PERANAN WANITA DALAM MEMBENTUK HALATUJU UMMAH
Islam adalah satu agama yang syumul iaitu satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Segala hukum hakam yang terdapat didalam syariatnya bertujuan untuk membawa pengaruh yang baik kepada individu serta tindakannya dalam masyarakat. Secara tabi’e manusia tidak mampu hidup bersendirian, malahan manusia juga tidak boleh hidup menyendiri. Ketika Allah mencipta nabi Adam, Allah telah menciptakan baginya seorang teman. Sejak penciptaan manusia dari dulu lagi, nabi Adam dan isterinya Hawa telah hidup bersama dengan penuh kasih sayang, dan sifat kasih mengasihani ini merupakan sebahagian daripada naluri atau fitrah penciptaan manusia.
Wanita merupakan makhluk Allah yang punyai keistemewaan tersendiri sehingga terdapat satu surah di dalam al-quran yang di namakan surah an-nisa’ yang menceritakan tentang perihal wanita dan hak-haknya. Syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang telah meletakkan hak-hak wanita dengan sempurna.Wanita juga sering di gambarkan dengan lambang yang bergitu mulia dengan kelembutan dan sifat kasih sayang yang semulajadi yang mana ianya merupakan senjata untuk mencapai segala matlamat yang di impikan. Wanita yang di kenali sebagai hawa mempunyai peranannya yang tersendiri untuk memajukan dirinya dan di dalam al-quran juga telah menjelaskan bahawa wanita adalah satu unsur yang turut bergiat dalam menbangunkan dan membentuk masyarakat serta menjaga keutuhan dan kesejahteraan ummah.
Peranan wanita dalam keluarga.
Jika dilihat peranan utama wanita dalam membentuk halatuju ummah adalah bermula dari peringkat pembentukkan keluarga. Peranan wanita dalam keluarga atau rumah tangga adalah amanah yang diperintahkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya,
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ( surah an-Nisaa’-ayat 58 ).
Di alaf baru ini, perubahan telah berlaku pada peranan wanita sebagai isteri dan juga sebagai ibu di dalam rumahtangga. Secara hakikatnya peranan isteri adalah untuk mentadbir sesebuah keluarga tetapi dengan timbulnya cara hidup baru telah berlakunya perubahan tertentu yang meluaskan lagi skop peranan isteri.
Keterlibatan dan kesibukkan wanita dalam dunia pekerjaan, peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga telah mengalami perubahan dengan adanya bantuan dari orang gaji, pengetahuan sains dan teknologi yang telah mencipta pelbagai perkakas rumahtangga untuk memudahkan kerja-kerja mereka.. Ini menjadikan wanita perlu bangkit seiring dengan kemajuan yang dicapai tanpa meninggalkan sikap keluhuran, kemurnian dan tatasusila seorang wanita. Disinilah peranan yang dimainkan oleh kaum ibu yang bergelar wanita adalah penting agar pembangunan dan kemakmuran negara dapat di majukan dengan baik tanpa mengorbankan pembangunan institusi keluarga. Ini kerana sekiranya diperhatikan dalam institusi keluarga, kaum ibulah yang paling rapat dengan anak-anak dan sumbangan mereka dalam melahirkan generasi yang berpekerti mulia banyak terletak ditangan mereka.Sekiranya diteliti peranan itu wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum, kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik, mengasuh dan membimbing. Ini kerana kesan kepada didikan pada anak-anak itu akan memberikan manafaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sesunguhnya watak, keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Di dalam hal ini Rasullullah s.a.w dalam hadisnya mengatakan;
" Tiap-tiap anak Adam itu di lahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibu
bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani, Yahudi ataupun Majusi" (Al-Hadis).
Tidak dinafikan bahawa kaum wanita juga merupakan pencorak dan pemberi imej kepada sesuatu bangsa dan masyarakat. Kaum wanita sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat amat digalakkan untuk turut sama memainkan peranan dan memberi sumbangan dalam membangun masyarakat dan negara demi kepentingan ugama dan ummah dengan syarat kaum wanita mampu menghindari diri daripada tergadai maruah dan kehormatan serta dapat menjaga kesucian ugama Islam. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala :
Maksudnya : "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".(Surah At-Taubah, ayat 71 ).
Wanita dan kerjaya
Jika dilihat pada zaman serba moden ini, ramai wanita yang telah berjinak-jinak berkecimpung dalam dunia pekerjaan. Wanita berkerjaya ialah wanita yang menceburi sesuatu bidang dalam hidupnya sama ada ia berupa pekerjaan, perkhidmatan, hobi, atau mencari pengalaman semata-mata. Kerjaya lebih mudah di istilahkan sebagai ‘kerja dan jaya’. Jika kaum adam mempunyai peranan dan kerja yang perlu dilakukan, begitu juga kaum hawa , mereka juga tidak terkecuali, mereka mempunyai peranan dan tugas yang perlu di lakukan.
Islam tidak secara total mengharamkan dan tidak secara sewenang-wenangnya membenarkan tanpa adanya peraturan dan syarat-syarat yang di tentukan. Bukan sekadar kerjaya wanita sahaja yang diikat dengan hukum-hukum syar’ie, tetapi secara amnya, islam telah menetapkan syarat ini untuk lelaki dan wanita. Syara’ telah memberu peluang dan kebolehan kepada wanita untuk bekerjaya tetapi mestilah dibatasi dengan syarat-syarat yang tertentu dan kewajipan-kewajipan yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Kebanyakkan wanita bekerja adalah untuk membantu keluarga didalam menambahkan lagi pendapatan. Selain dari itu ramai wanita mempunyai kelulusan akademik dan pengalaman yang seharusnya tidak disia-siakan.Justeru bekerjaya adalah satu keperluan semasa supaya ilmu dan bakat yang ada boleh disalur dan dimanfaatkan. Wanita mempunyai potensi untuk membantu dan meningkatkan pengeluaran dan menambah kekayaan bangsa dan kemakmuran negara. Ini kerana wanita adalah antara sumber manusia yang diperlukan didalam beberapa sektor utama negara.
Peranan wanita dalam mayarakat.
Wanita berperanan untuk melibatkan diri dalam bidang sosial, kaum wanita juga berperanan mempersiapkan diri dengan ilmu yang bukan hanya tertumpu kepada ilmu undang-undang dan politik tetapi juga ilmu syariah. Ilmu tersebut akan membawa kepada keimanan dan akhirnya melahirkan amalan-amalan yang baik bagi membentuk sebuah masyarakat madani.Ini merupakan pemangkin bagi penghijrahan bagi kaum wanita agar berjaya memikul tanggungjawab ini dalam membentuk sebuah masyarakat yang berketrampilan dan bukannya membentuk sebuah masyarakat yang ekstrim. Dengan senario sosial yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, kaum wanita berperanan menangani dengan baik sesuatu perkara yang berbahaya agar masyarakat tidak terlibat dengan arus ekstrim dan akhirnya akan menimbulkan keadaan yang gawat. Kegawatan di sini membawa maksud dengan keadaan pembangunan dan modenisasi yang pantas tetapi menolak beberapa unsur lain yang terdapat dalam zaman traditional seperti lari daripada prinsip dalam memuliakan agama kerana terlalu bangga dengan kecanggihan yang di capai. Pada situasi yang sama juga penglibatan kaum wanita dengan lebih luas dan mendalam pada hal-hal yang satu ketika dahulu dianggap tugas dan peranan perseorangan. Umpamanya peranan pengasuh kanak-kanak telah dikembangkan lagi dengan mengambil berat terhadap pelajaran dan pendidikan kanak-kanak atau anak-anak mereka. Kaum wanita bertanggungjawab secara langsung terhadap perkembangan-perkembangan terbaru dalam sistem pendidikan Negara yang akan mempengaruhi anak mereka keseluruhannya. Atas peranan yang besar dalam memberikan bimbingan ini, tidak mustahil mereka mampu membentuk satu generasi yang matang, berwibawa dan berkemampuan dalam membangunkan negara ke arah perkembangan yang padu dan berwawasan. Justeru untuk menampilkan imej wanita sebagai berketerampilan selain memiliki ilmu, wanita juga hendaklah memiliki sifat ketakwaan. Melalui ilmu, seorang wanita mampu mempertingkatkan kualiti diri sebagai wanita mithali yang dapat menyumbangkan ke arah pembangunan negara. Sementara itu ketakwaan menjadikan wanita itu mantap, memiliki ketahanan diri yang kuat dengan erti kata keimanan menjadi benteng menahan arus cabaran yang mendatang.
Oleh yang demikian, untuk mencapai hadaf dalam membentuk hala tuju ummah, selaku wanita islam perlulah berketerampilan seperti kaum lelaki. Wanita dan lelaki adalah saling memerlukan, bekerjasama dan membantu dalam membina pembangunana ummah. Marilah kita sama-sama bangun dan berikrar untuk menjadi penyumbang utama dalam dakwah islam dengan meletakkan keyakinan yang mutlak kepada bantuan kemenangan dari Azzawajalla..
Ulasan
Catat Ulasan