Nasihat Maulana Ibrahim




Petikan bayan maghrib markaz dakwah dan tabligh Tawau Sabtu yang disampaikan oleh Hj Manshah.

Nasihat Maulana Ibrahim Dewla Dammat Barakatuhu (guru yang mengajar kitab sahih muslim di daurah hadith Madrasah Kasyiful 'Ulum Nizamuddin, Delhi - juga seorang ulama dalam usaha dakwah) pada rakan seusaha di Malaysia: 

-Dalam masa 15 minit kita boleh duduk untuk habiskan zikir pagi dan petang, dalam masa 15 minit juga kita boleh gunakan untuk berdakwah yang akan menyebabkan satu orang yang jauh dari Allah akan mejadi dekat dengan Allah. Dan dalam 15 minit juga seseorang itu dapat sia-siakan masanya melakukan dosa dan memaksiati Allah. Sebagai orang beriman, kita kena gunakan masa untuk dipenuhi dengan amalan-amalan agama.

-Buah daripada usaha agama ni ialah untuk melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah. Sebab itulah kita biasa mendengar kisah para sahabat sangat mudah dan banyak menangis kerana takutkan Allah. Setiap hari mereka telah sibukkan diri mereka untuk usaha atas agama maka sifat takwa telah menjadi sifat yang sebati dalam diri mereka. Orang yang tidak ada dalam hatinya rasa takut kepada Allah maka dia belum mula lagi melakukan usaha agama.

-Kita kena sibukkan diri dengan menghidupkan lima amal masjid, dengan perantaraan lima amal jemaah masjid, maka suasana agama akan mudah hidup di kampung kita. (Lima amal: Mesyuarat harian, taklim, dakwah 2jam setengah, ziarah mingguan, dan keluar 3 hari setiap bulan.)

-Cara paling mudah untuk hidupkan suasana agama di rumah pula ialah dengan menghidupkan bacaan taklim rumah bersama anak dan isteri setiap hari.

-Dalam menjalankan usaha agama maka perlu ada dua sifat iaitu ikhlas dan ihsan.

-Jadikan diri macam air hujan yang bergerak menyirami bumi sehingga semua hidupan dan tanah yang kontang tumbuh dan hidup dengan subur.

-Di akhirat kita akan ditanya berkenaan amal-amal agama yang kita lakukan di dunia. Maka kita hendaklah usahakan agar amal-amal agama kita dapat dilakukan dengan menyempurnakan semua sunnah-sunnah nabi di dalam amal tersebut.

-Allah akan menganugerahkan dengan dua perkara bagi yang istiqamah mengamalkan sunnah2 nabi dalam kehidupan seharian: 1. menjadikan orang lain sayang pada dia. 2. musuh akan menjadi gerun kepadanya. Jadi usahakanlah untuk sempurnakan sunnah-sunnah nabi dalam diri kita.

-Lakukanlah usaha agama ini dengan sabar kerana sabar ialah sifat yang ada pada semua nabi-nabi. Telah berlaku satu kisah Rasulullah pernah meminjam sesuatu dari seorang yahudi dan akan dibayar dengan buah tamar, beberapa hari sebelum tarikh yang dijanjikan oleh Rasulullah untuk membayar maka yahudi datang telah datang memarahi Rasulullah menuntut hutangnya. Saidina umar yang ada disamping rasulullah pada ketika itu tidak senang dengan sikap yahudi tersebut maka umar telah memarahi kembali yahudi tadi. Rasulullah dengan sabar dan tenang telah menasihati umar agar tidak memarahi yahudi tadi bahkan rasulullah perintahkan umar untuk mengambil buah tamar dan diserahkan kepada yahudi tadi serta dilebihkan sedikit. Rasulullah beritahu yang dilebihkan sedikit itu adalah sebab saidina umar telah memarahi yahudi tadi. Dengan sebab sifat sabar dan akhlak sebagini akhirnya yahudi tadi telah memeluk islam.

-Ulama-ulama yang menyokong usaha agama kita kena menyayangi ulama tersebut, dan ulama yang tidak menyokong usaha agama kita kena sayangi mereka dua kali lebih dari ulama yang menyokong usaha agama. Setiap teguran mereka jangan dimarah bahkan kita kena terima dengan baik. Mereka adalah waris nabi-nabi yang kita kena dampingi dan muliakan.

-Untuk maju dalam iman kita kena usahakan 3 perkara ini: 1. Tinggalkan dosa dan maksiat-maksiat yang telah terbiasa kita lakukan. 2. Jaga takbiratul ula solat berjemaah di rumah-rumah Allah. 3. Sebelum azan lagi kita dah ada di masjid menunggu untuk solat.

-Apabila kita mendapat nasihat dalam melakukan sesuatu amalan, maka kita kena terus beramal dan istiqamahkan diri dalam amal sebagaimana yang dinasihati. Seorang sahabat telah ditegur oleh Rasulullah kerana bersendawa dengan kuat, maka beliau terus amal dan istiqamah dengan nasihat tersebut, diberitakan bahawa selama 30 tahun selepas itu beliau tidak lagi pernah makan dengan kenyang yang membolehkan beliau sendawa lagi.

-Kita bukan sahaja perlu amalkan agama bahkan perlu usahakan untuk sempurnakan setiap amal-amal agama.

-Kita kena sedar bahawa harta kita bukanlah kita punya kerana harta dan rezeki yang kita itu adalah Allah yang punya, jadi jangan gunakan harta kita ikut nafsu kita. Sebaik-baik harta ialah harta yang dibelanjakan di jalan Allah.

Semua sedia korbankan diri, masa dan harta untuk agama insyaAllah?

Ulasan

Catatan Popular