Mengenal Hakikat Islam Liberal




Pada hari ini, ketika suatu wacana baru dilemparkan telah menjadi kebiasaan seorang pemikir akan melihat momentum keperluan semasa dan keberhasilannya bukan saja ditentukan oleh faktor dalaman tetapi juga faktor luaran dan tidak terkecuali political correctness di mata kuasa besar dunia. Wacana modernisme di Indonesia khususnya dan di dunia Islam umumnya adalah salah satunya, ia telah memanfaatkan momentum merebaknya wabak sekularisasi dunia dan meluasnya neocolonialisme kuasa besar. Wacana yang menentang arus sekularisasi dan liberalisasi secara tabi'inya akan terpinggirkan dan dianggap ketinggalan zaman.

Namun, seseorang yang berfikir dengan cerdas akan mengerti bahawa kebenaran tidak ditentukan oleh kekuasaan, ia harus tumbuh dari kesedaran diri dan hati nurani yang suci. Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya tentang hakikat sebenar Islam Liberal. Ramai yang bingung ketika melihat wajah Islam Liberal, ada yang melihat ia sebagai pembawa obor pembaharuan malah tidak sedikit yang menganggap golongan ini jujur dan ikhlas memperjuangkan kebaikan bagi masyarakat Islam. Ketika menyemak apa yang mereka suarakan timbul persoalan apakah benar mereka ini golongan pembaharu Islam (reformis)? Apakah mereka memiliki autoriti keilmuan untuk memberi pandangan tentang hakikat ajaran Islam? Di sinilah inti persoalannya.

Suatu persepsi telah dibina untuk mengaburi mata masyarakat awam, mereka mendapat liputan di media massa, dengan menggunakan bahasa akademik, orang yang tidak mengerti akan mudah tertipu dan menyangka mereka adalah golongan bijak pandai yang layak untuk berijtihad. Sememangnya ada di antara mereka berkelulusan tinggi dalam bidang pengajian Islam. Kita ambil dua orang tokoh Islam Liberal sebagai contoh iaitu Irshad Manji dan Amina Wadud.

Kedua-duanya mengejutkan dunia Islam, apabila yang pertama menghalalkan homoseksual dan yang kedua menjadi imam dan khatib solat Jumaat. Irshad Manji, tidak memiliki ijazah dalam bidang agama, pekerjaannya selama lebih dua puluh tahun adalah bidang kewartawanan. Namun begitu Irshad mengaku sebagai seorang reformis atau mujaddid Islam.

Tentunya Irshad banyak membaca tentang Islam, dan belajar sendiri melalui kuliah umum, seminar dan pergaulan dengan beberapa intelektual, namun persoalan yang timbul adalah bagaimana kita dapat memastikan bahawa kefahamannya terhadap Islam adalah benar, khususnya apabila tiada pernah menimba ilmu Islam di sebuah institusi pengajian Islam atau dari ilmuwan Islam yang berwibawa. Tidak seperti Irshad Manji, beberapa aktivis Islam Liberal memiliki ijazah yang cukup tinggi dalam bidang agama, Amina Wadud, contoh kedua, memiliki ijazah Ph.D dari universiti Michigan dalam pengajian Islam dan pernah menuntut ilmu di Mesir.

 Kerana itu Amina dan beberapa tokoh liberal sepertinya dapat membaca dan merujuk karya-karya turath berhujah dengan baik dengan menggunakan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Bahkan dengan rasa penuh yakin dan bangga, dengan segulung ijazah yang dimilikinya dari universiti di Barat itu ia merasa mampu untuk mentafsir semula al-Qur'an mengikut perspektif feminisme dan menuduh para ulama’ mufassirin selama ini sebagai pembenci perempuan atau misogynists dan bias dalam pentafsiran mereka.

Hakikatnya berkelulusan dalam bidang agama tidak menjadikan seseorang itu berilmu agama. Ijazah boleh diperoleh di mana saja dan kini semakin banyak institusi yang menawarkan pengajian Islam. Namun demikian perlu disedari bahawa ketika ijazah semakin mudah diperolehi, ilmu semakin sulit dicari, walaupun teknologi telah mempermudah penyampaian maklumat justeru teknologi maklumat seringkali menyebabkan ramai orang semakin bingung kerana tidak tahu bagaimana menilai dan menyaring maklumat yang diterima. Bahkan ada yang tertipu dalam menganggap dirinya berilmu hanya dengan bersandarkan maklumat yang diterimanya itu.

 Kesulitan mencari ilmu yang benar berhubungkait dengan hakikat bahawa ulama', yang benar-benar ‘alim, di akhir zaman ini semakin sedikit, semakin sulit dicari, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadith, “qalilun ulama'uhu kathirun khutaba'uhu” (sedikit ulamanya, ramai penceramahnya), dan ini adalah salah satu petanda akhir zaman. Jadi apabila bukan ilmu yang mereka dapat ketika berada di pusat pengajian Islam dan mendapatkan ijazah dalam pengajian Islam, maka apakah sebenarnya yang mereka dapat? Pencarian ilmu sebenarnya tidak mudah, kerana sebagaimana ditegaskan oleh al-Attas, ia melibatkan ketibaan makna, sesuatu yang bukan material.

Ketika sistem pendidikan banyak menumpukan pada maklumat dan fakta-fakta tentang Islam, yang sebagiannya benar dan daripada sumber-sumber yang benar, tetapi kemudian dicampuradukkan, disalahertikan, disalahtafsirkan, sama ada sengaja ataupun tidak, untuk sampai kepada kesimpulan-kesimpulan yang sesuai dengan semangat zaman yang telah dicorakkan oleh sekularisme dan liberalisme.

Dengan adanya niat yang tidak murni dan ketiadaan sikap beradab dan adil serta hak-hak yang tidak ditunaikan, maka seseorang itu berkemungkinan telah terhijab daripada mencapai ilmu yang benar. Ketika sesuatu perkara difahami dengan makna yang salah maka ia akan memberi ilmu yang keliru, dan walaupun tujuan dan niat seseorang itu baik tetapi kekeliruan ini hanya akan mendatangkan keburukan dan kerosakan kepada diri mahupun masyarakat.

Lebih daripada itu, demi mencapai agenda sekularisasi dan liberalisasi Islam, terdapat kecenderungan golongan liberal untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran memanipulasi fakta dan maklumat yang benar untuk tujuan yang salah, dan ini telah menjadi ciri utama golongan liberal sekarang ini.

Fakta-fakta terpilih diletakkan secara tidak benar untuk menjadi premis-premis yang bukan pada tempatnya supaya memberi makna, kesimpulan dan penafsiran yang menyimpang dari yang diinginkan oleh Islam. Hal ini dilakukan sama ada dengan sengaja, dengan niat jahat, ataupun kerana kekeliruan yang menyebabkannya menyangka apa yang dilakukannya benar dan baik.

Guru kami telah mengingatkan bahawa terdapat sebahagian manusia yang berusaha melakukan perkara yang mereka anggap baik dengan bermodalkan kejahilan. Mereka adalah sejenis manusia yang tidak tahu siapa diri mereka sebenarnya, tempat yang selayaknya bagi mereka, tidak mahu menerima hakikat bahawa diri mereka jahil atau keliru.

 Mereka tidak menerima keterbatasan diri mereka dan menolak untuk diberitahu atau mengakui kelebihan ilmu yang diberikan kepada orang lain. Kerana itu ciri seorang ilmuwan adalah sifat tawadu’ dan beradab dalam menyikapi perbezaan, khususnya perbezaan di kalangan ilmuwan, ini tidak termasuk perbezaan dengan orang yang jahil atau keliru. Akibat daripada kejahilan dan sikap tidak beradab ini mereka keliru dan mengelirukan orang lain.

Tujuan yang mungkin baik seringkali menjadi buruk bahkan menyesatkan. Mereka boleh sahaja mengutip ayat dan hadith, bahkan kata-kata ulama’ muktabar, namun tanpa penjelasan yang baik dan benar, bagi membenarkan idea dan pandangan mereka. Di sini semua itu hanya menjadi alat dan bahan permainan dan bukannya ukuran dan rujukan yang dijunjung tinggi.

Mereka kononnya ingin melakukan pembaharuan dan reformasi bagi memungkinkan umat Islam berubah dan maju. Bagaimana mungkin tujuan ini akan terlaksana jika pemikiran, teori dan falsafah yang mereka sanjung adalah daripada pemikir-pemikir Barat yang keliru, agnostik dan ateis. Yang mereka mahukan sebenarnya adalah perubahan pada Islam itu sendiri, bagi mereka Islam yang perlu dirubah agar sesuai dengan moderniti Barat, maka mereka menawarkan ‘Islam yang baru’ versi liberal dan sekular. Umat Islam sebenarnya beruntung kerana masih ada para ilmuwan dan ulama’ yang benar yang menjelaskan kepada umat jalan yang benar.

 Dengan panduan para ulama’ al-rasikhun ini umat Islam tidak akan berganjak daripada iman mereka, daripada Islam yang benar dan tidak akan sesekali menerima versi Islam yang ditawarkan oleh Islam Liberal. Golongan liberal berdiri di atas premis bahawa pentafsiran manusia, siapapun ia termasuk para ulama’, terhadap teks suci selamanya relatif dan subjektif.

Untuk membenarkan asumsi ini mereka menggunakan kiasan Plato dan Jalaluddin Rumi tentang 4 orang buta yang cuba menggambarkan seekor gajah. Mereka ingin mengatakan bahawa bagaimanapun seseorang itu mentafsirkan dan memahami Islam maka pemahamannya tidak lebih dari gambaran yang didapat oleh setiap orang buta yang ingin mengetahui bentuk gajah, yang hanya sampai kepada kebenaran yang separa (partial).

Mereka tidak sedar bahawa kiasan yang digunakan adalah kiasan yang salah. Telah saya tegaskan di tempat lain bahawa hakikatnya kita tidak buta, dan kita telah dikurniakan oleh Allah SWT alat yang membolehkan kita melihat gajah sebagaimana adanya. Akal yang ada pada manusia, dengan bimbingan al-Qur’an dan al-Sunnah, serta ilmu yang diwarisi oleh para ulama’ al-rasikhun cukup bagi kita untuk memahami kehendak Allah dan mencapai kebenaran.

Oleh itu jelas bahawa analogi di atas hanya ingin memaksakan sesuatu yang bukan tempatnya. Dengan anggapan adanya kerosakan dalam Islam, mereka ingin merekonstruksi Islam namun lebih dari itu mereka juga mendekonstruksi Islam. Mereka ingin melakukan pembaharuan tetapi yang mereka lakukan sebenarnya adalah perombakan dan perosakan.

Mereka sangat yakin apa yang mereka lakukan adalah kebaikan, walaupun mereka merasa yakin, mereka sebenarnya tidak pasti dan justeru menganggap orang lain pun dalam ketidakpastian yang sama. Oleh yang demikian wacana yang dibangun bukan berdasarkan kepada ilmu melainkan keraguan. Mereka merasa ragu (syak) terhadap segala sesuatu termasuk hal-hal yang tetap (al-thawabit) dan tuntas dibicarakan dalam tradisi Islam.

Dan keraguan ini mereka anggap sesuatu yang perlu untuk mencapai objektiviti. Sedangkan objektiviti tidak pernah menjadi masalah dalam tradisi keilmuan Islam, ia hanya wujud dalam kerangka dualisme pemikiran Barat yang sekular. Keraguan sebenarnya adalah satu penyakit yang hanya akan hilang dengan cahaya ilmu. Tidak hairan jika ada di kalangan mereka yang mengaku reformis tetapi tidak pernah menuntut ilmu dengan serius dan mencari kebenaran dengan ikhlas, kerana mereka ragu akan segalanya.

Mereka akhirnya hanya menebar keraguan dan skeptisisme dan bukan ilmu dan kebenaran. Sebagai jalan keluar dan bagi mengatasi cabaran liberalisme ini mari kita semak sebuah hadith Rasulullah SAW:

يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِ خَلَفٍ عُدُولُهُ ، يَنْفُونَ عَنْهُ تَحْرِيفَ الْغَالِينَ ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ ، وَتَأْوِيلَ الْجَاهِلِينَ
رواه البيهقي وصححه احمد

Maksudnya: “Ilmu ini akan dibawa daripada setiap generasi oleh golongan yang terbaik, mereka akan menentang penyelewengan golongan pelampau (ekstrimis), serangan golongan yang memusuhi Islam, dan penafsiran golongan jahil”. Hadith ini menegaskan terdapat tiga golongan yang akan ditentang oleh para ulama’ yang benar iaitu: kelompok pelampau (al-ghalin), kelompok musuh penentang (al-mubtilin) dan kelompok orang-orang jahil (al-jahilin).

 Daripada ketiga-tiga kelompok ini Islam Liberal lebih dekat kepada kelompok al-Jahilin, yang dalam kejahilan dan kekeliruannya itu mereka cuba menafsirkan Islam mengikut hawa nafsu dan kefahaman mereka yang sedikit dan yang seringkali bersumberkan kajian para orientalis yang memusuhi Islam. Oleh yang demikian jelaslah bahawa hanya ada satu golongan yang akan menangani golongan ini iaitu para ilmuwan atau ulama’ yang benar.

Ketika ini kita melihat kurangnya golongan ulama’ yang mengemban amanah di atas, memiliki ilmu yang cukup bagi maju ke hadapan dalam memerangi kebatilan dan kekeliruan, namun hal ini berlaku bukan semata-mata kegagalan para ulama’.

 Kegagalan ramai pihak dalam meletakkan ilmuwan dan ulama’ pada tempatnya juga menjadi sebab kepada apa yang berlaku. Daripada banyak peristiwa kita dapat melihat bahawa ramai umat Islam sering keliru dalam menilai ilmuwan. Ilmuwan kecil sering diperbesarkan dan ilmuwan besar sering diperkecilkan. Juga, kerana itu, ramai yang salah dalam mengenalpasti akar masalah yang mereka hadapi akibat salah rujukan dan autoriti. Perkara ranting dianggap akar dan yang akar dianggap ranting. Selagi kita gagal menerapkan keadilan dalam diri kita dan melaksanakan adab yang sepatutnya terhadap ilmu dan ulama’ yang benar maka kebatilan dan kecelaruan akan terus bermaharajalela.

Penulis: Dr Khalif Muammar
(Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan2)

Ulasan

Catatan Popular