Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Sabtu, 31 Januari 2015

Nasihat Yang Mendekatkan Diri Dengan Allah S.W.T



بسم الله الرحمن الرحيماحفظ الله يحفظك “

1-Jika kamu menjaga hak-hak Allah SWT, Allah SWT akan menjaga hak-hak kamu.

” إذا لم تستح فاصنع ما شئت “

2-Jika kamu tidak malu kepada Allah SWT, lakukan apa yang kamu kehendaki.

” أطب مطعمك تكن مجاباالدعوة “

3-Elokkan makanan kamu, pasti Allah SWT memaqbulkan segala permintaan kamu.

” اتق الله حيثما كنت “

4- Takutlah kepada Allah SWT, walau dimana kamu berada.

” اتْبع السيئة الحسنة تمحها “

5- Balaslah kejahatan dengan kebaikan pasti kamu mendapat ganjarannya.

” خالقِ الناس بخلق حسن “

6- Berakhlaklah dengan manusia dengan sebaik-baik akhlak.

” اتق المحارم تكن أعبد الناس “

7-Takutlah kepada perkara-perkara dosa, pasti kamu akan menjadi Hamba Allah SWT terbaik.

” ارض بما قسم الله لك تكن أغنى الناس “

8-Redhalah dengan pembahagian Allah SWT, pasti kamu akan menjadi manusia paling kaya.

” أحبّ للناس ما تحبّ لنفسك “

9-Sayangilah manusia sebagaimana kamu sayang pada diri kamu sendiri.

” لا تُكثر الضّحك فإنّكثرة الضحك تميت القلب “

10- Jangan terlalu banyak ketawa, kerana dengan banyak ketawa boleh menyebabkan hati mati.

” الظّلم ظلمات يوم القيامة “

11-Kezaliman adalah kegelapan di Akhirat kelak.

” اتقوا الله واعدلوا في أولادكم “

12-Bertaqwalah kepada Allah SWT dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu.

” اتق النار ولو بشقّ تمرة “

13- Jauhilah daripada api neraka walau sekadar bersedekah dengan sebiji tamar.

” اتقوا دعوة المظلوم “

14- Takutlah kepada doa orang-orang yang telah kamu zalimi.

” أثقل شيء في الميزان الخلق الحسن “

15- Perkara yang paling berat dalam timbangan Allah SWT adalah Akhlak dan Budi Pekerti yang mulia.

” التأني من الله والعجلة من الشيطان “

16-Bertindak dengan tenang adalah ajaran Allah SWT dan Gopoh-gapah adalah ajaran daripada syaitan.

” قلة المال أقلّ للحساب “

17-Orang yang sedikit harta, mendapat kiraan yang senang daripada Allah SWT.

” لا تغضب ولك الجنة “

18- Jika kamu tidak bersifat pemarah kamu akan miliki Syurga.

” أحبّ الأعمال إلىالله أدومها وإن قلّ “

19- Amalan yang paling Allah SWT sukai adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

” أحب البلاد إلى الله مساجدها “

20-Tempat yang paling Allah SWT sukai dalam sebuah negeri adalah masjid.

” أبغض البلاد إلىالله أسواقها “

21-Tempat yang paling Allah SWT benci dalam sebuah negeri adalah pasar-pasar.

” أحبّ الطعام إلى الله ما كثرت عليه الأيدي “

22-Makanan yang paling Allah SWT sukai adalah makanan yang disedekah secara ramai-ramai.

” أحب الكلام إلى الله أن يقول العبد سبحان الله وبحمده “

23-Perkataan yang paling Allah SWT sukai adalah  :

سبحان الله وبحمده

” أحب الناس إلى الله أنفعهم “

24-Orang yang paling Allah SWT sukai adalah orang yang pandai mencari manfaat dalam  agama.

“أحبّ الأعمال إلى الله سرور تُدخله على مسلم “

25-Amalan yang paling Allah SWT sukai adalah amalan yang mendatangkan kesukaan kepada manusia.

” من كفّ غضبه ستر الله عورته “

26-Sesiapa dapat menahan kemarahannya, allah SWT akan menutup perkara yang memalukannya.

” سوء الخلق يُفسد العمل كما يُفسد الخلّ العسل “

27- Akhlak buruk adalah merosakkan amalan sebagaimana cuka merosakkan madu.

” أحبّ عباد الله إلى الله أحسنهم خلقا “

28- Hamba yang paling Allah SWT sayangi adalah hambanya yang paling Mulia Akhlaknya.

” إحذروا الدنيا فإنها خضرة حلوة “

29-Hati-hati dengan dunia kerana ianya elok pada pandangan dan manis pada citarasanya.

” إحفظ لسانك “

30-Jagalah lidah kamu.

” أدّ الأمانة إلى من ائتمنك “

31-Laksanakan amanah kepada mereka yang mempercayai amanah yang telah kamu miliki.

” لا تخن من خانك “

32-Janganlah kamu menipu kepada orang yang telah menipu kamu.

” أدعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة “

33-Berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan yang kamu yakin kepada penerimaanya.

” بشروا ولا تنفروا “

34-Berilah berita gembira, janganlah kamu menakut-nakutkan seseorang.

” يسّروا ولا تُعسّروا “

35-Permudahkanlah sesuatu urusan, jangan kamu memayahkan sesuatu urusan.

” كل بيمينك وكل مما يليك “

36-Makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang kamu layak makan.

” إذا آتاك الله مالا فليُر أثر نعمة الله عليك “

37-Jika kamu didatangi nikmat atau harta, maka perhatikan kesan nikmat tersebut keatas diri kamu.

” إذا أتاكم كريم قوم فأكرموه “

38-Jika sesuatu kaum menganugerahkan kepada kamu kemulian, maka muliakan mereka.

” إذا أتاكم من ترضون دينه وخُلُقه فزوّجوه “

39-Jika kamu didatang seseorang lelaki untuk meminang anak kamu, dan dia memiliki nilai-nilai agama dan kemulian akhlak maka terimalah pinangannya atau kahwinkan dia.

” إذا أراد الله بأهل بيت خيرا أدخل عليهم الرّفق “

40-Jika Allah SWT menghendaki sesuatu ahli keluarga itu bahagia, Allah SWT akan mencampakkan perasaan Kasih Sayang dalam ahli-ahli keluarga tersebut.

” إذا أسأت فأحسن “

41-Jika manusia melakukan kejahatan kepada kamu, maka lakukanlah kebaikkan kepada mereka.

” إذا حاك في نفسك شيء فدَعْه ”

42-Jika ada orang melaga-lagakan kamu, biarkanlah dia.

Ahad, 11 Januari 2015

Bagaimanakah Neraka Serta Ahlinya Yang Di Terangkan Di Dalam Kitab Tanbihul Ghafilin



Bagaimanakah Neraka Serta Ahlinya

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Api neraka telah dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga gelap bagaikan malam yang kelam."

Diriwayatkan bahawa Yazid bin Martsad selalu menangis sehingga tidak pernah kering air matanya dan ketika ditanya, maka dijawabnya: Andaikata Allah s.w.t. mengancam akan memanjarakan aku didalam bilik mandi selama seribu tahun. nescaya sudah selayaknya air mataku tidak berhenti maka bagaimana sedang kini telah mengancam akan memasukkan aku dalam api neraka yang telah dinyalakan selama tiga ribu tahu."

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari mujahid berkata: "Sesungguhnya dijahannam ada beberapa perigi berisi ular-ular sebesar leher unta dan kala sebesar kaldai, maka larilah orang-orang ahli neraka keular itu, maka bila tersentuh oleh bibirnya langsung terkelupas rambut, kulit dan kuku dan mereka tidak dapat selamat dari gigitan itu kecuali jika lari kedalam neraka."

Abdullah bin Jubair meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bahawa didalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika menggigit maka rasa redih bisanya tetap terasa hingga empat puluh tahun. Juga didalam neraka ada kala sebesar kaldai, jika menggigit maka akan terasa pedih bisanya selama empat puluh tahun."

Al-a'masy dari Yasid bin Wahab dari Ibn Mas'ud berkata: "Sesungguhnya apimu ini sebahagian dari tujuh puluh bagian dari api neraka, dan andaikan tidak didinginkan dalam laut dua kali nescaya kamu tidak dapat mempergunakannya."

Mujahid berkata: "Sesungguhnya apimu ini berlindung kepada Allah s.w.t. dari neraka jahannam." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli neraka iaitu seorang yang berkasutkan dari api nerka, dan dapat mendidihkan otaknya, seolah-olah ditelinganya ada api, dan giginya berapi dan dibibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat siksanya dari semua ahli neraka, padahal ia sangat ringan siksanya dari semua ahli neraka."

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Amr r.a. berkata: "Orang-orang neraka memanggil Malaikat Malik tetapi tidak dijawab selama empat puluh tahun, kemudian dijawabnya: "Bahawa kamu tetap tinggal dalam neraka." Kemudian mereka berdoa (memanggil) Tuhan: "Ya Tuhan, keluarkanlah kami dari neraka ini, maka bila kami mengulangi perbuatan-perbuatan kami yang lalu itu bererti kami zalim." Maka tidak dijawab selama umur dunia ini dua kali, kemudian dijawab: "Hina dinalah kamu didalam neraka dan jangan berkata-kata."

Demi Allah setelah itu tidak ada yang dapat berkata-kata walau satu kalimah, sedang yang terdengar hanya nafas keluhan dan tangis rintihan yang suara mereka hampir menyamai suara himar (kaldai).

Qatadah berkata: "Hai kaumku, apakah kamu merasa bahawa itu pasti akan terkena pada dirimu, atau kamu merasa akan kuat menghadapinya. Hai kaumku, taatlah kepada Allah s.w.t. itu jauh lebih ringan bagi kamu kerana itu, taatilah sebab ahli neraka itu kelak akan mengeluh selama seribu tahun tetapi tidak berguna bagi mereka, lalu mereka berkata: "Dahulu ketika kami didunia, bila kami sabar lambat laun mendapat keringanan dan kelapangan, maka mereka lalu bersabar seribu tahun, dan tetap siksa mereka tidak diringankan sehingga mereka berkata: 

Ajazi'na am sobarna malana min mahish (Yang bermaksud) Apakah kami mengeluh atau sabar, tidak dapat mengelakkan siksa ini.Lalu minta hujan selama seribu tahun sangat haus dan panas neraka maka mereka berdoa selama seribu tahun, maka Allah s.w.t. berkata kepada Jibril: "Apakah yang mereka minta?". Jawab Jibril: "Engkau lebih mengetahui, ya Allah, mereka minta hujan." Maka nampak pada mereka awan merah sehingga mereka mengira akan turun hujan, maka dikirim kepada mereka kala-kala sebesar kaldai, yang menggigit mereka dan terasa pedih gigitan itu selama seribu tahun. Kemudian mereka minta kepada Allah s.w.t. 

selama seribu tahun untuk diturunkan hujan, maka nampak mereka awan yang hitam, mereka mengira bahawa itu akan hujan, tiba-tiba turun kepada mereka ular-ular sebesar leher unta, yang menggigit mereka dan gigitan itu terasa pedihnya hingga seribu tahun, dan inilah ertinya: Zidnahum adzaba fauqal adzabi. (Yang bermaksud) Kami tambahkan kepada mereka siksa diatas siksa.

Kerana mereka dahulu telah kafir, tidak percaya dan melanggar tuntutan Allah s.w.t., kerana itulah maka siapa yang ingin selamat dari siksaan Allah s.w.t. harus sabar sementara atas segala penderitaan dunia didalam mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah s.w.t. dan menahan syahwat hawa nafsu sebab syurga neraka diliputi syahwat-syahwat.
Seorang pejungga berkata: "Dalam usia tua itu cukup pengalaman untuk mencegah orang yang tenang dari sifat kekanak-kanakan, apabila telah menyala api dirambutnya (beruban). Saya melihat seorang itu ingin hidup tenang bila dahan pohon telah menguning sesudah hijaunya. Jauhilah kawan yang busuk dan berhati-hatilah, jangan menghubunginya tetapi bila tidak dapat, maka ambil hati-hatinya, dan berkawanlah pada orang yang jujur tetapi jangan suka membantah padanya, engkau pasti akan disukai selma kau tidak membantah kepadanya. Berkawanlah dengan orang bangsawan dan yang berakhlak baik budinya."

Maka siapa yang berbuat baik pada orang yang tidak berbudi bererti ia telah membuang budi itu kedalam laut. Dan Allah s.w.t. mempunyai syurga yang selebar langit tetapi diputi dengan kesukaran-kesukaran.
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Allah memanggil Malaikat Jibril dan menyuruhnya melihat syurga dengan segala persiapannya untuk ahlinya, maka ketika kembali berkata Jibril: Demi kemuliaanMu, tiada seorang yang mendengarnya melainkan ia akan masuk kedalamnya, maka diliputi dengan serba kesukaran, dan menyuruh Jibril kembali melihatnya, maka kembali melihatnya, kemudian ia berkata: Demi kemuliaanMu saya khuatir kalau-kalau tiada seorangpun yang masuk kedalamnya. Kemudian disuruh melihat neraka dan semua yang disediakan untuk ahlinya, maka kembali Jibril dan berkata: Demi kemuliaanMu tidak akan masuk kedalamnya orang yang telah mendengarnya, kemudian diliputi dengan kepuasan syahwatnya, dan diperintah supaya kembali melihatnya kemudian setelah dilihatnya kembali, berkatanya: Saya khuatir kalau tiada seorangpun melainkan akan masuk kedalamnya."

Juga Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kamu boleh menyebut tentang neraka sesukamu, maka tiada kamu menyebut sesuatu melainkan api neraka itu jauh lebih ngeri dan lebih keras daripadanya."
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Maimun bin Nahran berkata: "Ketika turun ayat (yang berbunyi) Wa inna jahannam lamau'iduhum ajma'in (yang bermaksud) Sesungguhnya neraka jahannam itu sebagai ancaman bagi semua mereka. Salman meletakkan tangan diatas kepalanya dan lari keluar selama tiga hari baru ditemuikannya.

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik r.a. berkata: "Jibril datang kepada Nabi Muhammad s.a.w pada saat yang tiada biasa datang, dalam keadaan yang berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi Muhammad s.a.w: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?" Jawab Jibril: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu pada saat dimana Allah menyuruh supaya dikobarkan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka jahannam itu benar, siksa kubur itu benar, siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya." 

Lalu Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Ya Jibril, jelaskan kepadaku sifat jahannam." Jawabnya: "Ya, ketika Allah menjadikan jahannam maka dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun hingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. 

Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung diantara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan baranya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut Allah dalam Al-Quran itu diletakkan diatas bukit nescaya akan cair sampai kebawah bumi yang ketujuh. Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang dihujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang-orang yang dihujung timur kerana sangat panasnya, jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan api. Api neraka itu ada mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bagian yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi Muhammad s.a.w bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah-rumah kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setangahnya dibawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan tujuh puluh ribu tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain tujuh puluh ribu tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain tujuh puluh kali ganda, maka digiring kesana musuh-musuh Allah s.w.t. 

sehingga bila telah sampai kepintunya disambut oleh malaikat-malaikat Zabaniyah dengan rantai dan belenggu, maka rantai itu dimasukkan kedalam mulut mereka hingga tembus kepantat, dan diikat tangan kirinya kelehernya, sedang tangan kanannya dimasukkan dalam dada dan tembus kebahunya, dan tiap-tiap manusia itu digandeng dengan syaitannya lalu diseret tersungkur mukanya sambil dipukul oleh para malaikat dengan pukul besi, tiap mereka ingin keluar kerana sangat risau, maka ditanamkan kedalamnya."

Nabi Muhammad s.a.w bertanya lagi: "Siapakah penduduk masing-masing pintu itu?" Jawabnya: "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafiq, orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mujizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Firaun sedang namanya Alhawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang-orang shobi'in bernama Saqar. Pintu keempat tempat iblis laknatullah dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladha, pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. Pintu keenam tempat orang-orang kristien (Nasara) bernama Sa'ie."

Kemudian Jibril diam segan pada Nabi Muhammad s.a.w sehingga Nabi Muhammad s.a.w bertanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ketujuh?" Jawab Jibril: "Didalamnya orang-orang yang berdosa besar dari ummatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat." Maka Nabi Muhammad s.a.w jatuh pengsan ketika mendengar keterangan Jibril itu, sehingga Jibril meletakkan kepala Nabi Muhammad s.a.w dipangkuan Jibril sehingga sedar kembali, dan ketika sudah sedar Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Ya Jibril, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummatku yang akan masuk neraka?" Jawab Jibril: "Ya, iaitu orang yang berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w menangis, Jibril juga menangis, kemudian Nabi Muhammad s.a.w masuk kedalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian masuk kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah s.w.t., dan pada hari ketiga datang Abu Bakar r.a. kerumah Nabi Muhammad s.a.w mengucapkan: "Assalamu'alaikum yang ahla baiti rahmah. 

apakah dapat bertemu kepada Nabi Muhammad s.a.w?" Maka tidak ada yang menjawabnya, sehingga ia menepi untuk menangis, kemudian Umar datang dan berkata: "Assalamu'alaikum ya ahla baiti rahmah, apakah dapat bertemu dengan Rasulullah s.a.w?" Dan ketika tidak mendapat jawapan dia pun menepi dan menangis, kemudian datang Salman Alfarisi dan berdiri dimuka pintu sambil mengucapkan: "Assalamu'alaikum ya ahla baiti rahmah, apakah dapat bertemu dengan Junjunganku Rasulullah s.a.w.?" Dan ketika tidak mendapat jawapan, dia menangis sehingga jatuh dan bangun, sehingga sampai kerumah Fatimah r.a. dan dimuka pintunya ia mengucapkan: "Assalamu'alaikum hai puteri Rasulullah s.a.w."Kebetulan pada masa itu Ali r.a. tiada dirumah, lalu bertanya: "Hai puteri Rasulullah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah beberapa hari tidak keluar kecuali untuk sembahyang dan tidak berkata apa-apa kepada orang dan juga tidak mengizinkan orang-orang bertemu dengannya." 

Maka segeralah Fatimah memakai baju yang panjang dan pergi sehingga apabila beliau sampai kedepan muka pintu rumah Rasulullah s.a.w. dan memberi salam sambil berkata: "Saya Fatimah, ya Rasulullah." Sedang Rasulullah s.a.w. bersujud sambil menangis, lalu Rasulullah s.a.w. mengangkat kepalanya dan bertanya: "Mengapakah kesayanganku?" Apabila pintu dibuka maka masuklah Fatimah kedalam rumah Rasulullah s.a.w. dan ketika melihat Rasulullah s.a.w. menangislah ia kerana melihat Rasulullah s.a.w. pucat dan sembam muka kerana banyak menangis dan sangat sedih, lalu ia bertanya: "Ya Rasulullah, apakah yang menimpamu?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Jibril datang kepadaku dan menerangkan sifat-sifat neraka jahannam dan menerangkankan bahawa bahagian yang paling atas dari semua tingkat neraka jahannam itu adalah untuk umatku yang berbuat dosa-dosa besar, maka itulah yang menyebabkan aku menangis dan berduka cita." 

Fatimah bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimana caranya masuk?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Diiring oleh Malaikat keneraka, tanpa dihitamkan muka juga tidak biru mata mereka dan tidak ditutup mulut mereka dan tidak digandingkan dengan syaitan, bahkan tidak dibelenggu atau dirantai." Ditanya Fatimah lagi: "Lalu bagaimana cara Malaikat menuntun mereka?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Adapun kaum lelaki ditarik janggutnya sedangkan yang perempuan ditarik rambutnya, maka beberapa banyak dari orang-orang tua dari ummatku yang mengeluh ketika diseret keneraka: Alangkah tua dan lemahku, demikian juga yang muda mengeluh: Wahai kemudaanku dan bagus rupaku, sedang wanita mengeluh: Wahai alangkah maluku sehingga dibawa Malaikat Malik., dan ketika telah dilihat oleh Malaikat Malik lalu bertanya: "Siapakah mereka itu, maka tidak pernah saya dapatkan orang yang akan tersiksa seperti orang-orang ibi, muka mereka tidak hitam, matanya tidak biru, mulut mereka juga tidak tertutup dan tidak juga diikat bersama syaitannya, dan tidak dibelenggu atau dirantai leher mereka? Jawab Malaikat: "Demikianlah kami diperintahkan membawa orang-orang ini kepadamu sedemikian rupa." Lalu ditanya oleh Malaikat Malik: "Siapakah wahai orang-orang yang celaka?"

Dalam lain riwayat dikatakan ketika mereka diiring oleh Malaikat Malik selalu memanggil: "Wa Muhammad." tetapi setalh melihat muka Malaikat Malik lupa akan nama Rasulullah s.a.w. kerana hebatnya Malaikat Malik, lalu ditanya: "Siapakah kamu?" Jawab mereka: "Kami ummat yang dituruni Al-Quran dan kami telah puasa bulan Ramadhan." Lalu Malaikat Malik berkata: "Al-Quran tidak diturunkan kecuali kepada ummat Rasulullah s.a.w.." 

Maka ketika itu mereka menjerit: "Kami ummat Nabi Muhammad s.a.w" Maka Malaikat Malik bertanya: "Tidakkah telah ada larangan dalam Al-Quran dari maksiyat terhadap Allah s.w.t." Dan ketika berada ditepi neraka jahannam dan diserahkan kepada Malaikat Zabaniyah, mereka berkata: "Ya Malik, diizinkan saya akan menangis." Maka diizinkan, lalu mereka menangis sampai habis airmata, kemudian menangis lagi dengan darah, sehingga Malaikat Malik berkata: "Alangkah baiknya menangis ini andaikata terjadi didunia kerana takut kepada Allah s.w.t., nescaya kamu tidak akan disentuh oleh api neraka pada hari ini, lalu Malaikat Malik berkata kepada Malaikat Zabaniyah: "Lemparkan mereka kedalam neraka." dan bila telah dilempar mereka serentak menjerit: "La illaha illallah." maka surutlah api neraka, Malaikat Malik berkata: "Hai api, sambarlah mereka." Jawab api: "Bagaimana aku menyambar mereka, padahal mereka menyebut La illaha illallah." 

Malaikat Malik berkata: "Demikianlah perintah Tuhan Rabbul arsy." maka ditangkaplah mereka oleh api, ada yang hanya sampai tapak kaki, ada yang sampai kelutut, ada yang sampai kemuka. Malaikat Malik berkata: "jangan membakar muka mereka kerana kerana mereka telah lama sujud kepada Allah s.w.t., juga jangan membakar hati mereka kerana mereka telah haus pada bulan Ramadhan." Maka tinggal dalam neraka beberapa lama sambil menyebut: "Ya Arhamar Rahimin, Ya Hannan, Ya Mannan." 

Kemudian bila telah selesai hukuman mereka, maka Allah s.w.t.memanggil Jibril dan bertanya: "Ya Jibril, bagaimanakah keadaan orang-orang yang maksiat dari ummat Nabi Muhammad s.a.w?" Jawab Jibril: "Ya Tuhan, Engkau lebih mengetahui." Lalu diperintahkan: "Pergilah kau lihatkan keadaan mereka." Maka pergilah Jibril a.s. kepada Malaikat Malik yang sedang duduk diatas mimbar ditengah-tengah jahannam. Ketika Malaikat Malik melihat Jibril segera ia bangun hormat dan berkata: "Ya Jibril, mengapakah kau datang kesini?" Jawab Jibril: "Bagaimanakah keadaan rombongan yang maksit dari ummat Rasulullah s.a.w.?" 

Jawab Malaikat Malik: "Sungguh ngeri keadaan mereka dan sempit tempat mereka, mereka telah terbakar badan dan daging mereka kecuali muka dan hati mereka masih berkilauan iman."Jibril berkata: "Bukalah tutup mereka supaya saya dapat melhat mereka." Maka Malaikat Malik menyuruh Malaikat Zabaniyah membuka tutup mereka dan ketika mereka melihat Jibril mereka mengerti bahawa ini bukan Malaikat yang menyiksa manusia, lalu mereka bertanya: "Siapakah hamba yang sangat bagus rupanya itu?" Jawab Malaikat Malik: "Itu Jibril yang biasa membawa wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w." 

Ketika mereka mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w. maka serentaklah mereka menjerit: "Ya Jibril, sampaikan salam kami kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan beritakan bahawa maksiat kamilah yang memisahkan kami dengannya serta sampaikan keadaan kami kepadanya." Maka kembalilah Jibril menghadap kepada Allah s.w.t. lalu ditanya: "Bagaimana kamu melihat ummat Muhammad?" Jawab Jilril: "Ya Tuhan, alangkah jeleknya keadaan mereka dan sempit tempat mereka." Lalu Allah s.w.t. bertanya lagi: "Apakah mereka minta apa-apa kepadamu?" Jawab Jibril: "Ya, mereka minta disampaikan salam mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan diberitakan kepadanya keadaan mereka." 

Maka Allah s.w.t. menyuruh Jibril menyampaikan semua pesanan itu kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang tinggal dalam khemah dari permata yang putih, mempunyai empat ribu buah pintu dan tiap-tiap pintu terdapat dua daun pintu dari emas, maka berkata Jibril: Ya Muhammad, saya datang kepadamu dari rombongan orang-orang yang derhaka dari ummatmu yang masih tersiksa dalam neraka, mereka menyampaikan salam kepadamu dan mengeluh bahawa keadaan mereka sangat jelek dan sangat sempit tempat mereka." 

Maka pergilah Nabi Muhammad s.a.w. kebawah arsy dan bersujud dan memuji Allah s.w.t. dengan ucapan yang tidak pernah diucapkan oleh seorang makhlukpun sehingga Allah s.w.t. menyuruh Nabi Muhammad s.a.w.: "Angkatlah kepalamu dan mintalah nescaya akan diberikan, dan ajukan syafa'atmu pasti akan diterima." Maka Nabi Muhammad s.a.w. berkata: "Ya Tuhan, orang-orang yang durhaka dari ummatku telah terlaksana pada mereka hukumMu dan balasanMu, maka terimalah syafa'atku." Allah s.w.t. berfirman: "Aku terima syafa'atmu terhadap mereka, maka pergilah keneraka dan keluarkan daripadanya orang yang pernah mengucap Laa ilaha illallah." Maka pergilah Nabi Muhammad s.a.w. keneraka dan ketika dilihat oleh Malaiakt Malik, maka segera ia bangkit hormat lalu ditanya: "Hai Malik, bagaimanakah keadaan ummatku yang durhaka?" Jawab Malaikat Malik: "Alangkah jeleknya keadaan mereka dan sempit tempat mereka." 

Maka diperintahkan membuka pintu dan angkat tutupnya, maka apabila orang-orang didalam neraka itu melihat Nabi Muhammad s.a.w. maka mereka menjerit serentak: "Ya Nabi Muhammad s.a.w., api neraka telah membakar kulit kami." Maka dikeluarkan semuanya berupa arang, lalu dibawa mereka kesungai dimuka pintu syurga yang bernama Nahrulhayawan, dan disana mereka mandi kemudian keluar sebagai orang muda yang gagah, elok, cerah matanya sedangkan wajah mereka bagaikan bulan dan tertulis didahi mereka Aljahanamiyun atau orang-orang jahannam yang telah dibebaskan oleh Allah s.w.t.. Dari neraka kemudiannya mereka masuk kesyurga, maka apabila orang-orang neraka itu melihat kaum muslimin telah dilepaskan dari neraka, mereka berkata: "Aduh, sekiranya kami dahulu Islam tentu kami dapat keluar dari neraka."

Allah s.w.t. berfirman: "Rubama yawaddul ladzina kafaruu lau kanu muslimin." (Yang bermaksud) "Pada suatu saat kelak orang-orang kafir ingin andaikan mereka menjadi orang Muslim."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Pada hari kiamat kelak akan didatangkan maut itu berupa kambing kibas putih hitam, lalu dipanggil orang-orang syurga dan ditanya: "Apakah kenal manut?" Maka mereka melihat dan mengenalnya, demikian pula ahli neraka ditanya: "Apakah kenal maut?" Mereka melihat dan mengenalnya, kemudian kambing itu disembelih diantara syurga dan neraka, lalu diberitahu: "Hai ahli syurga kini kekal tanpa mati, hai ahli neraka kini kekal tanpa mati." Demikianlah ayat: Wa andzirhum yaumal hasrati idz qudhiyal amru (Yang bermaksud) Peringatkanlah mereka akan hari kemenyesalan ketika maut telah dihapuskan."

Abu Hurairah r.a. berkata: "Janganlah gembira seorang yang lacur dengan suatu nikmat kerana dibelakangnya ada yang mengejarnya iaitu jahannam, tiap-tiap berkurang ditambah pula nyalanya."

Kitab Tanbihul Ghafilin


Jumaat, 9 Januari 2015

Tenangkan Jiwamu dengan Kemaafan



Apabila kita dilukai, dihina, difitnah atau berhadapan dengan ketidakadilan, kita mempunyai dua pilihan untuk berhadapan dengan perasaan tersebut memaafkan dan melupakannya atau membenci dan berdendam.
 
Kedua-dua keputusan ini amat sukar dilakukan. Implikasi atas kedua-duanya benar-benar bertentangan.
 
Kemarahan dan dendam kesumat akan meracuni jiwa kita. Jiwa menjadi pedih, geram, tertekan dan dihimpit dengan pelbagai perasaan amarah yang membuak-buak. Mereka seolah-olah menyimpan bom jangka dalam diri yang boleh meletup bila-bila masa sahaja. Bayangkan jika kemarahan itu telah mencapai kemuncaknya, mungkin mereka akan melakukan tindakan yang tidak terkawal lagi seperti bertengkar, membunuh atau mencederakan orang lain tanpa mengira implikasinya. Mungkin juga mengambil tindakan pasif seperti berdiam diri, merajuk, bermasam muka, tidak bertegur dan seumpamanya.
 
Berilah Kemaafan
 
Menahan diri daripada marah dan boleh memberi maaf merupakan suatu sifat yang terpuji lagi mulia. Walaupun orang yang melakukan kesalahan tidak meminta maaf daripada kita, alangkah eloknya jika kita memaafkannya terlebih dulu.
 
Ramai orang berfikir jika memberi maaf kepada seseorang bererti kita menerima dan bersetuju dengan perlakuan tidak adil yang dilakukannya terhadap diri kita. Sebenarnya tindakan memberi kemaafan bukan tanda kelemahan hati kita, tetapi sudah cukup untuk menggambarkan betapa kentalnya iman dan takwa. Manakala orang yang berani meminta maaf bererti memiliki jiwa besar, percaya kepada diri sendiri dan sekali gus merupakan keutamaan dan kelembutan hati yang dicintai Allah dan disukai para hambaNya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.” (Surah al-Syura 42: 43)
 
Hikmah Kemaafan
 
Orang yang mampu memelihara kemarahan dan bersabar dengan segala perbuatan buruk orang lain terhadap dirinya akan mendapat ganjaran istimewa daripada Allah sepertimana firmanNya yang bermaksud:
 
“Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang setimpal. Tetapi, sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang zalim.”(Surah al-Syura 42: 40)
 
Memberi maaf sebenarnya tindakan bijak yang dilakukan untuk diri kita sendiri. Ia memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama manfaat kesihatan dan kesejahteraan. Kita telah membebaskan diri daripada bebanan perasaan yang menghalang untuk bertindak secara positif. Orang yang bersifat pemaaf selalu berada dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan. Hanya orang yang kuat yang mampu memaafkan orang lain mahupun diri sendiri. Bak kata Mahatma Gandhi: “Orang lemah tidak memberi maaf. Sifat pemaaf adalah daripada orang yang kuat.”
 
Ketulusan dan keikhlasan hati memberi kemaafan kepada orang yang melakukan kesalahan kepada kita dapat menyingkirkan
tenaga negatif dan mengembalikan tenaga positif. Penyingkiran tenaga negatif dapat memulihkan kita daripada tekanan perasaan yang memudaratkan diri. Hubungan yang telah lama renggang dapat dipulihkan dan silaturahim bertaut kembali.
Ganjarannya, kita mendapat dua kebaikan iaitu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki sepertimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Berdoalah kepada Allah agar kita dilembutkan hati untuk berlapang dada dan membentuk jiwa yang boleh memaafkan orang lain. Semoga kita mampu meminta maaf daripada orang lain walaupun tidak membuat salah. Juga, semoga kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan terhadap orang lain juga dapat dimaafkan.

Jauhi Tujuh Perkara Boleh Menjadi Isteri Yang Nusyuz



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu. Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Quran, dan juga dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sahaja dan tidak pada yang lainnya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.

Terdapat tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah seperti berikut:

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.

Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.

Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya. 

Sahabat yang dimuliakan,

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan berbuat nusyuz itu, hak isteri terhadap nafkah dan qasm iaitu hak giliran bermalam bagi isteri yang mempunyai lebih dari seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada isterinya akan gugur.

Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyuz isteri ini:

1. Ketika nampak tanda-tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut kepadanya, maka sunat ke atas suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)

Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyuz sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:

- Menasihati isterinya dengan berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah pada perkara-perkara hak-hak yang wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak melaksanakannya.”

-Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyuz boleh mengugurkan (hak) nafkah dari suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri bagi suami yang mempunyai lebih dari seorang isteri.

- Menyebut hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyuz.“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

- Adalah sunat juga bagi suami berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya sesuatu.

2. Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyuznya.

Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

(Surah an-Nisa: 34)

Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga memberi garispanduan tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.

Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.

Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya.

Isteri juga diperintahkan untuk menjaga kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri solehah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika ( suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka) ”(Surah an-Nisa: 34)

Sesungguhnya ganjaran Allah Subhanahu Wa Ta‘ala terhadap isteri yang solehah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah radhiallahu ‘anha yang bermaksud : “Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan RasulNya serta dengan mentaati suami.

Sahabat yang dikasihi,

Para isteri wajiblah mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri di belakang suaminya. Berdosa besar apabila seorang isteri menderhaki suaminya, begitu juga haram seorang wanita yang telah bersuami bercinta dengan lelaki lain melalui facebook atau talipon bimbit. Jauhkan diri kalian daripada menjadi isteri nusuz kerana isteri nusuz tidak akan mencium bau syurga, jika kalian mati tidak mendapat redha suami kalian tidak akan mendapat redha Allah SWT, kerana redha Allah SWT bergantung kepada redha suami kalian.

Tetapi sekiranya kalian memiliki suami yang bengis (sering memukul isteri tanpa kesalahan besar) dan tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi nafkah maka kalian perlulah menasihatinya dahulu, jika tidak berkesan maka kalian perlulah mengadu di pejabat agama untuk mendapat pembelaan dan jika perlu menuntut fasakh atau tebus talak. Jika kalain tercedera sila buat pemereksaan doktor kerana lapuran perubatan sebagai bahan bukti apabila berlaku perbicaraan dimahkamah syariah nanti dalam kes tuntutan fasakh.

Setiap suami perlulah mendidik isterinya supaya dia menjadi isteri yang solehah, pastikan isteri menutup aurat dan diberi didikan agama yang mencukupi kerana tanggunhjawab tarbiah adalah tanggungjawab suami. Jika suami biarkan isterinya keluar rumah dengan mendedahkan aurat atau suami tidak prihatin isterinya bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya dikhuatiri suami akan menjadi suami yang dayus sesungguhnya suami yang dayus tidak akan mencium bau syurga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable