Adab Ketika Sambut Hari Raya Aidilfitri
AIDILFITRI adalah kurnia daripada Allah SWT kepada umat Islam setelah berjaya melaksanakan ibadat berpuasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara yang dilarang ketika berpuasa.
Sewajarnya kita bersyukur atas pengurniaan itu kerana hari raya adalah hari kegembiraan serta hari mempereratkan dan memperkukuhkan hubungan persaudaraan.
Satu amalan dan tradisi kita di negara ini pada hari raya ialah ziarah menziarahi saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Berziarah adalah amalan dituntut dalam Islam yang patut dipelihara dan dihidupkan kerana amalan ini mempunyai fadilat dan kelebihan.
Ziarah bertujuan mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama Islam di samping menyemarakkan semangat untuk hidup bermasyarakat seperti mana digariskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu.
“Maka jika kamu tidak mendapat sesiapa yang berhak memberi izin maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu, dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nur, ayat 27-28) Selain menjaga adab berziarah, kita hendaklah mengambil berat mengenai perkara dilarang atau diharamkan, umpamanya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan dengan keluar berhari raya bersama kawan dan rakan bukan mahram.
Ada sebilangan remaja, terutama yang mengikat tali pertunangan, mengambil kesempatan hari raya sebagai tiket untuk keluar bersama-sama tanpa mahram. Semua itu bukan saja bertentangan dengan konsep ibadat pada hari raya, malah bertentangan dengan hukum Islam.
Di negara kita, sambutan hari raya seperti jamuan rumah terbuka menjadi amalan kebanyakan masyarakat kita dan sememangnya cara terbaik untuk mengeratkan silaturahim.
Bagaimanapun, mengadakan rumah terbuka bukan menjadi kewajipan sehingga membebankan, dan hendaklah diadakan mengikut kemampuan masing-masing.
Yang penting, majlis itu hendaklah mengikut lunas ajaran agama Islam dan tidak dicampur adukkan antara yang benar dengan yang salah seperti pembaziran, pergaulan bebas dengan bersalaman antara lelaki serta perempuan yang bukan mahram dan bersuka ria tanpa batas.
Larangan tidak mencampur adukkan yang benar dengan yang salah itu disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 42, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campur adukkan kebenaran dengan kebatilan dan kamu sembunyikan kebenaran itu, sedangkan kamu mengetahuinya.” Bersuka ria dalam pengertian ibadah, bukan bersuka ria tanpa batas, tanpa sekatan dan tujuan, sebaliknya mengikut lunas yang dibenarkan oleh syarak.
Sama-sama kita menjaga adab dan tingkah laku dalam merayakan hari raya yang mulia ini. Jangan kita mencampur adukkan amalan yang berkebajikan dengan perkara yang dilarang, terutama membabitkan hal maksiat.
Kita berdoa semoga hari raya ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita dan mudah-mudahan apa yang kita lakukan pada hari raya mendapat keredaan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam surah Yunus ayat 58 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad: Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangnya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersuka ria (bukan dengan yang lain), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan daripada segala benda dan perkara yang tidak kekal.”
mohon share ustaz
BalasPadam