Wudhuk & Permasalahannya



Suci daripada hadas kecil adalah salah satu syarat sah sembahyang. Hadas kecil itu antaranya ialah seperti membuang air kecil dan buang angin yakni kentut. Ini boleh disempurnakan melalui berwudhuk. Sebelum berwudhuk, pastikan dahulu air yang digunakan adalah air mutlak. Kemudahan air paip yang ada di rumah, masjid atau pejabat memudahkan mendapat air mutlak. Jika bertemu air di dalam takung, untuk berwudhuk di dalamnya, pastikan air itu melebihi sukatan 2 kolah. 2 kolah itu mengikut kiraan panjang x lebar x tinggi adalah dalam anggaran 62cm x 62cm x 65cm. Dengan syarat air itu tidak berubah sifat seperti bau, zat dan warnanya oleh sesuatu yang masuk ke dalamnya. Jika kurang 2 kolah, dan diyakini akan air itu, maka dibolehkan guna dengan syarat menggunakan penceduk seperti gayung.
Sebelum berwudhuk pastikan yang kita sudah membersihkan diri daripada najis. Jika sesudah berwudhuk, didapati najis pada anggota badan, maka ada tiga keadaan: 
1) Jika najis itu ada pada tempat bukan anggota wudhuk, cukup dengan membersihkannya dan wudhuk itu masih sah.
2) Jika najis itu ada pada tempat anggota wudhuk dan diyakini ia berlaku selepas berwudhuk, cukup dengan membersihkannya. Wudhuk tadi itu masih sah.
3) Jika najis itu ada pada anggota wudhuk dan diyakini terlekat sebelum kita berwudhuk, bermakna wudhuk kita tidak sempurna, kerana najis itu menghalang daripada air sampai kepada permukaan kulit. Wudhuk kita menjadi tidak sah dan hendaklah dibersihkan dahulu najis tersebut sehingga tiada ia boleh menghalang air sampai kepada permukaan kulit. Kemudian ulangi berwudhuk.
Sebelum berwudhuk eloklah dipastikan bahawa anggota wudhuk kita itu bebas daripada sesuatu yang boleh menghalang air sampai kepada permukaan kulit anggota wudhuk. Yang dimaksudkan dengan anggota wudhuk ini ialah yang wajib kita lakukan padanya seperti muka. Contoh sesuatu yang boleh menghalang itu adalah gris, minyak dan plaster. Juga, eloklah dibersihkan dahulu mulut kita daripada segala kotoran terutama sisa makanan. Diingatkan sisa makanan jika kita menelannya sewaktu solat, maka batallah sembahyang kita. Kalau perlu minum air, maka minumlah air untuk melalukan sisa makanan itu ke dalam tekak.
Sebelum memulakan wudhuk,  sunnah bersugi sebagai memenuhi anjuran Rasulullah jikalau tidak memberatkan umat beliau nescaya beliau akan minta mereka bersugi setiap kali hendak berwudhuk. Dalam riwayat lain, dikatakan setiap kali hendak bersembahyang. Bersugi itu hendaklah menggunakan kayu sugi atau berus gigi, asalkan permukaannya kesat. Jika tidak mendapati keduanya, maka gunakanlah kain. Jika tiada satu apapun yang boleh digunakan untuk bersugi, maka gunakalan jari dan itu sudah dikira memadai.
Mulakanlah wudhuk dengan menyebut nama Allah. Rasulullah menyebut, tidak ada wudhuk bagi yang tidak menyebut nama Allah. Di sini Imam Syafie, menghukumkan sunat membaca Bismillah bilamana hendak bermula wudhuk. Yang dimaksudkan Rasulullah itu ialah tidak sempurna wudhuknya tetapi tidaklah sampai wudhuk itu tidak sah. Ulamak berpendapat lebih baik tidak ditinggalkan sebagai keluar daripada khilaf kerana ada ulamak lain yang mewajibkan membacanya. Malah, terlebih baik didahului daripadanya itu taawuz, mohon diminta perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan.
Niat wudhuk itu adalah pada membasuh muka kerana membasuh muka itu tempat mulanya anggota wudhuk yang wajib. Jika berniat sebelum atau sesudah itu maka niat tersebut tidak dikira dan dianggap belum berniat. Niat termasuk di dalam rukun wudhuk. Namun, ulamak sepakat adalah sunat berniat di awal wudhuk sewaktu membasuh tangan lagi. Dan hendaklah berniat lagi sebagai memenuhi tuntutan wajibnya sewaktu membasuh muka.  
Niat “sahaja aku berwudhuk” atau “Sahaja aku melakukan fardhu wudhuk”. Kalau berniat mengangkat hadas atau menghilangkan hadas tidaklah menjadi kesalahan jika memang benar berlaku hadas kecil sebelum berwudhuk. Tetapi jika masih ada wudhuk dan kita hanya mahu memperbaharui wudhuk, niatkan berwudhuk sahaja dan bukan mengangkat hadas kecil. Sama juga kepada orang yang mempunyai penyakit kencing tak tus, tidak boleh niat mengangkat hadas kecil, kerana hadasnya tak terangkat disebabkan penyakitnya itu. Kenalah diniatkan berwudhuk untuk membolehkan solat fardhu. Sebelum itu  hendaklah balut dengan sesuatu yang bersifat sementara seperti kapas atau kain di tempat untuk menghalang kencing daripada keluar. Wuduk seperti ini hanya boleh untuk sekali solat fardhu sahaja. Untuk solat seterusnya kenalah dia mengambil wudhuk semula.

Perkara yang membatalkan wudhuk itu banyak dan diperincikan di sini: 
Pertama, keluar sesuatu seperti najis daripada kemaluan samada qubul atau dubur. Terkecuali ialah air mani.
Kedua, buang angin yakni kentut. Jika dalam keadaan berwudhuk, tiba-tiba datang syak kentut atau tidak, pastikan samada memang terasa keluarnya angin itu atau memang ia ada bunyinya. Jika tiada seperti itu, maka dikira tidak kentut, dan wudhuk masih sah. Melainkan memang dia kentut, kemudian lupa, tetapi teringat semula bahawa dia jelas ada kentut, kenalah berwudhuk.
Ketiga, memegang salah satu daripada dua jenis kemaluan, qubul atau dubur dengan tapak tangan. Kemaluan itu tidak kira samada lelaki atau perempuan, kecil atau dewasa, sekalipun mayat. Tidak termasuk adalah kemaluan binatang. Yang dimaksudkan tapak tangan di sini adalah permukaan tapak tangan termasuk jarinya. Tidak batal wudhuk jika terkena belakang tapak tangan. Tidak batal juga jika ada lapik seperti kain di antaranya. Bagi orang yang berwudhuk, kemungkinan ada darurat sehingga memerlukan kemaluannya disentuh dengan permukaan tapak tangan tidaklah batal wudhuk jika disentuh oleh orang lain daripada kaum sejenisnya. Tetapi batal wudhuk jika dia sendiri menyentuh dengan permukaan tapak tangannya.
Keempat, mengikut mazhab Syafie, batal wudhuk jika kita menyentuh yang bukan mahram kita tanpa lapik yakni kulit bertemu kulit. Tidak batal wudhuk jika kita menyentuh mahram kita. Dicontohkan untuk lelaki di sini,  mahram disebabkan perkahwinan adalah seperti ibu mertua, anak tiri perempuan, mak tiri dan menantu.  Mahram disebabkan persusuan adalah seperti ibu susu dan juga saudara perempuan susuan. Mahram disebabkan nasab atau keturunan adalah seperti ibu dan yang di atasnya (nenek, moyang dsb), anak perempuan dan yang di bawahnya (cucu, cicit dsb), adik-beradik perempuan sebelah ibu dan sebelah bapa (makcik) dan juga adik beradik sendiri yang perempuan. Selain daripada mereka adalah batal wudhuk termasuk sepupu iaitu anak-anak perempuan kepada adik-beradik ibu atau bapa. Khusus dalam hal ini adalah batal wudhuk jika kita menyentuh isteri kita tanpa lapik yakni kulit bertemu kulit  Terkecuali jika menyentuh rambut atau kukunya. Bagi, kanak-kanak yang belum baligh tidaklak batal wudhuk bila kita menyentuhnya.
Kelima, tidur yang tidak tetap punggungnya seperti berbaring. Tidur yang tetap punggung seperti tidur dalam keadaan duduk, maka tidak membatalkan wudhuk.
Keenam, hilang akal seperti gila, pengsan, mabuk dan pitam yang bersangatan. 
Sebagai tambahan, jika kita ingin solat selepas mandi wajib, tidak perlu kepada wudhuk lagi kerana sebelum mandi wajib tadi kita sudahpun berwuduk untuk mengangkat hadas kecil. Namun, dalam proses mandi wajib itu tidak boleh berlaku sesuatu yang boleh membatalkan wudhuk. Jika tidak, hendaklah berwudhuk selepas mandi wajib. Timbul persoalan bagaimana keadaan jika tidak berwudhuk sebelum atau sesudahnya, maka memadailah dengan mandi wajib tadi untuk membolehkan solat. 

Ulasan

Catatan Popular