Saya Orang Islam!!! Saya Perlu Ada Akhlak Seperti Ini....
Sebelum pergi lebih lanjut, pernah atau tidak terlintas dalam benak kepala anda beberapa persoalan seperti, kenapa akhlak? Penting sangat ke? Mana lebih penting berbanding ilmu pengetahuan? Bukankah wahyu pertama yang diturunkan adalah tentang ilmu pengetahuan, bukannya akhlak? Kenapa pula kita kena belajar tentang akhlak muslim?
Ok. Saya ingin membawa anda semua kepada sebuah bentuk pemahaman baru. Sebenarnya bukanlah baru itu bermaksud baru, tetapi perkara itu telah lama wujud. Cuma ingin diterjemahkan dalam bentuk pemahaman terkini. Saya percaya semua sudah tahu, hanya tidak sedar sahaja.
Saya bermohon kepada Allah s.w.t. agar sesiapa yang membaca tulisan saya ini, di mana-mana sahaja, agar kita sama-sama dibukakan hati oleh-Nya dan dilapangkan dada serta dipermudahkan setiap urusan dunia mahupun akhirat.
Matlamat Utama Nabi Muhammad s.a.w. Dibangkitkan
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Imam Malik)
Sila renung dan teliti betul-betul maksud hadith di atas.
Betul ke matlamat utama Nabi s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman bahawa Nabi s.a.w. ini diutuskan sebagai rahmat sekalian alam, bukan akhlak semata-mata?
Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 107:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam.”
Saya ingin mengajak anda semua untuk berfikir bersama saya. Bayangkan, seandainya sesebuah masyarakat itu diselubungi dengan penipuan, tipu daya, pecah amanah, dan keruntuhan moral, adakah di sana akan wujud rahmat dalam masyarakat?
Bagaimana pula dengan keadaan kaum kerabat dan keluarga yang dipenuhi rasa kebencian, hasad, dan dendam, justeru di manakah rahmat?
Percayalah, sesungguhnya hubungan antara akhlak dan rahmat itu adalah hubungan erat lagi kukuh. Ketahuilah juga bahawa tidak akan wujud rahmat sekalian alam tanpa adanya akhlak.
Anda setuju dengan kenyataan saya?
Mungkin ada dalam kalangan anda akan menjawab, “Saya setuju dengan hadith berkenaan akhlak di atas, tetapi ibadat itu lebih utama. Adakah penulis ingin menyatakan bahawa akhlak itu lebih penting berbanding solat, puasa, zakat, dan haji?”
Baiklah. Dengar pula jawapan saya. Ya, akhlak lebih penting.
Kenapa? Kerana tanpa kita sedar setiap amal ibadat itu sebenarnya bertujuan untuk mendisiplin akhlak. Jika tidak, jadilah ibadat itu umpama senaman badan semata-mata!!
Saya pohon kepada semua agar fahami betul-betul intipati kalam saya. Jangan dirumitkan. Saya tidak bermaksud untuk merumitkan perbincangan ini dengan hal-hal yang melibatkan Fiqh, Akidah, dan sebagainya. Saya hanya ingin anda faham maksud akhlak dari persepsi yang lebih luas.
Solat Membentuk Akhlak
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-‘Ankabut, ayat 45:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ
“..dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu (dapat) mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.”
Subhanallah!!
Justeru, sesiapa yang masih melakukan perbuatan keji dan mungkar itu ternyata solat mereka itu hanyalah sekadar senaman yang memenatkan semata-mata. Buktinya ialah akhlak mereka bertambah buruk.
Bukankah perbuatan keji dan mungkar itu adalah akhlak buruk? Iaitu bukan akhlak (perbuatan) yang Islam kehendaki.
Allah s.w.t. telah menyebut dalam sebuah hadith qudsi;
إنما أتقبل الصلاة ممن تواضع بها لعظمتي، ولم يستطل بها على خلقي، ولم يبت مصرا على معصيتي، وقطع النهار في ذكري، ورحم المسكين وابن السبيل ورحم الأرملة ورحم المصاب
“Sesungguhnya Aku menerima solat daripada orang yang merendahkan diri (tawaduk) kerana kebesaran-Ku dan tidak berlaku sombong terhadap makhluk-Ku dan tidak terus-menerus melakukan maksiat kepada-Ku. Dan dia menghabiskan hari siangnya dalam ingat kepada-Ku (zikrullah), dan dia sayang kepada orang yang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan) dan janda (yang kematian suami) dan sayang kepada orang yang ditimpa musibah.” (HR az-Zabidi)
Ulasan
Catat Ulasan