Kedudukan sanad dan hadith dalam Islam



Hadith

Kedudukan hadith dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diragukan kerana terdapat penegasan yang banyak di dalam al Quran tentang hadith – di dalam al Quran disebut sebagai al Sunnah – malahan dalam banyak tempat hadith disebutkan selari dengan al Kitab ataupun al Quran. Di dalam al Quran juga disebutkan dengan ketaatan terhadap Rasulullah saw yang disebutkan bersama dengan ketaataan kepada Allah. Ini sebagaimana yang ditegaskan di dalam al Quran di dalam firman Allah seperti ;
Maksudnya ; “Dan taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu adalah orang-orang yang beriman” (surah al Anfāl : ayat 1)
Maksudnya ; “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain bagi urusan mereka” (surah al Ahzāb : ayat 36)
Maksudnya ; “Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (surah al Hasyr : ayat 7)
Dengan penegasan al Quran di atas, jelaslah bahawa hadith tidak dapat dipisahkan penggunaannya di dalam segala hal yang berkaitan dengan Islam selari dengan al Quran.
Sesetengah pengarang menyebutkan mengenai 5 fungsi hadith yang utama – dalam sesetengah buku cuma disebut 4 – iaitu ;
  • Penguat dan penyokong kepada hukum-hukum yang terdapat di dalam al Quran seperti dalam perkara pengsyariatan sembahyang, puasa dan haji.
  • Penghurai dan pentafsir bagi ayat-ayat al Quran yang umum seperti memperjelaskan mengenai cara perlaksanaan sembahyang, kaedah jual beli, menunaikan zakat dan haji dan sebagainya yang mana perkara-perkara tersebut hanya disebutkan secara umum oleh al Quran.
  • Menjadi keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tiada di dalam al Quran seperti dalam hal memakan haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih seperti anjing yang mana buruan tersebut terdapat kesan dimakan oleh haiwan pemburu terlatih tadi dan kesan tersebut menunjukkan haiwan pemburu tadi menangkap buruan untuk dirinya sendiri. di dalam al Quran hanya dibenarkan memakan buruan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih. Maka dalam hal ini, hadith menerangkan bahawa buruan yang mempunyai kesan dimakan oleh haiwan pemburu adalah haram dimakan.
  • Menasakhkan hukum yang terdapat di dalam al Quran.Sesetengah ahl al Ra’y berpandangan bahawa hadith yang dapat menasakhkan hukum al Quran itu mestilah sekurang-kurangnya bertaraf Mutawatîr, Masyhûr ataupun Mustafhîdh.
  • Menerangkan mengenai ayat yang telah dinasakh dan ayat mana yang telah dimansukhkan.
Dalam menentukan fungsi-fungsi bagi hadith ini, para ulama bersepakat dalam menentukan fungsi pertama dan kedua tetapi mereka masih berselisih dalam menentukan fungsi ketiga, keempat dan kelima. Menurut ulama Hanafiyyah, hadith-hadith Mutawatîr dan Masyhûr boleh menasakhkan hukum al Quran manakala Imam Syafie sendiri menolak penasakhan itu.
Di dalam bidang ibadat, hadith memainkan peranannya dalam menghuraikan maksud ayat-ayat al Quran mengenai pengsyariatan sesuatu bentuk ibadat dengan lebih jelas. Tambahan pula, hadith juga memperincikan lagi masalah-masalah yang berhubung dengan pelaksanaan sesuatu ibadat sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.
Dalam bidang hukum atau undang-undang, hadith memperincikan hukuman-hukuman dan undang-undang yang terdapat di dalam al Quran seperti hukuman terhadap penzina. Hadith juga berbicara meliputi soal-soal yang berhubung dengan keadilan sosial, ekonomi dan politik. Hadith juga menerangkan mengenai hal-hal mengenai masalah-masalah perseorangan dan kekeluargaan seperti soal nikah, cerai dan talak. Begitu juga kita tidak menemui secara khusus tentang larangan al Quran terhadap amalan rasuah dan menyorok barang dagangan dan perkara-perkara ini diterangkan di dalam hadith.
Mengenai ilmu pengetahuan pula, tidak sedikit ilmu yang boleh kita korek dari hadith bagaikan satu dasar yang tidak diketahui kedalamannya sama ada ilmu sejarah – sejarah penciptaan alam dan bangsa-bangsa terdahulu -, ilmu nasab, ilmu sosiologi, bahasa, sastera, budaya dan banyak lagi. Tambahan pula, hadith juga menggalakkan manusia agar berusaha menuntut ilmu dan memperbaiki diri. Manakala dalam soal pembentukan akhlak pula, maka sememangnya pengutusan Rasulullah saw itu sendiri adalah untuk membentuk akhlak yang mulia.

Sanad

Sanad ialah tali sambungan /perawi (periwayat) hadis. Sanad terdiri atas dasar sambungan mulai dari orang yang mencatat hadis tersebut dalam bukunya (kitab hadis) hingga sampai kepada Rasulullah. Sanad, memberikan gambaran keaslian suatu riwayat. Jika diambil dari contoh sebelumnya maka sanad hadis bersangkutan adalah
Al-Bukhari > Musaddad > Yahya > Syu’bah > Qatadah > Anas > Nabi Muhammad SAW
Sebuah hadis dapat memiliki beberapa sanad dengan jumlah sambungan/perawi bervariasi dalam lapisan sanadnya, lapisan dalam sanad disebut dengan thaqabah. Signifikansi jumlah sanad dalam setiap thaqabah sanad akan menentukan darjat sesebuah hadis tersebut, hal ini dijelaskan lebih jauh pada klasifikasi hadis.
Jadi yang perlu di titik beratkan dalam memahami Hadis terkait dengan sanadnya ialah :
  • Kekuatan sanadnya
  • Jumlahnya
  • Perawi akhirnya
Sebenarnya, penggunaan sanad sudah dikenal sejak sebelum datangnya Islam.Hal ini diterapkan di dalam mengutip berbagai buku dan ilmu pengetahuan lainnya. Akan tetapi penerapan sanad digunakan dalam mengutip hadis-hadis nabawi.

Ulasan

Catatan Popular