Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Jumaat, 6 Februari 2015

BELAJAR NIAT


BAHAGIAN 4: BELAJAR NIAT

Firman Allah swt:
"Sesungguhnya yang takut pada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang yang berilmu"
Surah Fatir : 28

Sungguhpun niat merupakan perbuatan hati secara spontan namun jika tidak dipandu dengan ilmu dan petunjuk, niat tetap sahaja akan tersasar daripada matlamat. Semakin hampir seseorang itu dengan al-Quran dan Hadis semakin jelas apa yang perlu diniatkannya.

Umpama meletakkan niat mengucup Hajarul Aswad di penjuru kaabah. Alasan yang diberikan oleh Saidina Umar r.a ketika mengucup Hajarul Aswad ialah kerana meneladani perbuatan Rasulullah saw.

Ketika umat Islam diarah mengadapkan wajah ke Baitullah, Masjidil Haram sesudah mengadap ke Baitul-Maqdis mereka tidak merasa berat untuk melaksanakannya kerana pada hakikatnya timur dan barat adalah milik Allah jua. Ketundukkan kepada hukum-hukum Allah merupakan gambaran hati dan iman di dalam diri.

Firman Allah swt:
"Apa jua perintah yang dibawa Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya kamu darinya, maka tinggalkanlah. Bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya."
(Surah Al-Hasyr. ayat 7)

Belajar niat bererti belajar meletakkan alasan pada sesuatu amalan yang dikerjakan. Alasan yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Kaedah-kaedah yang lain seperti ijmak ulamak dan qias merupakan metodologi yang diterima pakai untuk kes-kes yang tidak jelas hukum-hakamnya(di dalam al-Quran dan As-Sunnah).

Apabila Rasulullah s.a.w bertanya Mu'az bin Jabal r.a dengan apa ia akan berhukum sekiranya tidak terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah, Mu'az menjawab, "Aku akan berijtihad" dan Rasulullah s.a.w membenarkan ucapannya itu.

Semoga Allah terus memberkati semua imam-imam mujtahid yang meninggalkan pada kita khazanah ilmu untuk rujukan dan pertimbangan permasalahan hari ini.

Pengalaman mereka sebagai murabbi membentuk generasi awal yang berakhlak murni hasil dari keihklasan hati yang suci. Tanpa ilmu yang benar amalan akan menjadi kosong dan niat akan tersasar dari tujuan. Ilmu juga membentuk rasa takut pada Allah swt sepanjang masa dan ketakutan inilah menonton seseorang hamba kepada Tuhannya. Ilmu itu mengenal kebaikan dan rahmat Allah swt dan tidak sombong dengan amalan diri sendiri. Sesiapa yang Allah swt kehendaki kebaikan kepadanya diberikan kepadanya diberikan satu kemampuan yang dinamakan "Faham". Faham dalam memahami sebarang situasi dalam masa orang lain masih bertelagah dengan berkecamuknya pandangan peribadi.

Bila Allah swt mengurniakan kepada seseorang "faham" maka jalan hidupnya begitu mudah kerana dia mempunyai deria untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan sekalipun kebatilan itu diliputi dengan hiasan seindah mana jua.

Niat perlu dijaga kerana ia bergantung kepada iman sedangkan iman itu boleh turun dan naik. Ketika iman memuncak, cahaya ikhlas memenuhi hati lantas tidak wujud sesuatu yang lain daripada Allah swt dan apabila iman sedang merangkak lemah, mulalah hati mencari pegangan-pegangan yang tidak layak seorang hamba melakukan begitu.

Berhentilah sejenak bagi merenung niat di hati sebelum sesuatu amalan itu dilakukan. Bersihkan dari sebarang kepentingan duniawi lantaran kehidupan ini cuma sekadar mainan dan senda-gurau sahaja.

Sungguhpun seekor itik itu tidak perlu diajar berenang di dalam air kerana fitrah kejadiannya begitu namun ia perlukan petunjuk dan panduan ke arah mana yang hendak dituju. Manusia mempunyai keupayaan merasai kebenaran dengan hati tetapi panduan tetap diperlukan kerana gerak hati itu ibarat lampu yang tidak akan mengeluarkan cahaya tanpa adanya sumber tenaga. Tenaga itu dijana dari ilmu dan cahaya itu adalah pemberian Allah swt kepada seseorang. Mereka yang menghabiskan usianya untuk menuntut ilmu mempunyai kecepatan melintasi titian sirat adalah seperti cahaya juga. Ini disebabkan kemuliaan ilmu yang akan mendekatkan diri dengan Allah swt bukannya pula untuk kepentingan diri demi sebuah laba dunia.

Golongan berilmu terkehadapan memikir dan merasai kewajipan bagi menyelamatkan ummah agar jangan sampai berlakunya perlanggaran terhadap hukum-hakam. Hatinya sering merintih melihat ugama dipersendakan namun begitu dia tidak mengambil jalan uzlah selagi mana jalan perjuangan terbuka luas. Dia berjuang sampai ke titik akhir hidupnya sehingga tidak upaya lagi melakukan apa jua melainkan pancaran iman dari hatinya. Gerak hatinya menyaksikan susuk tubuh yang sudah tidak bermaya menjadi galang pada arus jahiliah yang mendatang tapi hati tetap menyala menerangi dari cahaya Rabbani yang tidak kunjung padam.


Kesimpulan:

1. Sungguhpun niat merupakan perbuatan hati secara spontan namun jika tidak dipandu dengan ilmu dan petunjuk, niat tetap sahaj akan tersasar dari matlamat.

2. Belajar niat bererti belajar meletakkan alasan pada sesuatu amalan yang dikerjakan.

3. Tanpa ilmu yang benar amalan akan menjadi kosong dan niat akan tersasar dari tujuan.

4. Sesiapa yang Allah swt kehendaki kebaikan kepadanya diberikan satu kemampuan yang dinamakan "faham".

5. Berhentilah sejenak bagi merenung niat di hati sebelum sesuatu amalan itu dilakukan. Bersihkan dari sebarang kepentingan duniawi lantaran kehidupan ini cuma sekadar mainan dan senda-gurau sahaja.

6. Manusia mempunyai keupayaan merasai kebenaran dengan hati tetapi panduan tetap diperlukan kerana gerak hati itu ibarat cahaya lampu yang tidak akan mengeluarkan cahaya tanpa adanya sumber tenaga. Tenaga itu dijana dari ilmu dan cahaya itu adalah pemberian Allah swt kepada seseorang.

Rabu, 4 Februari 2015

NIAT DAN IMAN



BAHAGIAN 3: NIAT DAN IMAN

Firman Allah:

"Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Dan Allah menghukum dengan adil. Manakala sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat menghukum dengan sesuatu apapun. Sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat".

(Surah Ghafir, ayat 19-20)

Iman merupakan anugerah Allah yang sangat tinggi. Merasai kebenaran di hati walaupun mata dan pancaindera lain tidak mampu merabanya.

Niat juga merupakan suatu pantulan dari cahaya Iman kerana niat itu datang dari hati yang dalam bukan dari kenyataan atau ikrar yang panjang-panjang. Niat yang benar mempunyai stamina yang cukup kuat untuk menempuh gelombang perjuangan yang mencabar dan ia tidak mudah gugur di pertengahan jalan apatah lagi berpatah ke belakang dan mencari jalan menghancurkan kebenaran sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

Jika niat selalu cenderung kepada keburukan petanda bahawa diri dikuasai oleh nafsu kerana nafsu itu sering mengajak kepada kejahatan di samping syaitan yang memikirkan pelbagai kaedah untuk menyesatkan manusia.

Allah swt membekalkan kepada manusia aqal dan iman untuk bertarung dengan kejahatan yang dilakukan oleh orang-orang kafir, orang munafiq, orang-orang Islam yang mempunyai jiwa yang hasad, syaitan dan nafsu.

Jagalah hati agar jangan sampai bersarangnya tunas hasad dalam diri kerana hasad akan memusnahkan amalan bagaikan api yang memakan seluruh dedaunan tatkala musim kering. Hasad itu ialah menginginkan agar lenyapnya kenikmatan yang dinikmati oleh seseorang dan berpindah kepada dirinya sendiri dengan wujudnya lagi perasaan kedua yang mengharapkan agar orang tersebut ditimpa penderitaan.

Lihatlah apabila terjadinya pembakaran bukit dan hutan pada musim kering. Api akan memakan seluruh ranting dan daun dan mengeluarkan bahang kepanasan yang tinggi. Inilah yang berlaku pada tubuh yang sedang dibakar dengan api hasad sehinggakan wujudnya kegelisahan dan penderitaan batin terus menerus. Apalah padahnya bergembira di atas kesedihan orang lain sedangkan lidah juga terus berbicara melemparkan seranah dusta. Alangkah busuk dan kejinya hati meskipun wajah zahir nampak anggun dan ayu.

Jika ini berlaku, cepat-cepatlah memohon keampunan kepada Allah di atas keburukan hati ini. Belajarlah memahami perasaan orang lain yang juga sama dan serupa kehendaknya. Alah yang Maha Adil telah meletakkan takdir itu dengan keluasan ilmuNya. Allah sahaja yang mengetahui kenapa seseorang itu diberikan kesenangan dan kepada orang lain ditimpa kepayahan hidup. Cukuplah bagi kita meyakini bahawa keduanya itu merupakan ujian hidup yang perlu ditempuhi dan kita sendiri tidak tahu yang mana lebih baik di antara keduanya.

Salah satu amalan yang boleh menghakis perasaan hasad ialah melalui sedekah. Sedekah itu mewujudkan rasa keprihatinan kepada kesusahan orang lain. Sedekah merupakan proses mujahadah hati agar jangan sampai terkena penyakit "takut miskin" kerana penyakit tersebut merupakan tipu-daya syaitan.

Firman Allah swt:

"Syaitan itu menjanjikan kepada kamu dengan kemiskinan (jika kamu bersedekah) dan menyuruh kamu berbuat yang keji. Dan Allah menjanjikan kepadamu suatu ampunan daripadaNya dan kurnia (jika bersedekah) dan Allah maha luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 268)

Kesimpulan:

1. Iman merupakan anugerah Allah yang sangat tinggi. Merasai kebenaran dihati walaupun mata dan pancaindera lain tidak mampu merabanya.

2. Niat yang benar mempunyai stamina yang cukup kuat untuk menempuh gelombang perjuangan yang mencabar dan ia tidak mudah gugur di pertengahan jalan apatah lagi berpatah ke belakang dan mencari jalan menghancurkan kebenaran sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

3. Jagalah hati agar jangan sampai bersarangnya tunas hasad dalam diri kerana hasad akan memusnahkan amalan bagaikan api yang memakan seluruh dedaunan tatkala musim kering.

4. Cukuplah bagi kita meyakini bahawa kesenangan dan kepayahan itu merupakan ujian hidup yang perlu ditempuhi dan kita sendiri tidak tahu yang mana lebih baik di antara keduanya.

5. Sedekah merupakan proses mujahadah hati agar jangan sampai terkena penyakit "takut miskin" kerana penyakit tersebut merupakan tipu daya syaitan.


Wallahualam.


oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Selasa, 3 Februari 2015

Ikhlas Adalah Kesempurnaan Niat



BAHAGIAN 2: IKHLAS ADALAH KESEMPURNAAN NIAT

Jika lidah menyebut "sahaja aku..." itu cuma lafaz pada lidah dan belum lagi dinamakan niat. Lafaz itu merupakan cita-cita untuk melakukan sesuatu, mungkin datang dari hati yang benar-benar ikhlas dan mungkin juga merupakan sebuah azam yang wujud kuat ketika itu.

Lafaz juga digunakan untuk mengingatkan diri sendiri supaya niat dibetulkan. Allah SWT itu Maha Mendengar baik diucapkan di lidah mahupun hanya terdetik di hati sedangkan manusia hanya mampu menganalisa ucapan yang terdengar pada telinga. Sering berlaku sesuatu yang kita dengar dan lihat tidak sama dengan hakikat yang sebenarnya.

Hati,lidah dan perbuatan perlu mencapai satu kesatuan yang luhur barulah amalan itu diterima disisi Allah. Hati yang menjadi raja bagi setiap tindakan akan menentukan seluruh amalan lidah dan perbuatannya.

Firman Allah:

"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, dengan teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Yang demikian itulah agama yang benar"
(Surah al-Bayyinah, ayat 5)



Ikhlas
 ialah sesuatu amalan yang tidak ada kongsi matlamat selain daripada Allah dan matlamat Akhirat. Sesuatu amalan yang hendak dilakukan atau yang sedang dilakukan akan melalui sempadan niat yang bercabang-cabang sehinggalah ia tetap pada niat yang lurus dan satu. Tidak ada ruang pada lidah untuk mencari pengaruh luar bagi mengucapkan perkataan "Saya ikhlas".

Ikhlas itu adalah amalan antara kita dengan Allah kerana ia adalah urusan antara makhluk dengan Khaliq(Pencipta) yang Maha Halus pengiraanNya. Hati juga tidak perlu bersedih apabila keikhlasan itu dipertikaikan orang kerana sudah menjadi hakikat yang sebenar bahawa ikhlas itu tetap menjadi rahsia yang hanya mengetahuinya ialah Allah SWT.

Namun begitu setiap yang wujud ada tandanya. Tanda-tanda ikhlas dalam niat dapat dilihat kepada ketahanan seseorang menempuh ujian yang panjang apatah lagi ketika saat genting dan memerlukan pengorbanan dirinya.

Seekor burung nuri boleh mengungkapkan lafaz niat yang tepat tetapi burung tersebut tidak upaya merasai lafaz itu dilubuk hatinya apatah lagi untuk memperjuangkan niat dalam sebuah wadah perjuangan. Inilah yang membezakan kita dengan haiwan maupun haiwan itu boleh diajar berbicara.

Namun begitu lafaz pada lidah juga membantu hati untuk membentuk kebulatan niat kerana niat tidak boleh wujud dalam keadaan bercabang. Niat awal yang bercabang akan menjadi masalah dalam pembentukan kesatuan niat. Ini lebih parah dalam jemaah yang ramai kerana apabila tidak wujudnya kesatuan niat maka tidak wujudnya kesatuan berfikir dan kesatuan tindakan, dan lama keamaan ia akan menghancurkan sesebuah organisasi walaupun sekukuh mana organisasi itu wujud pada masa kini.

Untungnya, niat boleh diluruskan dalam sepanjang perjalanan bersama. Ia memerlukan proses pendidikan yang panjang dan tidak mengalah dengan cabaran. Kesemuanya bertolak dari kesedaran dalam hati.

Kita membaca di dalam doa iftitah:

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah, Tuhan Sekelian Alam."


Allah swt memberikan masa yang cukup pada kita untuk menyemak dan membetulkan kembali sebuah niat dan sekiranya niat itu sudah tidak sempurna lagi cepat-cepatlah untuk membetulkannya kembali.

Niat dalam sesuatu usaha itu boleh berubah sesudah wujudnya kejayaan atau kegagalan. Ketahuilah bahawa ujian kesenangan lebih sukar dihadapi daripada ujian kesusahan kerana kesenangan mewujudkan seribu kehendak yang tidak memerlukan alasan atau bantuan dari seseorang. Kesusahan pula memendekkan kehendak agar terbatas hanya untuk keperluan yang mendesak. Kadangkala menjadi orang kaya lebih banyak penderitaannya dibandingkan dengan orang miskin tetapi penderitaannya itu terlindung di sebalik kemewahan zahir seperti rumah, kenderaan, pakaian, pengikut dan lain-lain lagi.

Dalam situasi apapun kita perlu melepasi galang ini baik ditakdirkan senang maupun susah. Rezeki itu Allah yang tentukan mengikut kehendakNya yang Maha Mengetahui.

Firman Allah:

"Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki"
(Surah an-Nahl, ayat 71)

Pokoknya rezeki itu tidak menjadikan kita alpa dalam hidup kerana kehidupan itu mengundang kehendaknya yang tak pernah putus-putus.

Firman Allah swt:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Sesiapa melakukan demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang rugi."
(Surah Al-Munafiqun, ayat 9)

Kesimpulan:

1. Lafaz itu merupakan cita-cita untuk melakukan sesuatu, mungkin datang dari hati yang benar-benar ikhlas dan mungkin juga merupakan sebuah azam yang wujud kuat pada ketika itu.

2. Hati, lidah, dan perbuatan perlu mencapai satu kesatuan yang luhur barulah amalan itu diterima di sisi Allah.

3. Allah swt memberikan masa yang cukup pada kita untuk menyemak dan membetulkan kembali sebuah niat dan sekiranya niat itu sudah tidak sempurna lagi cepat-cepatlah untuk membetulkannya kembali.

4. Ketahuilah bahawa ujian kesenangan lebih sukar dihadapi daripada ujian kesusahan kerana kesenangan mewujudkan seribu kehendak yang tidak memerlukan alasan atau bantuan dari seseorang.

5. Rezeki itu Allah yang tentukan mengikut kehendakNya yang Maha Mengetahui.



wallahu'alam.


NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Isnin, 2 Februari 2015

Niat Bukan Lafaz!!!



BAHAGIAN 1:NIAT BUKAN LAFAZ

Niat merupakan bicara hati bukannya bicara lidah. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari. Oleh itu cermatilah bahasa hati agar dia sentiasa benar-benar lurus seiring dengan perkataan dan perbuatan.

Tubuh badan pula menterjemah niat di hati dan syaitan pula sedaya upaya menyesatkan seseorang itu bermula dengan niatnya. Allah SWT menyediakan petunjuk AL-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

Sabda Nabi s.a.w:


"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu sekali-kali tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnahku. Kedua-dua tidak akan berpisah hinggalah keduanya mendatangiku di al-Haudh."

(Diriwayat dari Abu Hurairah r.a)


Kita dipertemukan atas pegangan ini bukan terikut dengan pelbagai falsafah -falsafah moden dan lama yang cuba mengeluarkan kita dari kemurnian beragama. Pendapat-pendapat yang lemah dari sebahagian ulamak diangkat untuk menidakkan ketulenan pegangan. Misalnya tentang "wafaq" yang mengambil kiraan bintang (nujum) untuk tujuan sesuatu hajat, masih lagi ada pihak yang mahu mempertahankannya walaupun terdapat hadis soleh menolaknya.

Perbicaraan tentang wafaq diperluaskan bagi mencari celah untuk membolehkan sedangkan jumhur ulamak, malah hampir keseluruhan ulamak menolaknya. Sejauh mana manfaatnya wafaq dalam menentukan sesuatu hajat melainkan mereka dengan sedikit kelebihan yang dimunculkan oleh golongan jin.

Inilah persimpangan pertama hasil dari niat seseorang dalam melakukan sesuatu ketaatan. Letakkanlah kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti. Beruntunglah Uwais Al Qarni yang namanya tidak disebut dibumi tetapi dikenali dikalangan penduduk di langit.

Kesimpulan

1. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari.

2. Allah swt menyediakan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat
lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

3. Letakkanlah niat kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti.


NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Ahad, 1 Februari 2015

Jaga 12 Perkara Dalam Solat



Terdapat banyak riwayat dalam al-Quran dan hadith bahawa para malaikat sepanjang masa sibuk dengan beribadat. Satu jemaah malaikat berada dalam keadaan rukuk sampai ke hari kiamat. Begitu juga, satu jemaah malaikat berada dalam keadaan sujud dan begitu juga satu jemaah malaikat lagi berada dalam keadaan berdiri (seperti dalam solah). Untuk memuliakan dan meninggikan orang yang beriman maka Allah s.w.t menganugerahkan kepada mereka 2 rakaat solah yang menyamai segala perbuatan para malaikat itu supaya memperoleh setiap bahagian daripada ibadat malaikat.
Pembacaan al-Quran dalam solah melebihkan lagi nilai solah daripada ibadat para malaikat. Oleh sebab solah adalah gabungan daripada ibadat-ibadat para malaikat maka dengan adanya sifat mereka akan membawa kemanisan dalam solah. Oleh itu, Rasulullah saw bersabda, "Ringankanlah pinggang dan perut kamu untuk bersolah." Yang dimaksudkan dengan 'ringankan pinggang' ialah jangan membebankan diri dengan perbalahan dan perselisihan. Yang dimaksudkan dengan 'ringankan perut' ialah jangan makan terlalu kenyang kerana makan terlalu kenyang akan melahirkan sifat malas dan lembap.
Para sufi berkata bahawa dalam solah terdapat 12 ribu keberkatan yang Allah s.w.t berikan menerusi 12 perkara. Kesemua perkara ini sangat penting diberi perhatian supaya solah menjadi sempurna dan memperoleh faedah yang sepenuhnya. 12 perkara itu adalah seperti berikut:
Pertama, ilmu. Rasulullah saw bersabda bahawa amal yang sedikit disertai dengan ilmu adalah lebih baik daripada amal yang banyak dalam keadaan jahil
PERTAMA, Ilmu


Kedua, wuduk
Ketiga, pakaian
Keempat, waktu
Kelima, menghadap ke arah kiblat
Keenam, niat
Ketujuh, Takbiratul-ihram
Kelapan, Berdiri tegak
Kesembilan, Membaca ayat -ayat al-Quran
Kesepuluh, Rukuk
Kesebelas, sujud
Keduabelas, Duduk ketika membaca tahiyat, dan kesempurnaan bagi kesemua perkara di atas adalah apabila disertai dengan keikhlasan.
Kemudian setiap satu daripada 12 perkara ini dibahagikan kepada 3 bahagian.
Ilmu mempunyai 3 bahagian: pertama mengetahui perkara-perkara fardhu dan sunat dalam hukum ahkam agama, kedua mengetahui perkara-perkara yang fardhu dan sunat dalam solah dan wuduk dan ketiga, mengetahui cara-cara tipu daya syaitan untuk merosakkan solah.
Wuduk juga mempunyai 3 bahagian: pertama mensucikan hati daripada perasaan hasad dengki sebagaimana anggota zahiriah dibersihkan, kedua anggota-anggota zahir perlu berada dalam keadaan suci daripada dosa dan ketiga anggota wuduk hendaklah dibersihkan dengan sempurna tanpa membazirkan air
Pakaian juga mempunyai 3 bahagian: pertama memperolehinya daripada sumber yang halal, kedua pakaian itu hendaklah suci dan ketiga pakaian itu hendaklah dipakai mengikut sunnah yakni jangan labuh sehingga menutupi buku lali dan jangan pakai dengan perasaan takabur dan besar diri.
Waktu juga mempunyai 3 bahagian yang sangat penting dan patut diambil berat : pertama mengambil berat tentang kedudukan matahari, bintang dann sebagainya supaya dapat mengetahui waktu solah yang betul (pada zaman kita jam dapat digunakan untuk tujuan tersebut), kedua berwaspada tentang azan dan ketiga hati sentiasa mengingati waktu solah, supaya tidak berlalu tanpa disedari.
Dalam mengadap qiblat 3 perkara perlu diambil berat: pertama anggota zahir mengadap ke arah qiblat, kedua hati tawajuh kepada Allah s.w.t kerana Dialah kaabah kepada hati dan ketiga menghadap dengan penuh tawajuh dihadapan Allah s.w.t sebagaimana selayaknya.
Niat juga perlu kepada 3 perkara: pertama mengetahui solah yang hendak dikerjakan itu, kedua sedar bahawa kita berdiri dihadapan Allah s.w.t dan Dia sedang melihat kita dan ketiga sedar bahawa Allah s.w.t juga mengetahui segala yang terkandung dalam hati kita.
Semasa mengangkat takbiratul-ihram juga 3 perkara perlu diberi perhatian: pertama sebutan hendaklah betul, kedua mengangkat tangan sehingga ke telinga seolah-olah telah membuang ke belakang segala-galanya selain daripada Allah s.w.t dan ketiga 'Allahuakhbar' disebut hati hendaklah penuh dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Qiam yakni berdiri tegak juga mempunyai 3 perkara: pertama pandangan hendaklah tertumpu ke tempat sujud, kedua hati hendaklah membayangkan bahawa kita sedang berdiri dihadapan Allah s.w.t dan ketiga jangan memberi perhatian kepada perkara-perkara lain.
Dalam qiraat (bacaan ayat-ayat al-Quran) juga 3 perkara perlu diberi perhatian: pertama membaca dengan tartil, kedua hayatilah makna bacaan ayat-ayat al-Quran dan ketiga mengamalkan segala yang dibaca.
Rukuk juga mempunyai 3 perkara: pertama belakang hendaklah lurus, tidak kebawah dan tidak ke atas (kepala , belakang dan pinggang hendaklah berkeadaan lurus) kedua , jari-jari tangan direnggangkan sewaktu memegang lutut dan ketiga tasbih dalam keadaan tenang serta hati penuh dengan kebesaran Allah s.w.t
Semasa duduk tahiyat 3 perkara perlu dijaga: pertama tegakkan tapak kaki kanan dan duduk di atas kaki kiri (pada tahyat awal), kedua bacalah tahyat dengan penuh khusyuk dan rasa kebesaran terhadap Allah s.w.t serta menghayati bacaan dalam tahyat kerana mengandungi selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan doa untuk orang mukmin dan ketiga semasa hendak memberi salam hendaklah berniat untuk mengucap salam kepada para malaikat serta kepada mereka yang berada disebelah kanan dan kiri.
Ikhlas juga mempunyai 3 perkara : pertama tujuan mengerjakan solah adalah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t , kedua meyakini bahawa hanya dengan taufik Allah s.w.t kita dapat menunaikan solah dan ketiga mengharapkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t menerusi solah yang dikerjakan.

Sebenarnya solah mengandungi begitu banyak kebaikan dan keberkatan. Setiap lafaz dan sebutan dalam solah mengandungi keistimewaan dan menggambarkan keagungan Allah s.w.t contohnya doa pada permulaan solah pun mengandungi begitu banyak fadilat, apatah lagi amalan-amalan lain dalam solah.
Demikianlah semasa rukuk membaca, "Subhaanarabbilaziim" (Maha Suci Allah Yang Maha Besar) suci daripada segala keaiban.
Rukuk menzahirkan kelemahan dan ketidakupayaan kita dihadapan Allah s.w.t . Memanjangkan leher menunjukkan takabbur dan menundukkan kepala dan leher ketika rukuk menandakan ikrar ketaatan dan kesetiaan. Melalui rukuk seseorang itu seolah-olah berikrar , "Saya tunduk dihadapan segala hukum ahkamMu serta menjunjung ketaatan dan kesetiaan di atas kepalaku dengan penuh rasa kehambaan. Tubuh badanku yang berdosa hadir dan tunduk dihadapan Engkau Yang Maha Besar dan Yang Maha Agung."
Begitu juga dengan bacaan "SubhaanarabbialAa' la" (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi) ketika sujud kita berikrar atas kebesaran dan kemuliaan Allah s.w.t yang tidak terbatas. Ikrar ini juga menggambarkan kesucian Allah s.w.t daripada segala kelemahan dan kekurangan. Kepala, yang merupakan anggota badan yang termulia, termasuk anggota-anggota yang sangat dikasihi iaitu mata, telinga, hidung da lidah diletak dihadapan Allah s.w.t . Melalui sujud seseorang itu seolah-olah berikrar bahawa anggota-anggota yang mulia dan aku kasihi ini hadir dihadapanMu berada diatas lantai dengan harapan Engkau menganugerahi rahmatMu kepadaku dan kasihanilah aku. Merendahkan diri dihadapan Allah s.w.t. bermula daripada qiam dalam memberi penghormatan kepada Allah s.w.t. Sifat rendah diri ini bertambah melalui tunduk dalam rukuk dan kemuncaknya apabila hidung dan kepala diletak di atas bumi di hadapan Allah s.w.t..

Beginilah keadaan bersolah yang sebenar yang sepatutnya dilakukan di sepanjang solah. Solah sebeginilah yang merupakan asas kejayaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Semoga Allah s.w.t dengan limpah rahimNya mengurniakan taufik kepada saya dan sekalian orang Islam untuk mengerjakan solah yang sedemikian itu. Amiin..

Meninggalkan Jemaah Tanpa Uzur Syar'ie



Hazrat Anas bin 'Abbas r.anhuma berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya (uzur) daripada menyertai solah berjemaah maka solah yang dikerjakannya itu tidak akan diterima." Para sahabat bertanya, "Apakah uzur itu?" jawab Rasulullah saw, "Takut atau sakit."

(Hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban)
 

Keterangan
 

'Solahnya tidak diterima' bermaksud bahawa dia tidak akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt melalui solah yang dikerjakannya itu, sebaliknya hanya sekadar terlepas daripada kewajipan menunaikan solah fardhu.

Inilah juga yang dimaksudkan dalam hadith-hadith yang menyatakan bahawa solahnya tidak diterima. Walaupun kewajipannya sudah terlepas tetapi apakah gunanya amalan yang tidak mendapat ganjaran daripada Allah swt? Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah rah. Sedangkan, mengikut pendapat segolongan sahabat r.anhum dan tabiin yang berasaskan kepada hadith-hadith di atas bahawa meninggalkan solah berjemaah tanpa uzur adalah haram dan menunaikan solah dengan berjemaah adalah fardhu. Sehingga banyak ulama turut berpendapat bahawa seseorang yang mengerjakan solah dengan tidak berjemaah solahnya tidak sah.

Mengikut pendapat Imam Mazhab Hanafi, walaupun solah yang dikerjakan tanpa berjemaah tersebut sah tetapi masih bersalah kerana meninggalkan jemaah.
 
Terdapat dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma bahawa orang yang tidak menunaikan solah dengan berjemaah tidak mentaati Allah swt dan RasulNya.
Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma juga berkata bahawa seseorang yang mendengar azan tetapi tidak menunaikan solah dengan berjemaah maka dia tidak berniat untuk membuat kebaikan maka dia tidak akan diberi apa-apa pun kebaikan.

Hazrat Abu Hurairah r.anhum berkata bahawa wajarlah dituangkan timah yang mendidih ke dalam telinga seseorang yang mendengar azan tetapi tidak pergi untuk menunaikan solah berjemaah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable