Apakah yang dikatakan istiqamah?
Apakah
yang dikatakan istiqamah itu?
Istiqamah boleh
dimaksudkan sebagai berdiri teguh ataupun tetap pendirian sepanjang masa atas
dasar kebenaran dan pertunjuk yg benar melalui al-quran dan assunnah tanpa
ragu-ragu.
Sebelum kita meneruskan perbincangan
mengenai istiqamah lebih baik kita berkenalan dahulu dengan Istiqamah.. Apa itu
istiqamah? Bicara mengenai tarif istiqamah sahaja terlalu banyak maknanya...
- Berterusan dalam melakukan sesuatu perkara secara berterusan, thabat, tetap.
- Istiqamah ialah betul i'tiqad, kata-kata dan perbuatan.
- Istiqamah adalah berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada aqidah Islam, dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau apa-apa keadaan sekalipun.
Istiqamah merupakan
satu perkara yang sangat payah untuk dilakukan. Kadang-kadang terasa kaslan (malas), kadang-kadang
terasa nak menangguh, terkadang masa tak mencukupi. Hendak melakukan sesuatu
amalan secara istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang mustahil tetapi sesuatu
perkara yang cukup mencabar keimanan seseorang muslim. Sebagaimana yang kita tahu,
amalan yang sedikit tetapi kita istiqamah dalam melakukannya lebih baik
daripada kita melakukan banyak amalan tetapi tidak secara istiqamah.
Sepertimana sabdaan rasulullah
s.a.w“
Berteguh-hatilah kamu (istiqamahlah) kamu meskipun tidak akan mampu melakukan
sepenuhnya. Ketahuilah bahawa bahagian terbaik dari agamamu adalah sembahyang,
dan tiada seseorang yang memelihara wudhu’, kecuali orang yang beriman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Amalan secara istiqamah mengajar kita agar sentiasa merasakan nikmat
beramal kerana setiap amalan yang dilakukan dengan hati dan jiwa, ianya akan
mendatangkan rasa lazat dan nikmat. Amalan secara istiqamah walaupun
dilaksanakan secara sedikit, pada tiap-tiap hari adalah lebih baik daripada
melakukan amalan secara banyak tetapi pada masa yang tertentu. Kita boleh
membuat perbandingan dan melihat sendiri kesan dalam amalan istiqamah pada
tindakan alam umpamanya setitik air yang terus menerus menitik di atas batu,
lama kelamaan ia akan melekukan batu tersebut. Akan tetapi, jika banjir yang
berlaku hanya sekali sekala, tidak akan dapat memberi bekas pada batu tersebut.
Sepertimana Firman Allah s.w.t.
"Maka tetaplah
(istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu
dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui
batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan"
(Surah Hud ayat 11)
(Surah Hud ayat 11)
Pada kesempatan ini izinkan
saya mengajukan lima petua istiqamah dalam ibadah. Mudah-mudahan jika
kelima-limanya kita laksanakan, maka kita akan dapat terus melaksanakan
kewajipan kita sebagai hamba Allah secara konsisten.
Pertama:
Menyedari selalu akan hakikat diri kita yang serba kekurangan. Manusia adalah
makhluk yang sangat lemah. Ia selalu terdedah untuk pelbagai penyakit, musibah,
kemiskinan dan sebagainya. Siapa yang ingin menjaga diri atau keluar daripada
perkara-perkara buruk tersebut, ia mesti menjaga hubungan baiknya dengan Allah
Yang Maha Berkuasa.
Imam Al-Syafii
pernah berkata:
“Kelemahan adalah sifat manusia yang paling jelas. Barang siapa yang selalu
menyedari sifat ini, ia akan memperoleh istiqamah bersama Allah SWT.”
Kedua:
Menyedari hakikat hidup kita di muka bumi ini. Setiap daripada kita adalah tetamu,
dunia ini adalah tempat persinggahan, negeri asalnya adalah akhirat dan
bekalannya adalah ibadah.
Setiap tetamu
suatu ketika nanti akan pergi meninggalkan tempat persinggahan dan berpindah ke
negeri asalnya. Segala sesuatu yang ingin kita bawa ke akhirat, siapkanlah dari
sekarang. Pastikan kita telah memiliki rumah yang selesa di akhirat nanti
sebelum kita meninggalkan dunia ini. Caranya dengan memperbanyak ibadah dan
amal kebajikan.
Selama
kita masih hidup di dunia, peluang membeli barangan akhirat itu masih terbuka.
Namun sebaik kita berada dalam sakaratul maut, pada saat itu peluang tersebut
telah tertutup. Pada saat itu, barangan akhirat yang sangat kita perlukan itu
menjadi sangat mahal. Ia tidak lagi dapat dibeli dengan wang ringgit, bahkan semua
harta kita sekalipun.
Ketiga:
Lakukan ibadah mengikut kemampuan. Jangan terlalu berlebihan sehingga
melahirkan rasa bosan dan serik. Dua rakaat sunat tahajud yang rutin kita
kerjakan setiap malam, lebih baik daripada 100 rakaat yang kita lakukan sekali
sahaja seumur hidup.
Rasulullah
bersabda: Wahai
manusia, ambillah amalan yang kamu mampu lakukannya (dengan istiqamah).
Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu jemu. Dan amalan yang
paling Allah cintai adalah apa yang dilakukan dengan istiqamah, meskipun
sedikit.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat:
Bercampurlah dengan orang-orang yang tepat. Sebab perjalanan jauh sangat
membosankan jika kita menempuhnya seorang diri. Perjalanan yang jauh itu akan menjadi lebih ringan, dan
menyenangkan, jika kita berjalan bersama orang-orang yang kita cintai. Begitu
jugalah perjalanan kita menuju akhirat.
Justeru,
carilah orang-orang yang satu destinasi dengan kita menuju syurga. Kenali
mereka dengan akhlak mulia yang terdapat didalam diri mereka. Sebab ahli syurga
adalah orang-orang yang sopan, lemah lembut, tawaduk, tidak menyimpan hasad
dengki, suka menghormati orang lain dan pelbagai sifat mulia lainnya.
Setelah
menjumpainya, bersahabatlah dengan mereka. Sebarkan selalu salam kedamaian
sebagai tanda cinta dan akhlak mulia.
Kelima:
Muhasabah diri selalu, jangan pernah merasa cukup atas ibadah dan kebaikan yang
kita lakukan dan perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Sering-seringlah meminta
ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan yang Allah redai.
Imam
al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu dipanjatkan Rasulullah ialah:
“Wahai Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas
agama-Mu.”
Umi
Salamah bertanya: “Ya Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?”
Baginda
menjawab: “Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari
jemari Allah. Jika Allah kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia
kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan.”
Untuk mendapatkan jiwa yang istiqamah di dalam beramal, kita hendaklah
seringkali berdoa, mohon pada Allah agar kita sentiasa diberi oleh Allah
bimbingan olehNya. Mintalah kepada Allah agar dikurniakan kita dengan sekeping
hati yang sentiasa ghairah untuk beribadah walau dengan keadaan bagaimana
sekalipun. Perlu juga diingatkan kepada diri bahawa kita beramal tanpa
istiqamah, maka bertitik tolak dari situlah akan membuktikan bahawa cinta kita
kepada Allah mengikut masa sedangkan Allah mengasihi hambanya sepanjang masa.
Sebagai buktinya, setiap saat dan
waktu, nikmat Allah sentiasa melimpah ruah dengan berbagai-bagai nikmat.
Begitulah Maha pemurah dan Maha Penyayangnya Allah. Oleh itu marilah
kita sama-sama berazam dan menanamkan cita-cita untuk beristiqamah di dalam
beramal. Semoga di dalam azam dan cita-cita kita itu yang dibuktikan oleh
perbuatan kita akan dinilai oleh Allah s.w.t dan dengan amalan istiqamah itulah
mudah-mudahan dapat meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan Rabbul Jalil di
akhirat kelak.
Firman
Allah swt.
“Sesungguhnya orang-orang
yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian
mereka istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul), akan turun malaikat
kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu
bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa
kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari
akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh
nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu
cita-citakan mendapatnya.
(Pemberian-pemberian
yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani!
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya
daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan
yang soleh, sambil berkata “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam
(yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 30-33).
Ulasan
Catat Ulasan