Bilakah tibanya Hari Kiamat?
Hari Kiamat adalah hari di mana akan
musnahlah segala yang tercipta dan akan binasalah segala makhluk yang
pernah hidup di alam ini. Tahukah korang bahawa Kiamat akan berlaku pada
hari Jumaat? Jadi mari kita selami dan baca kisah di mana
peristiwa-peristiwa (besar) yang akan berlaku sebelum munculnya Kiamat.
1. Munculnya Imam Mahdi
Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang
terakhir diutuskan dan Imam Mahdi pula adalah imam yang terkahir dan
tiada lagi imam sesudahnya. Imam Mahdi adalah dari keturunan Hasan,
yakni anak kepada Fatimah dan Ali bin Abi Talib. Ali pernah melihat
Hasan sambil berkata: “Anakku ini akan menjadi pemimpin seperti
dijanjikan Rasulullah dan nanti juga akan keluar dari keturunannya
seorang lelaki yang namanya, kelakuannya sama seperti dengan nama nabi
kamu, namun bentuk tubuhnya tidak sama”. Kemudian Ali menceritakan
keadaan Imam Mahdi yang memimpin dunia secara adil dan bijaksana.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Akan
keluarlah manusia dari sebelah timur, lalu mereka pergi menemui Mahdi,
yakni untuk mengikuti pemerintahannya”. Imam Mahdi yang dijanjikan akan
datang di akhir zaman itu dikatakan akan mucul dari timur dan mereka
akan melantiknya di Mekah. Beliau akan memimpin dunia selama lima, tujuh
atau sembilan tahun dan pada zamannya nanti ajaran Islam dapat
ditegakkan, musuh-musuh Islam takut akannya, pemerintahannya tiada cacat
cela, tiada kezaliman dan kebaikan berkekalan. Beliau menguasai dunia
seperti Nabi Allah Sulaiman.
2. Munculnya Al-Masih Dajjal
Mengapa dia digelar Al-Masih? Nama
Al-Masih diberi kerana buruknya rupa dan bentuk tubuh Dajjal dan dia
diciptakan sebagai makhluk yang dilaknat kerana ia kufur dan mengaku
dirinya sebagai tuhan. Al-Masih juga diberi kepada Dajjal kerana
terhapus atau hilang mata sebelahnya. Kekuasaannya mencakup seluruh
daratan dan lautan dan dia boleh menahan sungai daripada mengalir. Di
antara kedua matanya tertulis kalimat KAFIR dan ia dapat dibaca oleh
setiap mukmin sama ada pandai membaca atau tidak. Dia akan hidup di bumi
selama 40 tahun.
Pada akhir zaman nanti kemarau panjang
akan berlaku, hujan tidak turun dengan lamanya, tumbuhan tidak tumbuh
dan dunia semakin kering kontang, sementara manusia dalam kelaparan,
kehausan dan banyak penyakit melanda. Ketika itulah akan munculnya
Al-Masih Dajjal dengan hebatnya. Dia memerintahkan langit menurunkan
hujan dan dia menyuruh bumi mengeluarkan tumbuhan, dan ia benar-benar
berlaku. Kemudian dia menyuruh sungai supaya mengalir membasahi
kekeringan bumi.
Dajjal menunjukkan kehebatannya dalam
mengubati pelbagai penyakit, bahkan dia boleh menghidupkan orang yang
sudah mati. Dia berpura-pura mengajak manusia kepada pendamaian dan
kemudian banyaklah pengikutnya. Dalam keadaaan demikian, maka Dajjal
mengaku dirinya sebagai nabi Allah dan ramai percaya terhadapnya. Akhir
sekali dia akan mengaku dirinya sebagai tuhan bahkan dia mempunyai
syurga dan neraka.
Dajjal berkata, “Akulah tuhan semesta
alam dan aku sanggu menghidupkan dan mematikan”. Tiba-tiba ada seorang
mukmin membantahnya dan Dajjal terus membelahnya kepada dua bahagian.
Kemudian Dajjal menyeru kepada tubuh mukmin itu, “Berdiri engkau”, lalu
ia pon berdiri dan Dajjal bertanya lagi, “Percayakah engkau aku ini
tuhan sekalian alam?”, orang mukmin itu menjawab, “Tidak, engkau masih
Al-Masih pembohong”, lalu mukmin itu dicampakkan ke neraka milik Dajjal.
Orang-orang yang percaya pada Dajjal
kemudian mengikutinya setelah melihat sendiri penipuan yang berlaku.
Begitulah ramai yang akan kufur pada Allah dan beriman kepada Dajjal.
Dajjal akan dibantu oleh syaitan dan jin dalam melakukan segalanya
termasuk harta kekayaan. Mereka akan membantu Dajjal sama seperti mereka
membantu Nabi Sulaiman satu ketika dahulu. Namun Dajjal tidak dapat
memasuki kota Mekah dan Madinah kerana keduanya dijaga oleh Malaikat.
Bilangan orang-orang mukmin semakin
sedikit lalu mereka lari ke puncak Bukit Dukhan untuk menyelamatkan diri
dari Dajjal serta pengikutnya yang terdiri dari bani Iblis dan Bani
Adam yang ramai dan kahirnya mereka dikepung di sana. Mereka ketakutan
dan kelaparan berikutan tiada makan dan minuman di sana dan hanya mampu
berdoa, berzikir, bertasbih dan bertahmid dengan kuat meminta
pertolongan Allah. Tentera Dajjal tak dapat mendekati mereka kerana
bacaan yang kuat itu.
Berbulan-bulan mereka terperangkap di
atas bukit dan tiba-tiba langit menjadi gelap-gelita sehingga telapak
tangan pun tak dapat dilihat depan mata. Kemudian mereka mendengar satu
seruan dari langit, “Telah datang kepada kamu pertolongan!”. Tatkala itu
bumi disinari nur dari langit dan turunlah Isa bin Maryam dan tangannya
pada sayap dua Malaikat. Dajjal yang mengetahui kedatangan Nabi Isa
kemudian terus pucat dan menyuruh pengikutnya mengerjakan solat. Ketika
Nabi Isa mendatangi Dajjal, lalu Dajjal sambil ketakutan berkata, “Wahai
nabi Allah, kami baru sahaja mengerjakan solat”. Isa AS bekata, “Wahai
musuh Allah, engkau mengaku sebagai tuhan sekalian alam, untuk siapa kau
solat dan mengabdi?” Lalu tamatlah riwayat Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa
di Babu Luddi Palestin.
3. Turunnya Isa bin Maryam
Nabi Isa adalah nabi kedua terakhir yang
diutuskan Allah. Nabi Isa telah dinaikkan ke langit dan hidup dengan
aman hingga sekarang setelah cubaan membunuh oleh kaumnya. Waktu Dajjal
berleluasa pada akhir zaman, Nabi Isa akan turun dan membunuhnya serta
memimpin umat Nabi Muhammad ke jalan yang benar dan akan dihapuskan
segala agama selain Islam. Dunia ketika itu akan aman sehingga anak
perempuan boleh bermain dengan harimau.
Turunnya Nabi Isa diriwayatkan bahawa
beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di Timur Damsyik dengan
memakai pakaian kuning pada waktu fajar. Dua telapak tangannya terletak
di atas sayap dua Malaikat. Kulitnya putih kemerah-merahan dan terdapat
nur di wajahnya. Beliau akan menghancurkan salib-salib, membunuh semua
babi, menghapuskan cukai dan tidak membayar zakat kerana waktu itu tiada
seorang pun yang berhak menerimanya. Tiada lagi cemburu, dengki ,
marah-memarahi antara satu sama lain, dunia berjalan dengan aman dan
lancar.
Bumi akan mengeluarkan cahaya dan
menumbuhkan tumbuhan sama seperti zaman Nabi Adam dan ramai orang
memetiknya dan makan sehingga kenyang. Nabi Isa akan memimpin dunia
dengan aman selama 40 tahun sebelum kewafatan beliau di Madinah. Beliau
disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan makam
Rasulullah SAW. Yakjuj Makjuj iaitu kaum yang amat ditakuti manusia juga
akan muncul pada zaman Nabi Isa ini.
4. Keluarnya Yakjuj & Makjuj
Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum yang
telah hidup lama di sebalik dua gunung dari zaman Nabi Ibrahim hinggalah
sekarang dan mereka suka berbuat kerosakan di muka bumi dan menyusahkan
dan mengganggu manusia. Masyarakat waktu itu tidak tahan dengan Yakjuj
Makjuj lalu meminta Raja Zulqarnain iaitu pemimpin yang agung untuk
membuat benteng menahan Yakjuj Makjuj dari keluar dari sebalik gunung
tersebut. Lalu mereka bekerjasama membuat benteng yang tingginya sama
tinggi seperti dua puncak gunung itu. Di situlah Yakjuj Makuj terkurung
sehingga Kiamat nanti.
Telah tiba masanya lalu dengan izin
Allah maka hancurlah dinding yang menahan kaum Yakjuj Makjuj dari
melihat dunia selama ini. Mereka pun turun dari celahan gunung itu
dengan lajunya seperti empangan yang pecah mengeluarkan airnya. Lalu
Yakjuj Makjuj meminum dan memakan apa sahaja yang mereka jumpai sehingga
kering air sungai dan perigi. Manusia ketika itu semuanya ketakutan dan
bersembunyi, mereka memohon agar Nabi Isa menghancurkan Yakjuj dan
Makjuj. Maka berdoalah Isa ke hadrat Allah dan berkat doanya, lalu Allah
mengirimkan ulat kepada Yakjuj Makjuj dan mereka mati kesemuanya.
5. Matahari Terbit dari Barat
Terbitnya matahari dari ufuk barat
adalah suatu yang mustahil akan berlaku tanpa izin Allah kerana ia
bertentangan dengan hukum alam. Ketahuikah anda bahawa matahari itu
setelah ia diciptakan, ia sentiasa mengikut peredarannya iaitu terbit di
timur dan terbenam di barat? Setelah terbenam, ia pergi ke bawah Halimatul Arasy,
sujud kepada Allah dan mensucikanNya dan membesarkanNya. Kemudian
matahari akan meminta izin Allah untuk terbit kembali menjalankan
tugasnya seperti biasa.
Setelah wafatnya Nabi Isa, manusia
ketika itu ada yang tetap taat pada ajaran Islam dan banyak yang kembali
kufur kepada Allah. Tidak lama kemudian berlakulah satu perubahan yang
ketara pada alam semesta yang tidak pernah terjadi sepanjang umur dunia.
Apabila matahari terbenam, malam menjelma seperti biasa, namun semua
manusia dapat merasai keanehan malam tersebut. Malam itu terlalu lama
dan panjangnya sama dengan dua malam biasa. Orang yang tidur sudah puas
tidur, orang yang selalu solat subuh di awal waktu masih menanti masa
solat, sehingga ramai yang keluar dari rumah masing-masing bertanya
kepada jiran mengapa dunia masih gelap.
Rupanya Allah telah menahan matahari
dari menjalani tugasnya, Allah berfirman, “Diamlah engkau disini”.
Matahari pun diam selama dua malam sehinggalah Allah memerintahkan,
“Terbitlah engkau dari tempat terbenammu”, lalu terbitlah matahari dari
ufuk barat. Tatkala itu semua penduduk dunia berasa sangat pelik kerana
ia tak pernah berlaku dalam sejarah, matahari telah terbit dari tempat
terbenamnya. Kemudian kesemua mereka menangis sama ada yang Islam atau
yang kafir kerana mereka sudah tahu hampirnya Kiamat. Namun segala
tangisan dan taubat sudah tak berguna lagi. Pada waktu terbitnya
matahari dari barat, Allah telah menutup segala pintu taubat dan pintu
syurga, maka menyesallah mereka sehingga mulai hari itu, tidak seorang
pun akan bekerja lagi.
6. Keluarnya Binatang dari Perut Bumi
Setelah terbitnya matahari dari ufuk
sebelah barat, kemudian muncul lagi tanda kekuasaan Allah iaitu
keluarnya binatang yang melata dari perut bumi. Apabila ia keluar sahaja
ke muka bumi ini, lalu muncullah tanda pada dahi setiap manusia. Jika
manusia itu beramal soleh maka tercatitlah perkataan “mukmin” pada
dahinya manakala jika manusia itu seorang kafir, maka terang-terangan
akan tertulis “kafir” pada dahi mereka.
Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa
panjang binatang ini adalah 60 hasta iaitu sama tinggi dengan Nabi Adam
AS dan orang yang mencarinya takkan menjumpainya, sedangkan orang yang
lari darinya takkan dapat lari daripadanya. Binatang ini dikatakan
kepalanya seperti kepala banteng,
matanya seperti mata khinzir, telinganya seperti telinga gajah,
tanduknya seperti tanduk rusa, lehernya panjang seperti leher burung
unta, dadanya seperti dada singa, warnanya seperti harimau, rusuknya
seperti rusuk kucing, ekornya seperti ekor kibas, tingginya seperti unta
dan ia akan membawa tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman.
Apabila cincin Nabi Sulaiman dioleskan
pada mukan orang kafir, maka akan hitamlah seluruh mukanya manakala
apabila ia dioleskan pada muka orang mukmin, akan berserilah wajah
mereka. Begitu juga tongkat Nabi Musa, apabila ia memukul hidung orang
kafir dan mukmin, maka tertulislah pada dahi mereka kafir dan mukmin.
Maka dengan itu jelas sudah perbezaan antara orang kafir dan mukmin.
7. Dunia diliputi Kabut
Allah berfirman, “Maka tunggulah hari
ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah
Azab yang pedih. Mereka berdoa, Ya tuhan kami hilangkanlah dari kami
azab itu, sesungguhnya kami akan beriman“. (Al Dukhan: 10-12)
Apabila kiamat itu hampir tiba, maka
dunia ini akan diliputi kabut yang tebal dan menjadikan dunia ini gelap.
Kabut itu akan membuatkan orang mukmin selsema dan sukar bernafas
manakala orang kafir berasa betul-betul merasa tersiksa dan terbakar.
Semua orang akan berasa lemas ketika itu lalu mereka tunduk pada Allah
namun segala penyesalan tak berguna lagi.
8. Angin yang Mematikan, diangkat Al-Quran & Perkara Baik
Setelah beberapa tanda besar berlaku,
lalu berlalu tahun demi tahun, kemudian manusia tetap lalai dari
menginsafi diri pada Allah. Yang baik akan membuat kejahatan kembali,
yang jahat tetap begitu. Orang mukmin makin ketakutan yakni mereka takut
terpengaruh membuat kejahatan serta fitnah lalu mereka berdoa pada
Allah agar tidak terjerumus ke arah maksiat. Lalu Allah menurunkan ubat
dari langit yakni angin yang kuat untuk mematikan orang-orang beriman
walaupun dalam diri mereka masih mempunyai secebis keimanan. Maka
tinggallah orang-orang kafir dan mungkar di muka bumi ini.
Lalu Allah angkat Al-Quran yakni
penyuluh iman manusia ke langit serta bersamanya Allah angkat segala
kebaikan dari dunia ini. Diceritakan bahawa Al-Quran datang mengadap
Allah lalu ia mengadu, “Tuhanku, aku cuma dibaca orang dan tidak
diamalkan sama sekali.” Mendengar yang demikian, lalu Allah mengangkat
Al-Quran (ilmu) dari dada manusia bahkan dari kitab-kitab Al-Quran dan
akhirnya tinggal kertas-kertas kosong sahaja, sedangkan huruf-huruf dan
tulisannya sudah tiada lagi. Namun Allah telah meninggalkan pada umat
masa itu satu kalimah sahaja dan ia hanya disebut oleh orang-orang tua
masa itu, yakni kalimah “Lailaha illallah”. Setelah orang tua itu
meninggal, maka hilang sama sekali ajaran Islam dari permukaan bumi.
Rasulullah SAW bersabda, “Yang mula-mula
sekali diangkat Allah dari hambaNya ialah sifat pemalu, kemudian
dicabutnya sifat amanah dan kasih sayang. Lalu Allah cabutkan pula
kalung keislaman dari leher hambaNya, maka jadilah hambanya itu jauh
dari rahmat dan dilaknat”. Apabila semua sifat berikut telah tiada dalam
diri manusia, maka sifat-sifat buruk akan berleluasa di muka bumi dan
manusia tatkala itu tidak memperdulikan sesama mereka. Mereka berbuat
apa sahaja yang mereka kehendaki.
9. Hancurnya Kaabah
Kota Mekah adalah tempat di mana
letaknya rumah Allah di muka bumi iaitu Kaabah. Ia menjadi tempat umat
Islam seluruh dunia beribadat kepada yang Esa. Diriwayatkan bahawa Allah
telah menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada
air dua ribu tahun sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah
membentangkan bumi dari bawah Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya
sehingga lapisan bumi yang ke tujuh.
Di setiap tujuh langit ada rumah Allah
tempat para malaikat beribadat padaNya dan pada langit ke tujuh nama
rumah Allah itu adalah Baitul Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul
Makmur adalah masjid yang berada di langit dan ia betul-betul di atas
Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia akan menghempap Kaabah”.
Sabda Rasullullah, “Kaabah akan
dihancurkan oleh orang Habsyah yang bergelar Dzus-Suwaiqatain (orang
yang kedua-dua betisnya kecil) dan ia akan merampas segala perhiasannya
dan melucutkan kelambunya. Seakan-akan terbayang di hadapan mataku
keadaan seorang yang botak, bengkok sedikit sendi-sendinya. Ia
memukul-mukul Kaabah itu dengan besi penyeduk dan kapak besar”. Nabi SAW
bersabda lagi, “Seolah-olah aku dapat melihat orang-orang yang
merobohkan Kaabah itu berkulit hitam, merenggangkan kedua kakinya dan
membongkar Kaabah itu batu-batunya satu demi satu”.
10. Api yang Menghalau Manusia
Terdapat hadis
menyebut, “Dan yang terakhir adalah api yang keluar dari Adan untuk
menghalau manusia ke tempat pengumpulan mereka”. Manusia di akhir zaman
makin jahat dan maksiat makin berleluasa, lalu ia menyemarakkan lagi
kemarahan Allah, lalu dikirimkan api yang keluar dari perut bumi.
Api tersebut akan datang dari Adan
(Yaman) dan akan membakar segala di langit dan dibumi. Datangnya api itu
akan membuatkan manusia lari bertempiaran. Api itu bukan sahaja
membakar segala di tanah dan di udara, namun segalanya di dalam laut
akan turut terbakar. Maka berlarilah manusia menggunakan tumit mereka
atau kenderaan-kenderaan hebat mereka, mereka berlari sekuat hati untuk
menyelamatkan diri masing-masing namun mereka takkan selamat pada waktu
itu jika mereka tidak ke negeri Syam.
Kenapa negeri Syam? Rasulullah ada
bersabda, “Api akan keluar dari Hadramaut sebelum kiamat yang tujuannya
untuk menghalau dan mengejar manusia”. Lalu para sahabat bertanya, “Ya
Rasulullah, ke manakah harus kami berlari?” Lalu Nabi menjawab,
“Pergilah ke negeri Syam”. Pada waktu itu berbondong-bondonglah manusia
pergi menyelamatkan diri ke negeri Syam. Jika terdapat orang muslim yang
masih hidup, api itu akan mengikuti sahaja muslim tersebut, jika dia
berhenti rehat, maka api itu pun turut berhenti manakala bagi orang
kafir, api tersebut akan terus mengejar mereka tanpa henti.
Maka terbakarlah segala-galanya di muka
bumi yang dipinjamkan Allah kepada makhluknya. Hanya negeri Syam yang
kecil sahaja tempat seluruh makhluk di dunia yakni manusia, binatang,
jin dan Iblis serta pengikutnya berkumpul. Keadaan di sana amat sesak
bahkan susah untuk bernafas apatah lagi nak tidur. Semuanya
berhimpit-himpit lalu Iblis menyuruh konco-konconya menyesatkan lagi
manusia yang dalam kesesakan. Lalu bertambah jahatlah mereka dan berbuat
sesuka hati mengikut nafsu.
11. Ditiupkan Sangkakala dan Berakhirnya Umur Dunia
Sangkakala pertama: Mengejutkan dan Mematikan
Masanya telah tiba, manusia-manusia
makin lalai dan tidak pernah insaf, lalu kemarahan Allah datang dan
Allah memerintahkan Malaikat Israfil meniupkan sangkakala. Israfil tidak
pernah lalai dari tugasnya. Sejak bumi diciptakan Allah, Israfil telah
siap sedia memegang dan meletakkan sangkakala itu ke mulutnya dan
matanya dihalakan ke Arasy Allah. Maka ditiupnya sangkakala pertama,
yakni untuk mengejutkan. Dengan bunyi yang cukup kuat dan lantang serta
didengar hingga langit ketujuh, menyebabkan seluruh makhluk Allah
tergamam dan terkejut lalu membisu kesemuanya.
Firman Allah, “Dan ingatlah hari ketika
ditiupkan sangkakala, maka terkejutlah segala yang ada di langit dan
segala yang di bumi, kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah“.
(Al-Naml: 87)
Seluruh makhluk di bumi mendongak ke
langit dan melihat sumber datangnya bunyi yang amat menggerunkan itu.
Mereka tertanya-tanya dalam hati suara apa yang bergegar di langit itu.
Rupanya telah tiba masa nyawa dunia ini ditarik kembali. Gunung-ganang
tidak kukuh lagi, lalu ia berterbangan mengikut awan. Dunia bergoncang
sekuat-kuatnya dan menjeritlah seluruh makhluk di bumi sehingga ibu
melepaskan anaknya dan orang hamil melahirkan anak tak cukup umur.
Ketika itu gelaplah dunia segelap-gelapnya kerana Allah telah memadamkan
cahaya matahari, begitu juga cahaya dari bulan dan bintang. Tiada
istilah siang dan malam. Langit terbelah, bulan dan bintang jatuh
menghempap ke bumi.
Manusia tiada arah tuju lagi, mereka
berkawan dengan jin dan jin berlindung dengan mereka. Semuanya buntu
lalu mereka pergi berjumpa dengan Iblis yang mereka anggap dapat
menyelesaikan masalah ini. Iblis membawa mereka ke laut, namun alangkah
terkejutnya mereka melihat laut yang sudah naik dan api menyala dan
mendidihkan laut itu. Mereka kecewa lalu berdiri sahaja melihat laut.
Iblis yang bingung berlari ke sana sini namun segala yang dilihatnya
adalah api. Dia teringat atas peristiwa dahulu yakni peristiwa yang
memulakan permusuhannya dengan Adam dan sekaligus menjadikan dia kafir.
Dia menyesali perbuatannya dan berkata, “Tuhanku, sekarang suruhlah aku
sujud kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki”.
Syaitan-syaitan yang setia bersama Iblis
selama ini berasa hairan dengan kelakuan pemimpinnya, lalu bertanya,
“Wahai penghulu kami, kepada siapa engkau tunduk?” Lalu Iblis menjawab,
“Aku merendah diri dan sujud kepada tuhan sekalian alam yang telah
memanjangkan umurku sehingga hari kiamat. Sekarang sudah dekatnya masa
yang telah dijanjikan.” Syaitan yang tidak pernah tahu akan kewujudan
Allah selama ini lalu berkata, “Sesungguhnya engkau telah mencelakakan
dirimu dan engkau telah mencelakakan kami”. Mereka menyesal namun
penyesalan pada waktu ini tidak berguna lagi.
Tiba-tiba terdengarlah suara dari
langit, “Sekarang sudah datanglah ketentuan Allah, maka jangan kamu
minta untuk dipercepatkan lagi”. Meremang bulu roma mereka semua
ketakutan dan menyesali perbuatan mereka namun ianya tidak berguna. Lalu
ditiupnya Israfil sangkakala kedua yakni untuk mematikan, maka
kedengaran ngauman sangkakala yang cukup kuat dan panjang sehingga
menembusi lapisan langit dan bumi yang ke tujuh. Turunlah Izrail dengan
rupa yang mengerikan dan dicabutnya nyawa segala makhluk dengan kasar
secara paksa kecuali yang tertentu sahaja.
Allah berfirman kepada malaikat maut,
“Pakailah pakaian kemurkaanKu dan bawalah bersamamu 70,000 Malaikat
Zabaniyah (malaikat penjaga neraka) dan setiap satu malaikat itu membawa
70,000 cangkuk dari Neraka Jahanam dan cabutlah nyawa Iblis
Laknatullah”. Malaikat maut turun ke bumi Allah dengan rupa
seburuk-buruknya, bau sebusuk-busuknya, dan diceritakan rupa malaikat
maut tiada seorang pun berani melihatnya. Maka larilah Iblis ke
mengelilingi bumi, ke laut, ke langit, ke timur, ke barat, namun Izrail
telah sedia berada di depannya. Akhirnya Iblis dikepung di tempat
mula-mula ia turun ke bumi sewaktu zaman Nabi Adam dahulu, lalu
dibentaknya Iblis dan dicabutnya nyawa Iblis secara kasar dan paksa lagi
mengerikan. Menjeritlah Iblis dan matilah ia disana. Maka tamatlah
permusuhan antara Adam dan Iblis dan dihancurkan dunia ini.
Malaikat Maut kemudian pergi mengadap
Allah kemudian berkata, “Ya tuhanku, telah mati semua penghuni langit
dan bumi kecuali makhlukMu yang Engkau kehendaki”. Allah bertanya pada
Izrail walaupun Dia lebih tahu, “Siapa lagi yang masih belum mati?”
Izrail menjawab, “Yang tinggal adalah Engkau yang sentiasa hidup dan
tidak akan mati untuk selamanya, malaikat penjaga ArasyMu, begitu juga
Jibril, Mikail dan saya sendiri”. Lalu Allah memerintahkan Izrail
mencabut nyawa Jibril dan Mikail, kemudian mereka pun mati. Serta merta
Arasy Allah bergoyang dan dengan izin Allah, Arasy berkata, “Ya tuhanku,
mengapa diwafatkan Jibril dan Mikail?” Allah berfirman, “Diam engkau!
Tidakkah engkau tahu bahawa Aku telah menetapkan kematian bagi semua
makhluk yang berada di bawah ArasyKu?”
Izrail mengadap Allah sekali lagi lalu
ditanya Allah siapakah yang masih tinggal, lalu Izrail menjawab, “Hanya
Engkau ya tuhanku, malaikat pemegang ArasyMu dan aku”. Dia diperintahkan
mencabut nyawa malaikat pemegang Arasy dan bergoncanglah Arasy tersebut
disebabkan tiada siapa yang memegang Arasy yang besar itu. Dengan izin
Allah, Arasy itu diam sendiri. Kemudian Allah bertanya lagi, siapakah
yang masih tinggal, lalu Izrail berkata hanya dirinya dan Allah yang
Maha Esa. Allah berfirman padanya, “Tidakkah kau mendengar firmanku
bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati? Maka cabutlah nyawamu
sendiri.”
Pergilah malaikat maut di suatu tempat
yakni antara syurga dan neraka lalu dicabutnya nyawa sendiri di situ
dengan cara selembut-lembutnya. Izrail berteriak sekuat hati dan
andainya ada makluk Allah yang lain mendengar teriakannya, maka akan
mati kesemuanya. Lalu Izrail berkata, “Andainya aku tahu pedihnya rasa
mati, akan aku cabut nyawa orang beriman dengan selembut-lembut cara.”
Sangkakala kedua: Membangkitkan
Setelah kewafatan Izrail, maka
tinggallah Allah sebagai Raja di alam semesta ini, lalu Allah bertanya
kepada alam, “Siapakah raja-raja yang memiliki kerajaan hari ini?” Namun
tiada seorang pun menjawab persoalannya, maka Allah sendiri menjawab,
“Hanya kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan”. Kemudian
Allah memerintahkan langit menurunkan hujan seakan-akan air mani lelaki
ke bumi selama berbulan-bulan sehingga bumi ditenggelami air. Lalu Allah
hidupkan Jibril, Mikail dan Malaikat penjaga Arasy serta Israfil.
Israfil telah bersedia meletakkan
sangkakala di mulutnya sambil menunggu arahan dari Allah. Jibril pula
ditugaskan membawa pakaian yang serba cantik lagi harum ke kubur Nabi
Muhammad bersama Buraq yang pernah baginda tunggah ketika Israk Mikraj
dahulu. Kemudian Israfil memasukkan kesemua roh-roh umat-umat sejak Nabi
Adam hinggalah kiamat ke dalam sangkakala dan ditiupkan sangkakala kali
ketiga yakni untuk menghidupkan segala makhluk, maka terbukalah kubur
Rasulullah dan keluarnya baginda disambut Jibril. Bertanya Rasulullah
pada Jibril, “Hari apakah ini? Bagaimanakah perihal umatku”. Jibril
menjawab, “Ketahuilah bahawa engkau adalah manusia pertama yang
dibangkitkan.” Maka dipakaikan Rasulullah pakaian yang serba agung lagi
baik dan ditunggangi Buraq ke Masyar.
Sangkakala terus ditiupkan dalam masa
yang panjang dan bertebaran roh-roh masuk ke kubur masing-masing dan
dihidupkan semua makhluk kali kedua. Mereka semua tertanya-tanya hari
apakah ini. Itulah hari pengadilan dan mereka semua dihalau ke Padang
Masyar untuk dihisab.
sesungguhnya ALLAH maha berkuasa lagi maha hebat.
BalasPadam