Pelaburan ASB Melalui Pinjaman Dari Bank Konvensional



Saya ingin mendapatkan penjelasan berhubung membuat pelaburan ASB melalui pinjaman dari bank konvensional. Adakah terdapat unsur riba?
 
PENJELASAN:

Membuat pinjaman dari bank konvensional yang berasaskan riba adalah haram untuk apa tujuan sekalipun sama ada kegunaan peribadi, pelaburan dan lain-lain. Ini kerana peminjam dari bank konvensional akan terlibat secara langsung dengan transaksi riba sedangkan ia adalah dosa besar yang diancam laknat oleh syarak.
 
Di dalam satu hadis sahih: لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ Maksudnya: “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi makan riba, orang yang merekodkan transaksi riba, dan dua orang yang menjadi saksi transaksi riba”. (Riwayat Muslim, 3/1219, no: 1598).
 
Peminjam dari bank-bank konvensional yang membayar faedah atas pinjaman yang diperoleh adalah termasuk dalam kalangan mereka yang memberi makan riba kepada pihak lain, dan boleh termasuk dalam ancaman hadis di atas.
 
Justeru dalam situasi tiada darurat, adalah haram bagi orang Islam sengaja mengambil pinjaman dari bank-bank konvensional. Ini kerana dalam konteks negara Malaysia, masyarakat Islam mempunyai pilihan yang banyak untuk mendapatkan pembiayaan dari bank-bank Islam atau bank-bank yang menawarkan perbankan secara Islam. Mereka yang tidak mempunyai modal dan memerlukan pinjaman untuk membuat pelaburan seperti dalam ASB, hendaklah memilih institusi kewangan Islam untuk mendapatkan pembiayaan sebagai alternatif kepada pinjaman berasaskan riba.
 
Sekiranya pelabur telah meminjam dari bank-bank konvensional, dia hendaklah bertaubat daripada dosa tersebut kerana terlibat dengan riba, dan hendaklah berusaha untuk menukar pinjamannya daripada konvensional kepada pembiayaan Islamik.
 
Wallahu A’lam.
http://www.e-fatwa.gov.my/blog/pelaburan-asb-melalui-pinjaman-dari-bank-konvensional

Ulasan

Catatan Popular