Jangan Melengahkan Solat!!!



Solat adalah ibadah yang difardukan Allah SWT kepada setiap Muslim dalam waktu tertentu. Ini bermaksud solat tidak sah dan tidak diterima jika dilakukan di luar waktunya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 103:

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”.

Jelas daripada ayat di atas kewajipan solat adalah dalam waktu tertentu. Jika diteliti lebih dalam lagi semua solat sama ada solat fardu atau solat sunat mempunyai waktu tertentu. Tidak ada persoalan solat pada awal waktu dan memang digalakkan untuk solat pada awal waktu tetapi persoalannya bagaimana solat pada akhir waktu. Apakah diterima dan diberi pahala?

Setiap waktu solat mempunyai waktu mula dan waktu tamat. Telah sabit kenyataan dalam beberapa hadis yang sahih bahawa Jibril telah datang bertemu Nabi s.a.w selepas solat lima waktu difardukan untuk memberitahu waktu-waktunya serta menetapkan waktu bermula dan waktu akhir setiap solat. Waktu solat itu telah diterangkan oleh Nabi s.a.w kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan Nabi s.a.w.

Sabda Nabi s.a.w : Yang bermaksud, daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA, daripada Nabi s.a.w, Baginda telah ditemui oleh seorang yang bertanya tentang waktu-waktu solat. Tetapi Baginda tidak menjawabnya. Manakala dalam riwayat yang lain pula Baginda bersabda, “Bersolatlah bersama-sama kami”.

Lalu baginda menunaikan solat Subuh ketika fajar terbit sedangkan penglihatan orang ramai masih belum dapat mengenali antara satu sama lain. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi bersolat Zuhur ketika matahari gelincir. Ada yang berkata, ketika itu waktu tengah hari sedangkan Baginda lebih mengetahuinya daripada mereka.

Seterusnya Baginda menyuruh mereka bersama-sama Baginda menunaikan solat Asar ketika matahari masih tinggi. Kemudian disuruhnya lagi, lalu Baginda menunaikan solat Maghrib yang pada ketika itu matahari telah terbenam. Kemudian Baginda menyuruhnya lagi, maka ditunaikan pula solat Isyak ketika syafak hilang daripada penglihatan.

Pada keesokan harinya, Baginda telah melewatkan solat Subuh sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, matahari telah terbit atau hampir terbit. Kemudian Baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir ke waktu Asar sebagaimana semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar sehingga ada yang mengatakan selepas solat tersebut, warna matahari kemerah-merahan.

Seterusnya Baginda melewatkan pula solat Maghrib, hingga syafak hampir tidak kelihatan lagi. Kemudian Baginda melewatkan solat Isyak sehingga lewat tengah malam. Apabila menjelang pagi, Baginda memanggil orang tersebut lalu bersabda, “Waktu solat ialah di antara dua masa ini”.

Terdapat juga beberapa hadis yang menerangkan sebahagian perkara yang umum atau yang menambah penerangannya sebagaimana yang dapat dilihat dalam perincian waktu-waktu setiap solat seperti yang berikut:

Apabila Nabi s.a.w berkata “Waktu solat ialah di antara dua masa ini” ia menunjukkan bahawa solat di antara dua waktu itu diterima oleh Allah SWT dan diberikan pahala. Cuma solat pada awal waktu amat digalakkan daripada solat pada akhir waktu.


Jangan sengaja lengahkan solat

Tidak patut seseorang Muslim sengaja melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu dengan alasan tempohnya panjang. Ini kerana perbuatan tersebut mungkin menyebabkan waktunya terluput malah sikap cuai ini mungkin menyebabkan solat terus tertinggal. Sebenarnya semua solat, sunat disegerakan pada awal waktunya. Ketika ditanya tentang amalan yang afdal Nabi s.a.w bersabda:

Yang bermaksud : “Menunaikan solat pada awal waktunya.”

Seseorang yang melakukan sebahagian solatnya dalam waktu dan sebahagian yang lainnya di luar waktu jika dapat menyempurnakan satu rakaat dalam waktunya maka keseluruhan solat tersebut dikira qada’.
 Hal ini berdasarkan hadis : Yang bermaksud : “daripada Abu Hurairah r.a  Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.”


Ancaman Orang Yang Melengahkan Solat

Allah SWT berfirman dalam Surah Maryam Ayat 59, yang bermaksud :
"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka."
(Surah Maryam : Ayat 59)

Abdullah bin Abbas R.A berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan dari waktunya. Umpamanya mereka melaksanakan Solat Zuhur dalam waktu Asar, Solat Asar di dalam waktu Maghrib, Solat Isyak ditanguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta Solat Subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama ‘Al-Ghai’a di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :
"Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan (Uzur Menurut Syarak), maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar".
(Riwayat Al-Hakim)

Nah, lihatlah ancaman-ancaman yang telah diberi oleh Allah SWT dan RasulNYA SAW tentang azab dan siksaan yang menanti mereka yang suka melengah-lengahkan dan melewat-lewatkan solat dengan sengaja.
Ingin ditegaskan di sini bahawa, jika sudah masuk waktu solat, dan kita masih lagi tidak menunaikan solat dan melengah-lengahkannya walaupun sekejap tanpa ada sebab yang dibenarkan, ianya juga dikira termasuk di dalam golongan mereka yang melewat-lewatkan solat.
Oleh itu, sedarlah wahai saudara-saudaraku sekalian. Terutamanya pada mereka-mereka yang mengaku dirinya sebagai pejuang-pejuang dan pembela-pembela Islam, hendaklah kita menjaga solat kita dengan sebaik-baiknya. Hendaklah solat di awal waktu dan janganlah melengah-lengahkannya dengan sengaja kerana solat di awal waktu itu lebih afdal dan sangat-sangat dituntut dan mendapat keredhaan daripa Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mukminun yang bermaksud :

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan orang yang memelihara solatnya, mereka itulah orang yang berhak mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah al-Mukminun, ayat 8-11)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pada suatu hari Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat: Amalan apakah yang lebih utama? Baginda SAW menjawab: Solat tepat pada waktunya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
“Barang siapa bersolat tepat pada waktunya dan melengkapkan rukuknya, sujudnya dan khusyuk, maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: “Semoga Allah SWT menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (menyempurnakan rukun solat itu). Tetapi barang siapa yang bersolat tidak dalam waktunya yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujudnya dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun naiklah ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: “Semoga Allah SWT mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku. Selanjutnya setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah SWT, iapun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak kemudian dipukulkanlah kepada mukanya.”
(Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi)

Lihatlah antara kelebihan-kelebihan dan ganjaran-ganjaran yang menanti mereka yang menjaga dan memelihara solatnya di awal waktu. Maka, terpulanglah pada diri kita sendiri. Jika kebahagiaan dan keredhaan Allah yang kita cari, maka jagalah solat kita sebaik-baiknya dengan bersolat di awal waktu. Jika tidak, bersiap sedialah untuk menghadapi pembalasan azab dan siksaan daripada Allah SWT di akhirat nanti.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular