Apakah yang dikatakan istiqamah?



Apakah yang dikatakan istiqamah itu?


Istiqamah boleh dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas dasar kebenaran dan pertunjuk yg benar melalui al-quran dan assunnah tanpa ragu-ragu.
Sebelum kita meneruskan perbincangan mengenai istiqamah lebih baik kita berkenalan dahulu dengan Istiqamah.. Apa itu istiqamah? Bicara mengenai tarif istiqamah sahaja terlalu banyak maknanya...
  1. Berterusan dalam melakukan sesuatu perkara secara berterusan, thabat, tetap.
  2. Istiqamah ialah betul i'tiqad, kata-kata dan perbuatan.
  3. Istiqamah adalah berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada aqidah Islam, dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau apa-apa keadaan sekalipun.

Istiqamah merupakan satu perkara yang sangat payah untuk dilakukan. Kadang-kadang terasa kaslan (malas), kadang-kadang terasa nak menangguh, terkadang masa tak mencukupi. Hendak melakukan sesuatu amalan secara istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang mustahil tetapi sesuatu perkara yang cukup mencabar keimanan seseorang muslim. Sebagaimana yang kita tahu, amalan yang sedikit tetapi kita istiqamah dalam melakukannya lebih baik daripada kita melakukan banyak amalan tetapi tidak secara istiqamah.

Sepertimana sabdaan rasulullah s.a.w“
Berteguh-hatilah kamu (istiqamahlah) kamu meskipun tidak akan mampu melakukan sepenuhnya. Ketahuilah bahawa bahagian terbaik dari agamamu adalah sembahyang, dan tiada seseorang yang memelihara wudhu’, kecuali orang yang beriman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Amalan secara istiqamah mengajar kita agar sentiasa merasakan nikmat beramal kerana setiap amalan yang dilakukan dengan hati dan jiwa, ianya akan mendatangkan rasa lazat dan nikmat. Amalan secara istiqamah walaupun dilaksanakan secara sedikit, pada tiap-tiap hari adalah lebih baik daripada melakukan amalan secara banyak tetapi pada masa yang tertentu. Kita boleh membuat perbandingan dan melihat sendiri kesan dalam amalan istiqamah pada tindakan alam umpamanya setitik air yang terus menerus menitik di atas batu, lama kelamaan ia akan melekukan batu tersebut. Akan tetapi, jika banjir yang berlaku hanya sekali sekala, tidak akan dapat memberi bekas pada batu tersebut.

Sepertimana Firman Allah s.w.t.

"Maka tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan"
(Surah Hud ayat 11)

Pada kesempatan ini izinkan saya mengajukan lima petua istiqamah dalam ibadah. Mudah-mudahan jika kelima-limanya kita laksanakan, maka kita akan dapat terus melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah secara konsisten.

Pertama: Menyedari selalu akan hakikat diri kita yang serba kekurangan. Manusia adalah makhluk yang sangat lemah. Ia selalu terdedah untuk pelbagai penyakit, musibah, kemiskinan dan sebagainya. Siapa yang ingin menjaga diri atau keluar daripada perkara-perkara buruk tersebut, ia mesti menjaga hubungan baiknya dengan Allah Yang Maha Berkuasa.

Imam Al-Syafii pernah berkata: “Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Barang siapa yang selalu menyedari sifat ini, ia akan memperoleh istiqamah bersama Allah SWT.”

Kedua: Menyedari hakikat hidup kita di muka bumi ini. Setiap daripada kita adalah tetamu, dunia ini adalah tempat persinggahan, negeri asalnya adalah akhirat dan bekalannya adalah ibadah.
Setiap tetamu suatu ketika nanti akan pergi meninggalkan tempat persinggahan dan berpindah ke negeri asalnya. Segala sesuatu yang ingin kita bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Pastikan kita telah memiliki rumah yang selesa di akhirat nanti sebelum kita meninggalkan dunia ini. Caranya dengan memperbanyak ibadah dan amal kebajikan.

Selama kita masih hidup di dunia, peluang membeli barangan akhirat itu masih terbuka. Namun sebaik kita berada dalam sakaratul maut, pada saat itu peluang tersebut telah tertutup. Pada saat itu, barangan akhirat yang sangat kita perlukan itu menjadi sangat mahal. Ia tidak lagi dapat dibeli dengan wang ringgit, bahkan semua harta kita sekalipun.

Ketiga: Lakukan ibadah mengikut kemampuan. Jangan terlalu berlebihan sehingga melahirkan rasa bosan dan serik. Dua rakaat sunat tahajud yang rutin kita kerjakan setiap malam, lebih baik daripada 100 rakaat yang kita lakukan sekali sahaja seumur hidup.

Rasulullah bersabda: Wahai manusia, ambillah amalan yang kamu mampu lakukannya (dengan istiqamah). Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu jemu. Dan amalan yang paling Allah cintai adalah apa yang dilakukan dengan istiqamah, meskipun sedikit. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat: Bercampurlah dengan orang-orang yang tepat. Sebab perjalanan jauh sangat membosankan jika kita menempuhnya seorang diri. Perjalanan yang jauh  itu akan menjadi lebih ringan, dan menyenangkan, jika kita berjalan bersama orang-orang yang kita cintai. Begitu jugalah perjalanan kita menuju akhirat.

Justeru, carilah orang-orang yang satu destinasi dengan kita menuju syurga. Kenali mereka dengan akhlak mulia yang terdapat didalam diri mereka. Sebab ahli syurga adalah orang-orang yang sopan, lemah lembut, tawaduk, tidak menyimpan hasad dengki, suka menghormati orang lain dan pelbagai sifat mulia lainnya.

Setelah menjumpainya, bersahabatlah dengan mereka. Sebarkan selalu salam kedamaian sebagai tanda cinta dan akhlak mulia.

Kelima: Muhasabah diri selalu, jangan pernah merasa cukup atas ibadah dan kebaikan yang kita lakukan dan perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Sering-seringlah meminta ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan yang Allah redai.

 Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu dipanjatkan Rasulullah ialah: “Wahai Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Umi Salamah bertanya: “Ya Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?”
Baginda menjawab: “Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari jemari Allah. Jika Allah kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan.”

Untuk mendapatkan jiwa yang istiqamah di dalam beramal, kita hendaklah seringkali berdoa, mohon pada Allah agar kita sentiasa diberi oleh Allah bimbingan olehNya. Mintalah kepada Allah agar dikurniakan kita dengan sekeping hati yang sentiasa ghairah untuk beribadah walau dengan keadaan bagaimana sekalipun. Perlu juga diingatkan kepada diri bahawa kita beramal tanpa istiqamah, maka bertitik tolak dari situlah akan membuktikan bahawa cinta kita kepada Allah mengikut masa sedangkan Allah mengasihi hambanya sepanjang masa.

 Sebagai buktinya, setiap saat dan waktu, nikmat Allah sentiasa melimpah ruah dengan berbagai-bagai nikmat. 

Begitulah Maha pemurah dan Maha Penyayangnya Allah. Oleh itu marilah kita sama-sama berazam dan menanamkan cita-cita untuk beristiqamah di dalam beramal. Semoga di dalam azam dan cita-cita kita itu yang dibuktikan oleh perbuatan kita akan dinilai oleh Allah s.w.t dan dengan amalan istiqamah itulah mudah-mudahan dapat meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak.

 Firman Allah swt.
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul), akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.
(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!
 Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan yang soleh, sambil berkata “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 30-33).

Ulasan

Catatan Popular