Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Selasa, 25 November 2014

Kenapa Dalam Selawat Kita Sebut Nabi Ibrahim Bukan Nabi Yang Lain



Allah SWT telah mengkhususkan kepada Nabi Ibrahim AS beberapa kelebihan dan kedudukan yang mulia. Di dalam al-Quran, Baginda adalah Imam, Ummah, al-Hanif dan al-Qanit kepada Allah SWT. Kesemua para nabi selepas baginda dinisbahkan kepada baginda, demikian juga kesemua pengikut syariat selepas baginda beriman kepada baginda termasuk umat Islam, Krisian dan Yahudi.

Selain itu, Nabi Ibrahim AS merupakan Nabi yang paling utama selepas Nabi Muhammad SAW. Kerana itu Allah SWT memilih baginda sebagai Khalil (kekasih)Nya di dalam firmanNya:
وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah telah memilih Ibrahim sebagai Khalil.” (al-Nisa”: 125)

Kesemua para Nabi yang datang selepas Nabi Ibrahim adalah dari nasab baginda melalui Nabi Ishak dan Ya’qub. Melainkan Nabi Muhammad SAW, dimana baginda melalui Nabi Ismail bin Ibrahim. Melalui Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail tersebarnya bangsa Arab.

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنْ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا

Maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu, ikutilah agama Ibrahim yang Hanif.” (al-Nahl: 123)

Demikianlah yang diarahkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka kita adalah pengikut kepada Nabi Muhammad SAW. Kita juga merupakan umat yang lebih berhak terhadap nabi Ibrahim berbanding umat yang lain seperti firman Allah SWT:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang lebih utama terhadap Nabi Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan mengikut Nabi ini (Muhammad) dan mereka yang beriman (kepada Nabi Muhammad).” (Ali Imran: 68)

Allah SWT juga berfirman sebagai bantahan kepada Yahudi dan Kristian:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيّاً وَلا نَصْرَانِيّاً وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفاً مُسْلِماً وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “dan bukanlah Ibrahim itu seorang Yahudi dan bukan juga seorang Kristian. Akan tetapi baginda adalah seorang hanif lagi muslim, dan bukanlah baginda seorang dari kalangan musyrikin.” (Ali Imran: 67)

Wallahu a’lam.

Khamis, 20 November 2014

Cara Perlu Di Lakukan Apabila Terlupa Sesuatu Perkara!!



Kita sering mendengar dan melihat sebahagian orang apabila terlupakan sesuatu dan dia ingin mengingatinya semula, dia akan berselawat kepada Nabi saw. Apakah amalan ini ada sandarannya daripada sunnah atau apakah ada sebarang bacaan lain ketika kita terlupa?

Sebenarnya tidak ada sebarang bacaan yang khusus apabila kita terlupakan sesuatu dan kita berusaha mengingatnya semula. Sebaliknya bagi setiap muslim sepatutnya dia memohon pertolongan daripada Allah swt dengan berdoa kepada-Nya supaya diingatkan kembali perkara yang dilupainya itu.

Para ulama menyebut dua perkara yang bermanfaat diketikamana kita terlupa:

1. Mengingati Allah, dengan membanyakkan bertahlil, bertasbih atau bertakbir atau sebarang zikir yang lain. Ini kerana lupa itu adalah daripada syaitan, manakala mengingati Allah dengan berzikir berperanan sebagai pengusir syaitan. Para ulama membina pendapat mereka ini berdasarkan dalil daripada al-Quran, firman Allah swt:


وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا


Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah, dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” (al-Kahf: 23-24)

Para ulama ini berkata firman Allah (وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ : dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa) membawa maksud jika kamu terlupa sesuatu, maka ingatilah Allah dengan berzikir kepada-Nya, Allah akan mengingatkan kamu perkara yang kamu lupakan itu.

Antara para ulama yang menyatakan pandangan ini ialah al-Mawardi (الماوردي) di dalam al-Naktu wa al-‘Uyun (النكت والعيون), demikian juga dengan al-Qurtubi di dalam tafsirnya dan Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir (زاد المسير).

Al-Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti di dalam kitab tafsirnya Adwa’ al-Bayan berkata:

“Pada ayat yang mulia ini (ayat di atas) terdapat dua pandangan ulama tafsir:

Pertama: ayat yang mulia ini berkaitan dengan ayat sebelumnya dengan maksud apabila kamu berkata, esok aku akan melakukan sedemikian, sedangkan kamu lupa untuk mengatakan insyaallah, kemudian kamu teringat (utk mengatakan insyaallah) maka katakanlah insyaallah. Pendapat ini yang zahir, kerana beedasarkan firman Allah:


وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ


Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah” (al-Kahf:23)

Inilah pandangan kebanyakan ulama (jumhur), antara yang mengatakannya ialah Ibn ‘Abbas, al-Hasan al-Basri, Abu al-‘Aliyah dan selain mereka.

Kedua: (berpendapat) ayat itu tidak berkait dengan ayat sebelumnya, sebaliknya maknanya ialah, jika kamu terlupa sesuatu, maka ingatilah Allah (dengan berzikir kepada-Nya), kerana lupa itu adalah daripada syaitan, berdasarkan firman Allah swt kepada pemuda bersama Nabi Musa:


وَمَآ أَنْسَانِيهُ إِلاَّ الشيطان أَنْ أَذْكُرَهُ


Maksudnya: “Dan tidaklah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan.” Demikian juga dengan firman Allah swt:


اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشيطان فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ الله


Maksudnya: “Syaitan telah menguasai mereka, lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah.” (al-Mujadilah: 19) dan firman Allah:


وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشيطان فَلاَ تَقْعُدْ بَعْدَ الذكرى مَعَ القوم الظالمين


Maksudnya: “dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan itu), maka jangan kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat.” (al-An’am: 68)

Maka mengingati Allah itu boleh mengusir syaitan, ini dikuatkan dengan petunjuk daripada firman Allah swt:


وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرحمن نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ


Maksudnya: “Barangsiapa yang berpaling dari mengingati al-rahman (tuhan yang maha pemurah), kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (al-Zukhruf: 36) Firman Allah taala lagi:


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الناس مَلِكِ الناس إله الناس مِن شَرِّ الوسواس الخناس


Maksudnya: “Katakanlah aku berlindung kepada tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia, raja manusia, sembahan manusia, dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi..”

Iaitu bisikan ketika lalai dari megingati Allah, apabila syaitan diusir maka hilanglah lupa. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya dengan soalan di bawah:

“Apakah dibenarkan seseorang jika dia terlupa sesuatu, dia mengingati Allah (dengan berzikir) dalam bentuk yang tidak dikhususkan, seperti dia mengucapkan:

- Lailaha illalaah (لا إله إلا الله)
- Astaghfirullah (أستغفر الله)
- (لا إله إلا الله والله أكبر ، لا إله إلا الله ولا حول ولا قوة إلا بالله)

Kemudian dia mengucapkan:


عَسَى رَبِّيْ أنْ يَهْدِيَنِيْ لَأقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا




Maksudnya: “mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” Sebagai mengikuti apa yang terdapat di dalam surah al-Kahf, firman Allah:


وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا


Maksudnya: dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” (al-Khaf: 24) Atau apakah ayat ini khusus berkait dengan ayat sebelumnya?

Jawapan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin adalah seperti berikut:

‘Jika seseorang lupakan sesuatu hajat, maka hendaklah dia memohon kepada Allah taala untuk menginagtkannya semula dengan berkata/berdoa:


اللّهُمَّ ذَكِّرْنِيْ مَا نَسِيْتُ ، وَعَلِّمْنِيْ مَا جَهِلْتُ


Maksudnya: ‘Ya Allah, ingatkanlah aku apa yang telah aku lupa dan ajarkanlah daku, apa yang aku tidak ketahui.” Atau apa-apa bacaan/doa yang seumpama dengannya.

Adapun tentang bentuk zikir (tertentu) ketika lupa yang boleh mengingatkan semula (perkara tersebut), aku (al-Syeikh Muhammad bin soleh al-‘Uthaimin) tidak mengetahui tentangnya. Dan ayat yang disebut itu ada mengandungi maksudnya: ingatlah Tuhan kamu jika kamu terlupa, kerana Allah taala berfirman:


وَلا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَداً . إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ


Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah, dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa” (al-Kahf: 23-24)

Yakni kecualikan dengan kamu menyebut: “Melainkan jika dikehendaki oleh Allah,” jika kamu lupa mengatakannya (insyaallah) ketika mengucapkan: sesungguhnya aku akan mengerjakan perkara itu esok pagi.” (Sila lihat Fatwa Nur ‘Ala al-Darb)

2. Selawat ke atas Nabi saw
Terdapat hadith yang menyebut perkara ini, namun hadith itu sangan lemah (ضعيف جدا), maka tidak boleh beramal dengannya. Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madiniy (أبو موسى المديني), dan al-Hafidz Ibn al-Qayyim menyebutnya di dalam kitab Jala’ al-Afham di tempat ke-32 dari tempat selawat ke atas Nabi saw: Jika terlupa sesuatu dan hendak mengingatnya semula, dengan berkata:

“Abu Musa al-Madiniy menyebut, dia riwayatkannya dari sanad Muhammad ‘Uttab al-marwazi (محمد بن عتّاب المروزي), menceritakan kepada kami Sa’dan bin Ubadah Abu Said al-Marwazi, menceritakan kepada kami Ubaidullah bin Abdullah al-‘Atkiy, menceritakan kepada kami Anas bin Malik r.a. sabda Nabi saw:


إذا نسيتم شيئا فصلوا عليّ تذكروه إن شاء الله


Maksudnya: “Jika kamu semua terlupa sesuatu, maka berselawatlah kepada-ku, kamu semua akan mengingatinya, insyaallah.” – tamat kalam Ibn al-Qayyim

Sanad hadith ini lemah (ضعيف) disebabkan:
1. Ubaidullah bin Abdullah al-‘Atkiy, di dalam Tahzib al-Tahzib sebagai memperkenalkannya menyebut, al-Bukhari berkata: “Dia meriwayatkan hadith-hadith yang mungkar.” (عنده مناكير), Abu Ja’fat al-‘Aqiliy berkata: “Hadithnya tidak diambil.” al-Baihaqi pula berkata: ‘Tidak dijadikan hujah dengan hadithnya.”


2. Sa’dan bin Ubadah al-Qadahiy (سعدان بن عبدة القداحي), Ibn ‘Adiy di dalam al-Kamil berkata: “Dia tidak dikenali.” Disebabkan ini, al-Hafidz al-Sakhawi telah melemahkan hadith ini di dalam al-Qaul al-Badi’


Kesimpulan
Tidak ada sebarang bacaan atau zikir yang khusus jika terlupa sesuatu. Sebaliknya hendaklah berdoa dan memohon kepada Allah demikian juga dengan mengingati Allah dan memperbanyakkan zikir kepadanya.

Wallahu a’lam.

Jagalah Lidah !!!



Sesungguhnya persoalan memelihara lidah adalah satu persoalan besar yang sering diabaikan oleh kebanyakan orang. Ramai yang boleh memelihara diri dari terjebak ke lembah arak dan zina umpamanya. Namun amat kurang yang berjaya memelihara lidah dengan baik. Ramai yang berasa gerun untuk melakukan dosa dan maksiat yang lain, namun amat kurang orang yang berasa gerun apabila dia tidak memelihara lidahnya.


Sedarkah kita, lidah yang tidak dipelihara dengan baik boleh menjadi sebab kita dimurkai oleh Allah swt, dan dengan lidah itu juga kita boleh memperoleh redha daripadaNya. Oleh yang demikian, memelihara lidah mesti dijadikan antara perkara utama yang perlu diberi perhatian. Entah betapa banyak perkelahian, pertelingkahan dan suasana yang porak peranda di dalam masyarakat berpunca daripada lidah yang tidak dipelihara. Kerana itu di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatto’ Nabi saw bersabda:




إن الرجل ليتكلم بالكلمة من رضوان الله تعالى، ما يظن أن تبلغ ما بلغت يكتب الله عز وجل له من رضوانه إلى يوم يلقاه، وإن الرجل ليتكلم بالكلمة من سخط الله تعالى ما يظن أن تبلغ ما بلغت، يكتب الله تعالى عليه بها سخطه إلى يوم يلقاه


Maksudnya: “Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Alah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah.”[1]


Demikian betapa pentingnya memelihara lidah. Namun begitu ramai di kalangan kita yang mengabaikannya. Ramai di kalangan kita yang tidak jemu mengingatkan anak-anaknya dengan keburukan mencuri dan seumpamanya, perasankah kita, bahawasanya kita masih di peringkat tidak bersungguh mengingatkan anak-anak kita untuk memelihara lidah. Barangkali hakikat ini boleh dijadikan petanda aras yang kita masih belum cukup bagus memelihara lidah kita sendiri, kerana bagaimana mungkin seekor itik boleh mengajar anaknya berjalan betul? Kita memohon kepada Allah swt untuk menjadikan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang menjaga lidah mereka.


Berjanji Tetapi Tidak Melaksanakannya

Salah satu musibah yang sering menimpa lidah kebanyakan orang apabila dia mengatakan sesuatu sedang dia tidak melaksanakannya. Perkara ini sering berlaku terutamanya di dalam kempen-kempen pilihanraya. Tambahan pula pada tempoh ini, iaitu selepas berlansungnya hari penamaan calon pada 24 febuari yang lalu, semua parti dan calon yang bertanding akan berkempen untuk memperoleh sokongan ramai. Terkadang di dalam kempen pilihanraya, ramai yang sengaja menabur janji itu dan ini sedangkan dia tidak melaksanakannya. Apatah lagi sememangnya dia tahu yang dia tidak dapat melaksanakannya tetapi ditaburkan juga janji untuk mengaburi mata orang ramai. Di dalam al-Quran Allah swt berfirman:



Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya ” (al-Saff : 2-3) Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata: “(Ayat ini berupa) pengingkaran terhadap sesiapa yang melakukan sesuatu janji atau mengucapkan sesuatu tetapi tidak menunaikannya.”[2]


Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim pula Nabi saw bersabda:




آيَة الْمُنَافِق ثَلَاث إِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا اُؤْتُمِنَ خَانَ


Maksudnya: “Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila dia berjanji dia tidak melaksanakannya, apabila dia berkata dia berbohong, apabila dia diberi amanah dia khianat.”


Bahaya al-Ghibah Dan al-Namimah

Al-Ghibah (الغيبة) ialah: menyebut tentang seseorang apa yang tidak disukainya. Manakala al-Naminah (النميمة) pula ialah: memindahkan percakapan sebahagian orang tentang sebahagian orang yang lain dalam bentuk memberi keburukan. Hukum kedua-dua jenayah lidah ini adalah haram dengan kesepakatan semua para ulama disebabkan banyak dan jelasnya dalil-dalil dari al-Quran dan al-Hadith yang mengharamkannya, antaranya: Allah swt berfirman:



وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيْمٌ


Maksudnya: “Dan jangan sebahagian kamu mengata sebahagian yang lain, sukakah salah seorang daripada kamu, memakan daging saudaranya yang sudah mati?, maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang.” (al-Hujuraat: 12) Demikian buruknya perbuatan mengata dan mengumpat sehingga Allah swt mengumpamakannya dengan memakan daging saudara kita sendiri yang telah mati. Di dalam firmanNya yang lain, Allah swt menempelak pengumpat dan pencela dengan kecelakaan:



وَيْلٌ لِكُلّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ


Maksudnya: “Dan kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela.” (al-Humazah:1) Dari Abu Hurairah ra. Nabi saw bersabda:



"أتَدْرُونَ ما الغِيْبَةُ؟" قالوا: اللَّهُ ورسولُه أعلمُ، قال: "ذِكْرُكَ أخاكَ بِمَا يَكْرَهُ" قيل: أفرأيتَ إنْ كانَ في أخي ما أقولُ؟ قال: "إنْ كانَ فِيهِ ما تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ ما تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّهُ"

Maksudnya: “Apakah kamu semua ketahui apa itu al-Ghibah?”: Para sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Kamu menyebut tentang saudara kamu apa yang dia tidak sukai.” Lalu ditanya kepada Nabi saw: “Bagaimana kalau apa yang disebut itu ada padanya?” Jawab baginda: “Kalau apa yang kamu sebut itu ada padanya, maka itulah kamu telah melakukan ghibah kepadanya, jika apa yang kamu sebut itu tidak ada padanya, maka kamu telah mendustainya.”[3]


Menjelang pilihanraya ke-12 ini, umat Islam perlu lebih memerhatikan lidah mereka, supaya mereka tidak terjebak dalam melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan di dalam agama seperti membuat janji kosong, mengata dan mengaibkan orang, mengadu domba, dan seumpamanya. Mudah-mudahan kita memperoleh rahmat dari Ilahi, insyaallah.



--------------------------------------------------------------------------------

[1] HR Malik di dalam al-Muwatta’ dan al-Tirmizi, katanya pula hadith ini Hadith Hasan

[2] Tafsir al-Quran al-‘Azim

[3] Hadith riwayat Al-Tirmizi berkata hadith ini Hasan Sahih

Khamis, 6 November 2014

Air Telaga Nabi Muhammad S.A.W



Allah Ta’ala menyediakan sebuah telaga khas kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang terletak di padang Mahsyar pada hari kebangkitan semula nanti. 

Ada perbezaan pendapat di antara para ulama tentang bila dan di mana manusia akan mendatangi telaga Nabi SAW. itu. Imam Al Ghazali dan Al Qurthubi berpendapat telaga itu berada di padang Mahsyar sebelum menyeberangi sirat. Manakala Imam Bukhari rahimahullah berpendapat telaga Nabi SAW. itu berada selepas melintasi sirat. Wallahu a’lam.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.” (HR at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 2443)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Dialirkan pada telagaku itu dua saluran air yang (bersumber) dari (sungai al-Kautsar) di Syurga…” (HR. Muslim, no. 4255) 

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan, “Pada suatu hari, ketika Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam berada di tengah-tengah kami, tiba-tiba baginda mengantuk sekejap. Kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya, “Apa yang membuat Tuan tersenyum, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Baru saja diturunkan kepadaku sebuah surah.” Lalu Beliau membaca: (maksudnya),  Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kautsar. 

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Katsar: 1-3). Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata: “Apakah kalian tahu apakah Al-Kautsar itu?” Kami (para sahabat) menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Al-Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabb-ku ‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat. Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.” (HR Muslim, no. 400).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Telagaku (panjang dan lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kesturi, cawannya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang minum darinya, dia tidak akan haus untuk selamanya.” (HR Bukhari, no. 6093 dan Muslim, no. 4294).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya telagaku itu lebih panjang dari jarak antara Aylah (sebuah kota di teluk ‘Aqobah, Yordania) dan ‘Adan (kota Yaman). Seeungguhnya air telagaku itu lebih putih dari salji, lebih manis dari madu dicampur susu, serta bejana-bejananya lebih banyak dari bintang-bintang. Aku sungguh akan menjaganya dari orang lain (selain umatku), sebagaimana seseorang menjaga telaganya dari unta orang lain.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah pada hari itu baginda mengenali kami?” Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Ya. Kalian punya tanda yang tidak dimiliki oleh umat lain. Kalian datang kepadaku dengan dahi dan kaki bercahaya putih kerana wuduk.” (HR Muslim, no. 364)

Tetapi ada sebahagian umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang akan diusir ketika ingin mendatangi telaga itu.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, niscaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalangi dari menemui diriku.” (HR Bukhari, no. 6528 dan Muslim, no. 4243)

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Aku berkata: “Mereka termasuk umatku!” Namun muncul jawaban: “Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalmu.” Aku pun berkata: “Pergi dari sini, Pergi dari sini, bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.” (HR Bukhari, no. 6097)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya selepasku nanti akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Sesiapa pergi kepada mereka lalu membenarkan penipuan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi telagaku”. (HR Ahmad, Nasai dan Tirmidzi)

Kisah Pernikahan Dan Besarnya Jiwa Fatimah az Zahrah



Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya ketika Islam dibawa Nabi Muhammad SAW sudah maju dan pesat di Madinah dan sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah menjadi anak gadis remaja. Keelokan parasnya banyak menarik perhatian. Tidak sedikit pemuda terhormat yang menaruh harapan ingin mempersuntingkan puteri Rasulullah SAW itu. Beberapa orang terkemuka dari kaum Muhajirin dan Ansar telah berusaha melamarnya. Menangani lamaran itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa baginda sedang menanti datangnya petunjuk dari Allah SWT mengenai puterinya itu.

Pada suatu hari Abu Bakar As Siddiq r.a, Umar Ibnul Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama- sama Rasulullah SAW duduk dalam masjid baginda. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasulullah SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As Siddiq r.a, “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Talib?”

Abu Bakar As Siddiq r.a menyatakan kesediaannya. Ia berangkat untuk menghubungi Sayidina Ali r.a. Sewaktu Sayidina Ali r.a melihat datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gapah, ia menyambutnya dengan terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?” Setelah duduk rehat sejenak, Abu Bakar As Siddiq r.a segera memperjelaskan persoalannya, “Wahai Ali, engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai lebih keutamaan dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian juga engkau adalah kerabat Rasulullah SAW. 


Beberapa orang Sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat mempersuntingkan puteri baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda menyatakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi, wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakar r.a itu, mata Sayidina Ali r.a berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Sayidina Ali r.a berkata, “Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.” Abu Bakar r.a terharu mendengar jawapan Sayidina Ali r.a yang menyentuh perasaan itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Sayidina Ali r.a, Abu Bakar berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu bertaburan belaka!” Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar r.a berjaya mendorong keberanian Sayidina Ali r.a untuk melamar puteri Rasulullah SAW. 


Beberapa waktu kemudian, Sayidina Ali r.a datang menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah yang mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”

Jawapan Nabi Muhammad SAW itu belum dapat memuaskan hati Ummu Salamah r.a. Ia bertanya lagi, “Ya, tetapi siapakah dia itu?” “Dia saudaraku, orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW. Tercantum dalam banyak riwayat, bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Sayidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad SAW itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah pintu kubuka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Talib. Aku lalu kembali ke tempatku semula. Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah SAW. 


Ia dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Talib menundukkan kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya. Rasulullah mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kauperolehi dariku!” Mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, lahir keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata, “Maafkanlah aku, ya Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Talib dan ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. 

Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah, adalah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat. Setelah Allah membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah, apakah engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?” Ummu Salamah membuka kisahnya: “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?” “Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”

“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib, “Engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. 


Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah Azza wa Jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a. Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dengan disaksikan oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.” “Ya Rasulullah, itu kuterima dengan baik,” jawab Ali bin Abi Talib dalam pernikahan itu. 

Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti Fatimah dan Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Sayidina Ali. Rasulullah SAW mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.

Siti Fatimah mengisar sendiri gandum untuk dijadikan tepung sebelum diuli dan dimasak menjadi roti sebagai hidangan suami dan anak – anaknya

Sejarah menyaksikan bahawa Fatimah puteri Rasulullah adalah seorang wanita mulia yang menempuh berbagai ujian yang memerlukan pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun beliau adalah puteri Rasulullah, namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan kesenangan, tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Sayidina Ali, kehidupannya tetap susah. Walaupun Rasulullah pemilik kepada seluruh kekayaan di muka bumi tetapi baginda tidak pernah mendidik anaknya dengan kemewahan. 


Sewaktu menjadi isteri Sayidina Ali, Siti Fatimah menguruskan sendiri keperluan rumah tangganya. Sayidina Ali sering tiada kerana keluar bersama Rasulullah SAW. Setiap hari, Siti Fatimah mengangkut air dari sebuah perigi yang jauhnya dua batu dari rumahnya. Beliau mengisar tepung untuk keperluan makanan keluarganya. Dalam serba susah dan miskin, beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya dengan sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa dihadapinya. Bahkan dikatakan bahawa seluruh kesusahan wanita di dunia ini telah ditanggungi oleh beliau sehingga beliau tidak perlu dipoligamikan. 

Wanita mulia ini sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya. Sewaktu Rasulullah SAW hampir wafat, dia menemani ayahanda kesayangannya itu. Ketika itu Rasulullah SAW telah berbisik ke telinga kanannya. Rasulullah memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah sampai masanya untuk baginda mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana akan berpisah dengan ayah yang sangat dikasihinya. Kemudian baginda berbisik ke telinga kirinya pula. Siti Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya Rasulullah SAW menyatakan bahawa Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan menyusuli baginda. Siti Fatimah meninggal di usia 28 tahun, lebih kurang lima bulan selepas wafatnya Rasulullah SAW.

Kiasan Imam Ghazali Tentang Dunia



Kiasan Dunia (contoh yang diberikan oleh Imam Ghazali tentang Dunia...) 

Seperti seorang lelaki yang berjalan melalui hutan, dia sedang berjalan dan melihat ada seekor SINGA mengejar dia lalu ia berlari ke perigi dan melompat ke dalam perigi itu. 

Semasa jatuh kedalam perigi, sempat dia berpaut pada tali. 

Dia menarik nafas lega dan memandang ke atas, dia melihat singa yang masih berlegar di atasnya sedang menunggu. 

Kemudian, dia melihat ke bawah dan dapati seekor ULAR besar dengan mulutnya terbuka sedang menunggu dia jatuh. 

Dia hanya bergantung kepada tali dan dalam masa yang sama dia melihat satu TIKUS HITAM dan lagi satu TIKUS PUTIH sedang mengigit TALI tersebut. 

Mana di atas adalah singa, di bawahnya pula adalah ular dan dia sedang bergantung hanya pada tali... 
kemudian dia melihat adanya MADU di tembok perigi itu, lalu mengambil madu dengan jari dan meletakkan ke dalam mulutnya. 

Di sebabkan kemanisan madu itu membuatkan dia lupa singa, ular dan malahan lupa akan dua ekor tikus yang sedang menggigit tali... 

Kebenaranya: 

~ Singa itu adalah kematian yang selalu mengejar kita ... 

~ Ular itu adalah kubur kita, di mana setiap orang akan jatuh ke dalamya dan jika dia seorang yang baik ia akan mendapat sebuah taman daripada syurga dan jika dia orang jahat ia akan mendapat satu lubang dari 'neraka' Jahannam. 

~Tali merupakan umur kita... 

~Tikus hitam menandakan malam... 

~Tikus putih menandakan siang.. 

~Madu adalah dunia yang di mana kita rasa kemanisan dunia sehinggakan lupa akan kematian, kita lupa kubur, kita lupa yang kita akan mati dan dibangkitkan berdiri di hadapan Penciptanya... 

"Dan sesungguhnya hanya pada hari kiamat sajalah akan disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan kedalam syurga sesungguhnya dialah yang benar benar beruntung. Sesungguhnya kehidupan didunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan" (Ali Imran 185)

"Sesungguhnya telah kami ciptakan manusia dari tanah, Kemudian dari setetes mani yang disimpan dalam tempat yang kokoh (rahim) Lalu dari setetes mani itu Kami jadikan ia segumpal darah, Lalu dari segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, Lalu dari segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang Lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik. Kemudian sesudah itu kamu semua akan mati kemudian sesungguhnya pada hari kiamat engkau akan dibangkitkan lagi" (Al Mu'minun 23:12-16) 

"Maka mengapa ketika nyawa telah mencapai kerongkongan, dan kamu menyaksikannya, sedangkan kami lebih dekat kepadanya., tapi kamu tidak melihat hal ini; mengapa kamu - jika kamu memang merasa tidak dalam kekuasaan kami - tidak memanggil kembali nyawa itu, jika kamu memang orang-orang yang benar?" (Al-Waqia 56:83-87)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable