Solat Sunat Rawatib Dan Kelebihannya




Sabda Rasulullah s.a.w :


عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ حَفِظْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

 Dari Ibnu Umar bahawa; “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu 2 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat sesudahnya Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Bukhari-Muslim, Bukhari)

Hukum

Solat Sunat Rawatib ini adalah satu sunat muakkad, iaitu yang amat dituntut dan digalakkan. Solat Sunat Rawatib adalah sebagai sunat tambahan yang bertujuan menyempurnakan apa-apa kecelaan ataupun kekurangan yang terdapat dalam solat fardu pengamal. Solat sunat Rawatib ini dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri dan apabila dilakukan dijanjikan pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T. dan jika ditinggalkan pula tidak membawa kepada apa-apa dosa.
Solat sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Solat sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah. Solat sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian (munfarid),dan tidak didirikan secara berjemaah.

Sunnah Muakkad dan Sunnah Ghairu Muakkad

Sembahyang sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Sunat Muakkad dan Sunat Ghairu Muakkad. Solat sunat Rawatib Muakkad amat besar fadilatnya dan dijanjikan ganjaran yang besar apabila menunaikannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya berbanding dengan solat sunat muakkad.
Solat sunat Rawatib Muakkad amat dituntut oleh Islam dan diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. sentiasa menjaga 10 rakaat Solat Sunat Rawatib Muakkad ini terdiri dari :
  • dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Subuh
  • dua rakaat Rawatib Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
  • dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Zuhur
  • dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Maghrib
  • dua rakaat Rawatib Muakkad Ba’diyyah Sesudah Isyak
Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad kurang sedikit fadilatnya dibandingkan dengan solat sunat muakkad tetapi pengamal tetap dijanjikan ganjaran apabila melakukan solat ini. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad adalah solat sunat yang ada dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W. pada waktu-waktu tertentu, tetapi di waktu yang lain baginda meninggalkannya. Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad terdiri daripada
  • dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur
  • dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah Setelah Zuhur
  • empat rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar
  • dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib
  • dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Isyak 

Kelebihannya

Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat  selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.)

 Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani)

Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib

  1. Sekiranya sebelum solat Fardhu di sebut : قَبْلِيَّةً
  2. Sekiranya selepas solat Fardhu di sebut : بَعْدِيَّةً
Oleh yang demikian niatnya adalah seperti berikut :

أُصَلِّي سُنَّةَ ( الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ / الصبح ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat sunat (Zohor / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat (Sebelum / Selepas) kerana Allah Taala.


 

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular