BELAJAR NIAT


BAHAGIAN 4: BELAJAR NIAT

Firman Allah swt:
"Sesungguhnya yang takut pada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang yang berilmu"
Surah Fatir : 28

Sungguhpun niat merupakan perbuatan hati secara spontan namun jika tidak dipandu dengan ilmu dan petunjuk, niat tetap sahaja akan tersasar daripada matlamat. Semakin hampir seseorang itu dengan al-Quran dan Hadis semakin jelas apa yang perlu diniatkannya.

Umpama meletakkan niat mengucup Hajarul Aswad di penjuru kaabah. Alasan yang diberikan oleh Saidina Umar r.a ketika mengucup Hajarul Aswad ialah kerana meneladani perbuatan Rasulullah saw.

Ketika umat Islam diarah mengadapkan wajah ke Baitullah, Masjidil Haram sesudah mengadap ke Baitul-Maqdis mereka tidak merasa berat untuk melaksanakannya kerana pada hakikatnya timur dan barat adalah milik Allah jua. Ketundukkan kepada hukum-hukum Allah merupakan gambaran hati dan iman di dalam diri.

Firman Allah swt:
"Apa jua perintah yang dibawa Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya kamu darinya, maka tinggalkanlah. Bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya."
(Surah Al-Hasyr. ayat 7)

Belajar niat bererti belajar meletakkan alasan pada sesuatu amalan yang dikerjakan. Alasan yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Kaedah-kaedah yang lain seperti ijmak ulamak dan qias merupakan metodologi yang diterima pakai untuk kes-kes yang tidak jelas hukum-hakamnya(di dalam al-Quran dan As-Sunnah).

Apabila Rasulullah s.a.w bertanya Mu'az bin Jabal r.a dengan apa ia akan berhukum sekiranya tidak terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah, Mu'az menjawab, "Aku akan berijtihad" dan Rasulullah s.a.w membenarkan ucapannya itu.

Semoga Allah terus memberkati semua imam-imam mujtahid yang meninggalkan pada kita khazanah ilmu untuk rujukan dan pertimbangan permasalahan hari ini.

Pengalaman mereka sebagai murabbi membentuk generasi awal yang berakhlak murni hasil dari keihklasan hati yang suci. Tanpa ilmu yang benar amalan akan menjadi kosong dan niat akan tersasar dari tujuan. Ilmu juga membentuk rasa takut pada Allah swt sepanjang masa dan ketakutan inilah menonton seseorang hamba kepada Tuhannya. Ilmu itu mengenal kebaikan dan rahmat Allah swt dan tidak sombong dengan amalan diri sendiri. Sesiapa yang Allah swt kehendaki kebaikan kepadanya diberikan kepadanya diberikan satu kemampuan yang dinamakan "Faham". Faham dalam memahami sebarang situasi dalam masa orang lain masih bertelagah dengan berkecamuknya pandangan peribadi.

Bila Allah swt mengurniakan kepada seseorang "faham" maka jalan hidupnya begitu mudah kerana dia mempunyai deria untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan sekalipun kebatilan itu diliputi dengan hiasan seindah mana jua.

Niat perlu dijaga kerana ia bergantung kepada iman sedangkan iman itu boleh turun dan naik. Ketika iman memuncak, cahaya ikhlas memenuhi hati lantas tidak wujud sesuatu yang lain daripada Allah swt dan apabila iman sedang merangkak lemah, mulalah hati mencari pegangan-pegangan yang tidak layak seorang hamba melakukan begitu.

Berhentilah sejenak bagi merenung niat di hati sebelum sesuatu amalan itu dilakukan. Bersihkan dari sebarang kepentingan duniawi lantaran kehidupan ini cuma sekadar mainan dan senda-gurau sahaja.

Sungguhpun seekor itik itu tidak perlu diajar berenang di dalam air kerana fitrah kejadiannya begitu namun ia perlukan petunjuk dan panduan ke arah mana yang hendak dituju. Manusia mempunyai keupayaan merasai kebenaran dengan hati tetapi panduan tetap diperlukan kerana gerak hati itu ibarat lampu yang tidak akan mengeluarkan cahaya tanpa adanya sumber tenaga. Tenaga itu dijana dari ilmu dan cahaya itu adalah pemberian Allah swt kepada seseorang. Mereka yang menghabiskan usianya untuk menuntut ilmu mempunyai kecepatan melintasi titian sirat adalah seperti cahaya juga. Ini disebabkan kemuliaan ilmu yang akan mendekatkan diri dengan Allah swt bukannya pula untuk kepentingan diri demi sebuah laba dunia.

Golongan berilmu terkehadapan memikir dan merasai kewajipan bagi menyelamatkan ummah agar jangan sampai berlakunya perlanggaran terhadap hukum-hakam. Hatinya sering merintih melihat ugama dipersendakan namun begitu dia tidak mengambil jalan uzlah selagi mana jalan perjuangan terbuka luas. Dia berjuang sampai ke titik akhir hidupnya sehingga tidak upaya lagi melakukan apa jua melainkan pancaran iman dari hatinya. Gerak hatinya menyaksikan susuk tubuh yang sudah tidak bermaya menjadi galang pada arus jahiliah yang mendatang tapi hati tetap menyala menerangi dari cahaya Rabbani yang tidak kunjung padam.


Kesimpulan:

1. Sungguhpun niat merupakan perbuatan hati secara spontan namun jika tidak dipandu dengan ilmu dan petunjuk, niat tetap sahaj akan tersasar dari matlamat.

2. Belajar niat bererti belajar meletakkan alasan pada sesuatu amalan yang dikerjakan.

3. Tanpa ilmu yang benar amalan akan menjadi kosong dan niat akan tersasar dari tujuan.

4. Sesiapa yang Allah swt kehendaki kebaikan kepadanya diberikan satu kemampuan yang dinamakan "faham".

5. Berhentilah sejenak bagi merenung niat di hati sebelum sesuatu amalan itu dilakukan. Bersihkan dari sebarang kepentingan duniawi lantaran kehidupan ini cuma sekadar mainan dan senda-gurau sahaja.

6. Manusia mempunyai keupayaan merasai kebenaran dengan hati tetapi panduan tetap diperlukan kerana gerak hati itu ibarat cahaya lampu yang tidak akan mengeluarkan cahaya tanpa adanya sumber tenaga. Tenaga itu dijana dari ilmu dan cahaya itu adalah pemberian Allah swt kepada seseorang.

Ulasan

Catatan Popular