Wasiat Terakhir Baginda: Tanda Kasih kepada Kita




Terasa syahdu dan sebak untuk didengar di cuping telinga tatkala dilafaz oleh junjungan besar kita, Rasullulah s.a.w usai baginda menyampaikan khutbah terakhir pada 9 hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Ini bermakna kematian akan bila-bila masa menjemput baginda.Walaupun ketika itu kesakitan menyelimuti Nabi Muhammad s.a.w, namun atas nama cintanya kepada umat, digagahkan baginda untuk meyampaikan wasiat terakhir kepada umat Islam.

Dalam lipatan Sirah Kenabian

Hari ini 1433 hijrah, bermakna sudah 1422 tahun ( hijrah) Nabi Muhammad s.a.w pergi meninggalkan kita. Namun, risalah Islam terus berkembang pesat seantero dunia dan menyaksikannya sebagai antara agama yang paling  ramai penganut.  Inilah hasil keringat dan air mata baginda dibantu para sahabat untuk meluaskan pengaruh Islam agar dapat dinikmati manusia sejagat hingga ke hari ini. Bilangan umat Islam yang mencecah angka 1.8 bilion orang menurut statistik bertebaran luas di serata pelosok alam menjadi anggota masyarakat dunia yang mengenggam amanat wasiat baginda Nabi s.a.w.

Jika kita fikirkan baik –baik, angka 1000 tahun itu amat besar jaraknya. Tidak ada dalam sejarah peradapan manusia, seseorang yang mampu hidup selama seribu tahun. Umat manusia yang bersama dengan baginda kala wasiat ini disampaikan sudah tiada lagi di dunia. Justeru, persoalannya bagaimana mungkin setiap baris kata wasiat baginda mampu sampai kepada kehidupan kita hari ini?

Tiada perakam suara di zaman baginda…

Tiada kemudahan menyimpan maklumat di zaman baginda…

Tiada akses internet di zaman baginda…

Yang ada hanyalah cebisan pesanan daripada khutbah terakhir Nabi s.a.w itu sendiri. Pesanan yang menjadi asbab kita mampu merasai dan menikmati baris kata wasiat baginda.
 Pelik tapi benar. Namun, itulah hakikatnya.

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku”.

Ku tinggalkan dua perkara

Andainya dia seorang hartawan, pasti diwasiatkan segala hartanya sebagai peninggalan. Andainya dia seorang pemimpin, pasti diwasiatkan kerajaannya untuk dipimpin. Tapi, baginda lain. Baginda seorang nabi dan rasul, maka wasiat baginda kepada manusia seisinya ialah wasiat agama.

 Agama yang akan menentukan pengakhiran kisah kehidupan manusia. Apabila kita renungkan kembali, Allah s.w.t telah menjanjikan syurga buat baginda, maka tidak perlu Rasullulah s.a.w bangkit daripada pembaringan baginda ketika sakit semata –mata menyampaikan amanat terakhir kepada umatnya.

Namun, ada sesuatu yang lain yang baginda rasai.

“Ummati.. ummati”, itulah rasa kasih dan sayang Nabi s.a.w yang menggunung tinggi kepada umatnya yang dicintai. Baginda tidak mahu meninggalkan umatnya dalam keadaan terumbang – ambing selepas pemergiannya. Maka diserahkan kepada kita panduan yang jelas dan terang untuk diikuti.
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.”

                                                                         Gerbang Ke Kota Suci Makah

Tidak seindah mimpi, tak semanis impian

Justeru, pastilah dunia yang kita diami hari ini aman dan bahagia. Tiada peperangan dan pertelingkahan. Yang kaya tidak menindas si miskin. Yang kuat tidak menzalimi yang lemah. Wanitanya dilindungi lelaki. Umat Islam dipandang sebagai umat yang memimpin masyarakat dunia kerana kita telah dibekalkan dengan wasiat terakhir baginda nabi s.a.w.

Begitu indah mimpi semalam tapi bangkitlah dari lena yang panjang.
Hakikatnya tidak begitu. Senario hari ini menyaksikan kitalah yang memenuhi angka –angka tertinggi gejala sosial. Kitalah yang berlumba –lumba membenarkan riba. Kitalah penambah api sengketa. Kitalah yang tidak merasakan masyarakat Islam di Palestin, Afghanistan mahupun di Afrika adalah saudara seagama kita kerana mungkin kita sedikit alpa akan pesanan daripada wasiat baginda :
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.”

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

Telah lebih 10 kurun khutbah terakhir Nabi Muhammad s.a.w disampaikan baginda dengan penuh rasa cinta. Selama itulah sejarah menjadi saksi Islam pernah menguasai dua pertiga dunia. Di waktu itu, wasiat terakhir baginda ini dihayati dan dibumikan dengan amal oleh umat di zaman tersebut. Inilah sebenarnya kunci merungkai permasalahan kita di zaman ini.

Tidak perlu untuk kita berhempas – pulas memikirkan langkah terbaik untuk membaik pulih, mencipta solusi yang baru yang dikatakan sesuai dengan peredaran semasa,  tetapi kembalilah kita kepada pesanan kasih daripada junjungan besar dan mulia, Muhammad s.a.w. Ingatlah wahai jiwa, kita  akan kembali menemui Al-Khaliq, maka biarkan jiwa ini kembali bersama bukti kita telah melaksanakan wasiat terakhir baginda kepada umatnya.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu , awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku”, demikianlah sebahagian pesanan Nabi kepada umat manusia.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Ulasan

Catatan Popular