Suamiku orang ‘Tabligh’
Syadah merenung jauh di balik tirai
jendela rumahnya. Permandangan di luar rumah sungguh mendamaikan. Dia
bersyukur ke hadrat Ilahi kerana menempatkan dirinya tinggal di kawasan
kampung. Baginya kehidupan di kampung lebih tenang berbanding hiruk
pikuk kehidupan di bandar. Tiba-tiba hatinya merasa sebak. Ketika ini
dia bersendirian di rumah mengenangkan suaminya yang sedang khuruj ke
jalan Allah selama 3 hari.
***********************************
“Syadah, mak ada berita nak sampaikan kat Syadah ni..” beritahu mak suatu hari di waktu kami sedang bersarapan.
“Apa dia mak, lain macam jer bunyinya..”
Syadah memandang wajah ibunya. Sejak ayahnya meninggal, ibunyalah
tempat dia mencurahkan kasih sayang dan bergantung harap. Sayangnya dia
pada ibunya tidak bertepi. Dia sanggup bersusah payah demi melihat
ibunya gembira.
“Semalam, masa kamu pergi tadika, ada
Azizi dan ibubapanya datang jumpa mak. Dia nak merisik kamu. Kalau kamu
terima, 3 bulan lagi majlis perkahwinan dan nikah akan dijalankan”
beritahu mak lagi.
“Hah!.. Azizi anak Pak Hashim tu ke mak? Yang kerja kat kilang hujung kampung kita tu?” Syadah agak terkejut bercampur teruja.
“Ha’ah.. Dialah, sapa lagi..”
Hati Syadah berbunga. Dia sebenarnya
memang menaruh hati pada Azizi. Azizi, seorang pemuda lulusan
kejuruteraan dari UiTM. Bekerja sebagai jurutera di kilang kampung ini,
berwatakan sederhana, berkopiah sentiasa di kepala dengan janggut yang
sejemput, berpakaian kurta dan berseluar slack, kadangkala mengenakan
jubah, mencerminkan identiti islamiknya. Manakala Syadah gadis kampung
lulusan STPM, dan bekerja sebagai guru tadika berdekatan rumahnya. Apa
pun dia seorang yang memelihara diri dan maruah. Menutup aurat yang
sempurna seperti mana yang disyariatkan Allah. Sudah tentu dengan
niali-nilai Islam yang diterapkan ibu padanya menyebabkan hidupnya
terpelihara dari perkara-perkara yang tidak baik.
“Arghh.. Alangkah gembiranya seandainya aku dapat memiliki Si Azizi..” bisik hati kecil Syadah.
“Hey Syadah, dengar tak apa mak cakap ni!” sergah mak selepas melihat aku mengelamun seketika.
“Aah..aa.. Dengar mak. Alaa mak ni, ikut
maklah. Kalau mak tarima, Syadah pun terima juga. Mana yang baik bagi
mak, baiklah juga bagi Syadah.” Syadah tersenyum penuh makna memandang
wajah ibunya.
***********************************
“Syadah sayang. Syadah gembira tak kita dah jadi suami isteri?” soal Azizi sebaik mereka sah menjadi suami isteri.
“Mestilah gembira. Lelaki idaman yang Syadah impikan menjadi kenyataan..” jawab Syadah tersipu malu.
“Sebenarnya Syadah pun wanita pujaan
abang. Bila pertama kali jumpa Syadah, hati abang berdegup kencang.
Apatah lagi bila lihat Syadah pergi tadika perpakaian jubah dan
bertudung labuh. Sejuk hati melihatnya..” beritahu Azizi berterus terang
pada isterinya.
“Yeke? Terima kasih abang. Syadah harap abang sudi bimbing diri Syadah ni jadi isteri dan wanita solehah..” jawab Syadah.
“InsyaAllah sayang. Bukankah dalam
Al-Quran ada kata wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan wanita
yang jahat untuk lelaki yang jahat.”
Syadah tersenyum memandang wajah suaminya. Hatinya kini sudah dimiliki oleh insan yang didambakan selama ini.
***********************************
Pulang dari kerja, Syadah menyambut
Azizi dengan bersalam dan mencium tangan suaminya dengan hati yang
gembira. Dia menatap wajah suaminya yang agak kepenatan.
“Banyak kerja ke bang, letih je nampaknya?” tanya Syadah pada suaminya.
“A’ah sayang. Kerja kat kilang tu
melambak-lambak. Lagi pula, kilang abang bulan depan kena shutdown.
Lagilah sibuk” jelas Azizi semula.
“Oh.. begitu ke?” Syadah tersenyum memandang suaminya.
Setelah menukar pakaian, mereka berdua menikmati minuman petang, air kopi habbatussauda’ dengan kuih karipap.
“Sedap kuih ni, pandai Syadah buat ye. Kalau makan sedap-sedap macam ni, gemuklah abang..”
“Ala abang ni.. Biasa je kuih tu.. Pandai-pandai je abang ni..” Syadah mencubit lengan suaminye kerana usikan itu.
“Ni abang nak bagitahu ni, esok abang nak keluar 3 hari tau.”
“Esok ke bang? Kalau tak keluar tak
boleh ke? Sunyilah Syadah abang tak ada 3 hari ni” saja Syadah bertanya
begitu. Dia memang tahu, sejak berkahwin dengan Azizi, setiap bulan
memang wajib suaminya keluar dakwah di jalan Allah selama 3 hari.
“Yelah sayang.. Dah lupa ke?”
“Ermm.. Ingatlah.. Saja je tanya..”
Sebenarnya Syadah berat hati nak bagi
suaminya keluar. Usia perkahwinan mereka baru 4 bulan. Seharusnya waktu
yang ada dihabiskan bersama-sama kerana mereka berdua masih dalam proses
mengenali antara satu dengan lain. Dia sendiri pun masih tak faham
dengan usaha dakwah dan tabligh. Hatinya sedikit memberontak bila
mengetahui Azizi terlibat dalam usaha ini. Apatah lagi rata-rata
kawannya memandang negatif dengan usaha tabligh ni.
Memang dia akui Azizi seorang suami yang
taat pada perintahNya. Solat lima waktu berjemaah di masjid adalah
wajib baginya. Tiada istilah lelaki solat di rumah. Amalan tahajjud,
tilawah Al-Quran dan zikir merupakan amalan hariannya. Dan yang pasti
bila berbicara terserlah ilmu agama yang dimilikinya. Lantas, Syadah
seharusnya bersyukur dengan Allah atas kurniaan ini. Cuma dia masih cuak
dengan kerja dakwah ini. Perlukah buat kerja ni di zaman moden dan
teknologi seperti sekarang ni. Kenapa tak dakwah guna radio ke, buku ke,
TV ke, internet ke, macam ustaz atau penceramah agama buat sekarang ni.
Argghh.. Syadah terkeliru, bingung. Sememangnya dia terlalu baru untuk
memahami susur jalur perjuangan dakwah tabligh ni.
***********************************
Suatu malam Syadah dan Azizi berbicara tentang usaha dakwah dan tabligh ni.
“Sayang, apa yang sayang tahu pasal jemaah tabligh ni?” tanya Azizi pada isteri tercinta sambil membelai ubun-ubun isterinya.
“Entahla bang. Yang Syadah tahu, orang
kata tabligh ni suka tinggal anak bini berbulan-bulan. Tak bagi nafkah
zahir batin kat keluarga.” jawab Syadah jujur.
Azizi tergelak mendengar jawapan isterinya. Itulah manusia menilai sesuatu dari luar tanpa mahu memahami isi dalamnya.
“Syadah sayang, cuba Syadah fikir, orang
tabligh je ke yang tinggal anak bini. Habis tu, orang zaman sekarang
ni, yang pergi kursus, outstation, pastu ada yang kerja kat pelantar
minyak, sebulan di laut sebulan di darat, ada pula yang suami sambung
belajar bertahun di luar negara, macam tu tak pe pula, tak ada pun orang
nak pertikaikan. Cuba Syadah renung firman dalam Al-Quran yang
mafhumNya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (At-Taubah 9:24)
“Erm, betul juga kata abang. Entahlah,
Syadah pun tak tahulah bang. Syadah sendiri pun baru nak belajar
mengenali dakwah tabligh ni.”
“Sebenarnya usaha dakwah ni kerja Nabi
s.a.w, Syadah kan tahu macam mana Nabi s.a.w sanggup bersusah payah nak
dakwahkan kalimah tauhid ni, kena ejek, kena baling batu sampai
berdarah, kena lempar dengan najis, jumpa orang rumah ke rumah, lorong
ke lorong, semata-mata nak ajak manusia kembali kepada Allah, supaya
dapat hakikat Laa ilaha illallah, tidak menyembah makhluk tapi menyembah
Allah yang Esa. Kita ni umat akhir zaman. Allah jadikan kita
sebaik-baik umat, kan dalam Al-Quran ada kata:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (A-li’Imraan 3:110)
Usaha yang kita lakukan sekarang ni
hanya dalam 10% sahaja berbanding usaha sahabat sahabiyah dahulu, mereka
sanggup korban diri, harta, anak bini, semata-mata nak syahid di jalan
Allah, semata-mata nak tengok kalimah Allah tertegak di atas muka bumi
ini. Sebab tu mereka ni di dunia lagi Allah Ta’ala telah redha pada
mereka dan menjanjikan syurga untuk mereka. Lagipun sayang, abang
tinggal Syadah ni bukan kat padang pasir seperti Siti Hajar dan Ismail
yang di tinggalkan Ibrahim. Mereka lagilah, kena tinggal tanpa sebarang
asbab untuk mereka hidup, tiada makanan dan tempat tinggal, tiada
jiran-jiran, tapi sebab redha dengan perintah Allah dan sebab dakwah,
Nabi Ibrahim rela melakukannya. Syadah ni abang tinggal, duduk dalam
rumah yang selesa, cukup peralatan rumahnya, keperluan dah abang
sediakan, takkan macam tu pun tak sanggup lagi. Habis, Syadah nak abang
berkepit duduk bawah ketiak Syadah 24 jam, macam tu?” Azizi sengaja
mengenakan isterinya sambil mencubit hujung hidung isterinya yang
mancung itu.
“Bukanlah sampai macam tu abang. Cuma
Syadah cemburu, orang lain bila suami balik kerja, ada kat umah sampai
malam, lepas tu boleh main dengan anak-anaknya, sembahyang pun kat rumah
berjemaah dengan isteri dan anak-anak. Ada masa bermesra dengan
keluarga. Tapi abang, balik kerja rehat sebentar, lepas tu pukul enam
lebih dah nak kena pergi ghastlah, mesyuaratlah, malam markaslah, kalau
hari Isnin hingga Khamis memang tak merasa abang ada waktu petang. Balik
pun lewat malam.” Syadah menerangkan situasi yang sedang dilalui ini.
“Itulah namanya lima amal masjid. Yang
kita kena keluar 3 hari, 40 hari, 4 bulan tu, untuk kita belajar buat
kerja Nabi, untuk wujudkan suasana iman dan amal dalam berdakwah, dan
bila balik, medan perjuangan kita adalah dengan menghidupkan lima amal
masjid ni. Fikir harian atau mesyuarat harian, lepas tu khususi orang
tertentu kena bagi masa dua jam setengah, lepas tu buat taklim di rumah
dan masjid, kena ziarah kat kampung sendiri dan kampung jiran dan setiap
bulan keluar 3 hari dengan membawa jemaah yang baru. Lima amal masjid
ni merupakan amalan Masjid Nabawi, yang mana sahabat buat untuk
dakwahkan Islam. Sebab tu sekarang ni, kita nak belajar bagi masa untuk
agama, dunia dan akhirat kena seimbang. Duniakan jambatan untuk akhirat,
cuba kita tengok jambatan, mana ada orang bina rumah ke, istana ke kat
atas jambatan. Orang nak memancing atas jambatan pun di larang tau.”
terang Azizi panjang lebar sambil melirik mata pada isterinya.
“Tak apalah abang. Syadah cuba belajar
memahami kerja dakwah dan tabligh ni. Walaupun sukar tapi Syadah akan
berusaha untuk mengatasinya.”
“Macam tu lah isteri abang yang cantik
jelita ni. Nanti abang bawa Syadah jumpa ahlia karkun kat kampung ni.
Hah, ahlia Cikgu Abas tu, dia dah banyak pengalaman keluar masturat tau.
Bolehlah Syadah belajar daripada ahlianya dan lagi Syadah boleh
berkenalan dengan ahlia karkun bila pergi taklim mingguan masturat
nanti. Jangan lupa beri tasykil untuk keluar masturat 3 hari, ye!”
Syadah tersenyum memandang suaminya.
“InsyaAllah bang” jawab Syadah.
***********************************
Syadah tersedar dari lamunannya. Dia
mengesat air matanya yang mengalir di pipi. Sesungguhnya dia hanya
manusia biasa yang lemah untuk menghadapi kehidupan ini, mungkin dia
terlalu berharap Azizi menjadi hak milik mutlaknya. Tetapi dia lupa,
bahawa manusia ini adalah pinjaman sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah 9:111)
Dia harus kuat dan sabar. Dunia ini
hanya pinjaman dan akhirat juga yang kekal abadi. Kalau di dunia ini ada
pangkat, harta, darjat tapi tidak mengamalkan agama dalam kehidupan,
sudah tentu semuanya sia-sia sahaja.
“Ya, aku harus kuat, kuat untuk
memperoleh keredhaan Allah. Biarkan manusia yang tidak faham dan tidak
mahu mengerti usaha dakwah dan tabligh ini. Tapi aku akan sentiasa
berdoa semoga Allah kekalkan dan istiqamahkan aku, suami dan generasiku
hingga hari akhirat dalam usaha ini, dan semoga Allah bagi kefahaman
pada mereka yang memandang serong, membenci atau menghina kerja ini.
Ameen..” bisik hati Syadah.
Oleh: Karkun Mithali
Ulasan
Catat Ulasan