Penderitaan Nabi SAW (vol3)
Uqbah meletakkan najis unta di bahu Nabi s.a.w.
Bazzar dan Thabarani telah memberitakan dari
Abdullah bin Mas'ud r. a. katanya: Satu peristiwa, ketika Rasulullah SAW
bersembahyang di Masjidil Haram, dan ketika itu pula Abu jahal bin Hisyam,
Syaibah dan Utbah keduanya putera dari Rabi'ah, Uqbah bin Abu Mu'aith, Umaiyah
bin Khalaf dan dua orang yang lain, semua mereka tujuh orang, mereka sekalian
sedang duduk di Hijir, dan Rasuluilah SAW pula sedang asyik bersembahyang, dan
apabila beliau bersujud, selalunya beliau memanjangkan sujudnya. Maka berkatalah
Abu Jahal: 'Siapa berani pergi ke kandang unta suku Bani fulan, dan mengambil
taiknya untuk mencurahkan ke atas kedua bahunya, bila dia sedang sujud nanti?'
'Aku!' jawab Uqbah bin Abu Mu'aith, orang yang paling jahat di antara yang tujuh
di situ. Lalu Uqbah pergi mengambil taik unta itu, dan diperhatikannya dari
jauh, apabila Rasulullah SAW bersujud dicurahkan taik unta itu ke atas kedua
bahunya.
Berkata, Abdullah bin
Mas'ud ra.: Aku melihat perkara itu, tetapi aku tidak berdaya untuk menghalangi
atau melawan kaum Quraisy itu. Aku pun bangun dan meninggalkan tempat itu dengan
perasaan kesal dan sedih sekali. Kemudian aku mendengar, bahwa Fathimah, puteri
Rasulullah SAW datang dan membuangkan kotoran itu dari bahu dan tengkuk beliau.
Kemudian dia mendatangi mereka yang melakukan perbuatan buruk itu, sambil memarahkan mereka, tetapi mereka diam saja, tidak menjawab apa pun. Ketika itu Rasulullah
SAW pun mengangkat kepalanya, sebagaimana beliau mengangkat kepala sesudah
sempurna sujud. Apabila sudah selesai dari sembahyangnya, beliau lalu berdoa: Ya
Allah! Ya Tuhanku! Balaslah kaum Quraisy itu atas penganiayaannya kepadaku!
Balaslah atas Utbah, Uqbah, Abu Jahal dan Syaibah! Sekembalinya dari masjid,
beliau telah ditemui di jalanan oleh Abul Bukhturi yang di tangannya memegang
cambuknya.
Bila Abul Bukhturi melihat wajah Nabi SAW dia
merasa tidak senang, kerana dia tahu ada sesuatu yang tidak baik terjadi
terhadap dirinya: 'Hai Muhammad! Mengapa engkau begini?' tegur Abul Bukhturi.
'Biarkanlah aku!' jawab Nabi SAW ' Tuhan tahu, bahwa aku tidak akan melepaskanmu
sehingga engkau memberitahuku, apa yang terjadi pada dirimu terlebih dulu?!'
Abul Bukhturi mendesak Nabi SAW untuk memberitahunya apa yang telah terjadi.
Apabilla dilihatnya beliau masih mendiamkan diri, dia berkata lagi: 'Aku tahu
ada sesuatu yang terjadi pada dirimu, sekarang beritahu!' pinta Abul Bukhturi
lagi Apabila Nabi SAW melihat bahwa Abul Bukhturi tidak mahu melepaskannya,
melainkan sesudah beliau memberitahunya apa yang terjadi, maka beliau
memberitahunya apa yang terjadi: 'Abu jahal membuat angkara!' beritahu Nabi SAW
'Abu jahal lagi? Memang sudah aku kira, apa yang dibuat kepadamu kali ini?!'
tanya Abul Bukhturi lagi. 'Dia menyuruh orang meletakkan kotoran unta ke atas
badanku ketika aku sedang bersujud dalam sembahyangku,' jelas Nabi SAW 'Mari
ikut aku ke Ka'bah,' bujuk Abul Bukhturi.
Abul Bukhturi dan Nabi SAW pun pergi ke Ka'bah
dan terus menuju ke arah tempat duduk Abu jahal. Abul Bukhturi kelihatan marah
sekali. 'Hai Bapaknya si Hakam!' teriak Abul Bukhturi. 'Engkau yang menyuruh
orang meletakkan kotoran unta ke atas badan Muhammad ini?' katanya dengan keras.
'Ya,' jawab Abu Jahal. 'Apa yang engkau mahu?' Abul Bukhturi tidak banyak bicara,
melainkan ditariknya cambuknya lalu dipukulnya kepala Abu jahal berkali-kali.
Orang ramai di situ lari berhamburan, dan teman-teman Abu jahal hiruk-pikuk
menyalahkan Abul Bukhturi. 'Celaka kamu!' jerit Abu Jahal memprotes, dan
badannya terlihat kesakitan karena pukulan cambuk Abul Bukhturi itu.' Dia layak
diperlakukan begitu, kerana dia menimbulkan permusuhan di antara kita sekalian,
agar terselamat pula dia dan kawan-kawannya... !' tambah Abu jahal lagi.
(Majma'uz Zawa'id 6:18)
Menurut Ahmad yang meriwayatkan dari Abdullah
bin Mas'ud ra. katanya: Aku lihat semua orang yang dijanjikan Nabi SAW akan mati
itu, semuanya terbunuh di medan Badar, tiada seorang pun yang terselamat.
(Al-Bidayah Wan-Nihayah 3:44)
Ulasan
Catat Ulasan