WAJAH SEKULARISME DI SEBALIK FAKTA DAN PERSEPSI




Laungan dan peringatan tentang penjajahan minda bukanlah suatu perkara baru. Anehnya kita dapati ada ketika golongan yang memberi peringatan itu sendiri masih tenggelam dalam jajahan minda, jauh sekali untuk memberi formula yang boleh diikuti sebagai langkah keluar dari agenda sekularisasi Barat.

 Ramai yang sekadar menjelaskan makna sekular, yakni pemisahan agama dari kehidupan dan pertentangannya dengan ajaran Islam yang syumul tetapi kegagalan mereka dalam memahami sejarah, strategi dan dogma Barat menyebabkan umat Islam hanya mengetahui penjajahan minda dari sudut tampak atau hedonisme sahaja.

Manakala proses pembaratan yang tampil dengan pelbagai jenama baru dianggap suatu pencerahan hingga ada yang mengagungkan ideologi falsafah Barat sebagai wacana Islamik. Kegagalan memahami musuh jelas menjadi punca kekeliruan umat Islam berterusan meraba mencari identitinya sendiri. Istilah secularism pertama kali digunakan oleh George Holyoake pada 1851 yang memberi gambaran umum terhadap pemikiran bebas yang telah bermula jauh lebih awal. Terdapat beberapa prinsip utama dalam sekularisme, antaranya ialah :

 i) Prinsip pewujudan negara tanpa agama.

 ii) Mereka yang dipertanggungjawab dalam sistem pentadbiran dan perundangan Negara hendaklah melaksana urus tadbir tanpa pengaruh kepercayaan/ kehendak agama.

Sekularisme pada asalnya merujuk kepada pemisahan di antara gereja Katolik dengan kenegaraan. Ini menandakan lunturnya keyakinan masyarakat Eropah terhadap agama khususnya Kristian Katolik kerana menyedari agama Kristian tidak membawa kepada kemajuan. Maka tidak hairanlah bilamana zaman kekuasaan gereja digelar „Dark Ages‟. Kerana itu, proses sekularisasi turut diangkat oleh Barat sebagai gerakan modenisasi.

Berdasarkan catatan sejarah, penentangan terhadap kekuasaan gereja Katolik lahir apabila Martin Luther, seorang teolog Jerman memaku '95 Theses' di pintu Castle Church, Wittenberg pada 31 Oktober 1517. Sejak itu, gerakan pemisahan berteras ideologi humanisme-liberalisme mendapat tempat dikalangan tokoh pemikir Barat seperti Rene Descartes, John Locke, Emmanuel Kant, Auguste Comte dan Nietzsche. Malahan, John Locke turut diiktiraf sebagai „The Father of Liberalism‟.

 Ideologi falsafah ini mewarnai era Enlightenment/ Zaman Pencerahan Barat yang memberi penekanan supaya manusia hidup bebas dari tradisi dan kepercayaan . Bermulalah saat di mana Barat mengagungkan akal fikiran, teori falsafah beserta ketakjuban sains secara keterlaluan hingga mencetuskan marxisme dan absolutism.

Serangan Pemikiran Di Malaysia.

Isu-isu pemikiran mula diperbincangkan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Kebelakangan ini, kita turut dapati pelbagai wacana ilmiah dianjur bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang Islam dan bahaya ideologi asing. Serangan pemikiran seperti liberalisme, feminisme dan Human Rights (Hak Asasi Manusia) amat hangat diperdebatkan.

Tidak dapat dinafikan, peresapan ideologi secular-humanism ini ke dalam masyarakat Islam berpunca dari mainan pihak tertentu yang ghairah mengejar reputasi dan kedudukan dengan membuat tuduhan palsu ke atas negara contohnya „Malaysia Negara sekular‟, manakala Perlembagaan Persekutuan pula dituduh tidak Islamik.

Bagi menjawab tuduhan-tuduhan di atas, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah) Jabatan Peguam Negara Malaysia, Tuan Haji Mahamad Naser bin Disa mengambil langkah proaktif dengan membentangkan kertas kerja berkaitan salahtanggapan masyarakat ke atas kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, perkataan sekular tidak pernah wujud dalam Perlembagaan, perkataan yang termaktub ialah Islam dengan penegasan Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan yang menyebut „Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan‟.

Malaysia ibarat sebuah tubuh manusia yang beragama Islam dan berakidah tauhid. Malah, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan dipertanggungjawab mengurus tadbir hal-hal berkaitan Islam, dan menjaga kepentingan umatnya di negara ini.

Sebagaimana penulis catatkan di awal makalah, ramai yang tidak memahami sejarah, strategi dan dogma Barat. Akibat ketidakfahaman tersebut, wujud golongan yang menobat diri pejuang Islam dengan rela hati berhubungan akrab, mengikuti telunjuk puak liberalis.

Maka tidak mencengangkan ketika pihak gereja di Negara ini memohon penggunaan Kalimah ALLAH bagi menggantikan perkataan „God‟ di dalam Bible, ada sebilangan individu bersongkok, berkopiah dan berserban dengan penuh semangat berhujah menyokong serta menyetujuinya. Ternyata yang putih di kepala belum tentu putih dalam kefahaman ilmu. Akhirnya, mereka yang selama ini galak menuduh Malaysia sebagai sekular sendiri hanyut menuruti arus liberal berombak kristianisasi.

Demikian juga hal yang sama berlaku apabila Agensi Penguatkuasaan Agama Islam melakukan pemeriksaan ke atas sebuah pusat komuniti di Petaling Jaya pada awal Ramadhan 1431H kerana menerima maklumat berkaitan usaha murtad dijalankan di kawasan terbabit.

Malangnya, segelintir ahli masyarakat mahupun organisasi yang mengaku diri pejuang Islam telah menghentam keras agensi agama tersebut dan secara tidak langsung seolah meredhai gerakan pemurtadan atas nama kebebasan beragama. Sekali lagi, soal akidah diperalat-dagangkan demi mencapai kemasyhuran.

Dalam kes-kes menyentuh sensitiviti agama, seperti penggunaan kalimah ALLAH dan pemurtadan, pihak gereja telah menjadikan Human Rights iaitu salah satu falsafah humanisme sebagai alasan bagi mengabsah perbuatan mereka. Ternyata di sini wujud hubungan bersifat simbiosis di antara gerakan sekularisme dan proses kristianisasi di mana ia saling membantu antara satu sama lain. Harus kita fahami, kes kalimah ALLAH dan gerakan murtad merupakan strategi terancang untuk menghakis kedudukan serta keistimewaan Islam di Malaysia.

Ini kerana sekiranya kekentalan akidah luntur di hati umat, sudah pasti kedaulatan Islam yang termaktub pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan turut tergugat.

Andai kata keistimewaan ini hilang, maka cita-cita mereka mendirikan sebuah negara berciri sekular dapat dibentuk.

Penulis ingin mengajak pembaca melihat Perkara 11(1) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan :-

Perkara 11 (1) - Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

Perkara 11(4) - Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama dikalangan orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Peruntukan ini bertujuan menjamin kedaulatan Islam dan menjaga akidah umatnya dari sebarang penyelewengan dan dakyah agama lain. Selain itu, terdapat juga undang-undang yang dinamakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Seksyen 9(1) memperuntukkan kesalahan menggunakan istilah yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual Enakmen (termasuklah “ALLAH”, “Illahi”, “Rasul”, “Iman”, “Solat”, “Wali”, “Fatwa”, “Nabi”, “Sheikh”).

Seksyen 9(2) pula memperuntukkan kesalahan menggunakan perbahasaan yang disenaraikan dalam Bahagian II Jadual (termasuklah “Subhanallah”, “Alhamdulillah”, “Allahu Akbar”,…). Jika sabit kesalahan – denda tidak melebihi RM1,000. Seksyen 11 memperuntukkan bahawa semua kesalahan adalah kesalahan boleh tangkap.

Pewujudan enakmen undang-undang di atas merupakan sebahagian usaha mencegah berlakunya penyelewengan agama serta pemurtadan ummah. Perkara 11(1) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan jika ditimbang dengan ilmu dan iman, pasti kita sedar ianya selari dengan ajaran Islam, berasaskan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad solallahu „alayhi wassallam yakni Islam mengakui kebebasan beragama oleh orang bukan Islam kerana tiada paksaan dalam memeluk agama Islam.

ALLAH subhanahu wa ta‟ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 256, maksudnya :
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimanapun ajaran Islam tidak membenarkan seseorang muslim untuk murtad kerana murtad bersamaan mensyirikkan ALLAH dan dosa syirik tidak akan diampuni kecuali melalui taubat nasuha serta kembali mentauhidkan ALLAH Yang Maha Esa.

Islam memandang berat terhadap kesalahan murtad sehingga ia tersenarai dalam undang-undang jenayah Islam yang dikenakan hukuman bunuh. Di Malaysia, sekalipun undang-undang hudud belum dilaksanakan, namun peruntukan-peruntukan yang penulis catat di atas membuktikan sistem perundangan negara telah mengambil langkah cegah sebelum parah dengan cara menghalangi usaha pemurtadan dari berlaku. Ia wajar dijadikan landasan oleh segenap kita mempertahan kedaulatan Islam di Malaysia.

Kesimpulan.

Vokal sumbang menghentam kredibiliti Agensi Agama Islam menghalang tindakan kristianisasi tidak ubah seperti suara Martin Luther menerjah gereja Katolik pada 1517 yang merencanakan permulaan liberalisme. Usah kita sedikit pun terpengaruh dengan sikap memprotes autoriti agama sebagaimana perlakuan Barat, kerana apa yang terjadi di sana membuktikan dogma kristian sebagai agama yang terseleweng daripada kebenaran.

Berbeza dengan pihak berautoriti Islam di Malaysia yang dari semasa ke semasa sentiasa konsisten mempertahankan Islam sebagai agama yang tanzil. Lantas institusi Islam di negara ini wajar disokong dan dibantu.

Meneliti Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Maksudnya di sini, Islam diberi kedudukan, dijunjung dan dijulang tinggi di negara ini.

Hal ini adalah bertepatan dengan hadis baginda Rasulullah solallahu „alayhi wassallam riwayat al-Bukhari yang bermaksud : Daripada `A‟idz bin Amr al-Muzani, daripada Nabi solallahu ‘alayhi wassallam, bersabda “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

Kini kita berhadapan dengan sekelompok umat Islam Malaysia yang menentang sekular tetapi tidak dapat menjawab persoalan „apa itu sekular?‟. Asbab itulah kita melihat ramai insan yang berteriak “Sekular! Sekular!”, tetapi menjadi penyokong malahan pendukung kuat gerakan liberalisme.

Walhal kemunculan sekularisme berakar dari falsafah liberalisme. Semua ini kerana umat Islam tidak mengenali musuh secara menyeluruh. Natijahnya, mereka keliru membezakan kawan dan lawan, musuh dalam selimut; lantas mudah ditikam gunting dalam lipatan dan diperdaya sang musang berbulu ayam.

Bagi menghadapi fenomena yang kian meruncing ini, proses islamisasi perlu digerakkan dalam bentuk yang lebih teratur khasnya wacana ilmiah menerusi sistem pendidikan di semua peringkat. Kefahaman tentang akidah ahli sunnah wal jamaah mesti diperkukuh dan pengajian kitab-kitab turath khususnya seperti al-Ibanah dan Syarah al-Hikam perlu dipergiat.

 Institusi agama boleh mengambil langkah mewujudkan kelas-kelas talaqqi kitab dengan memberi ruang pada ulama/ pemikir Islam berwibawa dan bertauliah sebagai tenaga pengajar.
Selain pengajian Sifat 20 serta pemahaman berkaitan kesesatan aliran syiah, qadariyah, muktazilah dan mujassimah, penerapan ilmu usuluddin kepada masyarakat awam juga mesti meliputi kefahaman dan pendedahan terhadap bahaya idealisme Barat seperti liberalisme, humanisme, absolutisme, spiritualisme, pasca modernisme dan human rights movement. Penulisan ilmiah bagi menjawab kekeliruan tersebut harus diperhebat.

Penutup.

Sudah tiba masa kita membina umat berbudaya ilmu, bertunjang kemantapan akidah, sahsiah dan jati diri yang tulen. Demi menjayakannya, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan menyerah secara bulat-bulat kepada pihak berkuasa sahaja, sebaliknya hendaklah bersama-sama menjadi penggerak kepada usaha tersebut.

 Ingatlah bahawa tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi diamanahkan oleh ALLAH kepada setiap diri makhluk bergelar manusia. Muslim jualah yang layak menggalas amanah besar ini.

Pembangunan fizikal yang dipenuhi hutan batu dan teknologi tiada bermakna jika ketamadunan itu wujud tanpa „ad-din‟. Adapun, tidak mungkin dapat dinamakan sebuah peradaban andai tidak berisikan ilmu, adab dan akhlak. Wallahu‟alam.

Ulasan

Catatan Popular