NIAT DAN IMAN



BAHAGIAN 3: NIAT DAN IMAN

Firman Allah:

"Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Dan Allah menghukum dengan adil. Manakala sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat menghukum dengan sesuatu apapun. Sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat".

(Surah Ghafir, ayat 19-20)

Iman merupakan anugerah Allah yang sangat tinggi. Merasai kebenaran di hati walaupun mata dan pancaindera lain tidak mampu merabanya.

Niat juga merupakan suatu pantulan dari cahaya Iman kerana niat itu datang dari hati yang dalam bukan dari kenyataan atau ikrar yang panjang-panjang. Niat yang benar mempunyai stamina yang cukup kuat untuk menempuh gelombang perjuangan yang mencabar dan ia tidak mudah gugur di pertengahan jalan apatah lagi berpatah ke belakang dan mencari jalan menghancurkan kebenaran sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

Jika niat selalu cenderung kepada keburukan petanda bahawa diri dikuasai oleh nafsu kerana nafsu itu sering mengajak kepada kejahatan di samping syaitan yang memikirkan pelbagai kaedah untuk menyesatkan manusia.

Allah swt membekalkan kepada manusia aqal dan iman untuk bertarung dengan kejahatan yang dilakukan oleh orang-orang kafir, orang munafiq, orang-orang Islam yang mempunyai jiwa yang hasad, syaitan dan nafsu.

Jagalah hati agar jangan sampai bersarangnya tunas hasad dalam diri kerana hasad akan memusnahkan amalan bagaikan api yang memakan seluruh dedaunan tatkala musim kering. Hasad itu ialah menginginkan agar lenyapnya kenikmatan yang dinikmati oleh seseorang dan berpindah kepada dirinya sendiri dengan wujudnya lagi perasaan kedua yang mengharapkan agar orang tersebut ditimpa penderitaan.

Lihatlah apabila terjadinya pembakaran bukit dan hutan pada musim kering. Api akan memakan seluruh ranting dan daun dan mengeluarkan bahang kepanasan yang tinggi. Inilah yang berlaku pada tubuh yang sedang dibakar dengan api hasad sehinggakan wujudnya kegelisahan dan penderitaan batin terus menerus. Apalah padahnya bergembira di atas kesedihan orang lain sedangkan lidah juga terus berbicara melemparkan seranah dusta. Alangkah busuk dan kejinya hati meskipun wajah zahir nampak anggun dan ayu.

Jika ini berlaku, cepat-cepatlah memohon keampunan kepada Allah di atas keburukan hati ini. Belajarlah memahami perasaan orang lain yang juga sama dan serupa kehendaknya. Alah yang Maha Adil telah meletakkan takdir itu dengan keluasan ilmuNya. Allah sahaja yang mengetahui kenapa seseorang itu diberikan kesenangan dan kepada orang lain ditimpa kepayahan hidup. Cukuplah bagi kita meyakini bahawa keduanya itu merupakan ujian hidup yang perlu ditempuhi dan kita sendiri tidak tahu yang mana lebih baik di antara keduanya.

Salah satu amalan yang boleh menghakis perasaan hasad ialah melalui sedekah. Sedekah itu mewujudkan rasa keprihatinan kepada kesusahan orang lain. Sedekah merupakan proses mujahadah hati agar jangan sampai terkena penyakit "takut miskin" kerana penyakit tersebut merupakan tipu-daya syaitan.

Firman Allah swt:

"Syaitan itu menjanjikan kepada kamu dengan kemiskinan (jika kamu bersedekah) dan menyuruh kamu berbuat yang keji. Dan Allah menjanjikan kepadamu suatu ampunan daripadaNya dan kurnia (jika bersedekah) dan Allah maha luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 268)

Kesimpulan:

1. Iman merupakan anugerah Allah yang sangat tinggi. Merasai kebenaran dihati walaupun mata dan pancaindera lain tidak mampu merabanya.

2. Niat yang benar mempunyai stamina yang cukup kuat untuk menempuh gelombang perjuangan yang mencabar dan ia tidak mudah gugur di pertengahan jalan apatah lagi berpatah ke belakang dan mencari jalan menghancurkan kebenaran sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

3. Jagalah hati agar jangan sampai bersarangnya tunas hasad dalam diri kerana hasad akan memusnahkan amalan bagaikan api yang memakan seluruh dedaunan tatkala musim kering.

4. Cukuplah bagi kita meyakini bahawa kesenangan dan kepayahan itu merupakan ujian hidup yang perlu ditempuhi dan kita sendiri tidak tahu yang mana lebih baik di antara keduanya.

5. Sedekah merupakan proses mujahadah hati agar jangan sampai terkena penyakit "takut miskin" kerana penyakit tersebut merupakan tipu daya syaitan.


Wallahualam.


oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Ulasan

Catatan Popular