Kita Tahu Memilih Dan Menilai


 Apakah nilai sebuah villa banglo mewah? Villa itu bernilai pada harganya, tanda kemegahan, lambang kemewahan, keselesaan dan pujian dari orang yang ramai. Nilai sebuah kereta mewah adalah pada harganya, jenama, teknologi, kebanggaan, kesenian, kemewahan, keselesaan, keriangan, kepuasan dan pujian dari orang yang ramai. Nilai sebuah bangunan pencakar langit adalah pada keberhasilan menjadi mercu tanda, lambang kemilikian kuasa, kemampuan, kebolehan, teknologi, kestabilan, kekukuhan ekonomi dan seni bina. Nilai pada kekayaan pula adalah kekuasaan membeli dan memiliki pada tanggapan orang ramai serta puji-ujian dari mereka.

Demikianlah manusia dengan penglihatannya menilai pada zahir sesuatu. Dari mata ia turun ke hati lalu membentuk keinginan memiliki apa yang dilihatnya. Kemudian terbentuklah cinta dan rasa yang membuai-buai dia mengingatkan akan kebendaan itu. Hakikatnya, mata dan hati telah terpaut perhatiannya kepada nilai yang ada pada perkara tersebut. Apabila dia melihat rumah yang mewah, dia terpegun kerana nilai yang ada pada rumah tersebut. Sebaliknya, dia jarang terpegun apabila melihat rumah yang biasa padanya kerana nilainya tidak seberapa.

Telah menjadi lumrah bagi manusia mengejar apa yang ditafsir olehnya bernilai. Oleh kerana itu, manusia sering mencari kekayaan kerana nilainya tinggi. Jika diberi tawaran hebat pada jualan baju, tentu sahaja ada manusia yang mengejar untuk membeli baju dengan harga tawaran yang murah kerana disitu ada nilai yang disebut sebagai penjimatan. Begitu juga sikap manusia apabila diberi tawaran pada makanan yang enak. Keenakan itu adalah nilai yang dicari oleh manusia.

Sifat menilai ini membentuk sifat memilih tatkala ada pilihan. Jika ada sejuta ringgit, tentu sahaja ketika dia mahu memiliki kenderaan baru, dia memilih antara pelbagai model dan jenama. Apa yang dalam membuat pilihannya adalah apakah nilai yang ada pada pilihannya itu. Salah satu dipilih kerana nilainya yang melebihi dari nilai yang lain. Terlalu banyak contoh-contoh sifat menilai dan memilih manusia dalam hal kebendaan dan duniawi kerana apa yang zahir itu mudah bagi manusia itu langsung menilai dan memilih.

Akan tetapi, hakikat pada hal ukhrawi. Iman adalah pemacu bagi menilai dan memilih. Kelemahan iman manusia akan jua melemahnya untuk menghampiri dan mencita-citakan nilai ukhrawi. Andai kata dia beriman kepada hari akhirat, percaya akan wujudnya pahala dan dosa, dan percaya akan wujudnya syurga dan neraka, maka dia dapat menilai apakah dia seharusnya menggerakan tubuh badannya menghampiri dan mencita-citakan nilai pada pahala dan nilai pada syurga serta mengimpikan nilai dirinya yang baik di padang Marsyar dan juga nilai dirinya menjadi penghuni syurga. Semahunya dia dambakan hidayah Allah bagi mengejar nilai yang tinggi di hari akhirat.

Demi nilai yang ada pada tawaran-tawaran Allah seperti pengampunan dosa, syurga, pahala, syafaat dan rahmat, dia akan memperjuangkan dirinya memperoleh segalanya itu dan menjauhkan diri dari memperoleh kemurkaan Allah, neraka, dosa dan dilaknat Allah SWT. Maka perjuangannya itu menambah nilai pada taqwanya kepada Allah SWT. Sehinggalah suatu masa dengan izin Allah, hatinya telah terpaut pada nilai kelazatan beribadah dan kemanisan melakukan kebaikan. Hatinya gerun dan takut dengan setitik dosa yang dilakukannya, malah dengan tangisan-tangisan yang tidak terhenti-henti merayu akan pengampunan dari Allah. Dia akhirnya hanyalah beribadah kerana disyariatkan padanya,  mengakui dirinya adalah hamba kepada Allah dan bertawakal kepada Allah.

Ketika dia berada dalam alam dunia ini pula, setiap pandangannya ke atas isi-isi dunia ini akan mengingatkan dia akan keEsaan dan kekuasaan Allah SWT. Apabila dia memerhati kawasan yang indah dengan udara yang nyaman, bunyi air yang mengalir di sungai, bunyi burung-burung bermain yang menenangkan, mahligai yang indah ditepi sungai serta wangi bunga-bunga yang berdekatan, hatinya terdetik syurga Allah lebih indah dari ini dan tertanya-tanya apakah dia dapat menghuni syurga yang lebih indah dari apa dilihatnya didunia ini. Mulutnya menyebut “Maha Suci Engkau Ya Allah, yang menciptakan kawasan yang indah ini”, di hatinya berbisik “Aku impikan syurgaMu ya Allah..”. Begitulah hatinya telah mampu mengakui iman, taqwa, syurga dan pahala serta rahmat Allah itu jauh lebih bernilai dari dunia yang fana.

Cintanya pada nilai pahala, syurga, rahmat dan taqwa akan membawa dirinya mencintai ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Tubuhnya ringan untuk beribadah dan beramal. Dia suka berqiamulail. Dia suka ayat-ayat Al-Quran. Dia suka berinfaq. Dia suka sujud kepada Allah. Dia suka berdoa kepada Allah. Dia suka berselawat kepada Rasulullah SAW. Dia suka syariat Allah. Dia mempelihara amanah dan tanggungjawabnya. Dia mengerti letihnya dia untuk semua ibadah dan amalnya kerana dia impikan rehat di syurga Allah. Hakikatnya dia mengerti nilai bagi ke semua itu.

Begitulah indahnya perjalanan seorang yang mampu melihat serta menyedari nilai yang ada pada perkara ukhrawi dan nilai yang ada kalimah tauhid “Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah”. Dia menghargai hidayah yang Allah berikan kepadanya kerana nilai hidayah yang teramat tinggi bagi memperoleh segala nilai nikmat syurga, pahala dan rahmat Allah.

Persoalannya apakah kita mengejar solat, puasa, haji, zakat, infaq dan sunnah? Apakah kita tahu nilainya? Atau apakah kita tahu tetapi berdalih? Sedangkan kita sentiasa menilai kebendaan duniawi. Padahal dunia ini fana dan pastinya kita akan mati serta menyambung kehidupan di akhirat.

Kehidupan itu lebih panjang dari kematian, kita telah hidup dan akan mati sebelum kita hidup di alam barzakh serta akhirat. Di manakah hidup yang panjang itu akan kita tempuhi, apakah syurga atau neraka.
Kita tahu memilih kerana kita tahu menilai. Marilah memilih syurga dan pahala.

Ulasan

Catatan Popular