Kemanakah arah roh selepas meninggal dunia
Diriwayatkan dari Al-Bara’ bin ‘Azib r.a
katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah
seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang
disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya
dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula
mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya.
Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: “Mintalah
kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur”, (diulanginya sabdanya
itu) dua atau tiga kali.
Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi:
“Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia
berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat,
akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih
wajah mereka seolah-olah matahari, dengan membawa kain kafan bersama
mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk
campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa
dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak
daripadanya sejauh mata memandang.
Kemudian datang Malakul Maut lalu duduk
di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: “Wahai jiwa yang
baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak
mati dihadiri saat nazaknya oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu
seorang yang soleh, berkatalah Malaikat: “Keluarlah engkau..) menuju ke
tempat keampunan dan keredhaan Allah”. Baginda s.a.w bersabda lagi:
“Kemudian roh orang itu keluar, mengalir seperti mengalirnya setitik air
dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul
Maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang
ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul Maut walau
sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya
di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh
itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di
atas muka bumi.”
Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian
mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa
membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu
berkata: “Roh yang baik ini roh siapa?” Mereka menjawab: “Roh si fulan
anak si fulan’ (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka
menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya)
sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang
pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya,
lalu dibukakan pintu untuk mereka. Kemudian Malaikat-malaikat yang
berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit
menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya,
sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh. Setelah
itu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang
ditugaskan untuk itu): “Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam
‘illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan
bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan
manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari
bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi.”
Baginda s.a.w bersabda lagi: “Dan
sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada
dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan
turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka,
dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk
jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakul Maut,
lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: “Hai jiwa
yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila
orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: “Keluarlah engkau..) menuju
ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah.”
Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian
roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak
keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul Maut sebagaimana sebatang
besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul
Maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat
(yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul Maut
walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain
kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk
bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik
ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana
kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: “Roh yang
jahat ini roh siapa?” Mereka menjawab: “Roh si fulan anak si fulan,”
(dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan
nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah
perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka
meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya.
Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat
40 Surah al-A’raf ), ertinya: “Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi
mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta
masuk di lubang jarum.” Kemudian Baginda s.a.w bersabda: Lalu Allah
‘Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: “Simpanlah suratan amal
jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang
yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu
dicampakkan rohnya ke situ.”
Adam AS dijadikan dari 2 kejadian iaitu KEJADIAN ZAHIR dan BATIN...kejadian fizikal dan spiritual.
BalasPadamKejadian fizikal Adam AS disebut dlm Al Quran terdiri dari saripati yg diekstrak dari tanah yg mengandungi gas asli, bahan mineral dan vitamin termasuk gas oksigen, hydrogen, nitrogen dll begitu juga dengan bahan galian asli seperti kalium, sodium, fosforus, mangnesium dsb serta vitamin yg terdiri dari vitimin A, B, C, D, K dsb.
Apa yg dijadikan di bumi akan tinggal di bumi.
Manakala kejadian rohaniah Adam AS pula terdiri dari ‘ROH ALLAH’ yg dihembuskan ke jasad Adam mengandungi Annur dan Annar.
Yg ghaib akan pulang ke ghaib.
Diri ZAHIR tinggal di kubur.
Diri BATIN tinggal di BARZAKH.