalah salah satu petanda akhir zaman. Jadi apabila bukan ilmu yang mereka dapat ketika berada di pusat pengajian Islam dan mendapatkan ijazah dalam pengajian Islam, maka apakah sebenarnya yang mereka dapat? Pencarian ilmu sebenarnya tidak mudah, kerana sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, ia melibatkan ketibaan makna, sesuatu yang bukan material.

Ketika sistem pendidikan banyak menumpukan pada maklumat dan fakta-fakta tentang Islam, yang sebagiannya benar dan daripada sumber-sumber yang benar, tetapi kemudian dicampuradukkan, disalahertikan, disalahtafsirkan, sama ada sengaja ataupun tidak, untuk sampai kepada kesimpulan-kesimpulan yang sesuai dengan semangat zaman yang telah dicorakkan oleh sekularisme dan liberalisme.

Dengan adanya niat yang tidak murni dan ketiadaan sikap beradab dan adil serta hak-hak yang tidak ditunaikan, maka seseorang itu berkemungkinan telah terhijab daripada mencapai ilmu yang benar. Ketika sesuatu perkara difahami dengan makna yang salah maka ia akan memberi ilmu yang keliru, dan walaupun tujuan dan niat seseorang itu baik tetapi kekeliruan ini hanya akan mendatangkan keburukan dan kerosakan kepada diri mahupun masyarakat.

Lebih daripada itu, demi mencapai agenda sekularisasi dan liberalisasi Islam, terdapat kecenderungan golongan liberal untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran memanipulasi fakta dan maklumat yang benar untuk tujuan yang salah, dan ini telah menjadi ciri utama golongan liberal sekarang ini.

Fakta-fakta terpilih diletakkan secara tidak benar untuk menjadi premis-premis yang bukan pada tempatnya supaya memberi makna, kesimpulan dan penafsiran yang menyimpang dari yang diinginkan oleh Islam. Hal ini dilakukan sama ada dengan sengaja, dengan niat jahat, ataupun kerana kekeliruan yang menyebabkannya menyangka apa yang dilakukannya benar dan baik.

Guru kami telah mengingatkan bahawa terdapat sebahagian manusia yang berusaha melakukan perkara yang mereka anggap baik dengan bermodalkan kejahilan. Mereka adalah sejenis manusia yang tidak tahu siapa diri mereka sebenarnya, tempat yang selayaknya bagi mereka, tidak mahu menerima hakikat bahawa diri mereka jahil atau keliru.

 Mereka tidak menerima keterbatasan diri mereka dan menolak untuk diberitahu atau mengakui kelebihan ilmu yang diberikan kepada orang lain. Kerana itu ciri seorang ilmuwan adalah sifat tawadu’ dan beradab dalam menyikapi perbezaan, khususnya perbezaan di kalangan ilmuwan, ini tidak termasuk perbezaan dengan orang yang jahil atau keliru. Akibat daripada kejahilan dan sikap tidak beradab ini mereka keliru dan mengelirukan orang lain.

Tujuan yang mungkin baik seringkali menjadi buruk bahkan menyesatkan. Mereka boleh sahaja mengutip ayat dan hadith, bahkan kata-kata ulama’ muktabar, namun tanpa penjelasan yang baik dan benar, bagi membenarkan idea dan pandangan mereka. Di sini semua itu hanya menjadi alat dan bahan permainan dan bukannya ukuran dan rujukan yang dijunjung tinggi.

Mereka kononnya ingin melakukan pembaharuan dan reformasi bagi memungkinkan umat Islam berubah dan maju. Bagaimana mungkin tujuan ini akan terlaksana jika pemikiran, teori dan falsafah yang mereka sanjung adalah daripada pemikir-pemikir Barat yang keliru, agnostik dan ateis. Yang mereka mahukan sebenarnya adalah perubahan pada Islam itu sendiri, bagi mereka Islam yang perlu dirubah agar sesuai dengan moderniti Barat, maka mereka menawarkan ‘Islam yang baru’ versi liberal dan sekular. Umat Islam sebenarnya beruntung kerana masih ada para ilmuwan dan ulama’ yang benar yang menjelaskan kepada umat jalan yang benar.

 Dengan panduan para ulama’ al-rasikhun ini umat Islam tidak akan berganjak daripada iman mereka, daripada Islam yang benar dan tidak akan sesekali menerima versi Islam yang ditawarkan oleh Islam Liberal. Golongan liberal berdiri di atas premis bahawa pentafsiran manusia, siapapun ia termasuk para ulama’, terhadap teks suci selamanya relatif dan subjektif.

Untuk membenarkan asumsi ini mereka menggunakan kiasan Plato dan Jalaluddin Rumi tentang 4 orang buta yang cuba menggambarkan seekor gajah. Mereka ingin mengatakan bahawa bagaimanapun seseorang itu mentafsirkan dan memahami Islam maka pemahamannya tidak lebih dari gambaran yang didapat oleh setiap orang buta yang ingin mengetahui bentuk gajah, yang hanya sampai kepada kebenaran yang separa (partial).

Mereka tidak sedar bahawa kiasan yang digunakan adalah kiasan yang salah. Telah saya tegaskan di tempat lain bahawa hakikatnya kita tidak buta, dan kita telah dikurniakan oleh Allah SWT alat yang membolehkan kita melihat gajah sebagaimana adanya. Akal yang ada pada manusia, dengan bimbingan al-Qur’an dan al-Sunnah, serta ilmu yang diwarisi oleh para ulama’ al-rasikhun cukup bagi kita untuk memahami kehendak Allah dan mencapai kebenaran.

Oleh itu jelas bahawa analogi di atas hanya ingin memaksakan sesuatu yang bukan tempatnya. Dengan anggapan adanya kerosakan dalam Islam, mereka ingin merekonstruksi Islam namun lebih dari itu mereka juga mendekonstruksi Islam. Mereka ingin melakukan pembaharuan tetapi yang mereka lakukan sebenarnya adalah perombakan dan perosakan.

Mereka sangat yakin apa yang mereka lakukan adalah kebaikan, walaupun mereka merasa yakin, mereka sebenarnya tidak pasti dan justeru menganggap orang lain pun dalam ketidakpastian yang sama. Oleh yang demikian wacana yang dibangun bukan berdasarkan kepada ilmu melainkan keraguan. Mereka merasa ragu (syak) terhadap segala sesuatu termasuk hal-hal yang tetap (al-thawabit) dan tuntas dibicarakan dalam tradisi Islam.

Dan keraguan ini mereka anggap sesuatu yang perlu untuk mencapai objektiviti. Sedangkan objektiviti tidak pernah menjadi masalah dalam tradisi keilmuan Islam, ia hanya wujud dalam kerangka dualisme pemikiran Barat yang sekular. Keraguan sebenarnya adalah satu penyakit yang hanya akan hilang dengan cahaya ilmu. Tidak hairan jika ada di kalangan mereka yang mengaku reformis tetapi tidak pernah menuntut ilmu dengan serius dan mencari kebenaran dengan ikhlas, kerana mereka ragu akan segalanya.

Mereka akhirnya hanya menebar keraguan dan skeptisisme dan bukan ilmu dan kebenaran. Sebagai jalan keluar dan bagi mengatasi cabaran liberalisme ini mari kita semak sebuah hadith Rasulullah SAW:

يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِ خَلَفٍ عُدُولُهُ ، يَنْفُونَ عَنْهُ تَحْرِيفَ الْغَالِينَ ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ ، وَتَأْوِيلَ الْجَاهِلِينَ
رواه البيهقي وصححه احمد

Maksudnya: “Ilmu ini akan dibawa daripada setiap generasi oleh golongan yang terbaik, mereka akan menentang penyelewengan golongan pelampau (ekstrimis), serangan golongan yang memusuhi Islam, dan penafsiran golongan jahil”. Hadith ini menegaskan terdapat tiga golongan yang akan ditentang oleh para ulama’ yang benar iaitu: kelompok pelampau (al-ghalin), kelompok musuh penentang (al-mubtilin) dan kelompok orang-orang jahil (al-jahilin).

 Daripada ketiga-tiga kelompok ini Islam Liberal lebih dekat kepada kelompok al-Jahilin, yang dalam kejahilan dan kekeliruannya itu mereka cuba menafsirkan Islam mengikut hawa nafsu dan kefahaman mereka yang sedikit dan yang seringkali bersumberkan kajian para orientalis yang memusuhi Islam. Oleh yang demikian jelaslah bahawa hanya ada satu golongan yang akan menangani golongan ini iaitu para ilmuwan atau ulama’ yang benar.

Ketika ini kita melihat kurangnya golongan ulama’ yang mengemban amanah di atas, memiliki ilmu yang cukup bagi maju ke hadapan dalam memerangi kebatilan dan kekeliruan, namun hal ini berlaku bukan semata-mata kegagalan para ulama’.

 Kegagalan ramai pihak dalam meletakkan ilmuwan dan ulama’ pada tempatnya juga menjadi sebab kepada apa yang berlaku. Daripada banyak peristiwa kita dapat melihat bahawa ramai umat Islam sering keliru dalam menilai ilmuwan. Ilmuwan kecil sering diperbesarkan dan ilmuwan besar sering diperkecilkan. Juga, kerana itu, ramai yang salah dalam mengenalpasti akar masalah yang mereka hadapi akibat salah rujukan dan autoriti. Perkara ranting dianggap akar dan yang akar dianggap ranting. Selagi kita gagal menerapkan keadilan dalam diri kita dan melaksanakan adab yang sepatutnya terhadap ilmu dan ulama’ yang benar maka kebatilan dan kecelaruan akan terus bermaharajalela.

Penulis: Dr Khalif Muammar
(Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan2)

Rabu, 6 April 2016

CABARAN UTAMA UMAT ISLAM DI MALAYSIA



Pengenalan

Cabaran-cabaran ke atas agama Islam, ajaran dan Syariatnya semakin hari semakin hebat. Tetapi pada masa sama Islam juga berkembang di serata pelusuk dunia dengan begitu pesat. Atas janji Allah dalam Al-Quran bahawa Islam itu agama yang sempurna, “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku-redhai Islam itu sebagai agama bagimu”( Al-Maidah : 3). Begitu juga dengan maksud ayat suci yang lain, iaitu, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali-Imran: 19). Sebagai umat Islam kita juga percaya akan kekuasaan Allah dalam pemeliharaan Islam sebagai agama yang diredhai itu.

Namun, sifat Islam yang sempurna dan jaminan Allah tentang kelangsungan Islam di alam ini sehinggalah datangnya Hari Kiamat tidak bermakna kita umat Islam tidak perlu berusaha untuk menjelaskan tentang Islam dan merealisasikan kesempurnaannya. Keadaan ini juga tidak membenarkan kita umat Islam bertindak pasif dalam menegakkan hukum Syariah serta syiar Islam. 

Di sinilah munculnya kewajipan untuk setiap kita melakukan dakwah, mengajak ke arah kebaikan dan cara hidup Islam serta menegakkan hukum Allah yang jelas dan nyata.

Dalam ruangan ini saya cuba membawa kepada pembaca beberapa perkara yang saya fikirkan serius untuk kita sedari tentang cabaran terhadap Islam di negara ini. Perbincangan ini saya tumpukan kepada cabaran ke atas akidah umat Islam, cabaran ke atas institusi pentadbiran Islam, seperti institusi fatwa, termasuk Mufti dan juga agensi pelaksana hukum Syariah, iaitu mahkamah Syariah dan juga badan penguatkuasa. Berkaitan dengan itu, saya juga cuba membawa perhatian pembaca kepada cabaran ke atas kedudukan udang-undang Islam.

Cabaran Akidah Islam

Doktrin Salah di sisi Islam dan Cabaran Institusi Fatwa
Di negara kita, antara cabaran utama kepada Islam dan umatnya di negara ini ialah cabaran berkaitan akidah. Perkara yang menjadi fokus semasa ialah berkaitan kebebasan menganut dan mengamal doktrin yang diisytiharkan salah oleh pihak berautoriti agama.

 Dalam konteks ini Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyebaran fahaman syiah dan ajaran sesat lain telah dipersoal dan diperjuangkan sebagai satu cabang hak yang hendaklah diserahkan kepada setiap individu untuk memilih dan mengamal doktrin serta menentukan akidah masing-masing tanpa sebarang peduli atau perhatian dan jagaan daripada pihak berautoriti agama.

Ini adalah fahaman kebebasan liberal yang meletakkan perkara berkaitan agama/akidah sebagai sebahagian daripada hak yang hanya boleh ditentukan oleh individu secara bersendirian tanpa arahan atau kawalan daripada mana-mana pihak, termasuklah pemimpin atau dalam konteks ini pihak berautoriti agama.

 Perkara ini sudah tentu tidak selaras dengan kefahaman Islam sebenar kerana akidah Islam itu mempunyai paksi tertentu dan tidak boleh diubah. Sementara itu, atas dasar tanggungjawab pemimpin dan negara yang dituntut oleh Islam, umat Islam hendaklah dielakkan daripada tergelincir daripada ajaran sebenar.

Kesan daripada gesaan atau fahaman kebebasan dalam menentukan atau memilih akidah bagi orang-orang Islam ini ialah, setiap individu atau kumpulan akan mempunyai kebebasan menentukan doktrin kepercayaan mereka serta juga masih menamakan atau menggelar diri mereka sebagai Muslim/orang Islam tanpa menghiraukan kriteria-kriteria akidah Islam sebenar. Ini bukan sahaja memberikan kebebasan terbuka dan liberal, tetapi juga akan menyebabkan kekeliruan akidah dan seterusnya akan menghakis dan merosakkan akidah umat Islam.

Kerosakan akidah adalah sebesar-besar cabaran kepada umat Islam. Kita maklum bahawa akidah adalah sumber atau perkara pokok yang menjadi pasak kepada segala ajaran dan perintah atau syariat Islam. Sekiranya keputusan fatwa atau keputusan pihak berautoriti agama berkaitan akidah ini dipersoal maka itulah juga petanda kepada kemusnahan bukan sahaja akidah, bahkan juga kepada syariah dan syiar Islam – total failure or collapse of Islam.

Kebebasan Mengembangkan Doktrin Bukan Islam

Berkaitan dengan kedudukan dan cabaran akidah, ketika ini kita juga mendengar jeritan pihak-pihak tertentu untuk memansuhkan sekatan yang boleh dikenakan ke atas penyebaran doktrin bukan Islam di kalangan orang Islam. Alasannya ialah kebebasan beragama. Namun begitu, sekatan penyebaran doktrin ini adalah suatu hak orang Islam yang dimaterai dan diiktiraf Perlembagaan Negara. Kita maklum tentang objektif penyebaran doktrin bukan Islam ini; tidak lain dan tidak bukan untuk mengajak umat Islam meninggalkan agamanya yang benar. Persoalan sama ada berkesan atau tidak ajakan tersebut atau sama ada kuat atau lemah iman dan akidah orang Islam tidak begitu penting dalam keadaan perundangan ini. Sebab kepada wujudnya peruntukan ini pada asal ketika proses membuat Perlembagaan ialah bagi menjaga akidah umat Islam daripada diresapi atau terbuka kepada fahaman komunis yang sedang mengambil pengaruh di Tanah Melayu. Dalam konteks umum, ia bertujuan menjaga akidah umat Islam.


Cabaran ke atas Institusi Islam

Mahkamah Syariah

Berkaitan juga dalam perbincangan ini ialah tuntutan kebebasan menukar agama. Perjuangan sesetengah kelompok pejuang hak asasi untuk membolehkan seorang Islam menukar agamanya sudah tidak asing lagi dalam ruang khalayak kita. Berkaitan juga, pihak terbabit cuba menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan agama umat Islam.

Daripada aspek perundangan, pihak ini sebenarnya telah tidak mengambil berat kepada keputusan Mahkamah dalam kes Azlina Jailani. Keputusan kes Azlina Jailani antara lain menyatakan bahawa
seseorang yang mahu menukar status agama Islam kepada agama lain hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama. Keputusan ini dibuat oleh mahkamah sivil; bidang kuasa itu bukan ditegaskan oleh mahkamah Syariah, tetapi oleh mahkamah Sivil. Dengan kata lain, institusi mahkamah Syariah mempunyai kerangka atau asas perundangan yang kukuh untuk memelihara aqidah orang Islam.

Institusi Fatwa dan Mufti

Dalam perbincangan di atas, mengenai cabaran akidah umat Islam, cabaran ke atas institusi fatwa, termasuk kedudukan Mufti, juga agak jelas. Seringkali kita dengar komen dan ulasan tentang kedudukan fatwa dan kewibawaan para mufti. Fatwa merupakan sumber hukum Islam. Antara cabarannya setakat ini ialah fatwa dianggap sebagai satu bentuk undang-undang yang dibuat oleh golongan ‘elite’ agama. Fatwa dianggap sebagai penegasan kuasa Mufti yang membuat hukum tidak melalui proses demokrasi sebagaimana kehendak sistem perundangan.

Hujah saya mengenai perkara ini ialah, fatwa menjadi sumber hukum dalam perundangan Islam. Kedudukannya juga terpahat jelas dalam sejarah pentadbiran dan perundangan Islam negara. Dengan pengenalan sistem berperlembagaan, sistem pentadbiran agama Islam yang meletakkan urusan pentadbiran agama Islam termasuk perundangannya kepada institusi agama tersebut. Perkara utama ialah fatwa melibatkan proses membuat hukum untuk diterima pakai oleh umat Islam.

 Proses pengeluarannya juga telah begitu mantap diperbahas dan diputuskan mengikut kehendak hukum dan prosedur Syarak. Oleh itu persoalan bahawa fatwa tidak diluluskan melalui proses demokrasi tidak boleh dianggap sebagai satu kelemahan kedudukan fatwa. Ini kerana persoalan hukum hakam Syariah ini hendaklah dilaksana mengikut kehendak hukum Syarak juga.

Perkara yang kita tidak boleh terlepas pandang ialah walaupun fatwa ini dibuat oleh Mufti, ia bukanlah semata-mata keputusan mufti, tetapi proses mengeluarkan fatwa itu melibatkan banyak pihak, terutamanya pihak-pihak yang bersangkutan dengan perkara mahu difatwakan. Setelah itu, fatwa juga hendaklah diwartakan sebelum ia diterima pakai.

Agensi Penguat Kuasa

Selain daripada dua institusi Islam yang saya sebutkan di atas, target of attack juga telah ditujukan kepada agensi penguatkuasa undang-undang Islam. Para penguatkuasa undang-undang Islam dilabelkan sebagai polis moral yang bertugas untuk melihat kemoralan masyarakat. Pada mereka kemoralan adalah hal peribadi yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa dan tidak boleh dikawal oleh sesiapa. 

Maka kemoralan itu tidak perlu dikawal atau diselia. Walhal, perkara berkaitan kemoralan merupakan satu elemen penting dalam ajaran Islam dan kemoralan atau akhlak ini bukan semata-mata cara hidup, tetapi sebahagian daripada keimanan dan Syariat Islam.

Dalam aspek perundangan Negara, isu kemoralan ini jelas dalam kerangka perundangan yang diiktiraf oleh sistem perundangan Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara ada dimaktubkan bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang bagi membuat sekatan atas prinsip moral ke atas kebebasan bersuara (perkara 10(2)(a)), kebebasan berpersatuan (Perkara 10(2)(c)) dan kebebasan beragama (perkara 11(5)). 

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidaklah menyebut mengenai kemoralan berdasarkan agama Islam, tetapi hakikat umum ialah para penganut agama menyandarkan kemoralan kepada prinsip dalam agama mereka. 

Dan, dalam konteks sosial dan budaya negara, kemoralan itu tidak dapat tidak sentiasa diikat dengan prinsip dan nilai agama. Jika bukan prinsip dan nilai agama yang diletak sebagai penanda aras kemoralan, keadaan akan menjadi celaru dan keliru. Keadaan ini menjadikan khalayak berbeza pendapat tentang apa itu kemoralan atau nilai moral. Keadaan perbezaan ini berpotensi menjadi penyebab kepada hujah bahawa apa yang bermoral kepada seseorang mungkin tidak bermoral pada pandangan orang lain, dan apa yang tidak bermoral pada seseorang mungkin dianggap bermoral pada pandangan orang lain. 

Sekiranya perkara seperti hujah ini berterusan, maka kecelaruan dalam masyarakat akan menjadi-jadi dan seterusnya kekeliruan akan berlaku, membawa kepada ketakaturan dan seterusnya kecelaruan dalam cara hidup dan sosial masyarakat.

Berbalik kepada isu cabaran kepada institusi penguatkuasa undang-undang jenayah Syariah, saya melihat istilah atau gelaran ‘polis moral’ itu merupakan satusindiran tajam kerana moral pada kelompok ini adalah urusan peribadi individu. 

Maka ‘polis moral’ ini dianggap sebagai ‘penyibuk’ yang ‘menjaga tepi kain orang lain’ tanpa usul periksa, bahkan menceroboh ke atas hak privasi individu. Ekoran itu, penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah sentiasa menjadi target kritikan. Kritikan-kritikan tersebut tidak terhenti setakat modus, tatacara prosedur penguatkuasaan, bahkan perbahasan diheret sehingga mencapai tahap mencadangkan supaya undang-undang jenayah Syariah dihapuskan. 

Oleh itu penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah akan diperhati dan dinilai menerusi lensa hak asasi dan bukannya konteks amar makruf nahi munkar sebagaimana prinsip dan nilai Islam.

 Dalam konteks cara hidup pihak berkuasa menggalas tanggungjawab dan kewajipan untuk melaksanakan tuntutan al-amr bil ma'ruf wa al-nahy ‘an al-munkar. Bahkan label ‘polis moral’ itu menggambarkan pemikiran fahaman kebebasan liberal yang meletakkan kemoralan sebagai hak individu yang tidak boleh dikacau atau disentuh oleh pihak berkuasa.

Ulasan Penutup

Setelah dilihat kepada apa yang saya sebut di atas, cabaran yang dihadapi oleh agama Islam dan masyarakat Islam negara kita ketika ini bersangkutan dengan perkara paling penting, iaitu cabaran terhadap akidah. Berhubungan dengan itu, secara langsung atau tidak langsung, cabaran yang dihadapi ialah juga cabaran ke atas kedudukan dan status institusi Islam.

Dalam aspek pentadbiran Islam, kita maklum institusi-institusi ini adalah institusi penting bagi kelangsungan perundangan Islam; institusi fatwa sebagai institusi berkaitan hukum hakam Islam dan Mahkamah Syariah ialah institusi wajib dalam pentadbiran Islam yang melaksanakan Syariah atau hukum Syarak. Maka cabaran kepada kedua-dua institusi ini sudah tentu akan memberikan impak yang sangat serius ke atas agama Islam serta pelaksanaan ajaran Islam dan juga kedudukan umat Islam secara keseluruhannya.

Sebagai rumusannya, mempersoal atau tindakan mahu mengenepikan autoriti bertanggungjawab yang dilantik kerajaan untuk menguruskan hal berkaitan agama Islam ini kesannya bukan kecil. Sekiranya ini berlaku, bahaya yang lebih besar akan 

menimpa institusi agama, seperti institusi fatwa dan Mufti. Institusi ini akan dipersenda dan seterusnya akan menyebabkan semua keputusan berkaitan agama akan dipersoal dan tidak dihormati. Keadaan ini akan menjatuhkan institusi agama tersebut. Keadaan ini menjadi cabaran, bahkan juga satu bentuk ancaman kepada agama Islam, terutamanya dalam keadaan semasa, yang mana di peringkat global sekalipun, persepsi buruk terhadap autoriti agama ini sudah berleluasa.

Saya bukan bermaksud menyatakan kemaksuman pihak berkuasa agama sehingga tidak boleh ditegur atau tidak boleh dipersoal. Pada pemerhatian saya, prosedur dan perbincangan atau bersemuka perlu dilakukan dengan pihak berkuasa agama kerana kita mempunyai undang-undang prosedur yang agak sempurna dan kaedah penguatkuasaan yang agak komprehensif. 

Selain daripada mengambil pendekatan perbincangan, sekiranya keadaan memaksa, maka semakan di mahkamah juga boleh menjadi pilihan. Semakan mahkamah adalah jauh lebih baik daripada ‘perbicaraan di media’ dengan menggunakan pendekatan sentimen dalam kalangan orang awam.

Kesan daripada ‘perbicaraan di media’ dan mempergunakan sentimen khalayak akan seterunya membawa padah kepada perundangan Islam oleh kerana terdapat kemungkinan besar bahawa hal berkaitan perundangan Islam itu diserahkan kepada kepada mereka yang tidak tahu tentang perundangan Islam. Secara objektif, saya tidak menolak kemungkinan berlakunya ketidakteraturan dalam penguatkuasaan jenayah. Sekiranya ketidakteraturan itu berlaku, ia adalah masalah yang juga berlaku dalam proses penguatkuasaan undang-undang lain juga.

Kritikan kepada polis juga sentiasa kita dengar dan maklum. Tetapi kritikan ke atas ketidakteraturan tersebut tidaklah sampai kepada satu tahap mencadangkan pemansuhan undang-undang jenayah berkaitan.

Apabila bercakap mengenai jenayah, kita hendaklah faham tentang tujuan undang-undang tersebut diperkenal. Misalnya undang-undang khalwat. Kesalahan khalwat boleh mengundang permasalahan sosial yang lebih serius; saya bukan merujuk kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam sahaja. Khalwat dijadikan kesalahan kerana perbuatan itu mempunyai kecenderungan yang munasabah untuk mencipta satu jenayah lain yang seterusnya akan menyebabkan kecelaruan sosial.

Jika diperhatikan tuntutan kebebasan atau hak privasi dalam hal ini bercanggah dengan kemahuan masyarakat untuk menangani masalah sosial. Sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah sosial seperti ini sekiranya kita tidak mengambil perhatian kepada nilai moral yang dikuatkuasa melalui undang-undang. 

Benar jika dikatakan nilai moral itu harus dibentuk dan ditanam dalam diri dan syakhsiah ahli masyarakat, tetapi gandingan antara pendidikan dan pembentukan nilai diri dan satu bentuk peringatan adalah juga perlu dan juga penting.

Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti A. Aziz
Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable