WAJIB BERSIKAP IKHLAS KERANA ALLAH DALAM MENUNTUT ILMU DAN AMAL IBADAT
Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110, Surah Al-Kahf)
" .. hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya segala ibadat dan bawaan mu." (2, Surah Al-Zumar).
Hadis Ketiga Puluh Tiga
33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)
33- Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang ketiga puluh tiga ini menerangkan:
Orang yang mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat habuan dunia, buruk padahnya.
Huraiannya:
Tiap-tiap perbuatan adalah dinilai menurut tujuan orang yang melakukannya. Sesuatu perkara yang dilakukan oleh dua orang dengan tujuan yang berlainan, maka berlainan pula nilainya, kerana tujuanlah yang mendorong seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu.
Ilmu agama - sebagaimana yang sedia diketahui - adalah dan Allah, untuk menjalankan perintah-perintah Allah dan beramal kerana Allah.
Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya sungguh-sungguh kerana Allah, bukan kerana kepentingan dunia.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa orang yang menuntut ilmu agama untuk mendapat habuan dunia semata-mata, maka ia bukan sahaja tidak memasuki syurga bahkan tidak dapat mencium baunya, kerana orang yang demikian telah menyelewengkan agama Allah dan telah
menjualnya dengan habuan-habuan dunia. Oleh itu sudah selayaknya ia menerima balasan yang seburuk-buruknya.
Dalam pada itu, janji balas buruk yang tersebut dalam hadis ini, tidak ditimpakan kepada orang yang menuntut ilmu agama dengan ikhlas, kemudian ia beroleh habuan dunia sebagai nikmat pemberian yang disegerakan Tuhan kepadanya, maka orang yang demikian tidak dikeji oleh syarak,
kerana ia tidak menyelewengkan agama Allah dan tujuannya yang sebenar.
Mengenai hal ini, Imam Ghazali dan alim ulamak yang lain telah membahagikan penuntut-penuntut ilmu kepada tiga bahagian:
Pertama - Orang yang menuntut ilmu kerana Allah dan untuk keselamatannya pada hari akhirat, maka ia adalah dari orang-orang yang berjaya!
Kedua - Orang yang menuntut ilmu untuk mendapat kemuliaan, kebesaran dan harta kekayaan, dalam pada itu ia menyedari akan tujuannya yang buruk itu. Orang yang demikian, jika ia bertaubat dan menyelamatkan dirinya dan perbuatannya yang salah itu maka ia akan termasuklah dalam golongan orang-orang yang berjaya, kerana orang yang bertaubat dari dosanya akan menjadilah ia sama seperti orang yang tidak berdosa; dan jika ia mati sebelum bertaubat, adalah ditakuti ia akan mati dalam keadaan Su' al-Khatimah", semoga Allah melindungi kita daripada keadaan yang demikian dan dari segala yang membawa kepada "kesudahan yang buruk" itu.
Ketiga - Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan mendapat harta kekayaan dan pangkat kebesaran, dengan menyangka bahawa ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, kerana ia berlagak seperti alim ulama pada pakaian dan tutur katanya; maka orang yang demikian adalah dari golongan yang binasa, kerana ia dihalangi dari bertaubat oleh sangkaannya bahawa ia berada di atas jalan yang benar.
Pendeknya orang yang menuntut ilmu dikehendaki menentukan niat dan tujuannya pada tiap-tiap masalah secara khusus satu persatu, atau secara umum - bahawa ia mempelajari ilmu itu ialah untuk menunaikan fardu ain" yang ditanggungnya untuk kewajipan dirinya sendiri, dan yang lebih dan itu hendaklah diniatkan untuk disampaikan kepada orang ramai sebagai "fardu kifayah"; dan janganlah diniatkan sebagai perkara "sunat" kerana pahala "perkara yang difardukan" adalah lebih besar dari itu.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya dengan ilmu yang diajarkannya itu akan dapat mencapai jalan yang menyampaikan faedahnya kepada segala lapisan masyarakat, dengan perantaraan murid-muridnya dan murid-murid kepada murid-muridnya, meliputi ilmu dan amal yang terus menerus hingga hari qiamat.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya untuk menyekat dirinya dari melakukan maksiat dengan berlaku taat kepada Allah dan juga menyekat dirinya dari perkara-perkara yang sia-sia dan merugikan.
Menurut Imam Al-Qarafi, bahawa sesiapa yang mengajarkan ilmu kepada orang ramai dengan tujuan hendak menjadi orang yang masyhur dan terpuji, maka perbuatannya yang demikian menjadi sebab untuk ia dipulaukan dan tidak diambil ilmu yang disampaikannya.
Hadis Ketiga Puluh Empat
34- عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ. (الترمذي وابن ماجه)
34 - Dari Ka'ab bin Malik ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menuntut ilmu, dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, atau pun dengan tujuan menarik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka. "
(Tirmizi dan Ibnu Majah)
Hadis yang ketiga puluh empat ini mengingatkan:
Penuntut-penuntut ilmu supaya jangan bertujuan selain dari mentaati Allah serta mendapat keredhaan-Nya.
Huraiannya:
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi menuntut ilmu agama:
1 - Bermegah-megah menandingi alim ulama.
2 - Bertengkar dengan orang-orang jahil.
3 - Mendapat pujian orang ramai.
Sesiapa yang menjadikan salah satu dan tiga perkara yang tersebut sebagai tujuannya dalam mempelajari ilmu agama, maka amatlah buruk balasannya, kerana sikap dan tujuannya yang demikian bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan juga membawa kerosakan kepada agama Allah yang dibawa oleh RasulNya.
Kejadian yang demikian dapat disaksikan di mana-mana; ada di antara orang-orang yang mempelajari ilmu agama tetapi perbuatannya memburukkan Islam. Ada pula yang tidak beramal menurut ilmu dan ajaran Islam yang dipelajarinya, kerana amal bakti itu bukan menjadi tujuannya; pada hal tujuan yang tunggal bagi menuntut ilmu agama itu ialah untuk mencapai keredhaan Allah Taala dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
Hadis Ketiga Puluh Lima
35- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ. (مسلم والترمذي والنسائي)
35 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari qiamat ialah: Pertama, orang yang gugur syahid - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-nikmatNya (yang telah diberikan kepadanya semasa hidupnya) lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: "Aku berperang kerana mematuhi perintahMu sehingga aku gugur syahid"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (bukan itu tujuan mu), akan tetapi engkau berperang supaya orang mengatakan: Engkau berani dan telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka. Dan kedua, orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Qur'an - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmatNya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Qur'an kerana mengharapkan keredhananmu"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim dan engkau membaca Al-Qur'an supaya orang mengatakan: Si anu seorang qari, maka telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka. Dan ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta diberinya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat nikmatNya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: "Aku tidak tinggalkan satu jalan pun di antara jalan-jalan yang engkau suka dibelanjakan kekayaan itu padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmatMu"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan: Si anu itu seorang dermawan, - maka telah pun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap; akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka."
(Muslim, Tirmizi dan An-Nasa'i).
Hadis yang ketiga puluh lima ini menerangkan:
Akibat buruk yang ditimpakan kepada orang-orang yang menyalahgunakan nikmat-nikmat pemberian Allah kepadanya.
Huraiannya:
Nikmat-nikmat Allah yang dikurniakannya kepada umat manusia amatlah banyak, tidak terhitung. Nikmat-nikmat pemberian itu meliputi tiga bahagian besar dalam alam kehidupan ini - jasmani, rohani dan kebendaan.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan perihal tiga jenis manusia, masing-masing mendapat salah satu dari jenis-jenis nikmat yang tersebut, iaitu nikmat jasmani seperti kesihatan dan kekuatan tubuh badan; nikmat rohani seperti ilmu pengetahuan dan amal ibadat; dan nikmat kebendaan seperti wang ringgit dan hasil mahsul.
Setelah disoal dan dibicarakan pada hari qiamat, mereka didapati bukan sahaja tidak bersyukur akan nikmat-nikmat pemberian Allah itu bahkan mereka telah menyalahgunakannya dengan tujuan mendapat nama dan dipuji orang semata-mata. Oleh yang demikian berhaklah mereka ditimpa azab seksa yang diterangkan itu.
Hadis Ketiga Puluh Enam
36- عَنْ أَبِي سَعْدِ بْنِ أَبِي فَضَالَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا جَمَعَ اللَّهُ النَّاسَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيهِ نَادَى مُنَادٍ مَنْ كَانَ أَشْرَكَ فِي عَمَلٍ عَمِلَهُ لِلَّهِ أَحَدًا فَلْيَطْلُبْ ثَوَابَهُ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنْ الشِّرْكِ. (الترمذي)
36- Dari Abu Sa'id bin Abi Fadhalah ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila Allah Taala menghimpunkan manusia pada hari qiamat pada hari yang tidak ada sebarang syak tentang tetap berlakunya, - (pada hari itu) menyerulah malaikat penyeru: "Sesiapa mempersekutukan (Allah dengan) mana-mana makhluk dalam sebarang amal yang dikerjakannya kerana Allah, maka hendaklah ia meminta pahalanya daripada yang lain dan Allah, kerana sesungguhnya Allah Taala tidak menerima sama sekali akan sebarang amal yang dipersekutukan Dia dengan makhluk yang lain."
(Tirmizi)
Hadis yang ketiga puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Peristiwa berhimpun di padang Mahsyar.
(2) Keputusan perbicaraan masing-masing akan dihebahkan dalam perhimpunan itu.
Huraiannya:
Di antara peristiwa-peristiwa yang akan ditempuh oleh setiap orang pada hari qiamat kelak ialah peristiwa berhimpun di padang Mahsyar. Susah senang atau berat ringannya kesusahan yang akan dirasai di situ adalah bergantung kepada amal masing-masing.
Setelah puas menunggu, masing-masing pun dibicarakan, dihisab dan ditimbang amalnya, kemudian diisytiharkan keputusan perbicaraan itu.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan: Bahawa pada saat itu malaikat akan menghebahkan kepada umum: Sesiapa yang melakukan syirik - mempersekutukan mana-mana makhluk dengan Allah dalam amalnya, hendaklah ia meminta balasannya kepada makhluk itu, kerana Allah Taala tidak menerima sama sekali akan sebarang amalan syirik.
Pada ketika itu orang-orang yang bersalah akan menyesal, tetapi sesal kemudian tidak ada gunanya. Maka wajiblah dibersihkan segala amalan dari tujuan yang lain daripada mengharapkan keredhaan Allah.
Hadis Ketiga Puluh Tujuh
37- عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَرَأَيْتَ رَجُلًا غَزَا يَلْتَمِسُ الْأَجْرَ وَالذِّكْرَ مَالَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ فَأَعَادَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَقُولُ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبَلُ مِنْ الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ. (أبو داود والنسائي)
37- Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana hukum seseorang yang pergi berperang untuk mencari pahala dan nama yang terpuji, apa yang akan didapatinya?" Maka Rasulullah s.a.w. (menyatakan kepadanya dengan) bersabda: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; Si penanya mengulangi pertanyaannya tiga kali dan Rasulullah s.a.w. pula tetap menjawab: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; akhirnya Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah `Azza wa Jalla tidak menerima sebarang amal melainkan yang dikerjakan untukNya semata-mata dan dengan tujuan untuk mendapat keredhaanNya."
( Abu Daud dan An-Nasa'i)
Hadis yang ketiga puluh tujuh ini menerangkan bahawa:
Sebarang amal yang dikerjakan bukan kerana Allah, tidak ada nilainya di sisi Allah.
Huraiannya:
Sesuatu amal yang dikerjakan, walau seberapa besar dan tinggi nilainya pada anggapan manusia, belum tentu ada nilainya di sisi Allah untuk mendapat balasan pahala pada hari akhirat kelak.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan hukum perkara itu kepada orang yang bertanya mengenai seseorang yang berjuang di medan perang dengan tujuan untuk mendapat pahala dan nama yang terpuji sebagai pahlawan yang gagah berani; Baginda menyatakan bahawa orang itu tidak beroleh sebarang pahala. Baginda menegaskan jawapannya itu sebanyak tiga kali, sambil menerangkan sebabnya amal itu yang pada zahirnya dipandang tinggi nilainya tetapi pada hakikatnya tidak mendapat sebarang pahala kerana ia dikerjakan bukan kerana Allah semata-mata, sedang Allah Subhanahu wa Taala tidak menerima melainkan amal bakti yang dikerjakan dengan ikhlas kepadaNya.
Ulasan
Catat Ulasan