Hukum Wanita Haid Berada Di dalam Masjid



Assalamualaikum,

Ingin saya kembangkan persoalan ini, ada pendapat yang mengatakan bahawa boleh berada di perkarangan masjid cthnya di serambi yang mana di masjid tempat ini lazimnya tidak menjadi tempat org bersolat.

Keduanya jika pendapat diatas ada asasnya maka saya rasa ini lebih baik kerana kini di masjidlah banyak diadakan majlis ilmu yang boleh dihadiri secara mudah.

Terima Kasih


<><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><>
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Telah dijelaskan di dalam SJ – 1808 : PERBEZAAN DI ANTARA SURAU DENGAN MASJID ( LAGI ) mengenai benarnya keterangan yang menyatakan bahawa HARAM bagi seseorang wanita yang didatangi haidh itu dan bagi orang-orang yang sedang berjunub untuk berada di dalam masjid.

Hadisnya seperti berikut :

حديث عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ... فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

Ertinya : Daripada Abu Said Al-Khudry , beliau berkata : (( “ Rasulullah s.a.w pernah bersabda : Bumi itu keseluruhannya adalah MASJID , KECUALI kawasan bilik air / tandas dan kawasan perkuburan “ )) ~ Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal rh – didalam musnadnya : Baqi Musnad Al-Muktsirin : 11, 483.

Akan tetapi, tersebut di dalam sebuah hadis yang memerintahkan agar setiap muslimin dan muslimat itu menuntut ilmu, seperti hadis :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ وَوَاضِعُ الْعِلْمِ عِنْدَ غَيْرِ أَهْلِهِ كَمُقَلِّدِ الْخَنَازِيرِ الْجَوْهَرَ وَاللُّؤْلُؤَ وَالذَّهَبَ

Ertinya : Daripada Anas Bin Malik . beliau berkata : Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda : (( Menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan ke atas setiap orang Islam. Dan perumpamaan orang yang meletakkan ilmu bukan pada ahlinya, adalah seumpama orang yang mengalungkan rantai-rantai daripada permata, mutiara dan emas di tengkuk-tengkuk beberapa ekor babi )) ~ Hadis Sahih diriwayatkanoleh Imam Ibnu Majah r.h di dalam muqaddimah sunannya : 220 .

ADAKAH HADIS-HADIS INI BERTENTANGAN DI ANTARA SATU SAMA LAIN !?.

Jawapannya : TIDAK BERTENTANGAN SAMA SEKALI !. Ya ! menuntut ilmu itu adalah kewajipan bagi setiap orang Islam, samada lelaki ataupun perempuan. Tetapi bukan sahaja masjid yang menjadi pusat ilmu, bahkan sudah banyak majlis-majlis ilmu diadakan di selainnya.

Apakah ilmu yang dikatakan wajib dituntut itu ?. Perbahasannya terlalu panjang, tetapi sebagai ringkasannya ilmu yang wajib dituntut itu ialah ilmu yang dikategorikan sebagai ILMU-ILMU FARDHU ‘AIN dan bukannya semua jenis ilmu.

Ya ! memang ada ulama’ yang membahaskan akan masalah di atas, lalu mereka menyatakan boleh seseorang wanita haidh itu berada di dalam masjid untuk menuntut ilmu , TETAPI dengan syarat-syarat berikut :

1- Seseorang wanita itu tidak dapat mempelajari ilmu-ilmu yang fardhu ain itu di rumahnya sendiri – seperti suaminya tidak mampu membimbingnya ataupun si suami tidak mampu mengupah seorang guru agama yang boleh membimbing isterinya dan keluarganya ataupun di rumahnya sendiri tidak ada sebarang kemudahan yang menyebabkan dia boleh mendapatkan bimbingan Fardhu ‘ain seperti Radio, TV, Akhbar-Akhbar, Majalah-Majalah, dan buku-buku.

2- Ilmu tersebut adalah ilmu yang hanya boleh didapati semasa wanita itu di dalam keadaan haidh, contohnya : Ketika wanita itu haidh, ada guru yang boleh membimbing beberapa orang muslimat ( rakan-rakannya ) di masjid, tetapi kalau ditunggu selepas selesai tempoh haidh itu, dikhuatiri guru tersebut sudah tidak lagi membimbing ataupun dengan kata lain : sudah tamat pengajiannya. Maka ketika saat-saat genting seperti ini wanita haidh itu dibenarkan berada di dalam masjid untuk mengikuti pengajian fardhu ‘ain.

3- Jika wanita haidh itu bimbang jika dia tidak menghadiri pengajian fardhu ‘ain tersebut akan menyebabkan dia terlepas bab @ permasalahan agama yang dibicarakan di hari itu (hari wanita itu didatangi haidh) dan dia juga yakin bahawa kalau selesai haidh nanti, dia tidak berpeluang untuk MENGULANG-SEMULA pelajaran @ bab @ permasalahan tersebut kerana guru tersebut sudah tidak mengajar lagi bab tersebut, ataupun rakan-rakannya tidak mampu menjelaskan sejelas-jelasnya akan apa yang mereka telah pelajari itu, maka ketika ini DIBENARKAN wanita yang haidh ini untuk turut sama mengikuti pengajian agama yang diadakan di dalam masjid ini.

4- Wanita yang berhaidh tersebut mestilah memastikan bahawa tuala wanitanya benar-benar dapat melindungi darah haidh itu daripada tumpah , ataupun dengan kata lain, tuala wanita itu benar-benar dijamin selamat !.

Saya kira syarat-syarat di atas , khasnya syarat 1-3 adalah syarat-syarat yang amat sukar untuk ditunaikan oleh wanita-wanita di zaman moden ini kerana :

1- Kemudahan untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang fardhu ‘ain sendiri sudah semakin tersebar luas, ianya boleh didapati dengan melihat rancangan-rancangan agama melalui TV, mendengar siri soal-jawab @ bimbingan agama melalui Radio dan kaset , menelefon guru-guru agama, melayari web-web agama melalui internet ataupun dengan membaca buku-buku panduan Fardhu ‘Ain yang banyak di jual di pasaran. Ataupun bagi wanita-wanita yang duduk berdekatan dengan masjid, boleh saja mereka mendengar kuliah agama yang disampaikan melalui pembesar suara, tanpa perlu mereka masuk ke dalam kawasan masjid !.

2- Ataupun, mereka boleh juga memberikan recorder ( perakam suara ) kepada rakan-rakan yang menghadiri pengajian tersebut .

Jadi, apabila ada sahaja sebarang laluan untuk mendapatkan ilmu fardhu ‘ain itu tanpa perlu wanita yang sedang haidh itu menghadirinya di masjid, maka selagi itulah WANITA YANG BERHAIDH ITU TETAP HARAM MEMASUKI MASJID !.

MASALAH : Ada pendapat yang mengatakan bahawa boleh wanita haidh berada di perkarangan masjid cthnya di serambi yang mana di masjid tempat ini lazimnya tidak menjadi tempat org bersolat.

Jawapannya : Perkarangan masjid – seperti tempat letak kereta, wakaf ( tempat berteduh ), kaki lima yang berbumbung, kawasan bilik air, kawasan taman, perpustakaan, sekolah - yang tidak digunakan sebagai tempat sembahyang, maka disitu bolehlah didatangi oleh wanita yang sedang haidh. Tapi andainya di serambi masjid itu pula, yang mana ianya tetap juga digunakan sebagai tempat bersembahyang ( walaupun kadang-kadang ianya tidak juga digunakan ), maka di siu tidak boleh didatangi oleh wanita yang sedang berhaidh.

KESIMPULANNYA : Selagi tempat di dalam sesebuah masjid / surau itu digunakan sebagai ruang sembahyang , maka selagi itulah ianya menjadi tempat yang HARAM DIMASUKI oleh mana-mana wanita yang sedang berhaidh ( dan juga oleh orang-orang yang berjunub ).

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

Ulasan

  1. tapi bukankah perkara ini di benarkan if x meleleh,, ade dlm buku yususf alqardawi

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular