Sifat Orang Yang Merdeka



Tinggal dua hari lagi negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-57. Seperti kelaziman, apabila tibanya tanggal 31 Ogos pada setiap tahun, pelbagai acara diadakan bagi memperingati dan meraikan tarikh keramat Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah. 

Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan.

 Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah oleh nafsu untuk tunduk dan sujud kepada Allah Ta'ala.

Sejak kedatangan Islam, kemuliaan insan diangkat sejajar dengan keistimewaan dan kesempurnaan penciptaan ALLAH SWT yang tiada tolok bandingnya.

Firman ALLAH SWT : "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah At-Tin : 4)

Begitu juga dalam ayat 32 dari Surah al-Zukhruf dengan penjelasan ALLAH SWT yang bermaksud:

“Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita), dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain, (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain”.

Begitulah tingginya nilai merdeka seseorang insan yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Jasa pejuang

Menurut perspektif Islam, kemerdekaan perlu sentiasa diuar-uarkan dan dihebohkan kepada semua lapisan masyarakat agar sedar di mana bumi dipijak di situlah Syariat Islam dijunjung dan dihayati. Merdekanya kita bukan bermakna bebas apa sahaja tanpa batasan atau sekatan. Ini menyalahi etika peraturan Islam. Islam diturunkan ALLAH SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai satu sistem peraturan lengkap (ad-Din) yang membatasi tingkah laku umatnya berdasarkan Syariat ALLAH dan Sunnah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang batasan ketentuan (perintah) ALLAH dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahanam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar”. (Surah At-Taubah : 63)

Islam juga melarang umatnya melakukan sesuatu amalan ‘merdeka’ yang mengikut hawa nafsu amarah. Fenomena kini memperlihatkan gejala sosial berlaku dan amalan budaya barat

Jika gejala sosial ini tidak dibendung, akhirnya membawa kerosakan dan pencemaran  nilai kemerdekaan yang disarankan ajaran Islam. Oleh itu, marilah kita menyambut hari kemerdekaan negara kita dengan menyuburkan semangat patriotik pejuang negara berkorban demi kemerdekaan ini.

Ingatilah nama tokoh pejuang seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Rentap, Haji Abd Rahman Limbong, Hang Tuah lima bersaudara, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Datuk Onn dalam lipatan kehidupan kita seharian. Merekalah ikon yang secara langsung menghalau pihak penjajah dari bumi Malaysia tercinta ini.

Tanpa usaha dan semangat perjuangan yang gigih dalam diri mereka, nescaya kita mungkin masih menjadi hamba ataupun belum lagi merdeka! laungan “merdeka, merdeka, merdeka!" dengan disusuri lafaz syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah inayah dan iradah-Nya, kita sekarang merdeka. Apatah lagi umat Islam baru sahaja berjaya menunaikan ibadat puasa Ramadan dan sekarang menyambut kejayaannya dalam Syawal.

Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. 

Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.
Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh. 

Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin  yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.

Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri  daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.

Nilai perpaduan

Menjadi tanggungjawab generasi kini untuk mengisi erti kemerdekaan ini selaras dengan perintah ALLAH SWT dan rasul-Nya. Semoga kita dapat menjana pembangunan negara, serta mampu melahirkan masyarakat dan keluarga yang harmoni demi memperoleh keredaan ALLAH (mardatillah) serta mencapai kejayaan hakiki (al-Falah) di dunia dan akhirat kelak.

Tanamkanlah nilai perpaduan antara umat dan seluruh masyarakat amnya di negara ini kerana dengan semangat Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh, mampu merealisasikan negara ke arah mencapai kemajuan dan kejayaan secara lahiriah dan batiniyah pada masa akan datang.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: 
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Surah Ali-Imran : 103)

Sesungguhnya ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dan Sahabat membawa erti kemerdekaan sebenar kepada manusia. Bermula dengan pembebasan kota Makkah daripada sebarang kekufuran dan kesyirikan terhadap ALLAH SWT.

Malah konsep kemerdekaan daripada sebarang kesesatan ini (iaitu pembebasan dari gangguan syaitan) berlaku tatkala roh manusia diciptakan ALLAH SWT di alam Roh, kemudian berterusan setelah dilahirkan ke dunia dengan laungan azan dan iqamat ke telinga bayi. Akhirnya ditutupi dengan kalimah Syahadah apabila menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Berkuasa iaitu ALLAH SWT.

Seorang pejuang Islam iaitu Ruba’ie bin ‘Amir berkenaan dengan hakikat kemerdekaan yang dituntut dalam Islam dengan katanya: "ALLAH mengutuskan kami (orang Islam), untuk kami memerdekakan manusia, daripada pengabdian diri sesama manusia kepada mengabdikan diri hanya kepada ALLAH SWT, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.


Oleh itu sempena menyambut kemerdekaan pada tahun ini, maka tindakan yang perlu kita laksanakan adalah;

Pertama : Marilah kita sama-sama berusaha memerdekakan sepenuhnya minda dan pemikiran kita daripada terus dijajah oleh pemikiran dan pemahaman yang tidak berlandaskan syariat Allah SWT.

Kedua : Marilah kita beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.

Ketiga : Berusaha membangunkan sosioekonomi sehingga kita dapat meningkatkan kualiti hidup umat Islam dalam negara ini.

Keempat : Berusaha untuk meningkatkan ilmu agama dan kemahiran supaya kita dapat menghindari pemikiran yang sesat dan songsang.

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, dan janganlah kamu menuruti pemimpin-pemimpin selain-Nya. (Tetapi sayang) amatlah sedikit di kalangan kamu mengambil peringatan". (Al-A'raf: 3)


Ulasan

Catatan Popular