Meninggalkan Jemaah Tanpa Uzur Syar'ie



Hazrat Anas bin 'Abbas r.anhuma berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya (uzur) daripada menyertai solah berjemaah maka solah yang dikerjakannya itu tidak akan diterima." Para sahabat bertanya, "Apakah uzur itu?" jawab Rasulullah saw, "Takut atau sakit."

(Hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban)
 

Keterangan
 

'Solahnya tidak diterima' bermaksud bahawa dia tidak akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt melalui solah yang dikerjakannya itu, sebaliknya hanya sekadar terlepas daripada kewajipan menunaikan solah fardhu.

Inilah juga yang dimaksudkan dalam hadith-hadith yang menyatakan bahawa solahnya tidak diterima. Walaupun kewajipannya sudah terlepas tetapi apakah gunanya amalan yang tidak mendapat ganjaran daripada Allah swt? Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah rah. Sedangkan, mengikut pendapat segolongan sahabat r.anhum dan tabiin yang berasaskan kepada hadith-hadith di atas bahawa meninggalkan solah berjemaah tanpa uzur adalah haram dan menunaikan solah dengan berjemaah adalah fardhu. Sehingga banyak ulama turut berpendapat bahawa seseorang yang mengerjakan solah dengan tidak berjemaah solahnya tidak sah.

Mengikut pendapat Imam Mazhab Hanafi, walaupun solah yang dikerjakan tanpa berjemaah tersebut sah tetapi masih bersalah kerana meninggalkan jemaah.
 
Terdapat dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma bahawa orang yang tidak menunaikan solah dengan berjemaah tidak mentaati Allah swt dan RasulNya.
Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma juga berkata bahawa seseorang yang mendengar azan tetapi tidak menunaikan solah dengan berjemaah maka dia tidak berniat untuk membuat kebaikan maka dia tidak akan diberi apa-apa pun kebaikan.

Hazrat Abu Hurairah r.anhum berkata bahawa wajarlah dituangkan timah yang mendidih ke dalam telinga seseorang yang mendengar azan tetapi tidak pergi untuk menunaikan solah berjemaah.

Ulasan

Catatan Popular