KETIADAAN REZEKI ITU ADALAH SATU REZEKI




Bagaimana anda berinteraksi dengan Allah… ketikamana rezeki anda tertangguh?

Barangkali terlintas difikiran anda, hari ini saya akan berbicara tentang beberapa perkara yang boleh menambahkan rezeki seperti memperbanyakkan istighfar, meninggalkan dosa dan seumpamanya.. tidak.. tidak.. tidak... saya tidak akan berbicara tentang itu, anda semua telah mengetahuinya.

Sebaliknya hari ini, saya ingin mengubah kefahaman biasa anda tentang rezeki, kepada kefahaman lain yang baharu. Jika anda membaca posting ini sehingga ke akhirnya, insyaAllah ia akan mengubah kefahaman anda tentang rezeki, saya tidak berlebih-lebihan dalam perkara ini, insyaAllah.

Cuma di awal ini anda perlu ketahui bahawa ketiadaan rezeki itu adalah satu rezeki... bagaimana?

Ketikamana anda tidak dikurniakan rezeki berbentuk makanan, minuman, pekerjaan dan perniagaan, akan datang pula rezeki lain iaitulah rezeki balasan baik dan pahala dari Allah swt. Bukankah kita semua akan diberi pahala apabila bersabar dengan setiap musibah yang menimpa??? Oleh yang demikian, apabila ada rezeki di dunia yang kita tidak memperolehinya, ia akan membuka pintu rezeki yang lain iaitulah rezeki akhirat yang sudah tentu, ianya lebih utama. Allah Taala berfirman:

وللآخرة خير لك من الأولى

"Dan sesungguhnya akhirat itu adalah lebih baik untukmu berbanding dunia”(al-Dhuha:4)

MAKA JADILAH KETIADAAN REZEKI ITU ADALAH REZEKI.

Seseorang yang bijak, adalah orang yang tahu membezakan apakah rezeki yang biasa dan apa pula rezeki yang hakiki. Ramai di kalangan kita, jika ditanya apakah rezeki yang telah Allah kurniakan kepadanya. Kebiasaannya jawapan pertama yang terlintas di fikiran mereka ialah rezeki makan, minum, anak-pinak, kerjaya, barangkali juga rumah atau seumpamanya.... Tidak.... rezeki bukan terhenti sekadar yang itu sahaja. Bahkan terdapat rezeki yang lebih afdhal, iaitulah rezeki yang kekal, kerana rezeki yang kekal lebih utama dari rezeki yang tidak kekal. Sesungguhnya rezeki berbentuk balasan baik dan pahala itu adalah rezeki yang kekal. Adapun rezeki harta benda adalah rezeki yang sementara. Oleh itu solat yang kita tunaikan dikira sebagai rezeki, zikir-zikir yang kita baca pada pagi dan petang, selepas solat fardhu... semuanya adalah rezeki.

Ketikamana anda sedang tidur, kemudian anda bangun pada 1/3 akhir malam, anda bersendirian, tidak diperhatikan sesiapa, anda bangun, anda tunaikan solat dua rakaat.... Perkara itu adalah rezeki. Sehinggakan ketikamana anda bangun awal pagi untuk menunaikan solat subuh, anda tidak mengabaikannya, ia juga adalah rezeki, kerana berapa ramai orang yang langsung tidak bangun pagi untuk menunaikan solat subuh. Demikian juga ketika anda berhadapan dengan ujian, lalu Allah kurniakan kekuatan bersabar menghadapinya, sehinggalah ujian itu selesai. Itu juga adalah satu rezeki. Sama halnya, ketikamana anda berada di rumah bersama orang tua anda, lalu bapa anda meminta dibawakan secawan air kepadanya, maka ia juga merupakan rezeki. Ini kerana, jika anda tiada di rumah ketika itu, sudah tentu perkara itu akan dilakukan oleh adik-beradik anda yang lain. Maka... ketikamana anda berpeluang berbuat baik kepada orang tua, ia adalah rezeki.

Bukankah juga, kadang-kala ketika menunaikan solat, anda merasakan fikiran anda melayang-layang... tiba-tiba anda tersedar, lalu bersegera memberikan tumpuan kepada solat. Rasa tersedar ini adalah daripada Allah dan ia merupakan satu rezeki.

Inilah dia rezeki hakiki, iaitulah rezeki yang kekal sehingga hari kiamat, yang akan tercatit di dalam buku catitan amalan anda di akhirat kelak, kita semua berharap agar buku catitan itu akan diserahkan kepada tangan kanan kita. Inilah rezeki hakiki, ia bukanlah sebuah kereta, bukan juga sebuah rumah, bukan juga sejumlah bayaran gaji yang lumayan.

INI KERANA REZEKI BERBENTUK HARTA, AKAN DIKURNIAKAN KEPADA SEMUA MAKHLUK ALLAH SAMADA DIA SEORANG YANG SALIH MAHUPUN SEORANG YANG JAHAT. ADAPUN REZEKI BERBENTUK BALASAN KEBAIKAN DAN PAHALA, IA TIDAK AKAN DIKURNIAKAN OLEH ALLAH MELAINKAN UNTUK ORANG-ORANG YANG DIKASIHINYA SAHAJA. Oleh itu sebelum kita bersedih dilewatkan kurniaan rezeki, kita wajib terlebih dahulu mengetahui, apakah rezeki yang wajar ditangisi kelewatannya, dan apakah pula rezeki yang kelewatannya itu dikira sebagai suatu rezeki yang lain pula. 

wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan Popular