Bolehkah Kita Orang Islam Mengadakan Hantaran Sirih Junjung?



ISU:

Setahu saya daripada research perkahwinan hindu, sirih junjung adalah benda yang mesti ada / wajib dalam perkahwinan hindu. Ia boleh dikatakan sebagai ritual dalam perkahwinan hindu bagi agama hindu. Di dalam ikatan orang Islam, ada yang membuat hantaran sirih junjung. Zaman dahulu mungkin orang tua kita yang makan. Tetapi sekarang cuma hendak diadakan sebagai hantaran. Sebabnye? Bolehkah kita orang Islam mengadakan hantaran sirih junjung? Apakah hukumnya?
 
PENJELASAN:

Amalan menghantar sirih junjung termasuk dalam adat istiadat masyarakat Melayu. Ia dianggap sebagai kepala hadiah yang dibawa untuk meminang.
 
Menurut ilmu usul fiqh, adat itu terdiri daripada dua asas; asas material dan asas maknawi. Asas material iaitu sesuatu yang diterima sebagai adat mestilah telah biasa dilakukan dan diketahui oleh anggota masyarakat dalam tempoh masa yang tertentu berkaitan urusan kehidupan. Adat tersebut lahir sebagai memenuhi keperluan masyarakat. Syarat adat tersebut diterima dalam Islam, ia mestilah bersifat umum iaitu ia kebiasaan sebahagian besar masyarakat, bukan sekelompok kecil sahaja. Adat itu juga mestilah telah lama dilakukan secara berterusan dan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
 
Manakala asas maknawi sesuatu adat ialah sebahagian besar anggota masyarakat mengganggap adat tersebut perlu dilakukan dan orang yang tidak melakukannya dianggap tidak beradab. Imam al-Ghazali menjelaskan: "Adat setempat mengkhususkan makna sesuatu kata nama berdasarkan kebanyakan amalan yang berkaitan dengannya." (al-Mustasfa, jil. 1, hlm. 131)
 
Amalan menghantar sirih junjung semasa majlis pertunangan dalam masyarakat Melayu mempunyai falsafah yang tersendiri. Ia merujuk kepada tiga asas iaitu “Junjung Adat, Julang Hasrat, Julung Semat”
 
1) Sirih junjung itu sebagai simbol menjunjung adat iaitu rombongan meminang mengharapkan tuan rumah mendengar dahulu hajat tetamu yang datang. Lelaki yang ingin meminang anak tuan rumah menghantar rombongan sebagai tanda beradab.
 
2) Rombongan yang datang merendah diri, sanggup menyerah nasib kepada tuan rumah, walaupun ada kalangan yang datang itu berkedudukan tinggi dalam masyarakat; mereka sanggup kerana men”Julang Hasrat” tuan punya tubuh; ingatkan tuan rumah supaya berbudi bahasa dan berbelas kasihan dalam perbuatan dan pertuturan; nak ingatkan tuan rumah yang sebelum ini sudah ada terjadi bila darah tumpah ke lantai bila rombongan dihina dan dia jadi mabuk lupa “Julang Hasrat” tuan punya badan.
 
3) Sirih Junjung itu sangat halus buatannya, diselit rapi dan kemas tak dapat dipastikan mana hujung mana pangkalnya daun, “Julung Semat” mesti dipakai walau apa pun jua hasil perbincangan, jika pinangan diterima ayuh kita jalankan urusan serapi selitan, sampai selesai (ijab kabul); jika tak sudi tak mengapa, simpanlah sebab tolakan sekemas selitan, jangan dijaja sehingga memalukan lelaki yang meminang, itu bukan perbuatan orang bermaruah dan terhormat.
 
Daripada tiga konsep tersebut, tiada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa sirih junjung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu menyamai amalan penganut agama Hindu.
 
Selama mana tidak dikaitkan sirih junjung itu dengan pemikiran Syirik atau khurafat, maka ia termasuk dalam adat istiadat yang tidak bercanggah dengan Islam. Bahkan falsafah yang terkandung dalam hadiah sirih junjung itu penuh dengan adab yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim.
 
Penjelasan tentang hukum berkaitan sirih junjung ini boleh dihubungkan dengan isu pemakaian inai. Walaupun penganut agama Hindu menggunakan inai dalam adat istiadat perkahwinan mereka, tetapi bukan bermaksud haram langsung memakai inai semasa perkahwinan. Contohnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1) Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2) Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang. 3) Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
 
Wallahu a'lam.

http://www.e-fatwa.gov.my/blog/bolehkah-kita-orang-islam-mengadakan-hantaran-sirih-junjung

Ulasan

Catatan Popular