Hukum Allah Dipinggirkan, Hukum Manusia Diagungkan



Pada hari Jumaat yang lalu, 7 November 2014, umat Islam di Malaysia sekali lagi terpaksa akur dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang merupakan perlembagaan ciptaan penjajah apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Realiti ini menunjukkan bahawa semakin kuatnya gempuran fahaman liberalisme di Malaysia di samping membuktikan betapa lemahnya kerajaan dalam menangani isu LGBT dan liberalisme yang kian berleluasa di negara ini. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi yang tidak senang di kalangan umat Islam yang begitu cintakan Islam. Malangnya, reaksi seperti ini seperti tidak ada hujungnya dan ibarat anjing menyalak bukit. Ini adalah kerana fahaman liberalisme yang merupakan sebahagian daripada idea demokrasi sememangnya sudah lama diamalkan dalam negara ini. 

Umum mengetahui, liberalisme merupakan suatu falsafah yang muncul di Eropah semasa pergolakan kelas menengah menentang hak-hak istimewa pihak pemerintah, aristokrat dan puak gereja. Liberalisme muncul pada zaman renaissance yang menjadi pemicu terjadinya Revolusi Perancis dan Amerika. Pemikiran ini telah menyelinap masuk ke dalam negara Islam (Khilafah) ketika mana umat Islam pada waktu itu sedang mengalami sindrom kerendahan tahap berfikir sebelum kejatuhan Daulah Khilafah Utsmaniyyah yang terakhir. Pemikiran-pemikiran Voltaire, Rostow dan Montesquieu telah berlegar-legar diajarkan di beberapa buah sekolah dalam Daulah Islam pada ketika itu. Fokus fahaman liberalisme yang berasal dari Barat ini adalah kebebasan individu dalam setiap perkara. Kekuasaan negara juga harus dipisahkan daripada campur tangan agama. Bermula idea liberalism inilah tercetusnya gagasan-gagasan liberalisasi politik (John Locke), ekonomi (Adam Smith, David Ricardo) dan pemikiran (Jeremy Bentham, John Stuart Mill dan Thomas Paine). Liberalisme agama pula mengajar bahawa setiap penganutnya (setiap individu) sebagai pemegang autoriti muktamad dalam menilai dan menafsir ajaran agama mengikut kehendaknya (berdasarkan akal sendiri) tanpa terikat dengan sebarang kaedah. Dasar liberalisme ini membolehkan mereka untuk menerima unsur-unsur asing (dari luar) iaitu mereka memiliki kebebasan untuk meyakini atau menolaknya sesuka hati. 

Sebelum munculnya pemikir-pemikir moderat dan liberal mutakhir ini, sebenarnya telah pun wujud satu ‘lokomotif’ liberalisasi pemikiran dalam dunia Islam yang berusaha untuk mengkompromikan pemikiran-pemikiran Islam dengan ideologi Barat. Para tokohnya antara lain adalah Rifa’ah at-Tahtawi (Mesir), Khairuddin at-Tunisi (Tunisia), Muhammad Abduh dan Ali Abdul Raziq (Mesir), Nurcholish Madjid dan Abdurrahman Wahid (Indonesia), Amina Wadud (Amerika Syarikat) dan ramai lagi yang bertebaran di seluruh dunia Islam seperti di Turki, India, Iran, Sudan, Maghribi, Algeria dan juga Malaysia. Golongan liberal kini sering menjadikan tokoh-tokoh ini sebagai idola mereka dan segala pemikiran baru yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh ini dianggap sebagai paling autentik manakala pemikiran-pemikiran Islam yang lainnya dianggap sebagai ortodoks, kuno, jumud, ketinggalan zaman dan pelbagai lagi konotasi negatif yang lain.

Hukum dan Hukuman Bagi Lelaki Menyerupai Wanita

Setiap perbuatan penyerupaan jenis kelamin yang berlainan gender adalah sikap yang bertentangan dan merosak fitrah yang telah ditetapkanoleh  Allah SWT terhadap manusia. Ia merupakan tradisi yang berasal dari ideologi  Barat dan sesat. Hukum lelaki menyerupai wanita telah jelas keharamannya dalam Islam. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat wanita yang menyerupai kaum lelaki dan lelaki yang menyerupai kaum wanita.”(HR Bukhari)

Beliau saw juga bersabda: “Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (HR Abu Dawud dan al-Hakim)

Sehubungan itu, dalam kitab Nizhamul ‘Uqubat karya Abdurahman al-Maliki, hukuman bagi lelaki yang dilihat (memakai) pakaian atau perhiasan atau gerakan-gerakan yang tidak wajar atau melanggar kesopanan atau ia mirip kepada wanita, maka kepadanya akan dikenakan tindakan hukuman sebat. Jika (hukuman sebat) tidak membuatnya sedar daripada perbuatan tersebut, maka ia akan diasingkan (daripada manusia) selama 1 tahun.

Wahai kaum Muslimin! Wujudnya golongan transgender ini adalah kerana adanya idea kebebasan di bawah sistem demokrasi. Sistem kufur ini sememangnya akan membenarkan segala aktiviti maksiat lahir dengan subur  dan merajalela manakala pada masa yang sama segala aktiviti-aktiviti keIslaman yang bersifat sistem dan ideologi akan dihalang habis-habisan serta hanya dihadkan kepada perkara-perkara  yang berkaitan ibadat dan akhlak semata-mata. Walaupun terdapat  usaha dari pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini, namun ternyata usaha mereka akan menemui kegagalan demi kegagalan kerana sesungguhnya mereka berusaha memperbaiki kerosakan manusia (dengan mengambil jalan) melalui sistem yang juga rosak. Ibarat masuk ke dalam lubang najis untuk membersihkan najis dengan (juga) menggunakan najis. Sampai bilakah pihak berkuasa dan pihak pemerintah ini akan sedar bahawa sistem demokrasi dengan undang-undang buatan manusia yang mereka amalkan selama ini tidak pernah dapat menyelesaikan masalah?  Malah ia sebaliknya semakin banyak menimbulkan masalah dan mencipta kerosakan-kerosakan baru  kepada umat manusia dengan ditambah kerosakan yang sudah sedia ada sekian lama. Hanya hukum Allah sahajalah yang mampu untuk mengatasi pelbagai masalah yang menimpa manusia pada hari ini. Namun, hukum Allah ini akan kekal di dalam kitab dan tidak akan dapat dilaksanakan selagi mana tidak adanya Daulah Khilafah yang menaungi kita semua. Wallahu a’lam.

Ulasan

Catatan Popular