Menyingkap Rahsia Islam di Bumi China

                                                                         Masjid Xian



Bila disebutkan apakah impian saya sekiranya diberi peluang untuk menjelajah seluruh pelusuk dunia, tentunya pilihan kedua saya selepas Tanah Suci di Mekah ialah negara China.

Keunikan budaya dan masyarakatnya yang pelbagai, disusuri dengan sejarah kemunculan Islam disana telah menarik hati saya untuk mengkaji dan mendalami sedikit sebanyak tentang negara tembok besar ini.

Bermulanya sinar Islam




Negara China, ialah sebuah negara tidak asing lagi dikenali sebagai negara yang mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai di dunia, dengan populasinya mencecah 1.3 bilion. Negara yang terkenal dengan pemerintahan oleh maharaja dinasti ini sejak 5000 tahun dahulu sehingga menjadi negara republik pada 1912.

Hingga kini fakta tidak rasmi menunjukkan jumlah komuniti penduduk Islam disana melebihi 136 juta orang. Penyebaran agama Islam di China bermula apabila Rasulullah s.a.w telah mengutuskan para sahabatnya supaya berdakwah di sana. Diantaranya ialah Saad bi Abi Waqqas, Qais bin Hudhafah, Urwah bin Abi Uthman, dan Abu Qais bin al-Harith.

Para sahabat ini telah bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah di negara perantauan sehingga ada dikalangan mereka yang telah meninggal dunia di sana. Sebagai contoh, kubur Saad bin Abi Waqqas ditanam di pinggir bandar berhampiran dengan jambatan Linhua.

Kubur beliau masih diziarahi hingga kini dan menjadi bukti Islam tersebar luas di sana dan menguasai sebahagian besar wilayah-wilayah disana.

Belajar dari yang tahu

Apa yang menariknya, selain daripada misi berdakwah,baginda juga telah menyuruh para sahabatnya belajar tentang empat perkara daripada masyarakat di China.

a)    Pertama, cara membuat kertas. Bangsa China ialah yang terawal sekali di dunia mencipta kertas. Rasulullah menyuruh mereka mempelajari cara membuat kertas supaya mereka dapat menulis dan mengumpulkan tulisan al-Quran di dalamnya. Pada masa itu tulisan ayat-ayat suci al-Quran ditulis pada pelepah tamar, batang-batang tulang dan sebagainya.

b)    Perkara kedua ialah cara membuat sutera. Miskipun sutera mengikut ajaran Islam diharamkan kepada golongan lelaki, namun rasulullah menyuruh para sahabat mempelajarinya untuk digunakan di dalam bidang ketenteraan. Kain sutera berkualiti tinggi dan dan tahan lasak. Maka ia digunakan sebagai penyimpan senjata atau pembalut pedang.

c)    Kemudian perkara ketiga ialah cara membuat mercun. Bangsa China adalah bangsa yang pertama menghasilkan bahan letupan. Di dalam perperangan, strategi dan taktik adalah sangat penting. Pada di awal siri perperangan umat Islam pada ketika itu masih lemah dari segi kelengkapan perperangan dan teknik. Maka amat penting baginda menyuruh mempelajari teknik tersebut supaya dapat menakutkan musuh dan memberi keizzahan pada Islam.

d)    Perkara yang terakhir sekali ialah cara membuat tembikar. Tembikar amat diperlukan oleh masyarakat Arab untuk digunakan sabagai tempat menyimpan air. Masalah yang berlaku pada ketika itu tembikar yang dihasilkan kurang berkualiti menyebabkan air yang disimpan menjadi beracun. Jadi Rasulullah menyuruh para sahabatnya mempelajari cara membuat tembikar daripada masyarakat China kerana tembikar daripada China sangat berkualiti dan tahan lama.





                              Masjid yang pertama di bina oleh Saad Ibn Waqqas RA di bumi Ghougzhou China.





Keunikan Islam di China

Fakta yang menunjukkan Islam telah bertapak di China sejak 1400 yang lampau. Agama Islam kian terserlah pada zaman dinasti Tang yang mana wujudnya petempatan umat Islam di Canton. Apa yang uniknya ialah penganut Islam di sana telah mendapat layanan yang sangat baik daripada pihak pemerintah. Mereka yang datang ke sana dibenarkan berdakwah dan berdagang di sana dengan melalui jalan darat yang kini dikenali sebagai ‘Laluan Sutera’. Maharaja Tang Su Zong juga pernah meminta bantuan kerajaan Abbasiyyah pada masa itu untuk memerangi golongan pemberontak.
Semasa pemerintahan kerajaan Monggol, Kublai Khan meminta bantuan daripada orang Islam untuk membantu urusan pentadbiran mereka. Walaupun sejarah membuktikan kerajaan Monggol sangat bengis dan menindas umat Islam di Asia Barat, namun situasi di China amat berbeza. Mereka dilayan dengan begitu istimewa berbanding dengan masyarakat China di sana. Antara contoh tekanan yang dikenakan kepada masyarakat China ialah mereka hanya dibenarkan menyimpan sebilah pisau untuk dikongsi oleh 3 buah keluarga.
Ada dikalangan umat Islam diberi memegang jawatan tertinggi di dalam urusan pentadbiran. Sebagai contoh, seorang muslim bernama Abdul Rahman di beri jawatan sebagai Ketua Perbendaharaan dinasti Yuan. Kerajaan Monggol juga pernah melantik Syad Ajall daripada Bukhara sebagai Gabenor Yunnan. Hal ini kerana mereka mempercayai golongan umat Islam yang cekap, amanah dan telus dalam mrnguruskan negara.

Kesimpulan

Masih banyak perkara unik berkenaan tentang sejarah Islam yang tidak dapat saya ceritakan di dalam artikel ini. Sungguhpun begitu, pengkajian yang mendalam tentang sejarah ketamadunan sesebuah negara dapat dijadikan iktibar yang berguna di zaman sekarang kerana sejarah itu sentiasa berulang dan berulang.

Ulasan

Catatan Popular