Pengambilan Pelajar Baru

Pengambilan Pelajar Baru

Asrama Lelaki

Asrama Lelaki

Banguan B (kelas)

Banguan B (kelas)

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Kelas Dan Asrama Pelajar Hafizah

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Bangunan Alimah Dan Hafizah (Wanita)

Ahad, 23 Februari 2014

Sayangilah ibu bapa



Bagaimanapun kali ini saya mahu menumpukan perhatian kepada pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa. Ungkapan what you give is what you get atau setiap perbuatan ada balasannya membuka mata kita mengenai kesan terhadap perbuatan seseorang apabila usia memanjat tua. Banyak faktor menyebabkan orang tua dibaikan anak-anak mereka. Antaranya ada ayah dan ibu asyik berkahwin dan cerai sehingga anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan terpaksa mencari haluan sendiri dalam hidup. Tidak kurang ibu bapa yang zalim mendera mental dan fizikal anak-anak serta mengabaikan hak anak-anak sehingga hidup mereka terbiar sejak kecil. Ingatlah, ibu bapa memegang amanah paling besar daripada Allah agar mencorakkan masa depan anak-anak. Namun, jika ibu bapa ingkar menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan mereka harus menerima karma yang menanti mereka.

Kisah ini banyak terdapat di rumah orang tua yang seharusnya dijadikan panduan kepada masyarakat kerana kita tidak selamanya muda, kaya dan sihat. Benar kata pepatah, ingat sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.

Kewujudan dan pertambahan rumah orang tua di negara kita jelas menggambarkan kesan kehidupan masyarakat khususnya di alaf 21 ini apabila kita tua nanti. Dalam satu kajian yang dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), warga emas Melayu paling ramai menghuni di 11 rumah orang tua seluruh negara di bawah seliaan jabatan berkenaan. Timbalan Penguasa Rumah Orang Tua Seri Kenangan Cheng Melaka, Mohd Emran Abdul Salam, berkata majoriti daripada 236 penghuni rumah berkenaan ialah Melayu. Orang tua yang dimasukkan di rumah itu mempunyai pelbagai latar belakang dan kisah hidup mereka tersendiri. Menurutnya, faktor utama menyebabkan mereka menghuni rumah orang tua ialah sikap mereka sendiri sebagai ibu bapa yang gagal mendidik anak dengan baik menyebabkan anak menghantar mereka ke situ. Kedua, anak yang kurang menghargai jasa ibu bapa dan terlalu mengejar kemewahan sehingga terlupa bahawa restu ibu bapa penting dalam melakukan setiap perkara. Terdapat anak yang bergaduh sesama sendiri apabila diamanahkan untuk menjaga ibu bapa yang telah tua dan uzur. “Masing-masing ada alasan tersendiri dan mengelak daripada menjaga ibu bapa. Akhirnya jalan penyelesaian ialah menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Ada juga di antara anak tidak mahu menjaga orang tua mereka kerana desakan pasangan seperti keengganan isteri atau suami menerima ibu bapa mereka,” kata Mohd Emran. Ketiga, peribadi penghuni itu sendiri, umpamanya kehidupan masa muda yang dilalui seperti menjadi penagih dadah, bekas banduan dan pekerja sosial. Keempat, orang bujang yang tidak mempunyai waris atau pasangan untuk menjaga mereka menyebabkan mereka mencari tempat perlindungan di rumah orang tua. Kelima, ibu bapa merajuk dengan anak dan keluarga dan membawa diri untuk tinggal di rumah berkenaan. “Bagaimanapun, bagi kes ibu bapa merajuk biasanya anak akan datang memujuk mereka kembali ke pangkuan keluarga,” katanya. Keenam, faktor ekonomi yang menjadi alasan lazim anak menghantar ibu bapa ke rumah berkenaan.

Mohd Emran berkata, selama menjadi penguasa di rumah orang tua beliau berhadapan pelbagai kisah menyayat hati yang harus dijadikan iktibar masyarakat untuk lebih prihatin menjaga ibu bapa mereka. Bagi anak yang masih mempunyai ibu bapa seharusnya mereka menjaga ibu bapa dengan baik kerana orang tua mempunyai sifat yang terlalu sensitif dan perlukan belaian dan kasih sayang daripada anak mereka. Bagi yang mampu menjaga ibu bapa beliau nasihatkan menjaga mereka selagi masih ada. Di rumah berkenaan walaupun kakitangannya cukup dan keperluan fizikal seperti makan dan pakai disediakan, namun penghuni perlukan belaian dan kasih sayang anak serta cucu untuk mereka mengisi masa yang masih tersisa dalam hidup. Kepada ibu bapa terutama yang masih muda, beliau menasihatkan agar tidak mengabaikan anak kerana mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan anak untuk menjaga mereka. Kehidupan terlalu mengejar kebendaan dan status tidak menjamin apa-apa apabila tua kelak. “Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai dianugerahkan Allah kepada kita. Jika baik dan bijak mendidik mereka, insya-Allah mereka akan membalas jasa ibu bapa,” katanya.

Pengasas dan Pengetua Rumah Orang Tua Al Ikhlas Puchong, Selangor, Muji Sulaiman berkata, kisah penghuni dihantar ahli keluarga membuatkan kita terfikir betapa kehidupan masyarakat kini sudah tersasar.

“Jika sebelum ini tanggungjawab menjaga ibu bapa dipikul anak, namun sekarang mereka mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atas alasan tiada masa dan kekangan ekonomi,” katanya. Menurutnya, kehidupan masa lalu penghuni juga menyumbang kepada faktor mengapa mereka menginap di rumah orang tua. Ada anak yang menghantar ibu dan ayah kerana kecewa dengan sikap mereka sewaktu muda kerana lebih mementingkan diri sendiri. “Ada juga kisah ayah berkahwin lebih daripada satu sehingga anak terbiar menyebabkan anak mereka membalas dendam dengan menghantar mereka ke rumah orang tua. Alasan yang diberikan, ketika muda mereka tidak ingat anak, tetapi apabila sudah tua baru memerlukan anak,” katanya.

Muji berkata, ada juga anak yang meninggalkan ibu bapa di hospital tanpa dituntut menyebabkan orang tua mereka diambil Rumah Orang Tua Al Ikhlas Puchong. “Namun, paling banyak adalah kes tidak ada siapa yang boleh menjaga ibu bapa kerana kesibukan bekerja dan masalah ekonomi,” katanya.

Walau apapun alasan mereka, Muji menasihatkan anak yang pernah mengalami peristiwa pahit diabaikan ibu bapa agar melupakan kisah silam dan menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Memang bukan mudah menjaga ibu bapa terutama yang uzur dan sakit, tetapi kita tidak boleh melupakan jasa dan pengorbanan mereka membesarkan kita. Pesanan kepada mereka yang mungkin lupa bahawa kita tidak sentiasa muda dan kaya serta sihat, tanggungjawab yang diamanahkan Allah amat penting untuk kita laksanakan. Bagi ibu bapa yang sentiasa sibuk dan terlalu mengejar kebendaan dan status, luangkan masa untuk anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Bagi anak-anak pula, jangan abaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa hanya kerana kita terlalu sibuk dengan pekerjaan dan ghairah mengumpul harta. Kasihanilah ibu bapa kita kerana mereka amat memerlukan perhatian dan kasih sayang untuk mengisi usia yang tersisa dalam hidup. Lupakan kisah silam mereka, kerana kita juga tidak tahu apa nasib kita apabila kita seusia mereka kelak. Ingatlah, hidup ini satu putaran.


sumber:



1 ulasan:

  1. assalamualaikum.. saya syafiqah dari Kolej Profesional Mara Ayer Molek.. ingin bertanya tentang tentatif cik/puan/tuan semasa berada di RSKC ni.. banya yang saya nak tanya.. kalau sudi untuk berkongsi, sini saya bagi no sy 0136749690 (whatsup).. kalau sudi, bagi la respon kepada saya untuk saya bertanya lebih lanjut.. atau email saya .. ns.pyqa@gmail.com maaf mengganggu segala respon dari cik/puan/tuan amat saya hargai..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sociable