TUBUH TIDAK BERSIMPATI PADA DIRI SENDIRI




Adalah menjadi lumrah sekiranya berlaku persengketaan atau perbalahan antara dua individu atau dua kumpulan individu kerana manusia tidak selamanya bersependapat atau sealiran fikiran. Akan tetapi agak sukar difahami sekiranya manusia terpaksa berkrisis atau berbalah dengan dirinya sendiri. Tidak mungkin sesuatu perbuatan dilakukan tanpa dipersetujui perasaan dan fikirannya. Jika sesuatu tindakan telah telah dipersetujui, tidak mungkin jasad akan dipersalahkan kerana melakukannya. Oleh itu, perbalahan dengan diri sendiri tentunya tidak akan terjadi.

Walau bagaimanapun, Allah SWT akan membuktikan bahawa saat manusia terpaksa berbalah dengan diri sendiri pasti tiba. Setiap anggota tubuh manusia akan saling mendedahkan rahsia diri yang selama ini tidak pernah didedahkan atau diketahui oleh sesiapapun. Firman Allah:
"Pada hari ini ( Hari Kiamat), Kami tutup mulut kamu; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dilakukan oleh mereka dahulu" (Yaasiin:65)
Melalui ayat tersebut, tangan dan kaki manusia tidak akan bersekongkol dengan mulut untuk mempertahankan sesuatu pada hari kiamat kelak. Sebaliknya akan mendedahkan segala amal yang telah dilakukan, sama ada baik atau buruk.

"Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu." (An-Nur: 24)


Selain kaki dan tangan, lidah juga akan memberi kesaksian pada hari akhirat kelak. Lidah adalah anggota yang dianggap lebih tajam daripada pedang kerana ia boleh menuturkan kata-kata keji dan fitnah, mengumpat, berdusta, dan sebagainya.

Semua anggota tersebut akan berperanan sebagai saksi kepada diri sendiri. sesungguhnya saksi amat pentiang dalam sesuatu perbicaraan. kesaksian saksi akan mensabitkan sesuatu pertuduhan.

"Dan mereka berkata kepada kulit mereka: " Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit mereka menjawab: "Allah yang menjadikan sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai berkata, dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepadaNYAlah kamu dikembalikan." (Fussilat: 21)
Satu lagi anggota tubuh yang akan menjadi saksi ialah kulit dan manusia akan menjadi hairan mengapa pula ia menjadi saksi? Akan tetapi kulit bakal menjelaskan bahawa Allah SWT yang menjadikannya boleh bertutur sebagaimana Dia mencipta mulut yang boleh bertutur.

Melihat daripada ayat-ayat yang Allah turunkan, ianya adalah sebagai pengajaran dan peringatan kepada manusia. Ianya menunjukkan bahawa adilnya Allah,hakim di akhirat kelak yang menjadikan anggota tubuh sendiri sebagai saksi. Anggota tubuh tidak akan khianat pada diri sendiri. Kejujuran anggota tubuh hanya akan memberi keuntungan kepada orang yang menjadi ahli kebajikan dan beramal soleh kerana anggota yang terbabit akan bercakap benar atas kebajikan yang dilakukan.

Sebaliknya, ahli kejahatan bukan sahaja tidak mendapat menfaat daripada anggota tubuhnya sendiri, malah kejujuran anggota tubuhnya itu akan membawa padah yang buruk kerana ia akan berkata perkara yang sebenarnya berlaku. Tidak timbul soal simpati atau khianat terhadap diri. Apa yang nyata, anggota akan bercakap benar walaupun terpaksa membongkar keburukan dan tembelang diri sendiri di hadapan Allah SWT.

Orang yang berasa malang terhadap pengakuan anggota tubuhnya sendiri hanyalah ahli maksiat yang banyak berbuat dosa. Justeru mereka menyumpah serta mengherdik tubuh mereka sendiri dengan berkata: "Pergi jahanam wahai anggota yang tidak mengenang budi. Aku bekerja keras memerah keringat untuk mendapatkan rezeki untuk memelihara anggota tubuh supaya menjadi segar, sihat dan tidak dihinggapi sebarang penyakit. Inikah balasanmu setelah segala kebaikan kulakukan untuk menjagamu?"

Sesungguhnya tiada yang boleh dimarahi kecuali dirinya sendiri...

Ulasan

Catatan Popular