Niat Bukan Lafaz!!!



BAHAGIAN 1:NIAT BUKAN LAFAZ

Niat merupakan bicara hati bukannya bicara lidah. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari. Oleh itu cermatilah bahasa hati agar dia sentiasa benar-benar lurus seiring dengan perkataan dan perbuatan.

Tubuh badan pula menterjemah niat di hati dan syaitan pula sedaya upaya menyesatkan seseorang itu bermula dengan niatnya. Allah SWT menyediakan petunjuk AL-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

Sabda Nabi s.a.w:


"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu sekali-kali tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnahku. Kedua-dua tidak akan berpisah hinggalah keduanya mendatangiku di al-Haudh."

(Diriwayat dari Abu Hurairah r.a)


Kita dipertemukan atas pegangan ini bukan terikut dengan pelbagai falsafah -falsafah moden dan lama yang cuba mengeluarkan kita dari kemurnian beragama. Pendapat-pendapat yang lemah dari sebahagian ulamak diangkat untuk menidakkan ketulenan pegangan. Misalnya tentang "wafaq" yang mengambil kiraan bintang (nujum) untuk tujuan sesuatu hajat, masih lagi ada pihak yang mahu mempertahankannya walaupun terdapat hadis soleh menolaknya.

Perbicaraan tentang wafaq diperluaskan bagi mencari celah untuk membolehkan sedangkan jumhur ulamak, malah hampir keseluruhan ulamak menolaknya. Sejauh mana manfaatnya wafaq dalam menentukan sesuatu hajat melainkan mereka dengan sedikit kelebihan yang dimunculkan oleh golongan jin.

Inilah persimpangan pertama hasil dari niat seseorang dalam melakukan sesuatu ketaatan. Letakkanlah kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti. Beruntunglah Uwais Al Qarni yang namanya tidak disebut dibumi tetapi dikenali dikalangan penduduk di langit.

Kesimpulan

1. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari.

2. Allah swt menyediakan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat
lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

3. Letakkanlah niat kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti.


NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Ulasan

Catatan Popular