PANDANGAN IMAM ALGHAZALI TERHADAP ILMU FALSAFAH




Pada kurun kelima hijrah, berlaku pertentangan aliran dalam proses mencari kebenaran. Pada ketika itulah, muncul al-Ghazali (450-505h) mewarnai persaingan tersebut lantas membuat penghakiman dengan metodologi tersendiri terhadap pemikiran dan aliran-aliran yang ada.
Pada zaman al-Ghazali, terdapat empat aliran yang berusaha mencari kebenaran, iaitu : i) Ahli Kalam, iaitu golongan yang berusaha menjaga aqidah daripada kekeliruan ahli bid’ah. ii) Mazhab Ta’lim, iaitu golongan batiniyyah yang percaya kebenaran diperolehi daripada imam mereka yang maksum. iii) Ahli Falsafah, iaitu mereka yang banyak menggunakan logik dan akal bagi membuat pembuktian. iv) Ahli Sufi, iaitu mereka yang mengaku rapat dengan Allah sebagai ahli musyahadah.
Daripada penelitian al-Ghazali, beliau mendapati hanya golongan terakhir sahaja yang benar-benar layak untuk mencari kebenaran. Puak ahli Kalam memang benar, tetapi belum memuaskan hati beliau kerana sering menggunakan hujah yang berbelit-belit dan salah. Mazhab Ta’lim ataupun fahaman Batiniyyah pula dianggap beliau sebagai sesat dan perlu dijauhi.
Sementara aliran falsafah pula ada yang betul dan ada yang dikritik oleh al-Ghazali kerana melampau hingga lebih mengutamakan akal bagi mencari kebenaran, terutama dalam masalah ketuhanan (metafizik). Sebelum menolak falsafah, beliau bersungguh-sungguh mempelajari ilmu itu dengan menelaah kitab-kitab ahli falsafah, walau pun tanpa guru. Setelah dihalusi, difahami dan diteliti pemikiran falsafah, beliau mendapati falsafah mempunyai kepalsuan, kekaburan, kesamaran dan khayalan

SIAPAKAH AHLI-AHLI FALSAFAH?
Golongan ahli falsafah ialah orang-orang yang mendakwa mereka ialah golongan ahli logik dan membawa pendalilan secara logik. Mereka terdiri daripada beberapa golongan, tetapi dalam kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Imam Al-Ghazali membahagikan kesemuanya kepada 3 golongan iaitu:
1. Dahriyyun
2. Tabi’iyyun
3. Ilahiyyun
Dahriyyun
Mereka menafikan kewujudan Tuhan. Mereka percaya alam ini terjadi dengan sendirinya. Imam Al-Ghazali menyatakan mereka sebagai zindik. Maksudnya mereka bukan Islam.
Tabi’iyyun
Banyak mengkaji tentang manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hasil kajian mereka menunjukkan adanya Pencipta kerana segala ciptaan itu dijadikan begitu sempurna. Maksudnya mereka yakin kewujudan Tuhan. Namun begitu mereka menafikan kebangkitan semula, hari akhirat, syurga, neraka, Padang Mahsyar, hisab dan lain-lain. Mereka juga menolak konsep pahala dan dosa. Bagi mereka tidak ada pahala dan dosa. Oleh itu mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu. Golongan ini juga disebut zindik. Mereka bukan Islam.
Ilahiyyun
Antara bidang yang dikuasai dan dikaji oleh golongan ini ialah matematik, kejuruteraan, geografi, biologi, keTuhanan, politik, akhlak dan mantiq (logik). Mereka percaya akan kewujudan Tuhan.
Antara tokoh golongan ini ialah Socrates, muridnya Plato, dan murid Plato iaitu Aristotle. Namun kaum Ilahiyyun ini terpecah pula kepada 2 puak. Menurut Imam Al-Ghazali, Aristotle tidak menerima pendapat Plato dan Socrates, malah Aristotle menganggap mereka berdua tidak bersih dan masih kekal dalam kekufuran dan bid’ah.
Menurut al-Ghazali, ahli falsafah banyak melakukan kesalahan dalam bidang Ilahiyyat (Metafizik), iaitu ilmu yang membicarakan hal-hal ketuhanan. Terdapat dua puluh persoalan dalam hal ini yang dianggap bid’ah oleh al-Ghazali dan tiga daripadanya menjadi dihukumkan sesat dan menyalahi pandangan Islam, iaitu:
Pertama – Tentang alam akhirat. Golongan ini percaya yang jasad tidak akan dihimpun semula dengan ruh selepas kematian. Kenikmatan syurga dan keazaban neraka itu juga bersifat rohani, bukan jasmani. Sedangkan menurut ajaran agama Islam, jasad kita akan berhimpun semula dengan ruh di akhirat nanti, dan syurga neraka itu dialami oleh rohani dan jasmani.
Kedua – Tuhan hanya mengetahui perkara-perkara yang bersifat umum, dan tidak mengetahui perkara-perkara yang kecil-kecil. Hal ini juga berbeza dengan pegangan umat Islam iaitu Tuhan Maha Mengetahui segala perkara.
“Tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya sekalipun sebesar zarah, baik yang di langit mahupun yang di bumi, yang lebih kecil daripada itu ataupun yang lebih besar.” (Saba’ : 3)
Ketiga – Mereka percaya alam ini qadim. Maksudnya alam ini sudah sedia ada sebagaimana Tuhan yang sudah sedia ada sejak azali. Unsur-unsur awal yang menjadikan alam ini sudah sedia ada bersama-sama Tuhan. Tuhan bukanlah Pencipta segala sesuatu kerana ada benda yang tidak diciptakan oleh Tuhan tetapi benda itu sudah sedia wujud.
Keyakinan umat Islam tentunya berbeza. Kita percaya alam ini baharu. Pada asalnya ia tidak ada, yang ada hanyalah Tuhan. Selepas Tuhan menciptakan alam ini, barulah alam ini wujud. Alam tidak qadim. Yang qadim hanyalah Allah. Tuhan menciptakan segala sesuatu termasuklah alam ini.
“Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan haq.” (Al-An’am : 73)
“Dialah yang awal, dan yang akhir, yang zahir, yang batin.” (Al-Hadid : 3)

Hasil daripada kritikan al-Ghazali, beliau telah berjaya menjatuhkan nilai ilmiah falsafah dari takhta keagungan yang selama ini dipandang mulia oleh masyarakat. Beliau juga berjaya mendedahkan secara terperinci segala kelemahan dan tembelang ilmu falsafah, terutama menerusi karyanya,‘Tahafut al-Falasifah.’ Falsafah Islam yang ketika itu dipopulari oleh Ibnu Sina dan al-Farabi dan disanjung oleh masyarakat menjadi hina dan dijauhi oleh umat Islam.
Selain itu, Al-Ghazali adalah orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Matematik menurut Al-Ghazali ialah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ia tidak berkaitan dengan perbahasan dari sudut agama. Mantiq pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu fizik pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang-bintang, air, udara dan alam seluruhnya. Selain itu, ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dari perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari oleh perbincangan mantiq dan logik. Ilmu ini menurut Al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar. Siasah menurut Al-Ghazali adalah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Al-Ghazali ialah akhlak iaitu ilmu yang berkaitan bagaimana seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia.
Kepakaran Al-Ghazali dalam bidang falsafah tidak dapat disanggah lagi. Hakikat ini telah disuarakan oleh Dr Sulaiman Dunia, sarjana Islam terkenal dengan menyatakan bahawa perbahasan Al-Ghazali mengenai masalah-masalah falsafah adalah jauh lebih baik daripada perbahasan ahli-ahli falsafah sendiri. Justeru itu, dalam kitabnya Dr Sulaiman Dunia membuat kesimpulan bahawa metodologi yang diasaskan oleh Al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid Al-falasifah, Al-Munqiz min aldhalal dan Tahafut Al-falasifah.
Abu Hassan An-Nadawi juga menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang yang istimewa seperti yang diungkapkannya di dalam salah satu penulisannya ( “ ….dan kaum muslimin sangat memerlukan kepada pengarang dan pengkaji seperti ini, yang akan menghadapi falsafah dengan penuh keimanan dan kepercayaan, berfikiran bebas dan mempunyai keberanian ‘ilmiah untuk mengingkari kemaksuman falsafah, kequdusan dan kegeniusannya dan kedudukan mereka mengatasi kedudukan akal dan fikiran manusia biasa. Sifat ini dipunyai oleh Al-Ghazali seperti dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifah, maka beliau datang pada waktunya dan memenuhi hajat zamannya”.).
Kesimpulannya, Al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam. Beliau dapat menyelamatkan akidah umat Islam dari terus direntap oleh fahaman falsafah Ketuhanan Yunani yang tidak bertauhidkan kepada agama yang suci; Islam. Sekiranya Al-Ghazali tidak bangun untuk mempertahankan kemurnian Islam pada ketika itu, kemungkinan pada hari ini kita masih lagi mengagung-agungkan falsafah Yunani tanpa menyedari bahawa akidah kita telah terpesong secara halus. Nauzubillah min zalik.

disusun oleh Pelajar Darul Ulum Ihya Ulumuddin

Ulasan

Catatan Popular