Tegur Menegur Yang Mulia Dalam Islam


Insan yang lemah seperti kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan ini akan berlarutan sekiranya  tidak disedarkan ataupin tiada siapa yang menegur kita.
   Tetapi, tidak semua manusia boleh menerima teguran dengan hati yang terbuka. Kita sering menilai siapa yang menegur, bukannya apa yang ditegur.
   Suatu hari, seorang peminum arak menegur sesuatu kepada sayidina Umar r.a. Beliau dengan berlapang dada menerima teguran tersebut. Orang yang melihat keadaan tersebut berasa pelik. Lalu mereka bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, kenapa kamu menerima teguran dia, sedangkan dia seorang peminum arak?” Saiyidina Umar r.a. menjawab; “Ya dia berdosa kerana meminum arak, tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”
   Biasanya, manusia tidak suka kepada teguran kerana dalam diri manusia itu ada sifat ego. Sedikit atau banyaknya ego itu bergantung bagaimana kita mengawalnya. Namun, walau setinggi mana pun ego kita, kita perlu menerima teguran yang membawa kebaikan kepada kita.
   Diriwayatkan daripada Tamim al-Dari r.a. Bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Agama adalah nasihat.”Kami pun bertanya: “Untuk siapah wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah-pemerintah umat Islam dan orang Islam.” (Riwayat Muslim)
   Orang yang memberi teguran juga memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang ditegurnya, jangan dilabel sebagai “Cakap tidak serupa bikin”. Biasanya, orang akan menilai keperibadian orang yang memberi teguran, tacit dikecam bak kata pepatah, “bagai ketam mengajar anak berjalan lurus”. Jadi, orang yang menegur perlu berwaspada terhadap kata-katnya.
Sesuai Tempat dan Masanya
   Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengigatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyakan biarpun pahit. Islam telah menyediakan garis panduan dalam membuat teguran. Niat kita menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan orang itu dan bukannya bertujuan menjatuhkannya, menghina, menunjukkan keaibanatau apa-apa jua niat buruk, Elakkan “memilih bulu” apabila ingin menegur; jika orang itu kita tidak suka, jangan pula kita biarkan sahaja walaupun dia patut ditegur.
   Sebelum kita membuat teguran atas apa jua alas an, tiga factor tersebut perlu diambil kira:
1.       Tidak merendah-rendahkan orang yang ditegur.
2.       Waktu yang sesuai untuk menegur.
3.       Memahami kedudukan orang yang ditegur
   Cara kita menegur juga perlu berhikmah. Kita bukan sengaja mencari-cari kelemahandan menegur seseorang. Teguran mestilah kena pada tempat dan masanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl 16: 125)
Mencegah Sebelum Terlambat
   Cuba kita bayangkan, apakah yang akan berlaku jika perlakuan buruk yang kita lakukan tiada orang yang mengesan dan menegur? Atas apa juga alasan, kita akan meneruskan perbuatan itu tanpa disedari. Jika hari ini ada orang yang menegur perbuatan itu, mungkin kita dapat mengubah, hasilnya nasib kita juga mungkin berubah.
   Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiga perbuatan yang sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah s.w.t. dalam segala situasi, saling menyedarkan antara satu sama lain dan mengasihi saudaranya (yang memerlukan).” (Riwayat al-Dailami)
   Hidup seorang mukmin seharusnya menjadi cermin kepada mukmin yang lain. Jika kita melihat sesuatu kebaikan yang dilakukan, kita harus memberikan pertolongan dan sokongan agar ia mendatangkan kebaikan kepada Islam. Jika berlakunya kemungkaran dalam masyarakat, kita harus menegah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.” (Riwayat al-Bukhari)
   Marilah kita tegur-menegur sesama kita supaya kita menjadi umat Islam yang hebat. Terimalah teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim antara mukmin. Berilah teguran dengan niat yang ikhlas dan cara yang penuh hikmah agar teguran dapat diterima dengan hati terbuka.

Ulasan

Catatan Popular